BERITA MALAYSIA KINI

Pilihan Terbaik Setiap Detik

Arkib bagi April 4, 2008

Hadi Nafi Nik Aziz Letak Jawatan

Petikan :www.alhaqdaily.com artikel bertarikh 24 Nov

 

KUALA TERENGGANU, 24 Nov (Bernama) — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang Rabu menafikan laporan sebuah akhbar bahawa Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyerahkan surat peletakan jawatan bagi semua jawatannya dalam parti.

Menurutnya berita itu adalah satu cerita bohong yang sengaja disiarkan.

“Saya baru jumpa Tuan Guru (Nik Aziz) sebelum dia pergi umrah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Akhbar itu turut melaporkan Nik Aziz, yang merupakan Mursyidul Am PAS dan Pesuruhjaya PAS Kelantan, sememangnya berhasrat untuk meletak jawatan disebabkan faktor kesihatan, selepas diserang sakit jantung baru-baru ini.

Hadi berkata bahawa berita itu dibuat “hasil arahan kepada media”.

– BERNAMA

Ku Li disaran tidak cabar Pak Lah – Malaysiakini

Muda Mohd Noor | Mar 20, 08 4:08pm
Umno akan sekali lagi dilanda ‘tsunami politik’ seperti yang berlaku pada 1987 jika jawatan presiden dipertandingkan dalam pemilihan Umno kali ini, kata seorang pemimpin kanan Umno Perlis.

umno perlis pc 120308 hashim subohKetua penerangan Umno negeri, Datuk Hashim Suboh menegaskan demikian ketika diminta mengulas hasrat bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pemilihan Umno yang dijangka diadakan Ogos ini.

Pada 1987, Tengku Razaleigh yang popular dengan panggilan Ku Li, mencabar presiden Umno ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi kalah dengan majoriti kecil.

Akibatnya berlaku perpecahan dalam Umno sehingga parti diheret ke mahkamah yang kemudiannya mengisytiharkan parti orang Melayu itu sebagai haram.

Berikutan itu, Dr Mahathir menubuhkan Umno (baru) manakala Ku Li menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (S46).

Bagaimanapun, S46 dibubarkan dan Ku Li serta pengikutnya kembali ke pangkuan Umno selepas pilihanraya umum 1995.

Hashim bimbang jika Ku Li sekali lagi mencabar jawatan presiden dalam perhimpunan akan datang, Umno akan menjadi punah-ranah, malah lebih teruk dari tragedi 1987.

“Kita kena ingat setiap pemimpin ada penyokongnya. Apa akan berlaku jika penyokong Abdullah dan Ku Li bertembung dalam pemilihan kali ini?” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sedia dicalonkan

tengku razaleigh 02Semalam, Ku Li menyuarakan secara terbuka hasratnya untuk menentang Abdullah untuk jawatan presiden jika pencalonannya cukup untuk melayakkannya bersaing merebut jawatan tertinggi Umno itu.

“Terpulang kepada bahagian-bahagian Umno, kalau mereka mencalonkan saya dan cukup 30 peratus maka saya sedia untuk bertanding jawatan presiden,” katanya dalam satu sidang akhbar di Kota Bharu.

Menurut Ku Li, beliau bersedia memikul tanggungjawab untuk memulihkan Umno yang kalah teruk dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu di mana Barisan Nasional (BN) gagal mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan kehilangan empat lagi negeri – Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor – kepada barisan pembangkang.

Manakala PAS pula berjaya mengekalkan Kelantan dengan pertambahan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Lagi pula, tegas Hashim lagi, parti pembangkang yang pernah kalah teruk dalam pilihanraya umum tidak pernah menukar presiden parti.

“Kita (Umno) kena buat secara berhemah dan dalam keadaan sekarang tidak boleh bertindak untuk melemahkan lagi parti,” katanya lagi.

Manakala timbalan menteri jabatan perdana menteri, Datuk Hassan Malek juga sependapat dengan Hashim bahawa Umno akan berpecah jika Ku Li mencabar Abdullah untuk jawatan presiden parti seperti yang berlaku pada 1987.

