BERITA MALAYSIA KINI

Pilihan Terbaik Setiap Detik

Muslimat Pas pertahan bai’ah

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Dewan Muslimat Pas hari ini mempertahankan amalan bai’ah atau sumpah taat setia talak tiga terhadap isteri wakil rakyat parti itu yang melompat parti.

Selain membela wanita, Dewan Muslimat turut menyifatkan amalan bai’ah itu dapat menguatkan azam pemimpin Pas yang menang pilihan raya untuk terus komited kepada perjuangan parti.

Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh menegaskan, pihaknya tidak menolak amalan itu kerana sangat memahami mengapa bai’ah tersebut dilakukan iaitu demi memperteguhkan parti.

“Kami sangat setuju dengan bai’ah ini, ikrar ini bukan bermakna mereka tidak sayang tetapi satu istiqamah terhadap parti, perjuangan ini satu amanah.

“Bagaimana mereka kasihkan isteri, begitu juga mereka perlu kasih parti… sama kasihnya,” kata beliau kepada Mingguan Malaysia semasa ditemui pada Seminar Memperkasakan Parti Pas di markas parti itu di Taman Melewar, Gombak di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai pendedahan beberapa pemimpin Pas tentang bai’ah talak tiga itu yang akan jatuh ke atas isteri wakil rakyatnya yang mengkhianati parti itu seperti melompat parti.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Mohd. Khairuddin Othman berkata, beliau sendiri pernah melakukan bai’ah semasa dipilih sebagai calon pilihan raya untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan DUN Paya Jaras tahun lalu.

Beliau berkata, bai’ah itu yang disediakan Dewan Ulama Pas akan dibaca beramai-ramai di hadapan Pesuruhjaya Pas negeri sebelum pilihan raya berlangsung.

Mengulas lanjut, Nuridah berkata, amalan bai’ah ini diperkenalkan kepada calon Pas lelaki sejak pilihan raya 2007.

“Saya tak rasa wanita direndahkan. Ini merupakan satu cabaran kepada pada muslimin. Ia bukan menggalakkan penceraian, ia satu pengorbanan. Mereka tidak boleh ‘main-main’ masuk parti Pas yang berjuang memperteguh syiar Islam.

“Saya melihatnya positif. Media jangan ‘main-main’ dengan isu ini,” katanya.

Turut bersetuju dengan pendapat beliau ialah Naib Ketua Dewan Muslimat Pas, Senator Mumtaz Md. Nawi yang menyifatkan amalan tersebut menjadikan wakil rakyat Pas lebih menyayangi isteri serta tidak berani memungkiri janji yang mereka ikrar sendiri.

“Ini pembelaan kepada wanita. Janji tetap janji. Apa pula pelik? Taklik kalau keluar pintu pun jatuh talak. Inikan pula keluar perjuangan Islam, lepas habis tempoh nak lompat, lompatlah.

“Kenapa pula orang nak bising. Taklik itu sah. Kalau tak sanggup tak ada orang paksa jadi calon,” katanya.

Jelasnya, semua wakil rakyat Pas memahami Islam dan mereka tidak ada masalah untuk memahami mengapa bai’ah dilakukan oleh parti.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm

Mahkamah Tolak Permohonan Anwar Dapatkan Dokumen Penting Dan Sampel DNA – Bernama

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama)

Mahkamah Rayuan Jumaat menolak permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan dokumen penting dan sampel DNA yang didakwanya amat penting untuk pembelaannya dalam perbicaraan bagi pertuduhan liwat yang dihadapinya.

Mahkamah Rayuan menolak rayuan balas Anwar terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan sampel spesimen daripada pengadu dalam kes liwat itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Hasan Lah, yang mengetuai panel dianggotai Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Hakim Datuk Sulaiman Daud, dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang sama bagi pihak pendakwaan membekalkan dokumen penting kepada Anwar.

