BERITA MALAYSIA KINI

Pilihan Terbaik Setiap Detik

Arkib bagi April 7, 2008

Mengapa Abdullah salahkan ahli?

HARAKAH DAILY

Ketua Perusuh
Mon | Apr 07, 08 | 5:17:32 pm MYT
Semalam Abdullah Ahmad Badawi merungut dan membebel di hadapan satu sidang akhbar yang disediakan khusus sebagai platform untuk beliau meluahkan perasaannya.Bukan mudah untuk kita (warga Malaysia) mendapat peluang untuk mendengar rungutan dan bebelan perasaan secara terus dari mulut Abdullah Ahmad Badawi.

Di sini kita dapat lihat betapa Abdullah Ahmad Badawi tidak mempunyai satu karisma untuk menjadi pemimpin besar. Baharu kena komen dan ulasan dari pelbagai pihak sudah tidak dapat duduk diam.

Malah melalut tidak tentu hala dan mengeluarkan ulasan yang tidak kena hujung pangkalnya. Jika beginilah sikap dan perangai Abdullah Ahmad Badawi, maka tidak sewajarnya beliau berada dianjung kuasa. Cara yang ditunjukkannya bukanlah cara pemimpin, tetapi cara budak-budak hingusan.

Abdullah Ahmad Badawi semalam telah membebel mengenai beberapa tindakan yang Mahathir Mohammed dan Tengku Razaleigh lakukan. Malah beliau juga mengambil kesempatan untuk menghentam Mukriz Mahathir secara berkias.

Semuanya dilakukan demi untuk menguatkan hujahnya bahawa Khairy Jamaluddin tidak menguasai beliau. Namun semua orang (waima wartawan asing) pun tahu betapa pengaruh Khairy Jamaluddin sememangnya menguasai Abdullah Ahmad Badawi.

Namun satu hujah beliau yang saya rasakan amat melucukan bila mana Abdullah Ahmad Badawi mengatakan bahawa kekalahan Barisan Nasional (Umno) di Kedah dan Perak adalah disebabkan oleh sabotaj dalaman.

Apakah maknanya sabotaj dalaman ini? Mungkin apa yang dimaksudkan oleh Abdullah Ahmad Badawi adalah ramai ahli @ penyokong Barisan Nasional diperingkat akar umbi membuat satu sabotaj sehinggakan kekalahan besar BN di kedua-dua negeri ini.

Apa yang pasti tindakan Abdullah Ahmad Badawi yang menyalahkan para penyokong Barisan Nasional di kedua-dua negeri ini pastinya akan melukakan hati banyak pihak. Tindakan Abdullah Ahmad Badawi ini seperti bidalan “tuangkan minyak ke dalam api” yang mana ianya satu tindakan yang paling bodoh dilakukan oleh Abdullah Ahmad Badawi (beliau terkenal kerana suka bercakap tanpa berfikir terlebih dahulu).

Kini bukan sahaja Abdullah Ahmad Badawi bermusuh dengan parti pembangkang, Mahathir Mohammed, Tengku Razaleigh namun dengan semua penyokong Barisan Nasional di negeri Kedah dan Perak.

Nampaknya Abdullah Ahmad Badawi memang suka mencari musuh. Tindakan menyalahkan ahli sebenarnya boleh diklasifikasikan sebagai satu tindakan terdesak untuk menaikkan imej. Namun seperti mana semua pihak tahu, kesan jangkamasa panjangnya adalah lebih lagi. Abdullah Ahmad Badawi memang terkenal suka bercakap tanpa berfikir.

Nampak gayanya Abdullah Ahmad Badawi pasti akan kecundang dalam pemilihan Umno yang akan datang kerana beliau telah membuat terlalu ramai musuh. Tindakan bodoh yang dilakukan olehnya (menyalahkan ahli) pastinya akan dikenang selamanya.

Nasihat peribadi saya kepada Abdullah Ahmad Badawi, sila jangan banyak bercakap dan lebihkan usaha. Adalah lebih baik Abdullah Ahmad Badawi melantik Khairy Jamaluddin menjadi jurucakap bagi pihak dirinya (Perdana Menteri Malaysia) supaya terserlah kepimpinan Khairy Jamaluddin.

