BERITA MALAYSIA KINI

Pilihan Terbaik Setiap Detik

‘Saya tidak menaruh perasaan dendam’ – utusan malaysia

PUTRAJAYA 28 Mac – Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata, beliau tidak menaruh perasaan dendam kepada mereka yang mempertikaikan pelantikannya yang dibuat oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR).

Sebaliknya apa yang diharapkan beliau pada saat ini ialah agar semua pihak khususnya 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh melupakan segala kisah pahit yang berlaku.

‘‘Saya lega kerana segalanya (kemelut pelantikan saya) telah berakhir.

“Saya yakin tidak akan ada sebarang proses undi tidak percaya terhadap saya pada mesyuarat DUN nanti, marilah kita bertaut kembali,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Ahmad, 51, beliau berada di Kuala Lumpur pagi ini bagi menyelesaikan beberapa urusan penting.

“Kemudian saya akan melawat ibu saya yang terlantar sejak 10 hari lalu di Kuantan Medical Centre (KMC) kerana sakit tua.

“Hanya selepas itu, barulah saya bersedia bercakap mengenai perancangan sebagai Menteri Besar,” katanya.

Semalam, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima keputusan MPPR Terengganu melantik Ahmad memegang jawatan Menteri Besar.

Menurut Abdullah, keputusan itu dibuat berasaskan usaha untuk mencari penyelesaian secepat mungkin dan kesediaan Idris menerima sesiapa sahaja yang dilantik oleh MPPR.

Isu pelantikan Menteri Besar Terengganu tercetus apabila Ahmad menerima watikah perisytiharan pelantikan daripada MPPR dalam satu upacara tertutup di Istana Tetamu di Kuala Terengganu pada 23 Mac lalu.

Pelantikan beliau itu mengetepikan Idris selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, yang sebelum ini mendapat watikah pelantikan daripada Perdana Menteri untuk menjadi Menteri Besar bagi penggal kedua.

Pelantikan Ahmad itu mendapat pelbagai reaksi termasuk bantahan daripada 22 wakil rakyat BN Terengganu.

Tiada komen lagi »

Komen anda

HTML-Tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <pre> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>