BERITA MALAYSIA KINI

Pilihan Terbaik Setiap Detik

Arkib bagi April 10, 2008

Apabila Sasterawan Negara dipinggirkan…

malaysia kini
Amin Iskandar | Jan 22, 08 7:43am
12 Januari lalu Berita Harian melaporkan bahawa tiada karya Sasterawan Negara (SN) tersenarai sebagai buku teks baru Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) bagi sekolah menengah yang disemak semula dan dijangka digunakan pada tahun 2010.

Selain daripada itu Pusat Perkembangan Kukurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran turut tidak menyenaraikan puisi, cerpen, novel dan drama penerima Anugerah Penulisan Sea dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), hadiah sastera peringkat negeri dan swasta, baik bertema Islam mahupun kemerdekaan, meskipun diberi perhatian panel pemilih.

Menurut Laporan Berita Harian tersebut, alasan yang diberikan oleh PPK, Kementerian Pelajaran ialah karya-karya SN terlalu berat dan sarat dengan pemikiran, oleh kerana itu ianya sangat sukar difahami oleh pelajar. Jesteru, PPK memilih penulis popular dan teks yang mendapat sambutan bagi menarik minat pelajar dalam Komsas.

Penulis-penulis popular yang akan diangkat karya mereka untuk menjadi teks sastera oleh PPK ialah Ahadiat Akashah, Sharifah Abu Salem dan Mohamad Yazid Abdul Majid a.k.a Zaid Akhtar. Daripada tiga penulis ini, hanya karya Zaid Akhtar yang pernah memenangi hadiah sastera.

DAP: Apa lagi selain negara Islam?

MALAYSIA KINI
Apr 9, 08 4:43pm
Apa lagi isu yang lebih besar daripada hasrat PAS untuk menubuhkan negara Islam di Malaysia? – pengerusi DAP Karpal Singh menjawab  gesaan agar beliau “menutup mulut” daripada mengulas isu tersebut.

ronnie liu dap ceramah klang 020308 sentinelMenteri besar Kedah, Azizan Abdul Razak, hari ini dilaporkan berkata  “saya harap dia (Karpal) jangan bercakap lagi mengenai hal ini jika dia belum benar-benar faham apa itu hukum hudud.”

Menjawab tempelakan itu, Karpal berkata negara Islam menjadi isu
awam yang paling penting kerana Malaysia kini sebuah negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi dan jaminan perlembagaan semua agama boleh diamalkan secara aman dan harmoni.

“Isu ini tidak boleh, dan tidak wajar, disapu bawah permaidani,” katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

“Jika usaha PAS menukar Malaysia menjadi negara Islam menjadi kenyataan, ia bermakna undang-undang hudud akan dikenakan terhadap bukan Islam.”

Kenyataan Karpal ini, yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor, siri terbaru dalam perang mulut antara DAP dengan PAS susulan cadangan penubuhan Pakatan Rakyat pada 1 April.

Azizan menggesanya tidak meneruskan isu itu selepas Karpal menjawab kenyataan menteri besar Kelantan, yang juga mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Aziz pada Ahad.

klang campaign 030308 indian man with pas flagBerikut rentetan ‘perang mulut’ dua parti pembangkang itu:

1 April: Tiga pemimpin utama pembangkang mengumumkan cadangan penubuhan Pakatan Rakyat. Pengumuman itu disertai penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang.

2 April: Timbalan menteri besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakub dilaporkan berkata “PAS wajar menjadi tunjang kepada pakatan itu sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuhkan sebuah Negara Islam.”

3 April: Kenyataan ini disokong Pemuda PAS Kelantan.

4 April: Merujuk kenyataan Ahmad dan setiausaha presiden PAS, Roslan Shahir Mohd Shahir, Kit Siang berkata PAS belum mengambil iktibar krisis dalam Barisan Alternatif sehingga mendorong DAP meninggalkan pakatan tersebut pada 2001

5 April: Pengerusi DAP Karpal Singh menggesa Abdul Hadi bertanggungjawab atas kenyataan Ahmad.

Karpal dilaporkan berkata: “Bagaimana mungkin PAS menjadi tunjang kepada Pakatan Rakyat jika kerusi parlimen yang dimenangi mereka adalah yang paling sedikit jumlahnya berbanding DAP dan PKR.”