Lagi banyak Abdullah Ahmad Badawi suarakan yang menjurus kepada menyalahkan ahli dan penyokong Barisan Nasional, lagi bahaya kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno (Barisan Nasional). – ketuaperusuh.wordpress.com

Media cuba keruhkan hubungan Pakatan Rakyat – TMB KELANTAN

HARAKAH DAILY

Lanjusoh
Mon | Apr 07, 08 | 2:23:53 pm MYT
KOTA BHARU, 7 April (Hrkh) – Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob melahirkan rasa kesal di atas laporan akhbar yang dianggap menyimpang daripada kenyataan asalnya mengenai isu Pakatan Rakyat.Katanya, beliau tidak bermaksud mahu parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat dipaksa menerima PAS sebagai tunjang kepada pakatan yang baru dibentuk.

“Pakatan itu masih lagi di peringkat awal yang dipersetujui semua parti pembangkang termasuk PAS, KeADILan dan DAP. Jadi soal siapa yang perlu mengetuai pakatan itu belum diputuskan.

“Sesiapa pun boleh mengetuai pakatan tersebut apabila ia dipersetujui semua ahli dalam pakatan yang dibentuk,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darulnaim, hari ini.

Sebelum ini akhbar melaporkan Ahmad menyebut PAS wajar menjadi tunjang Pakatan Rakyat yang dibentuk parti-parti pembangkang sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuh sebuah negara Islam.

Bagaimanapun kenyataan itu disifatkannya ditulis mengikut persepsi wartawan itu sendiri dan bukannya menulis apa yang dicakap.

Menurutnya dalam kenyataannya sebelum ini tidak pernah pun disebut soal negara Islam sebagaimana dilaporkan.

Kata beliau apa yang diutarakan sebenarnya mahu memberi masa kepada mana-mana pihak dalam Pakatan Rakyat faham mengenai konsep pentadbiran berteras Islam yang dilaksanakan di Kelantan sejak lebih 18 tahun lalu.

“Tidak dinafikan kita memerlukan masa untuk memberi kefahaman kepada semua pihak mengenai konsep pentadbiran Islam yang dibawa PAS.

“Buat masa ini biarlah semua ahli dalam pakatan faham sebelum sesuatu itu dilaksanakan. Ini kerana pakatan yang dibentuk dilihat sudah diterima rakyat,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Haji Anual Bakri Harun berkata, isu pertelagahan di antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat sengaja ditimbulkan media massa bagi menenggelamkan perpecahan dalaman Umno yang berlaku sekarang.

Katanya, media harian milik Umno dan BN sengaja membesar-besarkan isu pertelagahan dalam Pakatan Rakyat, sedangkan pada hakikat ia tidak berlaku.

“Buat masa sekarang tidak timbul siapa yang akan menerajui Pakatan Rakyat kerana ia masih baru dan di peringkat awal lagi. Ahli-ahli parti hendaklah menyerahkan perkara itu kepada pemimpin atasan.

“Belum sesuai lagi kita mahu mengutarakan pandangan peribadi masing-masing mengenai Pakatan Rakyat. Sekarang adalah masa untuk bekerja selepas diberi mandat rakyat pada pilihan raya umum lalu,” ujarnya. – mj/mks.

Kaji dana terjemah karya Islam

Berita Harian

Oleh Khairul Azran Hussin

ILMU: Ahmad Zahid, Wan Hashim (tengah) dan Mohd Khair pada majlis pelancaran Koleksi Buku Bertemakan Islam Terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mengkaji cadangan mewujudkan dana khas bagi membolehkan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) menterjemahkan bahan ilmu bertemakan Islam, terutama hasil karya dari negara timur tengah. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, berkata karya dari negara itu amat penting kerana ia kekal sebagai pusat perkembangan tamadun Islam. Beliau bagaimanapun berkata, ITNM perlu menyediakan kertas kerja bagi membolehkan kerajaan meneliti cadangan itu. “Dalam kertas kerja itu ITNM perlu menyatakan judul sesuai dan bertepatan hasrat kerajaan mengembangkan ilmu serta kefahaman Islam di kalangan masyarakat Malaysia. “Selepas itu, barulah kerajaan boleh mengkaji cadangan itu dan jumlah dana khas yang diperuntukkan bagi memastikan usaha itu berjaya,” katanya ketika perasmian Pelancaran Koleksi Buku Bertemakan Islam terbitan ITNM, di sini semalam. Turut hadir Pengerusi ITNM, Datuk Wan Hashim Wan Teh, Pengarah Urusan ITNM, Mohd Khair Ngadiro dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