Antara dokumen penting itu ialah kenyataan yang direkodkan daripada saksi iaitu Mohd Saiful, Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, kenyataan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia dan laporan perubatan.

Dalam keputusannya, Hakim Hasan berkata dokumen yang diminta Anwar tidak termasuk dalam ketetapan Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah kerana terdapat batasan bagi pihak pendakwaan untuk membekalkan dokumen tertentu kepada tertuduh.

Hakim Hasan berkata mahkamah tidak bersetuju dengan tafsiran Hakim Mahkamah Tinggi terhadap Seksyen 51 kanun itu. Seksyen 51 bermakna pihak pendakwaan perlu menimbangkan arahan untuk membekalkan dokumen atau benda lain, seperti diminta oleh tertuduh.

“Dalam prosiding jenayah, mahkamah tidak membenarkan sebarang cubaan bagi mendapatkan siasatan,” katanya ketika menyampaikan keputusan itu secara lisan dan menurutnya penghakiman penuh secara bertulis akan diberikan tidak lama lagi.

Seksyen 51A memperuntukkan ketetapan bagi pembekalan dokumen tertentu oleh pihak pendakwaan kepada tertuduh sebelum bermulanya perbicaraan bagi membolehkan tertuduh menyediakan pembelaan.

Pada 16 Julai, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan Anwar untuk memaksa pihak pendakwaan membekalkan dokumen bagi membolehkannya menyediakan pembelaannya, mengikut Seksyen 51A supaya proses pendakwaan lebih terbuka dan adil.

Bagaimanapun, Anwar gagal mendapatkan sampel spesimen Mohd Saiful selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya. Mahkamah pada 24 Julai membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi penangguhan pelaksanaan perintah itu, sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan diputuskan.

Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun, tahun lepas.

Kemudiannya, peguam yang mewakili Anwar, Karpal Singh memberitahu pemberita yang beliau akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada Isnin kerana keputusan hari ini akan menjadi duluan dalam kes jenayah mengikut Seksyen 51A bagi membolehkan tertuduh dibicarakan secara adil.

Karpal berkata matlamat Parlimen dalam meminda Seksyen 51A pada 2006 ialah untuk mencegah perbicaraan diadakan secara “serang hendap” dan kelewatan selepas dokumen dibekalkan kepada tertuduh bagi menyediakan pembelaan.

Anwar, yang tidak hadir di mahkamah, turut diwakili R.Sivarasa dan S.N.Nair, manakala Peguam Cara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden mengetuai pasukan pendakwaan yang terdiri daripada Noorin Badarudin, C.K.Wong dan Shamsul Sulaiman.

Kes liwat itu ditetapkan untuk sebutan semula di Mahkamah Tinggi pada 23 Nov. Perbicaraan kes itu yang ditetapkan pada 1 Julai hingga 23 Julai telah ditangguhkan bagi membolehkan mahkamah mendengar beberapa permohonan yang difailkan oleh Anwar berhubung kes itu.

– BERNAMA

Dr Asri pernah menghalang tiga ulama Yaman mengajar di Perlis tanpa tauliah !

Penahanan Mohd. Asri disokong

JOHOR BAHRU 3 Nov. – Persatuan Kebajikan Al-Jamiatul Khairiah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin kelmarin.

Presidennya, Datuk Syed Hussein al-Habshee berkata, pihaknya menerima banyak rungutan dan aduan di kalangan ahlinya dan masyarakat setempat di Wilayah Persekutuan dan Selangor tentang ceramah yang pendekatannya disyaki beraliran Wahabi.

“Ramai yang mendesak agar persatuan membuat permintaan terhadap kerajaan supaya diambil tindakan bagi mengelak kekeliruan masyarakat setempat yang berpegang kepada mazhab Syafie,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Kelmarin, Mohd. Asri ditahan oleh JAIS di Taman Sri Ukay, Hulu Klang kerana didakwa menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.

Bagaimanapun, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor semalam tidak mendakwanya, sebaliknya Mohd. Asri hanya dikenakan bon jaminan JAIS sebanyak RM3,000.