6 April: Menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mendakwa Karpal memperkecil-kecilkan usaha PAS mempromosikan pentadbiran Islam di negeri itu.

Kenyataan Ahmad, setakat ini, menerima dukungan Pemuda PAS, sekurang-kurangnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

karpal singh parliament 1506047 April: Karpal menafikan tuduhan Nik Abdul Aziz. Karpal berkata: “Saya tidak pernah, pada bila-bila masa pun, memperkecil-kecilkan Islam.

“Kami tidak berbalah dengan PAS melainkan berhubung ideologi asas parti itu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam dan memperkenalkan undang-undang hudud.”

Ahmad – yang dilaporkan memulakan kenyataan kontroversi itu minggu lalu – berkata beliau tidak bermaksud memaksa DAP dan PKR menerima PAS sebagai teras utama Pakatan dan menyalahkan media atas kekeliruan yang berlarutan.

Datuk Husam Musa, naib presiden PAS dan exco Kelantan, memberi jaminan negara Islam hanya menjadi idealisme parti itu dan tidak terdapat dalam agenda Pakatan Rakyat.

8 April: Pemuda PAS Kedah meminta Karpal tidak membesar-besarkan isu tersebut, sementara menteri besarnya Azizan Abdul Razak menggesa pengerusi DAP tidak bercakap sesuatu isu yang tidak difahaminya, termasuk isu hudud.

Operasi Lalang dari kacamata Sanusi Junid

KL POS.COM
Oleh Helme Hanafi
Khamis, 10 April 2008
“Dosa seperti bintang di langit, lebih bercahaya dari gelapnya malam,”.

SAYA tidak ingat dari drama Shakespeare yang manakah petikan itu di ambil, tetapi yang ingin disampaikan adalah satu kesilapan diingati lebih dari seribu budi yang ditabur. Setidak-tidaknya bila mengenang legasi Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sepanjang 22 tahun Dr Mahathir memerintah negara, ada ribuan kebaikan yang dilakukannya. Namun yang dipilih untuk dikenang hari ini adalah beberapa kekhilafannya (pada sesetengah pihak) dan salah satunya adalah Operasi Lalang.

Operasi Lalang versi Wikipedia

WIKIPEDIA menjelaskan Operasi Lalang atau Weeding Operation; dilancarkan pada 27 Oktober 1987 oleh polis Malaysia / Kementerian Dalam Negeri bagi menangkap mereka yang mengeruhkan suasana politik 1987.Nasib baik hujan lebat semasa perhimpunan

Dalam Operasi Lalang ini, 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah ISA dan pembatalan dua akhabar harian berlesen, The Star dan Sin Chew Jit Poh serta dua akhbar mingguan, The Sunday Star dan Watan.

Ada banyak versi mengapa ianya berlaku, dan versi popular adalah berkaitan dengan isu-isu sensitif yang dimainkan oleh surat khabar Cina dan dibalas dengan surat khabar Melayu antaranya adalah kenyataan orang besar MCA waktu itu, Lee Kim Sai yang mengatakan ‘Melayu pun pendatang’. Hak keistimewaan Bumiputera dipertikaikan semula.

Menurut Wikipedia, Anwar Ibrahim selaku Menteri Pendidikan ketika itu mahu melancarkan perhimpunan rasaksa (500,000) di Kuala Lumpur bagi menyambut ulang tahun UMNO ke-41.

Dato Zaman Khan selaku Pengarah Keselamatan Dalam Negeri tidak senang dengan perhimpunan yang dirancang oleh UMNO itu.

Siaran waktu pagi, Dato Zaman Khan mengumumkan di radio akan kejadian ‘huru-hara’ di Jalan Chow Kit di mana Prebet Adam dari Kem Tentera Ulu Kinta telah membunuih dua orang Cina dengan senjata rifle M16.