Bagaimanapun, katanya, adalah hak Ku Li untuk bertanding jawatan presiden Umno dan pihak-pihak lain tidak boleh menghalangnya.

“Tetapi bagi saya, dalam keadaan Umno sekarang, sangat wajar jawatan presiden parti tidak dipertandingkan,” kata Hassan yang juga timbalan ketua Umno bahagian Kuala Pilah.

Umno dalam darurat – Tengku Razaleigh

- Harakah Daily

M Khaleel Kas
Fri | Apr 04, 08 | 12:53:58 pm MYT
KUALA LUMPUR, 4 April (Hrkh) - Umno kini dalam darurat dan telah memusnahkan demokrasinya sendiri apabila perlembagaannya dipinda dengan memasukkan peraturan baru yang menetapkan syarat bahawa anggota parti yang hendak bertanding jawatan Presiden hendaklah mendapatkan pencalonan sebanyak 30 peratus daripada bahagian Umno.Menurut bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah parti itu kini dalam keadaan “darurat” sokongan dan keyakinan rakyat terhadapnya terjejas.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu berkata, tindakan segera perlu diambil sebelum kerosakan yang berlaku di dalam parti merebak sehingga menjejaskan asas tamadun dan perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) yang telah dibina sejak 1946.

“Kita perlu mengadakan sidang muhasabah dengan segera, melibatkan perwakilan Umno yang selama ini menjadi nadi dan tenaga raksasa dalam kelangsungan hidup Umno selama 60 tahun,” katanya dipetik oleh Bernama ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Khas Umno Bahagian Gua Musang di Bukit Cekati di sini, hari ini yang dihadiri 2,000 pemimpin, ahli Umno dan pemerhati politik.

Seramai anggota 423 perwakilan daripada 191 cawangan Umno bahagian itu hadir pada mesyuarat itu bagi meluluskan usul untuk mendesak Majlis Tertinggi Umno supaya mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membincangkan punca prestasi teruk Umno pada pilihan raya umum lalu.

Tengku Razaleigh berkata muhasabah itu bertujuan membincangkan kelemahan dan kesalahan Umno selama ini dan memikirkan visi baru Umno untuk menghadapi masa depan yang lebih mencabar.

“Rakyat hari ini tidak sabar lagi dengan rakyat 40 atau 30 tahun yang lepas (dan) harapan mereka tidak sama lagi dengan harapan ibu bapa atau nenek mereka.

“Umno perlu terus relevan dengan cita- cita, harapan dan tuntutan mereka,” katanya.

Beliau menggariskan beberapa perkara yang menjadi punca kelemahan Umno mulai tahun 1980an sehingga pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Antara kelemahan itu adalah musnahnya demokrasi dalam Umno apabila perlembagaannya dipinda dengan memasukkan peraturan baru yang menetapkan syarat bahawa anggota parti yang hendak bertanding jawatan presiden hendaklah mendapatkan pencalonan sebanyak 30 peratus daripada bahagian Umno, kata Tengku Razaleigh.

Beliau berkata langkah itu bermaksud calon yang ingin bertanding untuk jawatan presiden memerlukan pencalonan daripada 58 bahagian Umno.

“Tujuan kononnya untuk mengelak supaya tidak sebarang anggota parti sesuka hati mengemukakan dirinya sebagai calon presiden atau jawatan lain. Saya tidak fikir anggota Umno yang tahu diri dan berbudaya sesuka hati saja mencabar presiden Umno,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata bahawa sebelum kuota itu diperkenalkan, Umno pernah mengadakan peraturan iaitu calon perlulah mendapat pencalonan daripada dua bahagian sahaja dan peraturan itu disifatkan sebagai munasabah.

“Untuk menyelamatkan Umno dan menjadikan parti itu terus relevan, cekap, kuat dan maju sepanjang zaman, demokrasi hendaklah dikembalikan di dalam Umno,” katanya. – mks.