Syed Hussein berkata, pendekatan yang disyaki Wahabi itu dikhuatiri akan memecah belah dan mengelirukan masyarakat khususnya generasi muda.

“Kita tidak mahu sesiapa yang cuba menjadi jaguh keilmuan dengan mencetuskan kontroversi dan polemik melalui pendekatan bercanggah dengan mazhab yang diamalkan di negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar diadakan muzakarah antara mufti-mufti berhubung pendekatan dan fahaman yang dibawa Dr. Mohd. Asri itu.

“Mufti-mufti boleh membuat rumusan untuk membantu dan memberi panduan kepada umat Islam serta mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Perbincangan seterusnya adalah antara ilmuwan agama dengan Dr. Mohd. Asri sendiri,” katanya.

Syed Hussein berkata, apa yang berlaku seolah-olah sejarah berulang kembali kerana pada sekitar 2007, tiga tokoh ulama bermazhab Syafie dari Yemen juga tidak dibenarkan oleh Dr. Mohd. Asri berceramah tanpa tauliah di Perlis ketika beliau menjadi mufti negeri itu.

Justeru, pihaknya percaya JAIS telah membuat pelbagai pertimbangan sebelum melakukan penahanan.

http://www.utusan.com.my/

Tokwan : Dr Asri kena balik apa yang dia buat ke atas ulama tu kot. mungkin dia lebih bernasib baik sebab famous dan disukai ramai. walaupun tok tahu yang suka tu jenis tak mengaji dalam sangat dan mudah telan bulat2.

puak=puak anwar berahim suka lah sebab dr asri bawa reformasi. atau dipanggil tajdid ikut kata cucu tokwan yang nngaji bahasa arab.

ada blog tulis anwar pelihara seorang ustaz wahabi nama abdullah…ishh tok lupa dah.tadi ada nampak. tak tahu kat mana dah hilang.

ishhh cucu cari sendiri lah yer. tokwan ni pelupa sikit..

tok tak tahu bende bab agama cuma tahu sikit2 je………..

Penahanan Dr. Asri bukan secara semberono – JAIS

Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 3 Nov. – Penahanan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kelmarin bukan dibuat secara semberono atau mengikut telunjuk mana-mana pihak.

Sebaliknya Pengarah JAIS, Mohamed Khusrin Munawi menegaskan, tindakan itu diambil selepas Mohd. Asri berulang kali melanggar peraturan berkaitan aktiviti memberi ceramah agama di negeri ini.

Menurutnya, Mohd. Asri tahu tentang peraturan tersebut tetapi terus melakukan kesalahan itu.

“JAIS pernah menghantar pekeliling kepada semua mufti negeri termasuk Mohd. Asri yang memberitahu tentang keperluan mendapat kebenaran dan pentauliahan jabatan itu untuk membolehkan mereka menyampaikan kuliah di Selangor,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, Mohd. Asri kerap kali memberi kuliah agama tanpa tauliah termasuk di Hulu Klang yang dibuat hampir setiap bulan begitu juga di Masjid Seksyen 14, Petaling Jaya.

“Ini bermakna beliau tidak menghormati peraturan yang telah ditetapkan di negeri ini,” ujarnya.

Katanya, penahanan terhadap Mohd. Asri pada malam itu dibuat selepas mesyuarat JAIS dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dilakukan.

Dalam pada itu, Mohamed Khusrin memberitahu, keputusan sama ada bekas Mufti Perlis tersebut bakal didakwa atau sebaliknya hanya akan diputuskan oleh Bahagian Pendakwaan JAIS sebelum penghujung bulan ini.

Katanya, pada masa ini pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan kes Mohd. Asri yang ditahan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Islam Selangor.

“Sebaik sahaja kertas siasatan kes Mohd. Asri siap, kita akan serahkan kepada Bahagian Pendakwaan. Selepas itu terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan,” jelasnya.