Berikutan itu, perhimpunan raksasa telah dibatalkan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Menteri Dalam Negeri.

Operasi Lalang versi Sanusi

ITU versi Wikipedia, namun ketika menemui Tan Sri Sanusi Junid baru-baru ini, KLpos.com diberkan versi lain, dan kata Sanusi, Operasi Lalang ialah operasi polis untuk menahan kita (UMNO) dari mengadakan rapat raksasa di Stadium Merdeka.

“Waktu itu orang ramai hendak datang dari seluruh negara sehingga ada yang kata akan mencecah satu juta orang,” katanya.

Menurutnya, beliau memang mahukan rapat raksasa tersebut diadakan. Tetapi, “Polis datang untuk menahan kita (UMNO) dari mengadakan rapat raksasa itu. Ada pegawai polis waktu itu yang saya kenal, kata kepada saya, kalau awak buat juga, polis tidak setuju, polis akan tangkap awak,”

“Saya pun hendak ditangkap, kerana apa? Kerana saya pengerusi yang pergi kempen satu Malaysia untuk diadakan rapat raksasa. Saya hendak rapat raksasa, tapi bila polis suruh batalkan, saya batalkan.”

“Tiba-tiba polis tengok, bukan saya saja hendak buat rapat raksasa, tapi ada pihak lain pun hendak sama, dan mereka hendak buat kacau, jadi waktu itu polis tangkap.

“Semasa itu polis yang buat keputusan untuk menjaga keamanan negara. Mungkin ada seorang dua yang tersilap tangkap, kemudiannya dilepaskan.

Kenapa mahu rapat raksasa?

“Itu bukan kerja kita. Dan satu soalan yang kita kena tanya juga, kenapa waktu itu kita hendak buat rapat raksasa? Kerana waktu itu kita hendak menjaga kepentingan UMNO, untuk menjaga kekuatan orang Melayu. Bagi membuktikan Melayu itu bersatu.

Perhimpunn di Stadium TPCA sebelum Operasi Lalang

“Apa perlu rapat itu kerana sebelum itu ada usaha untuk memindahkan kuasa orang yang hendak minta kerakyatan daripada Menteri Dalam Negeri (ketika itu Dr Mahathir Mohamad) kepada Mahkamah.

“Kerana sekarang ini Menteri Dalam Negeri yang memutuskan orang ini jadi rakyat, orang ini tidak jadi rakyat. Itu hak dalam perlembagaan. Menteri Dalam Negeri yang melaksanakan.” Katanya.

Dan pada Sanusi, beliau perlu menjelaskan semua ini, termasuk mengenai Operasi Lalang kerana, “Jadi kalau saya tidak jawab, tidak ada orang lain mahu jawab,”.

Pengajaran dari Operasi Lalang

OPERASI Lalang ini menimbulkan kontroversi kerana mereka yang ‘bersalah’ terlepas. Sebaliknya pemimpin pembangkang yang berada di tepi ‘arus’ telah ditangkap dan dipenjarakan di Kem Tahan Kamunting Taiping selama 2 tahun atau lebih.

Dari 106 yang ditahan, 40 orang terpaksa merengkok di Kem Tahanan di Kamunting selama dua tahun, dan kebanyakkan mereka adalah pemimpin pembangkang.

Saya (penulis) kira di sinilah punca mengapa Operasi Lalang yang dilaksanakan atas tujuan keselamatan, yang baik, tetapi dianggap satu operasi politik, yang buruk, untuk melemahkan pembangkang.

Sebuah ketidakadilan. Yang dibenarkan berlaku, biarpun puluhan tahun lalu, akan terus dikenang sebagai ketidakadilan. Dan Dr Mahathir, Perdana Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri sewaktu Operasi Lalang diadakan, adalah individu yang menandatangani perintah tahanan, perlu menanggungnya, bersendirian atau berkumpulan.

