BERITA MALAYSIA KINI
Pilihan Terbaik Setiap DetikArkib bagi April 9, 2008
Bas kemalangan ada rekod 52 saman polis
KOSMO
SEREMBAN – Bas syarikat Konsortium Bas Ekspres Semenanjung yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 265, Lebuh Raya Seremban-Kuala Lumpur membabitkan seorang anggota tentera terbunuh awal pagi semalam rupa-rupanya sudah ada 52 rekod saman polis trafik.
Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah berkata, selain itu, pemandu bas, Mohd. Shahrini Mohamad, 23, pula difahamkan baru tiga bulan memperoleh lesen.
“Dalam kejadian pukul 3.45 pagi bas ekspres dari Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur itu dikatakan melanggar penghadang jalan sebelum terbalik dan terjunam di kawasan tebing di tempat kejadian.
“Kemalangan membabitkan 29 penumpang itu mengakibatkan seorang mangsa terbunuh dikenali sebagai Mohd. Arshad Razali, 23, merupakan seorang anggota tentera berasal dari Johor dan lima dilaporkan parah,” katanya di sini semalam.
Ujarnya, kesemua mangsa yang dilaporkan cedera parah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar di sini manakala penumpang cedera ringan dibenarkan pulang selepas diberi rawatan kecemasan.
Mayat Mohd. Arshad selepas dibedah siasat dibawa pulang ke Johor dan diuruskan oleh pasukan angkatan tentera.
Dalam pada itu, Pengarah Hospital Tuanku Ja’afar, Dr. Jaafar Che Mat turut mengesahkan jumlah penumpang yang cedera parah.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Penguasa Khairul Azuwan Ibrahim pula berkata, dalam kejadian itu, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa terakhir Mohd. Dani Arfan, 26, kira-kira pukul 5.35 pagi selepas tersepit di bawah bas lebih kurang dua jam.
Sebanyak dua buah jentera Bomba dan Penyelamat dengan 18 anggota dari Seremban dan Seremban 2 telah dikerahkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.
Gempar lelaki cuba bunuh diri
KOSMO

![]() |
|
SEORANG lelaki yang duduk pada jaring keselamatan kereta kabel di Genting Highlands semalam.
|
GENTING HIGHLANDS – Pengunjung pusat peranginan di sini gempar apabila seorang lelaki cuba terjun dari kereta kabel untuk membunuh diri di stesen kereta kabel Genting Skyway di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 9.20 pagi itu, lelaki yang berusia awal 20-an itu menaiki kereta kabel berkenaan seorang diri sebelum cuba untuk terjun.
Jurucakap bomba memberitahu, semasa kereta kabel tersebut baru bergerak beberapa saat, lelaki tersebut tiba-tiba membuka tingkap kecil kereta kabel berkenaan dan melompat ke bawah.
Bagaimanapun ajalnya belum sampai apabila tersangkut di sebuah jaring keselamatan betul-betul di bawah kereta kabel berkenaan.
Ekoran situasi cemas itu, bomba yang mendapat maklumat bergegas ke tempat kejadian setelah mendapati lelaki itu masih tergantung di jaring tersebut.
“Dia cuba untuk terjun sekali lagi ke bawah, tetapi kami berjaya memujuknya dan akhirnya dia akur dan kita berjaya membawanya kembali ke tempat selamat,” kata jurucakap bomba itu lagi.
Jarak di antara jaring tersebut ke jalan raya di bawah kira-kira 50 meter.
Sementara itu, kejadian tersebut telah menyebabkan pengunjung lain tidak dapat menaiki kereta kabel kerana bekalan elektrik dipotong.
Difahamkan lelaki itu berjaya diselamatkan selepas empat jam dipujuk dan kini dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu dekat sini untuk menerima rawatan lanjut manakala punca kejadian masih dalam siasatan polis.