Mohd. Asri ditahan oleh pasukan penguat kuasa JAIS malam semalam kerana menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.

Turut hadir pada majlis kuliah itu ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Saari Sungib.

Ditanya mengapa Mohd. Asri tidak didakwa semalam, Mohamed Khusrin berkata, bekas mufti itu ditahan bukan untuk didakwa tetapi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadapnya kerana menyampaikan kuliah tanpa tauliah.

“Macam polis menangkap penjenayah, kena dapat perintah reman dulu dan bila sudah siap kertas siasatan baru pendakwaan dibuat.

“Cuma bezanya kita tidak dapatkan waran tahanan terhadap Mohd. Asri kerana kita telah bebaskan dia dengan bon jaminan JAIS,” jelasnya.

 

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

Kes liwat antara punca Badrul keluar – Malaysiakini

ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah berkata kes liwat yang membabitkan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara sebab beliau keluar PKR.

Bercakap dalam satu sidang akhbar petang ini, Badrul berkata beliau menjadi lebih syak terhadap Anwar yang menurutnya sengaja melengah-lengahkanperbicaraan dan enggan pula menjelaskan perkara itu kepada ahli-ahli parti.

Sebagai seorang Muslim yamg berpegang teguh kepada prinsip Islam, katanya, moral seseorang pemimpin itu amat penting untuk mendapatkan sokongannya.

Beliau juga mendakwa bahawa presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar, juga enggan untuk menjelaskan mengenai dakwaan liwat tersebut.

Katanya, ia merupakan sebab utama beliau membuat keputusan keluar PKR kerana beliau tidak boleh berkompromi dengan isu-isu moral seperti yang dihadapi oleh pemimpin PKR.

Ditanya mengapa beliau menunggu hingga sekarang untuk menimbulkan isu liwat itu, Badrul tidak memberi jawapan secara langsung dan berkata “saya tidak boleh berkompromi dengan pemimpin yang mempunyai cerita begini”.

Badrul hari ini mengumumkan bahawa beliau keluar PKR dan menjadi ADUN bebas yang ‘mesra’ BN.

Dakwa dianak tiri

Beliau membuat keputusan itu beberapa jam selepas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan kepada PKR supaya meminta Badrul meletak jawatan kerana didakwa gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Dalam kenyataan yang dibacanya, Hisham juga mendakwa beliau telah dianaktirikan oleh kerajaan Selangor yang diterajui PKR yang didakwanya telah menahan peruntukan kepadanya sejak bulan Mac.

Beliau mendakwa, kerajaan negeri enggan menyelaraskan dengan beliau pemberian peruntukan tetapi sebaliknya, bertindak membuka pusat perkhidmatan yang berasingan di Pandamaran Indah untuk berurusan dengan pengundi di situ.

Tindakan itu, katanya, seolah-olah menganaktirikan dirinya berbanding dengan ADUN yang lain.

Badrul juga menyifatkan tindakan itu sebagai satu percubaan untuk meminggirkannya sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Bila ditanya teorinya mengapa beliau ‘dianaktirikan’, Badrul menjawab: “Tanyalah menteri besar”.

Awal tahun ini, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa setiausaha politiknya, Nik Nazmi Nik Ahmad telah mengambil alih tugas Badrul yang didakwanya gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Nik Nazmi juga merupakan ADUN Seri Setia.

Dakwa peruntukan ditahan

Ditanya mengenai dakwaan beliau tidak menunjukkan prestasi yang baik, Badrul berkata, ia kerana peruntukan tidak disalurkan kepadanya tetapi diambil alih oleh setiausaha menteri besar, di samping wujudnya dua pusat perkhidmatan di kawasan.

Oleh itu, katanya, bagaimanakah beliau hendak memberi perkhidmatan kepada rakyat, sementelah pula beliau juga bukan exco kerajaan negeri.