Awasi puak desperado main kotor hantar SMS fitnah Harakah

Harakahdaily
Fri | Apr 04, 08 | 4:22:56 pm MYT
KUALA LUMPUR, 4 April (Hrkh) - Kalangan peminat dan pembaca Harakah dinasihatkan supaya berhati-hati dengan fitnah yang dilakukan oleh puak desperado dengan menghantar SMS fitnah kononnya, dari Harakah.Pihak Jabatan Pengarang Harakah menerima aduan dari orang ramai. wujudnya sebaran-sebaran yang dikatakan dari media rasmi PAS Harakah dan Harakahdaily.

Antara SMS fitnah tersebut dinyatakan “Kit Siang akan menentang Sultan kerana wakil DAP tidak dipilih menjadi Speaker Dun Selangor. Di manakah letaknya kedaulatan Melayu??? Apa kata PAS dan PKR – Harakah”.

Setakat ini ramai pengadu yang memaklumkan mereka tidak terpedaya dengan SMS-SMS fitnah, bagaimana pun meminta Harakahdaily membuat penafian segera jika SMS berbentuk sedemikian disebarkan lagi.

Pihak Jabatan Pengarang Harakah meminta orang ramai tampil membuat aduan dan merekodkan nombor telefon yang menghantar SMS fitnah, untuk pihak Harakah mengambil tindakan susulan. – mr

Jangan Biar Umno Musnah, Kata Ahmad Shabery

– BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) — Tragedi Umno diharamkan pada 1988 semasa kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak harus dibiar berulang, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau turut menyarankan supaya Dr Mahathir berhati-hati ketika membuat sebarang kenyataan secara terbuka memandangkan parti itu dibatalkan pendaftaran dahulu kerana pelbagai kenyataan dikeluarkan secara terbuka.

“Saya rasa elok juga Tun (Dr Mahathir) lebih berhati-hati dalam kenyataan kerana kita tidak mahu kalau dulu di bawah kepimpinannya Umno mati, Umno musnah, dibatalkan pendaftaran dan mati dalam bentuk yang lain selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Penerangan di Angkasapuri di sini hari ini.

“Saya bimbang Umno semakin lemas dan kelemasan itu bermula pada zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir yang mana Umno diharamkan,” kata beliau.

Bercakap sebagai mengulas kritikan Dr Mahathir bahawa anggota Majlis Tertinggi pada masa ini tidak berani bersuara untuk menyampaikan mesej kepada pucuk pimpinan, Ahmad Shabery berkata bahawa pada masa kepimpinan bekas perdana menteri itu, banyak peraturan dibuat termasuk resolusi perhimpunan yang mana tidak ada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden dan beberapa peraturan lain yang menyusahkan.

“Tidak ada pertandingan selepas 1987. Tetapi sekarang beliau kata ia tidak demokratik. Semua perkara ini orang Melayu tak lupa tetapi mungkin Dr M yang lupa. Saya sedih terpaksa bercakap hal ini tetapi ingatlah keterbukaan pada zaman Pak Lah jangan pula diambil kesempatan,” katanya.

Beliau berkata pada suatu ketika anggota Majlis Tertinggi tidak boleh dicabar di peringkat bahagian masing-masing dan anggota Majlis Tertinggi juga tidak boleh bertanding.

Ketua Bahagian di Kelantan pula tidak boleh ditentang yang pada ketika itu Dr Mahathir menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, katanya.

Ahmad Shabery berkata bekas presiden Umno itu juga pernah mengingatkan perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno 1997 bahawa kritikan perlu dibuat mengikut saluran parti iaitu melalui cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi tetapi bukan di luar parti.

“Itu kerana katanya kalau semua orang bercakap di luar mengkritik dan menghentam sesama sendiri, Umno boleh hancur dan saya bimbang kalau ini berlaku mungkin beliaulah orang yang boleh dianggap boleh menghancurkan Umno,” katanya.