Semoga Abdullah, dan mereka yang berkuasa, belajar dari titik hitam ini.

Hadi Awang stabil, Ahmad Said antara yang datang melawat

KL POS.COM Cetak E-mail
Oleh Bernama
Khamis, 10 April 2008
KT: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, 61, yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HZNZ) pagi tadi akibat serangan penyakit angin ahmar ringan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Anak sulung kepada anggota Parlimen Marang dan anggota Dewan Undangan Negeri Ru Rendang itu, Muhammad Khalil, berkata bapanya sedang berehat dan meminta para penyokong tidak risau dengan keadaan kesihatannya.

“Datuk Seri Tuan Guru (Abdul Hadi) dalam keadaan stabil dan pihak hospital meminta supaya beliau berehat buat seketika waktu sehinggalah beliau diizinkan untuk keluar hospital.

“Beliau juga berpesan supaya penyokong PAS jangan risau dengan keadaan kesihatannya kerana keadaannya stabil dan meminta semua ahli dan penyokong PAS supaya berdoa agar Allah s.w.t dapat menyembuh penyakitnya secepat mungkin supaya dapat terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di HSNZ di sini, Khamis.

Muhammad Khalil, 31, berkata bapanya diserang penyakit itu kira-kira pukul 5 pagi tadi, ketika bangun untuk bersahur bagi berpuasa sunat sebelum memberitahu anggota keluarga tentang perkara itu.

Beliau berkata bapanya dibawa HSNZ kira-kira pukul 7.30 pagi oleh anggota keluarganya.

Katanya doktor yang melakukan pemeriksaan terhadap kesihatan bapanya meminta beliau supaya lebih banyak berehat.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, walaupun ada menghidap penyakit darah tinggi, bapanya itu tidak menunjukkan tanda-tanda kurang sihat dalam tempoh beberapa hari lepas.

“Ini merupakan kali pertama beliau terkena serangan penyakit ini,” katanya.

Sebelum itu, Muhammad Khalil turut menafikan laporan sebuah akhbar utama tempatan yang disiarkan secara online yang menyatakan Abdul Hadi terkena serangan penyakit jantung.

Antara kenamaan yang melawat Abdul Hadi di hospital ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said dan Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Mustafa Ali.

Krisis 1988: Karpal dedah surat Mahathir

MALAYSIA KINI
Apr 9, 08 8:45pm
Pengerusi DAP Karpal Singh mendedahkan dua pucuk surat antara beliau dengan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung tuduhannya bahawa mantan perdana menteri itu bertanggungjawab dalam tragedi kehakiman 1988.

judiciary forum lingam tape 171107 salleh abbas palace of justicDalam suratnya, Karpal mendakwa Dr Mahathir telah menyalahgunakan peruntukan Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk menubuhkan dua tribunal bagi membicarakan ketua hakim negara waktu itu Tun Mohd Salleh Abbas dan hakim-hakim kanan.

“Pada pandangan saya, anda seorang diri telah memusnahkan badan kehakiman yang sehingga kini (imej baiknya di rantau ini) gagal dipulihkan,” surat Karpal tanggal 27 Mac dipetik.

“Jadi wajarlah sangat anda memohon maaf. Tindakan anda telah menyebabkan hakim-hakim itu dan anggota-anggota keluarga mereka keperitan dan kepayahan yang sukar digambarkan.”

Surat ini dikirim susulan keengganan Dr Mahathir berbuat demikian beberapa hari sebelumnya apabila wujud cadangan agar kerajaan BN memohon maaf kepada Salleh dan hakim-hakim itu atas tragedi 20 tahun lalu.

courtCadangan itu, pertama kali disarankan menteri baru di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, ditolak oleh kabinet.

Bagaimanapun, Karpal mencadangkan Dr Mahathir – bukan pentadbiran perdana menteri kini Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi – memikul tanggungjawab memohon maaf atas krisis tersebut kerana ia terjadi sewaktu pentadbirannya.