Salon rambut tawarkan khidmat seks
KOSMO
![]() |
|
‘Ida’ salah seorang tukang urut di salon rambut sedang menunggu pelanggannya di Jalan Bukit Ubi, Kuantan semalam.
|
KUANTAN – Bukan sekadar salon rambut.
Jangan terkejut jika anda ditawarkan pelbagai bentuk hiburan sehingga kepada khidmat seks murahan walaupun niat cuma mahu mendapatkan perkhidmatan mencuci dan gunting rambut di beberapa buah salon rambut dan kecantikan tertentu di sekitar bandar ini.
Malah pemilik perniagaan gelap berkenaan juga bebas menjual minuman memabukkan jenis bir dan stout dalam tin selain menyediakan bilik karaoke untuk pelanggan mereka berhibur sedangkan ia jelas melanggar syarat pelesenan perniagaan yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).
Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, premis tersebut dilengkapi beberapa buah kerusi dan peralatan mencuci serta gunting rambut, sedangkan kegiatan haram mereka dilakukan di dalam bilik-bilik kecil dan ruang gelap yang kotor serta tersembunyi di bahagian belakang.
Tinjauan Kosmo! selama seminggu mendapati agak mudah untuk mengenal pasti premis berkenaan kerana ia beroperasi di tingkat satu bangunan kedai dan waktu perniagaannya antara pukul 10 pagi sehingga lewat malam pada setiap hari.
Tidak kira siang mahupun malam, pintu masuk ke tangga premis tersebut dihiasi kerlipan lampu pada papan tanda yang memaparkan jenama minuman keras bagi menarik pelanggan.
Tinjauan mendapati tidak kurang 10 premis seumpama itu wujud di Jalan Pasar, Jalan Bukit Ubi, Jalan Bank, Jalan Tun Ismail, Lorong Tun Ismail serta Jalan Beserah.
Wartawan Kosmo! yang menyamar sebagai pelanggan pada mulanya ditawarkan khidmat memotong rambut sebelum dipelawa untuk menikmati terapi urut oleh tauke salon terbabit.
Ketika diurut, tukang urut yang dikenali sebagai Candy, 28, menawarkan pula perkhidmatan tambahan.
“Di sini, kami bukan setakat boleh mengurut badan pelanggan sahaja tetapi ada perkhidmatan lain juga,” katanya.
Perkhidmatan lain yang dimaksudkan Candy ialah berkaitan seks ringan dan berat yang mengenakan bayaran antara RM30 hingga RM130.
“Tetapi kalau mahu urut badan sahaja, cuma RM30,” katanya yang berasal dari Sibu, Sarawak dan sudah bekerja di situ hampir dua tahun.
Sementara itu, seorang lagi pekerja salon lain yang dikenali sebagai Ida, 30-an dan berasal dari Pasir Mas, Kelantan menyatakan ramai pelanggan datang ke salon rambut tempat dia bekerja untuk mendapatkan khidmat daripadanya.
“Biasanya selepas memotong rambut atau mengurut, saya menawarkan servis lain. Apa salahnya, mereka puas dan saya pula dapat pendapatan tambahan selain menggunting rambut,” jelasnya.
Seorang pelanggan yang mahu di kenali sebagai Amat ketika ditemui Kosmo! memberitahu, perkhidmatan ‘murah’ ditawarkan salon rambut terbabit menyebabkan dia dan rakan-rakannya sering ‘melepak’ di situ.
“Di sini harga servis murah jika dibandingkan dengan tempat urut lain. Kalau di tempat eksklusif mungkin beratus ringgit kena bayar tapi di sini, ada RM80 dalam tangan pun cukup,” katanya.
Tertembak anak sendiri yang disangka pencuri
AKHBAR KOSMO
![]() |
|
MOHAMAD Zulfaqar yang cedera di betis kiri akibat tertembak oleh bapanya sendiri menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star semalam.
|
ALOR STAR – Niat tembak pencuri tapi kena anak sendiri.