Mengenai cadangan untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa Umno yang mana agendanya untuk membincangkan prestasi Umno pada pilihan raya umum lepas, beliau berkata Tun Dr Mahathir tidak boleh membuat kesimpulan bahawa peringkat akar umbi Umno sudah marah.

“Cawangan mana yang nak buat kita tengoklah. Sebenarnya dalam pilihan raya baru-baru ini akar umbi tidak ada masalah. Orang kampung yang terbabit dalam pertanian cukup gembira kerana harga jualan seperti getah dan kelapa sawit naik cuma orang yang tinggal di bandar mengundi melawan kita,” katanya.

Beliau berkata pada pilihan raya umum 1999 kemarahan sebenar (the real anger) peringkat akar umbi disuarakan kepada pucuk pimpinan iaitu Dr Mahathir tetapi beliau tidak pun mengambil langkah meletak jawatan.

Katanya, pengundi Melayu lebih banyak menolak Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 1999 jika dibandingkan dengan pilihan raya 8 Mac lepas dan kekalahan beberapa negeri yang jatuh kepada pakatan parti pembangkang disebabkan antaranya termasuk undi dari kaum Cina dan India yang tidak memihak kepada BN kerana beberapa sebab.

Ahmad Shabery berkata dalam kebebasan bersuara, beliau juga terkilan dengan apa yang dinyatakan oleh Dr Mahathir itu sedangkan pada masa kepimpinannya (Dr Mahathir) ramai pemimpin Umno sendiri ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dilihat mengancam keselamatan negara tetapi mengancam kepimpinan beliau.

“Saya rasa perlu diingatkan dalam sejarah semasa pimpinan Tun (Dr Mahathir) lah ramai pemimpin Umno ditangkap di bawah ISA. Saya perlu sebutkan, seperti Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa menjadi Ketua Pemuda Umno, ramai ketua bahagian, Datuk Kamaruddin Mohd Noor, Datuk Kamaruddin Jaafar, Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Bahagian Umno Bandar Tun Razak, ” katanya.

Kerajaan digesa bertindak terhadap artis, pengusaha filem keterlaluan

Harakah Daily

Salmiyah Harun
Fri | Apr 04, 08 | 11:07:23 am MYT
KUALA LUMPUR, 4 April (Hrkh) - Promosi budaya Barat yang wujud dalam budaya popular di negara ini oleh media telah mengundang generasi muda negara ini untuk melakukan perkara yang sama.Ini terbukti apabila penyanyi popular, Anuar Zain sudi membenarkan peminat-peminat wanitanya berkelakuan tidak senonoh (mencium dan memeluknya) ketika majlis ‘A Nite With Anuar Zain’ sehingga menggambarkan sikap yang tidak patut ada pada diri seorang artis yang merupakan ‘public figure’.

Amat menyedihkan, apabila artis beragama Islam di negara ini sendiri sanggup mengenepikan hukum agama dan budaya bangsa hanya semata-mata atas tiket ‘keseronokan’.

Perkara ini turut mendapat perhatian Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang menyifatkan perbuatan itu tidak menitikberatkan soal nilai dan akhlak seolah-olah ia tidak lagi menjadi keutamaan.

Setiausaha Agung PKPIM Abdul Muntaqim Zulkipli berkata, fenomena ini perlu dipandang serius kerana dikhuatiri negara akan mengalami kerugian sumber manusia dan seterusnya mengganggu-gugat kestabilan dalam negara.

Tegasnya dalam satu kenyataan, pihak berkuasa, seperti Kementerian Penerangan harus mengambil tindakan tegas terhadap tindakan yang dibuat oleh penyanyi tersebut.

“Jika sebelum ini perbuatan Faizal Tahir di atas pentas dianggap sebagai tidak sesuai dan mendapat denda yang sewajarnya, maka hasrat Anuar Zain untuk melakukan sesuatu yang lebih melampau itu pun harus diambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Tambahnya, apabila generasi muda di negara ini banyak dihidangkan dengan rancangan dan aktiviti hiburan, sehingga mengakibatkan generasi muda hilang idealisme perjuangan dan hilang kepedulian sosialnya.