Dr Mahathir bagaimanapun enggan berbuat demikian seperti gesaan Karpal, yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor, secara terbuka dan juga melalui surat peribadi itu.

Malah, dalam jawapannya melalui surat bertarikh 3 April, Dr Mahathir menggelarkan peguam terkenal itu “the most contemptible of politicians and individuals” (orang dan ahli politik yang paling hina).

“Anda dan penentang saya tidak pernah mahu percaya walau apa pun penjelasan saya. Anda didorong oleh kebencian semata-mata dan saya tidak boleh menjawab kepada mereka yang enggan menerima kenyataan.

“Saya menjalankan tugas dalam bidang dan tanggungjawab saya, dan saya tidak terhutang untuk memohon maaf kepada sesiapa,” tulis Dr Mahathir.

“Saya pasti anda akan menggunakan surat ini untuk mencemarkan lagi nama saya. Itu terpulang kepada anda. Itu menjadi hak anda. Saya fikir andalah orang dan ahli politik yang paling hina.”

Empat Adun BN Kedah sertai PAS?

MALAYSIA KINI
Muda Mohd Noor | Apr 10, 08 12:18pm
Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Kedah didakwa telah mengadakan rundingan untuk menyertai PAS baru-baru ini.

Pertemuan mereka dengan seorang anggota exco negeri itu  “menampakkan tanda-tanda positif”.

Keempat-empatnya berjumpa dengan Amiruddin Hamzah selama 80 minit di satu tempat yang dirahsiakan, lapor satu blog politik Kedah.

Tiga Adun terbabit didakwa akan mendapat jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) dalam anak syarikat kerajaan negeri dengan tawaran gaji yang lumayan.

Manakala seorang lagi Adun ditawarkan jawatan datuk bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Namun, menurut blog tersebut lagi, tawaran jawatan datuk bandar MBAS mendapat tentangan sekumpulan pemimpin PAS yang lebih berminat meletakkan pegawai daerah Kota Setar, Datuk Wira Ahmad Md Isa untuk jawatan tersebut.

Amiruddin, bagaimanapun, tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan pengesahan mengenai laporan tersebut.

Mesej SMS yang ditinggalkan semalam belum dijawab.

PAS mengambil alih kerajaan negeri Kedah daripada BN setelah menang besar dalam pilihanraya umum  8 Mac.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Umno bahagian Pendang, Datuk Othman Abdul berkata, laporan bahawa ada Adun BN akan menyertai PAS tidak berasas sama sekali.

Katanya kepada Malaysiakini, laporan sedemikian rupa adalah permainan PAS untuk menimbulkan suasana tidak tenang di kalangan penyokong BN khususnya Umno.

“Tiada kedengaran langsung Adun BN mahu menyertai PAS dan kerana itu saya anggap ia laporan yang tidak boleh dipercayai,” katanya.

Ketua penerangan PAS, Mahfuz Omar yang juga ahli parlimen Pokok Sena ketika dihubungi berkata, beliau tidak tahu mengenai laporan tersebut.

“Saya tidak tahu laporan tersebut betul atau tidak,” katanya lagi.

“Kalau (mereka) jumpa PAS, saya tahu. Kalau jumpa Ameruddin, saya tidak tahu.”

PKR: Rundingan lompat parti ‘lancar’

MALAYSIA KINI
Muda Mohd Noor | Apr 10, 08 11:38am
Rundingan PKR dengan ahli-ahli parlimen BN “berjalan lancar” dan perkembangan lompat parti itu akan diumumkan “bila tiba masanya”, kata seorang pemimpin kanan parti pembangkang itu.

“Mereka menunjukkan respon yang positif,” kata naib presiden PKR Azmin Ali.

“Kita tidak menawarkan wang kepada ahli parlimen tersebut tetapi perjuangan untuk membela rakyat dan negara.”

Ahli parlimen Gombak itu berkata, wakil-wakil BN yang bakal menyertai PKR itu bertanggungjawab terhadap pengundi di kawasan mereka.