“Saya masih keluar jumpa rakyat. Saya orang yang tak suka diraikan, berkompang kompang, bunga mangga. Saya tak suka. Saya keluar dengan pemandu saya untuk tengok keadaan di kawasan saya,” katanya.

Sejak kerajaan Pakatan Rakyat di Perak digulingkan Februari lalu, khabar angin bertiup kencang bahawa Badrul akan keluar parti untuk menyertai Umno.

Khabar angin itu bertambah kencang apabila beliau tidak menghadiri sidang DUN dan jarang dilihat di khalayak ramai.

Bagaimanapun, Badrul ketika itu mengeluarkan kenyataan menegaskan komitmennya bersama PKR.

Kesetiaan pada parti

Bagaimanapun, khabar angin itu timbul semula awal bulan ini, ekoran kehadiran Badrul di rumah terbuka Hari Raya Ketua Umno Klang Datuk Mazlynoor Abd Latif dan sekaligus menimbulkan persoalan mengenai kesetiaannya terhadap parti.

Dalam sidang akhbar tersebut, Badrul duduk di sebelah bekas setiausaha PKR Selangor, Nizam Rosli, yang dilihat berbisik kepada Badrul sebelum ADUN Pelabuhan Klang itu menjawab hampir setiap soalan dari wartawan.

 

Nizam dikenali sebagai rakan karib bekas ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor, yang meninggal parti itu dan menyertai Umno selepas tidak sehaluan lagi dengan Anwar.

Bercakap kepada Malaysiakini kemudiannya, Nizam berkata Badrul meminta bantuannya untuk menyelaraskan sidang akhbar tersebut. Beberapa orang penyokong Ezam juga kelihatan di sidang akhbar tersebut.

 

sumber : Malaysiakini

Pemansuhan PPSMI mungkin 2011- Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk murid tahun satu mungkin dipercepatkan setahun iaitu mulai 2011.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, keputusan itu bergantung kepada persediaan melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan PPSMI yang dijadual bermula 2012.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah menyegerakan pemansuhan PPSMI itu hanya dapat dilaksanakan jika keperluan pengajaran dan pembelajaran bagi pelaksanaan MBMMBI siap sebelum akhir 2010.

“Kementerian sedang meneliti kemungkinan melaksanakannya (MBMMBI) mulai 2011 bagi murid tahun satu.

“Namun ia bergantung sama ada bilangan guru mencukupi, kesediaan kurikulum baru dan buku teks untuk mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dapat disiapkan sebelum akhir 2010,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd. Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) mengenai rasional kerajaan menunggu sehingga 2012 untuk memansuhkan PPSMI pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan pemansuhan PPSMI bagi murid tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat pula kekal pada 2012 bagi membolehkan kementerian membuat persiapan rapi sebelum memulakan MBMMBI.

Menjawab soalan tambahan Mohd. Nor, Muhyiddin menegaskan, keputusan memansuhkan PPSMI adalah muktamad dan kerajaan tidak akan kembali meneruskan dasar berkenaan.

Beliau berkata, komitmen kerajaan yang bersetuju supaya PPSMI dimansuhkan tidak perlu diragui semua pihak walaupun ia hanya akan berkuat kuasa mulai tahun 2012.

“Ini adalah keputusan yang muktamad. Jadi apa pun keadaan kita telah menyatakan kesediaan untuk tidak kembali kepada dasar lama iaitu meneruskan PPSMI.

“Segala persiapan telah mula dilakukan mulai sekarang dan saya beri jaminan walaupun PPSMI hanya akan dimansuhkan mulai 2012, insya-Allah ia akan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Muhyiddin berkata, tempoh tersebut ditetapkan kerana kerajaan memerlukan masa untuk membuat semua persiapan sebelum MBMMBI dilaksanakan.

Jelasnya, persiapan itu penting kerana kerajaan telah belajar daripada pengalaman lalu apabila tempoh terlalu singkat iaitu hanya enam bulan sebelum melaksanakan PPSMI menyebabkan pelbagai masalah timbul.