Apa yang membingungkan dan merisaukan lagi katanya, kelahiran satu lagi filem yang berpotensi untuk merosakkan pegangan agama generasi muda iaitu Filem ‘Akhirat’ terbitan Sri Saheb Production Sdn. Bhd. merupakan satu lagi filem yang menuruti filem-filem ‘tanpa nilai’ yang sebelumnya seperti Sepet, Gubra dan Anak Halal.

Katanya, penerbitan filem ‘Akhirat’ ternyata bercanggah dengan asas nilai dan budaya setempat, khususnya nilai-nilai Islam.

“Malah, apabila produsernya S. Baldev Singh menyatakan bahawa filem ‘Akhirat’ ditayangkan bersempena dengan Maulidur Rasul, hal itu jelas merupakan satu penghinaan kepada agama Islam,”katanya.

Bidas beliau, jika pihak kerajaan sebelum ini mengambil pendirian tegas terhadap klip video ‘Fitna’ yang menghina Islam, maka pihak berkuasa harus juga mengambil pendirian yang tegas terhadap filem ‘Akhirat’ yang turut menghina agama Islam.

“Filem tersebut perlu diharamkan dan pihak kerajaan perlu memastikan filem-filem seperti ini tidak akan dihasilkan lagi. Pihak media, para penghibur dan pihak berwajib haruslah lebih bertanggungjawab khususnya dalam mencorak budaya popular dan menghadirkan hiburan kepada masyarakat,” katanya.

Katanya, soal pemerkasaan budaya perlu diberikan perhatian yang serius agar kita tidak membawa budaya-budaya barat yang tidak sihat dan bercanggah dengan nilai-nilai agama dan bangsa setempat.

Justeru, penguatkuasaan yang lebih serius adalah perlu, jika pada awal tahun 90-an dahulu artis-artis tidak dibenarkan untuk berambut panjang sekalipun, maka kini sikap artis dan penghibur yang tidak bermoral juga perlu diberikan perhatian yang serius. – mks.

Hishammuddin sudah berundur, beranikah Khairy menawar diri?

sumber : Harakah Daily Mohd Rashidi Hassan
Fri | Apr 04, 08 | 12:43:09 am MYT
Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menarik diri dari mengekalkan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang disandang beliau selama 10 tahun sekaligus membuka laluan kepada orang baru untuk merebut jawatan pada pemilihan Umno yang dijadualkan Disember depan. <!– –><!– –>Setakat ini kedudukan Hishammuddin tidak pernah digugat. Beliau tidak pernah didesak meletakkan jawatan.

Hishammuddin tidak pernah dipersalahkan akibat kegagalan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum lepas.

Namun, apabila Hishammuddin, yang bukan sahaja dilihat sebagai sepupu Timbalan Perdana Menteri, namun beliau adalah ‘orang paling kanan’ dalam hiraki kumpulan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, mengumumkan tidak bertanding ia menimbulkan seribu persoalan.

Atas tujuan apa beliau mengundur diri, hanya dia sahaja yang mengetahui. Tetapi tidak mustahil pendirian ini diambil kerana beliau menyedari kekuatan ‘musuhnya’ sudah tumpul.

Pada waktu ini, dua orang menawarkan diri untuk bertanding iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo dan anak bekas Perdana Menteri, Dato’ Mukhriz Mahathir. Kedua-duanya bukan musuh Hishammuddin. Malah mereka berdua, sudah menyatakan tidak akan bertanding jika Hishamuddin mengekalkan jawatan.

Maka untuk tujuan apa Hishammuddin memilih untuk mengundur diri? Apakah Hishammuddin mahu membuka perangkap? Perangkap untuk siapa?

Tidak mustahil, tindakan Hishammuddin ini boleh dilihat sebagai antara ‘gerakan politik’ kumpulan Najib untuk menyusun orang-orangnya sebagai persediaan menguasai parti menjelang pemilihan pucuk pimpinan tertinggi Disember nanti.