“Umno tidak lagi relevan kepada orang Melayu dan tindakan wakil rakyat tersebut untuk menjamin survival dan ketuanan Melayu,” katanya lagi.

Tambahnya, ahli parlimen terbabit tidak meletakkan jawatan dan bertanding semula untuk menyertai PKR kerana mempunyai banyak pilihan berbuat demikian.

Menurutnya, PKR tidak mengejar masa untuk membawa masuk ahli-ahli parlimen itu kepada parti pembangkang.

“Apa maknanya mereka terus berada dalam Umno kerana parti itu telah kalah dan tidak lagi diterima rakyat,” tambahnya.

PKR juga, kata Azmin, akan menfailkan petisyen untuk membuktikan penyelewengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam mengendalikan pilihanraya umum 8 Mac.

Beliau mendakwa, pihaknya mempunyai banyak bukti bahawa SPR melakukan penyelewengan dalam pilihanraya umum lalu.

“Kemenangan Barisan Nasional (BN) adalah melalui penipuan SPR,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di Brickfields hari ini.

Tambah Azmin lagi, PKR akan meneruskan tekanan untuk memaksa pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman supaya melepaskan jawatan.

Katanya, PKR telah membincangkan perkara ini dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) baru-baru ini.

anwar ibrahimSementara itu, Azmin berkata kira-kira 10,000 orang dijangka menghadiri majlis sambutan ‘Gelita 14′ yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di ibu negara, Isnin depan.

“Anwar akan menyampaikan ucapan perdana yang pertama selepas pilihanraya umum lalu. PKR juga mengundang pemimpin PAS dan DAP untuk majlis tersebut,” katanya.

‘Gelita 14′ disambut setiap tahun sebelum ini bersempena tarikh Anwar dijatuhkan hukuman bagi kes pertama pada 1999.

Sambutan ini pada tahun-tahun awal 2000-an biasanya bersifat demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur anjuran aktivis Gerakan Reformasi dan penyokong PKR.

Perhimpunan “Menghitung Masa dari Black 14 ke Arah Kemenangan Rakyat” kali ini berbeza, menurut seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR Badrul Hisham Shaharin.

Bila babi jadi bahan politik

HARAKAH DAILY

Ahmad Tajdid
Thu | Apr 10, 08 | 10:55:39 am MYT
Sekonyong-konyong babi mencuri perhatian ramai di Selangor. Belum pun sempat para Exco Kerajaan baru Pakatan Rakyat memanaskan kerusi-kerusi pejabat di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di Shah Alam, sekumpulan penyokong Umno daripada Sepang sudah datang menunjuk perasaan kerana babi.

Sebenarnya babi bukanlah isu baru di Sepang. Sejak puluhan tahun penduduk Melayu di Sepang sudah pun hidup bersama makhluk Allah itu. Mereka sudah terbiasa dengan segala macam masalah yang timbul daripada ternakan babi tidak terkawal di kawasan yang diwakili BN itu.

Bagaimanapun, pengumuman kerajaan negeri untuk meluluskan projek ternakan babi secara moden di situ tiba-tiba mengundang protes. Alasannya, projek itu kononnya bersaiz mega dan boleh memburukkan lagi pencemaran alam sekitar.

Para penduduk di Kampung Tanjung Sepat, Sepang misalnya mendakwa aktiviti ternakan babi yang tidak terkawal di era pemerintahan BN mengakibatkan kemusnahan alam sekitar yang teruk hingga menyebabkan penduduk hilang mata pencarian.

Kegiatan itu menyebabkan perairan sekitar kawasan tersebut tercemar teruk hingga menjejaskan aktiviti nelayan di samping kerosakan harta benda.

Utusan Online memetik kenyataan Pengerusi Persatuan Nelayan Kampung Kundang, Shahamid Sanusi, bahawa aktiviti membuat belacan yang menjadi salah satu punca mata pencarian utama penduduk sukar diteruskan kerana kekurangan udang geragau yang menjadi sumber utama dalam pembuatan belacan.

Semuanya kerana pencemaran najis babi.