Dr Mahathir ibarat ‘gila talak politik’

Berita Harian

Oleh Khairul Azran Hussin

Komen berterusan dibimbangi pecah belahkan Umno

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik kepemimpinan dan menggesa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan diibaratkan seorang yang ‘gila talak politik’, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata, sebagai bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir sepatutnya menutup mulut dan membiarkan barisan kepemimpinan negara memulihkan keyakinan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Komen Dr Mahathir dan dengan Tengku Razaleigh Hamzah sebenarnya bukan menyatukan Umno, tapi memecahbelahkan parti utama kaum Melayu itu.

“Kalau hendak sangat berikan komen atau pandangan, datang berjumpa barisan kepemimpinan negara dan berbincang secara tertutup, barulah betul.

“Sebelum ini, Dr Mahathir pernah menjadi seorang pemimpin dan dia pasti terluka jika ada pihak yang mengkritiknya ketika itu. Begitulah juga dengan kepemimpinan sekarang,” katanya selepas merasmikan Koleksi Buku Bertemakan Islam terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi ITNM, Datuk Wan Hashim Wan Teh; Pengarah Urusan ITNM, Mohd Khair Ngadiro dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said,

Pak Lah minta BPR siasat bekas PM

BERITA HARIAN

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyiasat dakwaan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dalam pentadbiran badan kehakiman negara ketika menjadi perdana menteri.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak akan menutup mata atau melindungi Dr Mahathir jika terdapat bukti bahawa bekas Perdana Menteri itu pernah melakukan penyalahgunaan kuasa sepanjang 22 tahun memerintah negara.

“Bagi pihak kerajaan, dasar kita ialah kalau ada apa-apa tuduhan terhadap sesiapa pun, kalau ada bukti, kita tak akan pejam mata,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penerangan bersama Presiden Umno untuk jentera penerangan parti di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas desakan aktivis dan pemimpin pembangkang supaya Dr Mahathir didakwa atas beberapa kesalahan yang didakwa pernah dilakukan bekas Perdana Menteri itu.

Desakan itu dibuat oleh bekas Repertoir Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Kebebasan Hakim dan Peguam, Datuk Param Cumaraswam; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan pengerusi Gerak Demokrasi dan Anti Korupsi Malaysia (Gerak), Ezam Mohd Noor.

Param dalam kenyataannya meminta siasatan dibuat terhadap Dr Mahathir yang didakwa campur tangan dalam siasatan BPR apabila beliau pernah mengarahkan satu fail ditutup.

Sufiah tak kesal jadi pelacur

Berita Harian

LONDON: Seminggu selepas kisah hidupnya sebagai pelacur terbongkar, wanita pintar matematik, Sufiah Yusof, membuat satu lagi kejutan apabila mengakui tindakannya menjual tubuh memberinya kehidupan jauh lebih seronok dan glamor, berbanding kejayaannya memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun.

Malah, Sufiah membuat pengakuan berani sebagai ‘wanita penuh berahi’ yang suka membaca kisah hidup dan watak pelacur dalam drama televisyen serta mampu menerima bayaran £1,000 (RM7,000) bagi setiap sesi perkhidmatannya atau pendapatan tahunan kira-kira £60,000 (RM420,000).

Anak ketiga daripada lima beradik itu juga mengakui masih trauma dan terus dihantui pengalaman peritnya ketika zaman kanak-kanak apabila didera bapanya, Farrooq Yusof, termasuk sehari suntuk belajar matematik di dalam bilik amat sejuk atas alasan dapat menambah daya ingatannya.