Seorang bapa, Mohd. Sobri Ahmad, 45, tidak menyangka kelibat lembaga yang ditembak dengan peluru penabur rupa-rupanya anak sulungnya sendiri, Mohamad Zulfaqar, 19.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi semalam itu, apabila Mohamad Zulfaqar hendak mengambil air minuman di dapur di kediaman rumah dua tingkat mereka, tertembak di kaki kanan oleh bapanya.
Kata bapa mangsa, disebabkan kawasan kediaman mereka di Kampung Batu 9, Jeniang, Gurun itu sering dimasuki pencuri, beliau menyangka bunyi bising di tingkat bawah rumahnya adalah pencuri.
“Saya tidur di tingkat atas, anak saya tidur tingkat bawah, saya memang tak sangka itu Zulfaqar kerana dia ambil air di dapur hanya guna lampu suluh tanpa membuka lampu utama,” tambahnya dalam keadaan sugul ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah semalam.
Pada perkembangan sama, tambah Mohd. Sobri, dia tergamam selepas melepaskan satu das tembakan dan mendengar suara anaknya menjerit kesakitan.
“Apabila saya buka lampu rumah, rupa-rupanya Zulfaqar dan dalam keadaan masih terkejut terus saya bawa dia ke Hospital Sik sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda,” ujarnya sambil menambah anaknya cedera di kaki kanan.
Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda mengesahkan kejadian itu dan masih menyiasat kes tersebut.
Masih terbayang wajah Nurul

JELI – “Nurul sempat lambai tangan kepada saya semasa turun daripada bas pada hari tu… tak sangka itu menjadi kali terakhir kami berjumpa.”
Itu luahan Siti Zubaidah Abdullah, 17, yang menaiki bas bersama mangsa pembunuhan kejam, Nurul Anira Che Rosid, 17, atau lebih mesra dipanggil Nurul sebelum mayatnya ditemui polis di sebuah kebun getah di Kampung Chegar Bedil dekat sini petang Ahad lalu.
Beliau yang juga teman rapat mangsa dan selalu berdiskusi soal pelajaran bersama di sekolah hanya mengetahui kejadian tersebut setelah dimaklumkan oleh salah seorang rakannya melalui telefon malam kelmarin.
“Saya terkejut, Nurul tak banyak bercakap semasa kami sama-sama tunggu bas di hadapan Hospital Jeli selepas tamat kelas tambahan di sekolah Sabtu lalu.
“Kami menaiki bas yang sama pada hari kejadian sebelum dia turun di simpang ke kampungnya manakala saya meneruskan perjalanan ke rumah.
“Sehingga kini saya masih terbayang-bayang wajah ceria Nurul,” ujarnya yang ditemui di rumahnya di sini semalam.
Menurut Siti Zubaidah lagi, pada hari kejadian mereka pergi ke kelas tambahan bagi mata pelajaran Sejarah dan Matematik tambahan di Sekolah Menengah Jeli (1) pukul 8.30 pagi dan berakhir pukul 12 tengah hari.
“Walaupun Nurul seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap tetapi dia seorang pelajar yang pintar di dalam kelas kami,” kata Zubaidah lagi.
Sementara itu, seorang lagi rakan mangsa, Wan Nordalila Atilah Wan Mohamad, 17, memberitahu, dia mula mengenali mangsa sejak setahun lalu selepas dia (mangsa) bertukar masuk ke sekolah itu dari Pahang.
Katanya, kali terakhir beliau bertemu Anira pada Jumaat lalu ketika dia asyik membuat latihan mata pelajaran Matematik di kelas dan ketika itu tiada sebarang perubahan ditunjukkan oleh mangsa yang baginya seorang yang baik dan peramah.
“Saya cukup sedih bila mengetahui kejadian itu..Nurul seorang pelajar cemerlang apabila sering tersenarai antara 10 pelajar cemerlang di dalam kelas kami.