Menurut Shahamid, selain Tanjung Sepat, pantai sekitar kampung Tumbuk, kampung Gadong, pekan Tanjung Sepat dan Batu Laut juga terjejas teruk akibat pencemaran sisa buangan najis babi.

Kekurangan udang geragau juga menyebabkan kilang memproses belacan bernilai RM100,000 yang dibina oleh Jabatan Perikanan kini terbiar.

Utusan Online turut memetik kenyataan Ketua Kampung Batu Laut, Bajuri Pakeh yang mendakwa banyak kawasan paya bakau di situ telah musnah akibat pencemaran.

Beliau juga bimbang kemusnahan akan menjadi lebih teruk kerana ramai pengusaha ladang babi kini sedang membesarkan kandang masing-masing.

�Jika tidak dikawal, saya tidak boleh bayangkan apa akan terjadi pada alam sekitar di kawasan ini malah sektor pelancongan termasuk homestay juga akan terjejas,� katanya.

Seorang penduduk, Noridah Endut memberitahu, tanah tepi laut seluas satu hektar milik keluarganya juga telah musnah akibat pencemaran.

�Dahulu kawasan itu pernah digunakan untuk menanam sayur-sayuran selain menjadi tempat berehat sekeluarga. Kini semua kehidupan telah mati dan pasir menjadi hitam,� katanya.

Ketua Unit Peladang Kampung Tanjung Layang, Saharudin Mohd. Said pula berkata, ramai penduduk di kawasan itu terpaksa mencari kerja di luar kampung untuk terus menyara keluarga masing-masing.

��Tinggal di kampung pun tidak ada guna. Bukan boleh turun ke laut lagi,� katanya.

Itulah rungutan para penduduk di kawasan terbabit ekoran legasi penternakan babi tidak terkawal oleh bekas kerajaan BN Selangor.

Jadi apakah langkah penyelesaiannya? Adakah dengan hanya mengeluh dan menunjuk perasaan masalah itu boleh selesai? Apatah lagi ladang-ladang babi yang tumbuh bagai cendawan di daerah Sepang wujud sejak berpuluh tahun lalu di bawah ‘perlindungan’ kerajaan BN?

Pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa kerajaan negeri meluluskan cadangan membina ladang ternakan babi moden di Kampung Tumbuk, Kuala Langat perlu disambut baik penduduk jika mahu isu ini diselesaikan segera.

Kawasan yang dicadangkan juga terletak di kawasan Sepang yang telah pun menjadi tapak utama ladang babi.

Sehubungan itu, wakil-wakil penduduk sepatutnya mengambil inisiatif bertemu dan berbincang dengan kerajaan negeri untuk memberi cadangan dan input berguna bagi mempastikan usaha memusat dan menternak babi secara terkawal ini berhasil.

Para penduduk Melayu di kawasan terbabit perlu lebih berhati-hati dan tidak terikut-ikut dengan hasutan kumpulan desperado politik yang mahu menangguk di air keruh.

Ketika kumpulan desperado ini memerintah negeri, tiada sebarang langkah proaktif diambil bagi menyelesaikan masalah ternakan babi secara berleluasa ini. Malah ternakan babi secara tidak terkawal bukan sahaja berlaku di Sepang, Selangor, malah di Paya Mengkuang, Melaka dan Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan – negeri kubu kuat Umno dan BN.

Sikap tidak bertanggung jawab BN ini diserlahkan lagi oleh kenyataan bekas MB Selangor, Dato’ Seri Mohd Khir Toyo.

Ketika menjawab penjelasan Abdul Khalid bahawa projek itu telah diluluskan oleh kerajaan BN negeri, dan kerajaan Pakatan Rakyat hanya meneruskan apa yang dirancang; Mohd Khir yang kini dilanda sindrom mudah lupa memberi kenyatan berikut:

�Kerajaan negeri dahulu hanya bersetuju meluluskan projek untuk skala kecil, itu pun belum ditetapkan lokasinya.