Hala tuju Khairy sedang dinanti

Cumanya, orang-orang Umno sedang menunggu-nunggu orang yang disebut-sebut bertanding sebelum ini, menantu PM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menyepi seribu bahasa selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lepas, memberi tamparan hebat kepada bapa mertuanya, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beberapa bulan sebelum PRU, nama Khairy sentiasa dilambung dan dijulang media. Selaku Naib Ketua Pergerakan Pemuda, beliau dilihat sering diberikan tempat menyatakan pendirian bagi pihak Pemuda Umno dan ditonjolkan hingga menenggelamkan populariti Hishamuddin.

Malah, ketika Perhimpunan Agung Umno tahun lepas, Khairy dilihat begitu gagah ketika itu. Kemaraannya sudah tidak mampu disekat. Banyak sumber dalaman Umno mengatakan, orang-orang Khairy sudah disusun menguasai pemuda Umno Bahagian. Mereka hanya menanti masa yang sesuai untuk menabalkan Khairy.

Ketika itu Hishammuddin dikatakan ada menyuarakan hasrat, tidak berani mengekalkan Ketua Pemuda kerana takut kuota pencalonan tidak mencukupi.

Hishammuddin sudah terpinggir. Ketika itu beliau dikhabarkan bukan menimbang untuk bertanding jawatan Naib Presiden. Malah hanya sekadar ke jawatan Majlis Tertinggi sahaja.

Sebagai Naib Ketua, Khairy lah antara yang paling layak merebut jawatan Ketua Pemuda. Namun dalam keadaan sekarang beliau tidak mempunyai taring lagi, kekuatannya sudah tumpul.

Khir Toyo dan Muhriz adalah musuh utama Khairy dalam Pergerakan Pemuda Umno. Mukhriz disabotaj beberapa tahun lepas sehingga tidak layak bertanding jawatan Naib Ketua, kerana tidak cukup kouta pencalonan.

Orang-orang Umno memang mengetahui Khir Toyo adalah antara pemimpin yang tidak disukai Khairy. Semasa menjadi MB Selangor, Khir begitu marah dengan laporan TV3 yang dikatakan banyak mensabotaj dan cuba menjatuhkannya.

Malah ada sumber-sumber memberitahu, Khairy melalui orang kanannya iaitu Ketua Pemuda Umno Wangsa Maju, Dato’ Norza Zakaria, mengupah bekas pemimpin KeADILan untuk menghentam Khir Toyo.

Setakat ini, Khir dikhabarkan sedia untuk bergabung dengan Muhkriz dan memberi laluan kepada Mukhriz bertanding Ketua Pemuda.

Ini merupakan ancaman paling besar kepada Khairy.

PRU ke-12 menyekat kemaraan Khairy

Jika PRU baru-baru ini, Barisan Nasional berjaya mengulangi kejayaan yang ditempa pada PRU 2004, sudah pasti Khairy tidak boleh ditolak sebagai bakal Ketua Pemuda Umno.

Namun, apa yang berlaku ternyata berbeza. Rakyat bukan sekadar menghukum BN dan komponennya seperti Umno, MCA, Gerakan dan MIC yang merudum dan hampir melingkup.

Yang utamanya rakyat menghukum Abdullah Badawi. Lebih tepat lagi sebagaimana dakwaan Dr Mahathir, antara punca utama kegagalan BN dalam PRU ke-12 lepas adalah kerana Khairy Jamaluddin.

Penegasan ini dibuat Mahathir pada sidang akhbarnya 9 Mac lepas. Penegasan bahawa Khairy punca kejatuhan BN diulangi di Petaling Jaya 1 April lepas.

Masalah besar kepada Khairy bukannya soal peluang untuk merebut jawatan Ketua Pemuda. Yang paling utama dan terdesak bagi beliau ialah, bagaimana hendak mempertahankan kedudukan bapa mertuanya sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Walaupun Najib, Naib Presiden dan beberapa orang pemimpin Umno menegaskan pendirian, berdiri teguh di belakang Abdullah, belum tentu dihati kecil mereka, Abdullah layak memimpin setelah kekalahan paling teruk dan memalukan menimpa Umno/BN.