Sufiah, janda berusia 23 tahun, mendakwa hubungannya dengan keluarga kini semakin renggang.

“Saya tergamam dengan apa yang berlaku kepada ibu. Ya, saya ada menghubungi mereka, tetapi saya tidak mahu mengandaikan pandangan mereka terhadap kehidupan baru ini. Saya tidak rasa kesal langsung. Saya lebih yakin dengan tubuh ini serta pekerjaan saya,” katanya dalam temubual dengan wartawan tabloid, News of The World.

Sufiah memutuskan untuk membuat pengakuan itu selepas tabloid berkenaan sebelum ini mendedahkan kisah hidupnya yang melacur dengan mendapat bayaran kira-kira £130 (RM910) sejam.

Pendedahan tabloid berkenaan minggu lalu, menjadi perkembangan penuh tragik bagi Sufiah yang sebelum ini melalui kehidupan yang dipenuhi banyak peluang cerah, tetapi bertukar sebaliknya selepas melarikan diri dari universiti dan keluarga pada usia 15 tahun kerana tidak tahan dengan sikap buli bapanya.

Ibu Sufiah, Halimaton Yusof berasal dari Muar, Johor, bapanya, Farooq dari Pakistan. Bapanya kini menjalani hukuman penjara 18 bulan selepas didapati bersalah mencabul dua pelajar perempuan berusia 15 tahun ketika mengajar matematik di rumah mangsa.

Farooq juga pernah dipenjara tiga tahun pada 1992 kerana didapati bersalah dalam kes pemalsuan pembiayaan sewa beli. Halimaton kini dalam proses menuntut cerai dengan Farooq selepas berkongsi hidup lebih 30 tahun.

Kakak Sufiah, Aisha, 25, pula sudah berkahwin dan tinggal berasingan, manakala abangnya, Abraham, 26, serta dua adik, Iskander, 21, dan Zuleika, 14, tinggal dengan Halimaton.

Mengimbau detik pertamanya bertukar daripada pelajar pintar kepada pelacur, Sufiah berkata dia bekerja sebagai pembantu pentadbiran dengan pendapatan kira-kira £16,000 (RM112,000) setahun di Manchester, apabila dihampiri ketua agensi teman sosial yang menyebabkannya terjerumus ke kancah pelacuran.

Ketika itu, dia dihimpit hutang termasuk bebanan kad kredit kira-kira £3,500 (RM24,500).

Namun, Sufiah tanpa segan silu atau rasa kesal, yakin statusnya sebagai pekerja seks memberi jawapan kepada semua permasalahannya.

“Saya menjadikan pelanggan tidak keruan dengan membacakan formula matematik ketika kami berasmara. Pelanggan saya sukakan kemampuan saya kerana dapat merangsang minda dan badan mereka secara serentak.

“Saya tidak berasakan semua pendidikan yang diterima selama ini sia-sia. Malah, saya lazimnya membawa kertas tugasan yang perlu diselesaikan sebelum temu janji dengan pelanggan,” katanya.

Lapan tahun selepas mencipta nama sebagai pelajar pintar, Sufiah, dakwa tabloid itu, tidak menunjukkan sebarang kekesalan apabila memandang tinggi karier barunya sebagai pelacur.

“Ramai yang memandang rendah tugas sebagai teman sosial ini, tetapi saya tidak menganggapnya sedemikian. Lagi pun saya sememangnya mempunyai nafsu seks yang tinggi.

“Kini saya memperoleh semua seks yang saya ingini. Lelaki juga jauh lebih baik di ranjang dengan teman sosial berbanding teman wanita sendiri.

“Saya mempunyai pelanggan yang terpesona dengan keupayaan matematik saya. Malah, ada seorang pelanggan yang meminta saya membacakan kaedah matematik termasuk algebra ketika kami berasmara. Ia terbukti menjadikannya lebih seronok,” katanya.

Sufiah juga mendakwa pendapatannya tidak kurang hebat kerana memberinya wang yang lumayan.

