| 09 April, 2008 18:38 PM |
TENOM, 9 April (Bernama) — Dua orang penumpang disahkan terbunuh apabila kereta api yang mereka naiki terjunam ke dalam Sungai Padas, dekat Kampung Tenom Lama, empat kilometer dari Pekan Tenom, hari Rabu.
Butiran mengenai mangsa belum dapati diperoleh. Laporan awal menyebut sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh.
Ketua Polis Daerah Tenom DSP Mazlan Lazim berkata usaha mencari dan menyelamat kesemua penumpang dalam gerabak kereta api berkenaan masih diteruskan.
Sumber daripada Jabatan Keretapi Negeri Sabah di Tenom berkata beberapa orang lagi yang cedera telah dikeluarkan daripada gerabak kereta api itu dan dihantar ke Hospital Tenom.
Kereta api itu yang membawa 41 penumpang (yang membeli tiket) bertolak dari Pekan Tenom ke Beaufort pada 2.50 petang dan dipercayai tergelincir akibat tanah mendap.
Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Tenom mengerahkan sekitar 25 orang anggota dengan sebuah jentera ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.15 petang.
Seorang jurucakap bomba di Tenom berkata anggota tambahan bersama unit skuba sedang dalam perjalanan ke Tenom dari Kota Kinabalu untuk membantu gerakan menyelamat.
– BERNAMA



sia ucapkan takziah kepada yg menemui ajal di tempat kejadian