“Kehilangannya amat kami rasakan, dan harap penjenayah itu ditangkap dan diadili serta dijatuhi hukuman sekeras-kerasnya,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kijang, Wan Ubaidah Omar ketika ditemui berkata, penjenayah yang membunuh Nurul sebagai lelaki yang jenis tidak menghormati wanita dan perlu dihukum.
“Perbuatan kejam itu dilaknati Allah dan berharap mereka terbabit menerima balasan setimpal,” katanya ketika ditemui selepas menemani isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak melawat keluarga mangsa di sini lewat petang semalam.
Dipetik dari: Akhbar Kosmo!
Polis syak suspek adalah orang tempatan
SINAR HARIAN
KOTA BHARU – Suspek berhubung kes bunuh dan rogol pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli (1), Nurul Anira Che Rosid, 17, akan dikesan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang terdapat dalam tubuh mangsa, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim.
Mazlan berkata, polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa dirogol sebelum dibunuh oleh orang yang dikenali dan ada kemungkinan suspek merupakan rakan sekolahnya.
Katanya, hasil bedah siasat yang dilakukan oleh Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, mangsa dirogol lebih dari seorang sebelum dipercayai dibunuh dengan lehernya dijerut dengan akar kayu.
“Polis juga percaya bahawa suspek adalah orang tempatan yang berkemungkinan tinggal di sekitar kawasan berkenaan berdasarkan siasatan yang dijalankan, suspek dipercayai mengetahui selok-belok tempat kejadian.
“Selain itu, kami yakin suspek yang terlibat dalam kes ini dapat ditangkap dalam masa terdekat,” jelasnya semasa sidang media di pejabatnya semalam.
Dalam kejadian Sabtu lepas, Nurul Anira dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah setelah mengikuti kelas tambahan di sekolahnya.
Mayat mangsa ditemui pada jam 6 petang keesokannya dalam keadaan separuh bogel di bawah rimbunan pohon buluh ditimbus tanah dan daun-daun kering di sebuah kebun getah di Kampung Chegar Bedil, Kuala Balah, dekat Jeli.
Mayat mangsa berjaya dikesan setelah mendapat maklumat daripada penduduk mengatakan mereka melihat mangsa turun dari bas. Mayat tersebut ditemui kira-kira 200 meter dari rumahnya.
Pakaian mangsa termasuk baju, seluar dalam dan pengikat rambut ditemui tidak jauh dari tempat kejadian.
Jenazah Anira selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chegar Bedil pada jam 7 petang kelmarin berdekatan kawasan kejadian.
Setakat ini siasatan masih lagi dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan diminta tampil menyalurkan maklumat di Balai Polis berhampiran bagi membantu siasatan polis dijalankan dengan cepat dan berkesan.
Salima AF4 bertunang Ahad ini
SINAR HARIAN
Sudah lama tidak mendengar cerita tentang bekas pelajar Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Nur Salima Habibi atau lebih dikenali sebagai Salima. Dalam diam-diam, penyanyi yang baru berusia 20 tahun ini bakal melangsungkan pertunangan dengan jejaka pilihannya yang dikenali sebagai ‘KK’ pada Ahad ini.
Berita ini diketahui setelah satu kad jemputan dilayangkan ke meja penulis. Pada mulanya, rasa hairan juga sebab pada kad itu tidak pula tertera tentang majlis apa yang bakal dilangsungkan, namun yang pastinya itu bukan sekadar majlis biasa.
Tidak mahu berteka-teki, penulis mula menghubungi Salima. Dengan suara yang begitu ceria, Salima seolah-olah dapat menangkap tujuan sebenar penulis menghubunginya. Tanpa berdolak-dalik, Salima mengakui majlis tersebut adalah majlis pertunangannya.
Ditanya siapakah ‘KK’ itu, Salima enggan mengulas lanjut. Kata Salima, biarlah hari Ahad ini akan menjelaskan siapakah sebenarnya tunangannya itu. Namun yang pastinya, jejaka yang berusia 22 tahun itu telah berjaya menambat hatinya.