“Dasar baru ini memerlukan kita menyediakan 13,000 guru termasuk sekurang-kurangnya 1,000 guru Bahasa Inggeris baru yang mahir,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan Azmin Ali (PKR-Gombak) mengenai pengaruh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam keputusan kerajaan, Muhyiddin menjelaskan, bekas Perdana Menteri itu memahami keputusan yang dibuat oleh kepimpinan sekarang.

Jelasnya, walaupun Dr. Mahathir tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI tetapi penentangan bekas Perdana Menteri itu tidak terlalu keras.

http://www.utusan.com.my

Pindaan bersejarah jadikan UMNO lebih demokratik

KUALA LUMPUR 14 Okt. – UMNO bakal melakar sejarah baru esok apabila lebih 2,500 perwakilannya dijangka meluluskan pindaan pada tujuh fasal perlembagaan parti itu termasuk menyerahkan pemilihan pucuk pimpinan kepada kelompok ahli yang lebih besar.

Dalam sejarah penubuhannya 60 tahun lalu, ini kali pertama pindaan dilakukan oleh UMNO bagi menjadikan ia lebih demokratik dengan pemilihan pemimpin tidak terletak di tangan sekumpulan perwakilan seperti sekarang.

Matlamatnya ialah untuk memastikan pemimpin benar-benar datang daripada akar umbi di samping mengelakkan penyelewengan terutama politik wang.

Naib Presidennya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pindaan itu hanya membabitkan tujuh fasal dan 41 klausa.

Namun katanya, ia merupakan sesuatu yang bersejarah dan bakal memberi kesan besar kepada parti.

Sebab itu katanya, penerimaan secara sebulat suara oleh lebih 2,500 perwakilan amat diharapkan.

“Pindaan ini adalah sebahagian daripada proses transformasi parti, bagi membolehkan UMNO lebih demokratik, telus dan inklusif,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama 13 wakil Badan Perhubungan UMNO Negeri di sini hari ini.

Pindaan yang bakal dibentang Hishammuddin memberi tumpuan kepada Fasal 9.3 membabitkan pemilihan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Presiden, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dan 25 Ahli Majlis Tertinggi (MT).

Melalui pindaan itu, semua jawatan tersebut yang sekarang ini dipilih oleh para perwakilan pada perhimpunan agung akan dipilih melalui persidangan bahagian setiap tiga tahun oleh 146,500 ahli.

Melalui usul pindaan itu, semua ketua sayap parti peringkat cawangan dicadangkan menjadi perwakilan secara automatik.

Transformasi itu juga akan menyentuh pindaan berhubung kelayakan calon, komposisi dan tanggungjawab MT.

Selain itu ia juga menyentuh hal-hal seperti yuran, pendaftaran keahlian dan komposisi perhimpunan agung tahunan.

Bagi cadangan pindaan berhubung kelayakan calon MT melibatkan Fasal 9.5 yang menghapuskan terus sistem kuota dan digantikan dengan sistem pendaftaran ahli-ahli yang ingin bertanding.

Cadangan pindaan itu menyebut calon-calon yang ingin bertanding mana-mana jawatan MT cuma perlu mendaftar diri dan pernah memegang jawatan ahli jawatankuasa bahagian selama satu penggal.

Komposisi MT pula berkaitan dengan Fasal 9.2.8 yang antara lain memberi hak automatik sebagai perwakilan ke mesyuarat perwakilan bahagian.

Ia juga menyentuh mengenai cadangan tambahan seorang wakil Wanita untuk jawatan ahli jawatankuasa (AJK) lantikan di peringkat MT, bahagian dan cawangan menjadikan jumlah AJK lantikan Wanita seramai dua orang.

Berhubung tanggungjawab MT yang melibatkan pindaan Fasal 10, ia akan memberi kuasa kepada MT untuk menetapkan satu tarikh serentak untuk diadakan mesyuarat perwakilan bahagian-bahagian.

Dengan itu kesemua 191 bahagian akan berlangsung serentak.