Desakan supaya Abdullah berundur, terus bergema dalam Umno. Lagi banyak desakan, lagi memeningkan kepala Khairy.

Lagi banyak kenyataan terpaksa dibuat untuk mempertahankan kedudukan Abdullah yang semakin goyah, ia menunjukkan akar umbi Umno mahukan perubahan dan tidak mahu berketuakan pemimpin yang lemah.

Jika Abdullah terpaksa melepaskan jawatan, sudah tentu masa depan politik Khairy akan musnah.

Justeru, Khairy harus membuat pertimbangan yang bijak, apakah dalam keadaan Umno sekarang, beliau cukup kuat menghadapi gandingan Muhkriz-Khir Toyo?

Menghadapi gandingan Mukhriz-Khir Toyo bukan senang. Pengunduran Hishammuddin seolah-olahnya suatu jerangkap samar buatnya. Hendak menempuh mara pun susah, jika berundur, ditempelak pula nanti.

Khairy juga harus menimbang, cukupkah sekadar mempertahankan jawatan Naib Ketua? Atau mungkin ke mana sahaja beliau pergi, orang-orang Umno sudah menyediakan lawan untuknya.

Khairy memang sedar, musuh-musuhnya dalam parti cukup banyak. Jika beliau tersungkur atau kalah bertanding, karier politiknya akan musnah.

Tetapi sebagai anak jantan, Khairy juga barangkali belum tentu mahu mengalah. Beliau juga ada pengikut setianya sendiri. Banyak mana pengikutnya, masihkah setia seramai dulu, tidak pula diketahui.

Apa pun Khairy harus sedar, nilai kesetiaan dalam Umno tidak boleh dipercayai. Hakikat membuktikan, Umno merupakan satu-satunya parti yang tercemar angkara politik wang. Ramai yang digantung dan diambil tindakan kerana terbabit politik wang.

Nilai kesetiaan dalam Umno tidak berpaksi kepada ketokohan dan jasa seorang pemimpin. Nilai kesetiaan ditentukan oleh banyak mana helaian Ringgit Malaysia yang bertaburan, menjelang dan pada waktu pemilihan dibuat.

Dalam keadaan sekarang Khairy tidak ada pilihan. Beliau terpaksa menyatakan pendiriannya, jawatan mana yang hendak direbutnya dalam kadar segera.

Atau apakah Khairy sanggup digelar orang-orang Umno sebagai politikus bacul?

Pilih yang lebih baik – Dr. Mahathir

 Utusan Malaysia

HULU LANGAT 3 April – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu semua ahli UMNO membuat satu keputusan bijak pada pemilihan parti pada Disember ini, dengan memilih pemimpin yang lebih baik daripada barisan sedia ada.

Katanya, jika ia tidak dilakukan beliau percaya UMNO akan terus menjadi lemah dan akan menjadi parti yang tidak relevan khususnya kepada orang Melayu.

Beliau berkata, lebih membimbangkan lagi UMNO akhirnya akan mengalami kekalahan paling buruk pada pilihan raya umum ke-13 kelak kerana gagal mendapat sokongan daripada rakyat.

‘‘Inilah yang berlaku sekarang. Oleh itu, semua ahli mesti memperbetulkan keadaan ini dengan memilih pemimpin yang lebih baik.

‘‘Di sini kita ada dua pilihan iaitu adakah kita mahu melihat UMNO mengalami kehancuran atau kita bersama-sama memulihkan UMNO supaya ia menjadi parti yang terus relevan bagi orang Melayu,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program kepimpinan muda anjuran Rotary di Nur Lembah Pangsun Eko-Resorts di sini hari ini.

Dr. Mahathir mengulas kenyataan Abdullah menafikan spekulasi yang beliau akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Abdullah mengulangi pendiriannya yang beliau tidak akan lari daripada tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri.