“Senang cerita, hari Ahad ni akan tahu siapa dia yang sebenarnya. Saya mengenali dia (KK) sejak setahun yang lalu. Pada mulanya, kami hanya kawan biasa sahaja, cuma baru-baru ni sahaja hubungan kami menjadi semakin rapat,” ujar Salima yang akan melangsungkan majlis pertunangannya secara sederhana di kediaman saudaranya di Sungai Buloh, Selangor.
Rakam album ‘single’ sendiri
Setelah menamatkan kontrak dengan syarikat rakamannya, Meastro pada Februari lalu, Salima telah menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu, ‘Salima Entertaiment’. Dalam pada itu, Salima telah pun menghasilkan album ‘singlenya’ dengan budget sendiri. Jelas Salima, dia baru sahaja mengedarkan album ‘singlenya’ itu ke stesen-stesen radio untuk diperdengarkan pada orang ramai.
“Dalam album ini cuma ada satu lagu sahaja dan istimewanya lagu ini, saya cipta sendiri tetapi liriknya pula dicipta oleh Hafiz Hamidun (kumpulan UNIC). Sebelum ini semua orang dah tahu yang saya boleh menyanyikan lagu-lagu yang berkonsepkan Arabic, tapi untuk buat perubahan yang baru, saya pilih konsep Pop Etnik dalam album ini.
“Bagi saya bukan mudah untuk menghasilkan lagu Arabic, kerana ia harus betul-betul bagus dan berkualiti sebab itulah saya tidak berani untuk mempertaruhkan konsep ini di dalam album saya,” ujarnya yang masih merahsiakan tajuk album singlenya itu.
Menurut Salima, dia masih mengekalkan imej muslimah untuk single albumnya itu dan dia sangat beruntung kerana mendapat tajaan khidmat rundingan imej dari Atim Agoy Boutique.
Badan Eksekutif Tidak Boleh Campur Tangan Keputusan Hakim, Kata Ketua Hakim Negara
| 09 April, 2008 20:28 PM |
- BERNAMA
PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) — Anggota badan eksekutif tidak boleh campur tangan atau kelihatan campur tangan dalam keputusan hakim, kata Ketua Hakim Negara Datuk Abdul Hamid Mohamad hari Rabu.

Sebaliknya, kata beliau, badan perundangan, eksekutif dan kehakiman, perlu menghormati bidang kuasa satu sama lain serta mengamalkan doktrin pemisahan kuasa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Bidang kuasa satu sama lain perlu dihormati,” kata beliau ketika berucap merasmikan Persidangan Hakim di sini.
Abdul Hamid berkata hakim pula perlu memiliki kekuatan secukupnya bagi menolak sebarang cubaan untuk mengganggu-gugat kebebasan mereka.
“Apabila orang ramai yakin bahawa anggota badan eksekutif tidak campur tangan dalam keputsuan yang dibuat oleh hakim, maka separuh daripada peperangan sudah dimenangi,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim agar reformasi dilakukan terhadap bidang kehakiman di negara ini bagi memulihara institusi itu dalam kerangka pemisahan kuasa kerana sesebuah Kerajaan Berperlembagaan tidak mempunyai erti jika tidak mempunyai unsur menegur dan mengimbangi.
“Secara peribadi, saya amat keberatan untuk menggunakan perkataan ‘reformasi’ yang hebat bunyinya itu kerana bimbang ia akan berkesudahan seperti kata pepatah Melayu ‘indah khabar dari rupa’. Oleh itu, saya tidak akan menggunakannya. Saya lebih suka memberi tumpuan terhadap sesuatu punca khusus dan cuba mencari penyelesaiannya,” kata beliau.
Abdul Hamid berkata badan kehakiman berada di landasan yang betul dalam usaha memulihkan persepsi negatif terhadapnya apabila orang ramai mempunyai keyakinan bahawa hakim mempunyai kebebasan, tidak rasuah, tekun, adil dan tidak mempunyai sebarang kepentingan tersembunyi.