“Ya, saya menikmati kehidupan yang baik dan mampu mengawalnya. Saya bencikan pandangan masyarakat yang stereotaip mengenai tugas sebagai teman sosial. Ia jauh berbeza daripada tanggapan salah mereka.

“Pelanggan saya juga tidak kurang hebatnya dan melayan saya seperti puteri. Ada seorang lelaki yang sering saya temui di London membelikan saya pakaian Gucci berharga £700 (RM4,900) dan membawa saya ke Selfridges untuk memilih apa juga beg tangan yang saya mahukan.

“Pada sebelah malam, kami makan malam bersama dan dia membawa saya pulang ke hotel. Saya berasa seperti (aktres) Julia Roberts dalam Pretty Woman.” � Agensi

Abdullah selar pengkritik

Berita Harian

Oleh Anwar Hussin dan Mohamad Farid Noh


BERI PENJELASAN: Abdullah menyampaikan amanat kepada 1,000 Ketua Penerangan Umno pada Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno di PWTC, semalam.

Pihak buat pelbagai tuduhan tidak bertanggungjawab, ada kepentingan peribadi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menyelar sikap dan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah, yang disifatkan tidak bertanggungjawab semata-mata untuk mencapai kepentingan peribadi masing-masing.

Perdana Menteri yang sebelum ini menegaskan tidak akan tunduk terhadap desakan supaya meletakkan jawatan, juga dengan lantang menjawab pelbagai kritikan yang dilemparkan terhadap kepemimpinannya, terutama berhubung prestasi Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

Abdullah yang juga Presiden Umno menegaskan, beliau wajar bersuara selepas rakyat mahukannya mempertahankan diri daripada pelbagai tuduhan yang tidak berasas.
Katanya, Dr Mahathir sering menghentamnya dengan pelbagai tuduhan seolah-olah beliau (Dr Mahathir) tidak pernah melakukan kesalahan.

“Kononnya pada zaman saya tidak ada kebebasan, semua orang takut dan ada yang kata saya ini lembik, tetapi (dalam masa yang sama) takut pula pada si lembik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno, yang pertama diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 8 Mac lalu.

Taklimat selama 90 minit yang diadakan secara tertutup di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu dihadiri lebih 1,000 Ketua Penerangan Umno bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri serta ahli Majlis Tertinggi (MT). Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Abdullah mengakui Dr Mahathir memang mempunyai kekuatan dan pengaruh, tetapi menegaskan bekas Perdana Menteri itu menyalahgunakan kekuatannya sehingga merugikan parti.

“Tun Mahathir kata dia kuat, tetapi beliau menyalahgunakannya. Dulu masa kita (BN) menang pada pilihan raya 2004, beliau berkata kuat sangat, tak boleh, tak elok, kena ada pembangkang.

“Apabila keputusan pilihan raya 2008 pembangkang naik (menang 82 daripada 222 kerusi Parlimen), kita ingat dia nak celebrate (raikan), tapi kita kena hentam pula. Mengapa jadi begini?

“Menang banyak tak boleh dan menang sikit pun tak boleh… (jadi) apa yang boleh?” katanya mempersoalkan keikhlasan Dr Mahathir mengkritik kepemimpinannya.

Ditanya sama ada beliau akan berlawan dengan Dr Mahathir, Abdullah berkata: “Saya bercakap apa yang perlu saya cakap dan saya tidak bercakap apa yang saya tidak perlu bercakap.”

Mengenai dakwaan Dr Mahathir yang beliau terlalu berkuasa sehingga anggota Kabinet dan MT Umno tidak berani bersuara, Abdullah berkata ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri itu, pelbagai sekatan dan arahan dibuat oleh Dr Mahathir.

“Selepas Dr Mahathir mengambil alih pemerintahan daripada Tun Hussein Onn, bekas Perdana Menteri itu terus mengarahkan wartawan supaya tidak menyiarkan berita dan gambar Hussein.

“Saya tahu, bukan saya tidak tahu… orang tertentu ditekan oleh akhbar. Ini arahan daripadanya… ia berlaku dari semasa ke semasa dan Dr Mahathir masih melakukan perbuatan sama dengan cuba menjatuhkan kepemimpinannya,” katanya.