Pindaan Fasal 25.1 pula mengetengahkan cadangan penghapusan yuran tahunan dan digantikan dengan yuran seumur hidup sebanyak RM2 bagi mengelak sebarang pertikaian.

Dua lagi fasal yang terlibat dalam pindaan adalah Fasal 5.2 menyentuh tentang pendaftaran keahlian dan Fasal 8.4.4 berhubung komposisi perhimpunan agung tahunan.

Cadangan antara lain berkenaan langkah menambah baik borang keahlian UMNO bagi memudahkan proses menjadi ahli UMNO.

Komposisi perhimpunan pula berkaitan cadangan menerima kesemua 191 setiausaha bahagian sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO secara automatik.

Sumber : http://www.utusan.com.my

Tarikh mengundi 11 Oktober – Utusan Malaysia

Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 14 Sept. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 3 Oktober ini manakala 11 Oktober pula tarikh pengundian jika ada pertandingan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, berikutan itu pihaknya akan menggunakan daftar pemilih yang telah dikemaskinikan sehingga 4 September lalu yang mengandungi 13,664 pemilih berdaftar iaitu 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos.

”Tarikh mengundi bagi undi pos belum ditetapkan lagi tetapi seperti sebelum ini, ia akan dilaksanakan dua atau tiga hari sebelum tarikh pengundian sebenar.

”Kami akan memaklumkan tarikh mengundi bagi undi pos kepada parti-parti politik yang terlibat sekurang-kurangnya 24 jam sebelum ia dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung kedudukan kerusi DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan di sini hari ini.

Kerusi itu kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor pada 4 September lalu akibat jangkitan dalam darah.

Pada pilihan raya umum tahun lalu, Azman, 54, yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan undi 6,430 menewaskan calon Pas, Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi.

Abdul Aziz memberitahu, SPR akan menggunakan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi.

Menurutnya, bagi urusan pengundian pos pula, proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Port Dickson.

”Pusat mengundi pula adalah sebanyak lapan buah melibatkan lapan sekolah dan 18 saluran mengundi,” katanya.

Katanya, SPR melantik Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Abdul Wahab Shamsuddin sebagai pegawai pengurus pilihan raya kecil itu.

”SPR turut menubuhkan tiga Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya yang bertanggungjawab memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen,” katanya.

Abdul Aziz mengingatkan parti politik yang bertanding supaya mematuhi subseksyen 26 (1), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkenaan larangan berkempen pada hari mengundi.

”Sesiapa yang didapati melanggar subseksyen itu boleh disabitkan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau keduanya sekali,” katanya.

http://www.utusan.com.my

Pakatan pecah: Mustafa persoal Kit Siang

KUALA LUMPUR 9 Sept. – Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang sepatutnya berusaha memperkukuhkan pakatan pembangkang dan bukannya menjangkakan kerjasama mereka akan berpecah.

Beliau berkata, walaupun tidak dinafikan bentuk pakatan yang wujud ketika ini longgar dalam konteks ia tidak didaftarkan, namun terlalu awal melontarkan kenyataan seperti itu di saat pakatan pembangkang sedang melakukan proses penyatuan dan pengukuhan.

“Tak apalah, saya boleh berbeza dengan Kit Siang tentang perkara ini kerana saya rasa yang perlu kita buat ialah perkukuhkan bukan menjangka ia akan berpecah. Kita hadapi dulu, apa yang akan berlaku kemudian itu soal lain.

“Walaupun saya akui bahawa memang pakatan rakyat ini satu pakatan longgar dalam konteks kita belum daftarkan parti ini tetapi dalam beberapa kali pilihan raya lepas kita sudah bersama.

“Ini termasuk dalam siri pilihan raya kecil dan insya-Allah kita akan terus bersama untuk Pilihan Raya Umum Ke-13,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Penerangan, Idris Ahmad di ibu pejabat Pas di sini hari ini.