“Kita tidak boleh menafikan bahawa orang ramai kini mempunyai persepsi negatif terhadap badan kehakiman. Jelas sekali, ini bukan hasil daripada apa yang telah berlaku beberapa bulan lepas, tetapi himpunan daripada apa yang telah berlaku atau dianggap berlaku sejak dua dekad lepas, bermula daripada pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan dua bekas Hakim Mahkamah Persekutuan.
“Setelah begitu teruk dipolitikkan, kini, kesan sepenuhnya sudah dirasai dan kita pula yang terpaksa memikul beban untuk cuba memulihkan persepsi negatif itu,” kata beliau.
Abdul Hamid berkata persepsi negatif orang ramai terhadap badan kehakiman bukan berpunca daripada faktor dalaman badan itu semata-mata, tetapi juga faktor luaran, yang perlu ditangani.
Mengenai pemilihan mereka yang akan dilantik sebagai hakim, beliau berkata kriteria yang perlu diambil kira termasuklah integriti, pengetahuan, kebersihan daripada rasuah, tekun, adil, berpekerti baik dan mampu bekerja.
“Pelantikan sebagai hakim bukan suatu anugerah, bukan separa persaraan, bukan satu penyelesaian bagi sesuatu masalah di tempat lain. Ia bererti bekerja keras, bekerja keras secara jujur,” kata beliau sambil mengungkapkan pepatah Melayu,”Kalau tanam pokok pisang kelat, jangan harap akan dapat pisang emas”.
Abdul Hamid berkata peguam, yang merupakan pihak yang terlibat dalam sesuatu kes mahkamah, petugas media dan orang ramai juga mempunyai peranan yang perlu dilaksanakan.
“Setiap orang perlu jujur apabila berurusan dengan mahkamah. Akhbar perlu melaporkan secara adil dan tepat sesuatu penghakiman mahkamah,” katanya.
– LAGI
Dua Maut Kereta Api Terjunam Ke Sungai Di Tenom
| 09 April, 2008 18:38 PM |
TENOM, 9 April (Bernama) — Dua orang penumpang disahkan terbunuh apabila kereta api yang mereka naiki terjunam ke dalam Sungai Padas, dekat Kampung Tenom Lama, empat kilometer dari Pekan Tenom, hari Rabu.
Butiran mengenai mangsa belum dapati diperoleh. Laporan awal menyebut sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh.
Ketua Polis Daerah Tenom DSP Mazlan Lazim berkata usaha mencari dan menyelamat kesemua penumpang dalam gerabak kereta api berkenaan masih diteruskan.
Sumber daripada Jabatan Keretapi Negeri Sabah di Tenom berkata beberapa orang lagi yang cedera telah dikeluarkan daripada gerabak kereta api itu dan dihantar ke Hospital Tenom.
Kereta api itu yang membawa 41 penumpang (yang membeli tiket) bertolak dari Pekan Tenom ke Beaufort pada 2.50 petang dan dipercayai tergelincir akibat tanah mendap.
Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Tenom mengerahkan sekitar 25 orang anggota dengan sebuah jentera ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.15 petang.
Seorang jurucakap bomba di Tenom berkata anggota tambahan bersama unit skuba sedang dalam perjalanan ke Tenom dari Kota Kinabalu untuk membantu gerakan menyelamat.
– BERNAMA
Pandikar Amin Mulia Speaker Dewan Rakyat
KOTA KINABALU 9 April – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan menjadi Speaker Dewan Rakyat yang baru menggantikan Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Ahli politik veteran Sabah itu ketika dihubungi hari ini memberitahu, pemilihannya dimaklumkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
“Pemilihan ini suatu penghormatan kepada saya dan kepercayaan memikul tanggungjawab ini adalah satu cabaran besar yang akan dipikul sebaik mungkin,” katanya yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 1999 hingga 2002. – Utusan.