Dr. Mahathir berkata, semua pihak harus sedar bahawa kekuatan UMNO ketika ini semakin terhakis dan mesej itu telah disampaikan oleh rakyat pada pilihan raya umum yang lalu.

‘‘Pas dan DAP kini semakin kuat dan mereka semakin mendapat sokongan daripada rakyat. Mereka berjaya memerintah Kedah dan Pulau Pinang. Ini merupakan satu hakikat yang perlu kita akui.

‘‘Adakah kita mahu melihat UMNO lenyap begitu sahaja akibat kerakusan pihak-pihak tertentu. Saya bimbang jika keadaan ini tidak diperbetulkan satu hari nanti UMNO ditolak mentah-mentah oleh orang Melayu,’’ katanya lagi.

Ditanya mengenai pandangan bahawa pertandingan di dalam parti boleh menyebabkan perpecahan beliau berkata: ‘‘Mana lebih penting, kepentingan parti atau membiarkan parti hancur?’’

Walaupun akan berlaku perpecahan, kata beliau, misalnya menjadi dua kumpulan, sekurang-kurangnya UMNO boleh bergantung kepada kumpulan yang menang untuk memperbetulkan keadaan.

‘‘Ini lebih baik daripada kita membiarkan parti dipimpin oleh seseorang yang tidak layak,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta anggota Majlis Tertinggi (MT) memainkan peranan sebagai suara akar umbi dan bukannya hanya menjadi ‘pak turut’.

‘‘Saya amat berharap MT merenung semula apakah peranan mereka sebenarnya. Adakah mereka hanya menjadi ‘pak turut’ atau mereka memberitahu situasi yang sebenar.

‘‘Mereka harus ingat yang mereka merupakan pemimpin yang telah diamanahkan oleh ahli di peringkat akar umbi. Mereka membawa amanah ahli dan mereka harus berperanan sebagai suara ahli dan bukannya sebagai pak turut,’’ tambahnya.

Henti spekulasi – Muhyiddin

Utusan MalaysiaKUALA LUMPUR 3 April – Spekulasi kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan meletak jawatan perlu dihentikan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan pelabur antarabangsa kepada ekonomi negara.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai masyarakat perniagaan, senario politik yang tidak stabil pastinya bukan suatu keadaan yang disenangi kerana ia hanya membawa ketidaktentuan.

“Kalau lihat kepada kepentingan negara memang kita tak nak kepada spekulasi kerana ia hanya boleh beri kerugian sebab orang bimbang jika ada perubahan kepimpinan dan oleh itu ia perlu dielakkan.

‘‘Kita mahu negara stabil dan dalam apa situasi pun, harap ia tak jejaskan imej kita. Spekulasi ini pun mungkin sengaja dibuat kerana ada muslihat pihak tertentu,’’ katanya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) Berhad di sini hari ini.

Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah kedua-dua timbalan menterinya iaitu Datuk V. K Liew dan Datuk Jacob Dangau Sagan.

Muhyiddin diminta menyatakan pandangannya terhadap spekulasi yang tersebar berhubung kemungkinan Abdullah melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Berikutan situasi itu, Abdullah semalam telah tampil membuat penafian terhadap khabar angin tersebut dengan terus mengulangi beliau tidak akan lari daripada tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu apabila ditanya tentang pendapatnya berhubung desakan yang dibuat supaya Abdullah berundur, Muhyiddin berkata, desakan seperti itulah yang boleh menimbulkan spekulasi.

Katanya, walaupun demikian, setiap desakan itu disifatkan sebagai perkiraan pihak yang menuntutnya berdasarkan persepsi masing-masing.

‘‘Melihat kepada situasi yang ada pada ketika ini, mereka hendak terus buat desakan, itu adalah hak mereka walaupun saya fikir ia boleh timbulkan spekulasi.

‘‘Namun kewajaran untuk buat desakan itu terserah kepada pihak yang berkenaan untuk menimbangkannya sebagai wajar atau pun tidak,’’ jelasnya.

senyum kambing – Utusan Malaysia

Older entries »