Abdullah secara sinis juga berkata, semua menteri seolah-olah bodoh dan hanya menantunya, Khairy Jamaluddin saja yang pandai.

“Tuduhan ini dibuat tanpa batasan dan terus hentam saja,” katanya menjawab tuduhan kononnya beliau membiarkan dirinya dipengaruhi oleh Khairy dalam membuat keputusan dan mentadbir negara.

Mengenai usaha Anwar untuk memancing 30 Ahli Parlimen BN Sarawak menyertai pakatan pembangkang pula, Abdullah berkata itu adalah perbuatan keji dan bersifat rasuah.

Beliau menegaskan perbuatan keji Anwar itu tidak didorong sebab lain, kecuali kerana cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.

“Ini dilakukan semata-mata kerana ketua mereka hendak menjadi Perdana Menteri. Jika mereka menggunakan wang, ini adalah satu perbuatan rasuah.

“Dia akan cakap dan buat apapun, tapi ini satu rasuah jika pendekatan yang akan diambil menggunakan wang. Pada saya, ini perbuatan keji kerana tidak mengiktiraf hakikat bahawa Ahli Parlimen yang menang adalah atas kehendak rakyat,” katanya.

Abdullah berkata, Anwar yang dikatakan sedang berusaha memujuk Ahli Parlimen BN menyertai pembangkang, memang tidak sabar-sabar untuk menjadi Perdana Menteri.

Katanya, ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, pemimpin pembangkang itu menyifatkan dirinya sebagai pemimpin alternatif dan kini menganggap dirinya sebagai ‘leader in waiting’.

“Biarlah dia menunggu,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mempunyai peranan dalam pembebasan Anwar daripada hukuman penjara, Abdullah berkata keputusan itu dibuat mahkamah dan beliau langsung tidak terbabit.

“Kerja itu saya tidak buat, orang lain saya tidak tahulah,” katanya merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan pada September 2004 membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat selepas menjalani hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan menyalahgunakan kuasa.

Mengenai kecaman Tengku Razaleigh dan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti pada Disember ini, Abdullah berkata Ahli Parlimen Gua Musang itu perlu menilai dirinya terlebih dulu.

“Dialah yang menyebabkan Umno kalah. Dialah yang menyebabkan Kelantan jatuh kepada Pas (ketika Tengku Razaleigh bersama Semangat 46 pada Pilihan Raya Umum 1990),” katanya.

Malah, katanya, Tengku Razaleigh tidak pernah membantu Umno Kelantan dalam usaha merampas kembali Kelantan daripada Pas.

Abdullah berkata, satu daripada kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Tengku Razaleigh, iaitu Galas, juga jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.

Biar pemimpin senior tegur Dr. Mahathir

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 6 April – Sebarang teguran terhadap bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad hendaklah datang daripada pemimpin yang benar- benar senior dalam parti.

Bekas Menteri Pertanian dan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid berkata, mereka yang baru beberapa minggu duduk dalam Kabinet dan bergelar menteri sepatutnya menjauhkan diri daripada membuat sebarang bentuk teguran.

Beliau berkata, ini kerana Dr. Mahathir bukan pemimpin biasa tetapi pernah menjadi Perdana Menteri yang mentadbir negara ini selama 22 tahun.

“Saya tengok budak-budak baru berpolitik hendak menegur Tun, baru tempah ‘bush jacket’ sebagai menteri, dah nak mengata Tun,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis ‘Fikir-fikirkan’ bersama Tun anjuran UMNO Cawangan Pusat Bandar Cempaka, Bahagian Pandan di sini hari ini.

Beliau yang pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti turut mengingatkan pihak berkenaan agar jangan terbuai-buai dengan jawatan yang baru diterima dan mula hendak menegur semua orang tanpa mengingati jasa orang itu.

Jelasnya, bukan terlalu sukar untuk menjadi seorang menteri, justeru mereka yang terpilih perlu berfikir panjang apabila mahu bercakap atau bertindak.