Mustafa mengulas mengenai kenyataan pemimpin veteran Kit Siang yang bimbang dengan masa depan pakatan pembangkang berikutan beberapa perkembangan yang berlaku khususnya di negeri-negeri yang diperintah pembangkang.

Kit Siang menyatakan demikian dalam wawancara beliau dengan sebuah media tempatan baru-baru ini.

http://www.utusan.com.my

Kerajaan Pakatan rakyat mula dipersoalkan rakyat – Najib

PEKAN: Kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang kini dilihat mula dipersoalkan satu persatu oleh rakyat yang ternyata semakin sangsi dengan kewibawaan mereka mentadbir, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata jika sebelum ini pembangkang dilihat amat mudah mempertikaikan kerajaan Barisan Nasional (BN), kini mereka perlu sedar bahawa bukanlah mudah mentadbir seperti mana mudahnya mereka berjanji sesuatu kepada rakyat setiap kali menjelang pilihan raya umum.

“Sebenarnya bila mereka jadi pembangkang, amat mudah bagi mereka untuk mempertikaikan kerajaan Barisan Nasional, kononnya kita tidak berwibawa dan sebagainya.

“Hakikatnya bila kita (mereka) mentadbir, tidak semudahnya seperti mana sewaktu mereka lakarkan sewaktu mereka jadi pembangkang.

“Beberapa kes yang berlaku ini (ketika ini) adalah disebabkan janji mereka buat sebelum pilihan raya dan juga kegagalan mereka untuk membuat keputusan yang tepat dalam keadaan setempat dan ambil kira masyarakat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Majlis Dialog Bersama Penduduk Seksyen 23 berhubung cadangan pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke kawasan perumahan mereka yang berlangsung dalam suasana kecoh semalam.

Pada majlis itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut diejek dan dilemparkan kata kesat oleh lebih 200 penduduk Seksyen 23 yang menyertai sesi dialog berkenaan.

Najib berkata apa yang berlaku itu jelas memperlihatkan kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang menghadapi pelbagai masalah dan mereka gagal menangani sesuatu isu yang berlaku.

“Kewibawaan kerajaan pembangkang di negeri yang mereka kuasai sudah dipersoalkan rakyat sendiri.

“Bila mereka ada kuasa, mereka menghadapi begitu banyak masalah, sama ada masalah itu disebabkan mereka gagal menunaikan janji (pilihan raya umum lepas), (atau), masalah keputusan mereka tidak memenuhi jangkaan rakyat, atau masalah itu berbangkit kerana ketidaktepatan dan kecuaian membuat keputusan dalam sesuatu situasi,” kata Najib.

Ditanya sama ada kerajaan Pusat akan campurtangan atau membantu kerajaan negeri Selangor untuk menyelesaikan isu berkenaan, Najib berkata kerajaan pusat tidak dapat membantu kerana soal tapak baru kuil terbabit adalah bidang kuasa sepenuhnya kerajaan negeri.

Ditanya mengenai calon BN untuk pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Najib berkata perkara itu masih terlalu awal.

Beliau sekali lagi turut ditanya mengenai bonus kepada penjawat awam: “(Itu kena) tanya KSN (Ketua Setiausaha Negara),” katanya sambil ketawa.

Terdahulu, beliau melakukan ziarah ke beberapa buah rumah warga uzur dan tua di kampung Padang Jaya, Jaya Gading, Kampung Sri Damai, Kampung Bentan dan Kampung Pulau Serai, serta meninjau mangsa ribut di kampung Panchor, Pekan.

Mengulas mengenai lawatan ziarahnya itu, Najib berkata kaedah berkenaan merupakan amalannya sejak sekian lama sebagai anggota parlimen Pekan.

“Saya dapati cara ini sangat berkesan kerana saya dapat melihat keadaan itu sendiri, dan menemui penghuni rumah berkenaan yang memerlukan bantuan kerajaan mahupun Yayasan Taha,” katanya. BERNAMA

Sumber : Mstar Online

Older entries »