Beliau kemudiannya menyambung: ”Yang ada hari ini termasuk dalam Kabinet perlu juga mengingati jasa Dr. Mahathir ke atas mereka sebelum ini.”

‘Saya akan terus bersuara’

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 6 April – Bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan beliau akan terus bersuara selagi mana perkara-perkara yang dilihatnya sebagai punca penolakan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak diatasi.

Sehubungan itu, tegas Dr. Mahathir, beliau tidak bimbang dengan apa jua tindakan yang mungkin diambil ke atas dirinya termasuk jika dikenakan penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menggugat kestabilan negara.

Kata bekas Perdana Menteri itu, beliau perlu terus bercakap kerana jika tidak, mungkin tidak ada sesiapa dalam UMNO yang akan berani berkata perkara yang benar kepada pemimpin mereka.

Beliau juga yakin, kata-katanya selama ini tidak mungkin menjadi penyebab kepada kekalahan teruk BN pada pilihan raya umum yang lalu kerana penyokong UMNO bukannya jahil atau tidak mampu berfikir tentang apa yang dilontarkan kepada mereka.

Menurutnya, jika UMNO tidak dipulihkan sekarang, parti keramat orang Melayu itu akan musnah dan hilang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.

‘‘Saya akan berhenti (bersuara) apabila mereka berhenti membuat perkara-perkara yang mungkin menjadi punca kekalahan BN,’’ katanya pada Majlis “Fikir-fikirkan bersama Tun” anjuran UMNO Cawangan Pusat Bandar Cempaka, Bahagian Pandan di sini hari ini.

Kira-kira 1,000 hadir pada majlis yang turut dihadiri oleh bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Sanusi Junid dan Ketua UMNO Cawangan berkenaan, Syed Saifuddin Syed Harman.

Dr. Mahathir menjawab kenyataan beberapa pemimpin UMNO termasuk Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang mahukan beliau tidak lagi membuat sebarang kenyataan kerana ia boleh memecah belahkan parti.

Semasa berucap pada majlis itu, beliau berkata, Ahmad Shabery tidak layak bercerita mengenai perpecahan UMNO kerana dirinya sendiri pernah keluar parti itu dan menyertai parti Semangat 46.

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas itu, Dr. Mahathir turut mengulas mengenai kemungkinan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bertanding jawatan Ketua Pemuda.

‘‘UMNO parti demokrasi, bertanding jika mahu tetapi jangan gunakan wang atau unsur-unsur ugutan ke atas orang lain,’’ katanya.

Ditanya apakah wujud sebarang keperluan untuk meminda sistem kuota jika berlaku perubahan kepimpinan terlebih dahulu, Dr. Mahathir berkata, ia tetap perlu dilakukan.

Beliau seterusnya menekankan perubahan dalaman UMNO adalah satu keperluan mendesak pada masa kini jika penyokongnya mahu melihat parti itu terus relevan dan diterima rakyat.

‘‘UMNO kini umpama seorang pesakit kencing manis, kita mungkin terpaksa potong kakinya demi menyelamatkan anggota yang lain atau mengelakkan kematian,’’ jelas beliau.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Dr. Mahathir berkata, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu tampil ke hadapan dan bersuara lebih tegas lagi jika mahu menyelamatkan UMNO.

Beliau juga mahu Najib bersikap berani dan bercakap terus kepada Presiden Parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tentang hasrat ahli parti dan juga rakyat.

“Semua orang perlu bercakap yang benar, termasuklah Abdullah,” katanya.

Tambah Dr. Mahathir, bukan sekadar Najib sahaja yang perlu berbuat demikian tetapi semua ahli UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi juga perlu bersikap lebih berani.

“Yang boleh membetulkan apa yang salah adalah ahli-ahli parti yang berani, tetapi masih ramai daripada orang UMNO yang tidak berani,” katanya.

Katanya, perkara yang selalu diperkatakan beliau sehingga menimbulkan rasa kurang senang pemimpin UMNO ialah semua orang perlu bersikap berani dan bercakap benda yang benar.

Pada majlis yang sama, beliau juga tidak menolak kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi pilihan ahli parti untuk menggantikan kepimpinan tertinggi sedia ada.

Namun, kata beliau, segalanya bergantung pada keberanian dan kemampuan Naib Presiden UMNO itu untuk menjadikan dirinya popular dalam keadaan semasa parti.

‘‘Kalau Muhyiddin boleh menjadikan dirinya popular, dia boleh menyerlah, saya yakin,’’ katanya.

Bagaimanapun, katanya lagi, setakat ini, beliau masih belum bertemu pemimpin pilihannya secara khusus.

‘‘Najib (Timbalan Presiden UMNO) boleh, Tengku Razaleigh Hamzah (Ketua UMNO Gua Musang) pun boleh,’’ katanya.

Jelasnya, beliau seperti juga ahli-ahli yang lain menantikan seorang yang benar-benar berkaliber untuk muncul dan memimpin UMNO.

Selain itu, Dr. Mahathir berkata, beliau akan menyiarkan secara bertulis jawapannya berhubung dakwaan dirinya mencampuri urusan pelantikan hakim.

Beliau juga tetap menjelaskan tidak pernah mencampuri apa-apa urusan kehakiman di negara ini semasa era pentadbirannya.

“Tunjukkan apa salah yang saya buat,” katanya.

Beliau mengulas gesaan Pengerusi DAP, Karpal Singh agar Dr. Mahathir dikenakan tindakan kerana campur tangan dalam urusan pelantikan hakim.

Abdullah dalam satu sidang akhbar pagi ini memberitahu, jika dakwaan itu ada asas maka siasatan boleh dimulakan ke atas Dr. Mahathir oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

Tambahnya, sepanjang menjadi Perdana Menteri, beliau ada memberikan teguran-teguran biasa kepada beberapa hakim.

“Hakim pun manusia biasa juga, ada sayang orang itu, orang ini,” katanya.

Jelasnya, teguran kepada badan kehakiman adalah untuk memastikan ia memainkan peranan dengan cukup berkesan dan mantap.

Beliau juga menafikan hakim yang terbabit dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut perintahnya.

Mengulas mengenai ketiadaan kebebasan media pada zamannya, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak pernah mewujudkan sekatan terutama di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak sehaluan dengan dirinya untuk mendapat sebarang liputan berita.

“Tidak tahulah jika ada wartawan yang sanggup bersumpah kata saya menghalang mereka menyiarkan sesuatu,” katanya.

Sementara itu di Langkawi Bernama melaporkan, Dr. Mahathir berkata, kritikannya terhadap kepimpinan UMNO tidak akan menghancurkan parti sebaliknya akan menjadikannya lebih kukuh.

“Terpulang kepada mereka hendak mendengar atau sebaliknya,” katanya selepas majlis tahlil untuk Allahyarham kakaknya, Habsah Mohamad di Surau Ibrahim Mi, Kampung Ranggut, Padang Mat Sirat di sini malam tadi.

Najib melihat dirinya pengganti saya – PM

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 6 April – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini sekali lagi menjelaskan beliau tidak ada masalah dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini kerana berbeza dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, menurut Perdana Menteri, timbalannya itu melihat dirinya sebagai pengganti beliau.

”Bukan macam Anwar yang melihat dirinya sebagai pemimpin alternatif kepada (Tun) Dr. Mahathir (Mohamad).

”Sekarang (Anwar) anggap dirinya bakal Perdana Menteri (leader in waiting), dia boleh kata begitu tetapi pada masa ini sayalah Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penerangan Bersama Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Lebih 1,000 ahli UMNO daripada jentera penerangan parti memenuhi Dewan Tun Hussein Onn bagi mendengar amanat Presiden parti itu yang disampaikan selama kira-kira dua jam.

Hadir sama Najib, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.

Abdullah menjelaskan perbezaan hubungan baik beliau dengan timbalannya, berbanding ‘hubungan bermasalah’ di antara Dr. Mahathir dan bekas timbalannya, Anwar.

Perdana Menteri terpanggil membuat kenyataan mengenainya ekoran pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap beliau dan Najib.

Older entries »