�Kalau penduduk setempat membantah atau penternak tidak bersetuju, kita akan batalkan projek itu,� katanya dengan muka selamba.

Begitulah tahap kredibiliti beliau di mata umum sama seperti penafiannya terhadap perjanjian perbekalan air yang dimeterai dengan Puncak Niaga (yang didapati merugikan rakyat) sehari sebelum tarikh pilihan raya umum 2008!

Baru sebulan Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Selangor dan babi bukan satu-satunya masalah warisan kerajaan BN negeri yang perlu diselesaikan kerajaan baru. Banyak isu-isu lain yang perlu diberi perhatian utama seperti masalah perumahan rakyat dan pembangunan tidak terkawal yang mencemar alam sekitar.

Tidak seperti bekas kerajaan BN negeri yang angkuh dan sombong bila berhadapan rakyat, kerajaan negeri Pakatan Rakyat pastinya lebih mesra dan mengutamakan kebajikan rakyat.

Demonstrasi perlu bagi menghadapi kerajaan yang angkuh dan enggan menerima pandangan rakyat. Ia jalan penyelesaian akhir yang dibolehkan demokrasi walaupun dimomokkan sebagai ‘haram’ oleh BN dan media yang dikuasai mereka.

Tetapi sebelum berdemonstrasi dan terpengaruh dengan hasutan golongan desperado politik untuk berdemonstrasi, adalah lebih baik untuk para penduduk – rakyat Selangor – untuk berdialog dan menyatakan pandangan mereka kepada kerajaan rakyat yang memerintah.

Rasanya, Menteri Besar dan anggota Exco Kerajaan Negeri tidak keberatan untuk menerima kunjungan para pemimpin masyarakat Melayu Sepang bagi berbincang dan menyelsaikan masalah yang diwarisi daripada kerajaan BN negeri ini.

Khalid Lepas Jawatan Setiausaha Agung PKR

09 April, 2008 23:52 PM

BERNAMA

SHAH ALAM, 9 April (Bernama) — Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari Rabu berkata beliau telah melepaskan jawatan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ahad lepas.

Beliau berkata keputusan itu dibuat pada satu perjumpaan parti bagi membolehkan jawatan itu dipegang oleh mereka yang tidak menjadi anggota Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

“Ya, saya merasakan tiba masanya kita mengambil Setiausaha Agung yang tidak terlibat dengan menjadi Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri supaya dapat fokus untuk parti,” katanya ketika ditanya mengenai perkara itu pada sidang akhbar selepas mesyuarat exco di sini hari ini.

Beliau berkata pucuk pimpinan parti telah menawarkan beliau untuk menganggotai Biro Politik, biro paling tinggi dalam PKR selain menjadi Pengerusi Perhubungan PKR Selangor supaya dapat merencana aktiviti politik parti itu di negeri ini.

Abdul Khalid berkata Datuk Salehuddin Hashim akan menggantikan beliau sebagai Setiausaha Agung parti.

– BERNAMA


Presiden PAS diserang angin ahmar ringan

Oleh Bernama
Khamis, 10 April 2008
KUALA TERENGGANU: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dimasukkan ke Hospital Sultanah Zahirah (HSNZ) di sini pagi ini akibat diserang angin ahmar ringan selepas menunaikan solat subuh di rumahnya di Rusila.

Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali berkata, Abdul Hadi, 61, yang mengadu merasa kebas di bahagian dagunya telah dibawa oleh anggota keluarganya ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Beliau diserang penyakit angin ahmar yang sangat ringan. Semasa saya melawat beliau di HSNZ jam 9 pagi tadi, beliau kelihatan sihat, dapat berbual, malah boleh berjalan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya buat masa ini presiden PAS itu diletakkan dalam pemerhatian doktor dan dijangka dibenarkan keluar hospital beberapa hari lagi.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said turut melawat Abdul Hadi di HSNZ pada kira-kira 8.45 pagi ini sebelum berlepas ke Kuala Lumpur untuk urusan kerja.

Katanya, beliau dimaklumkan tentang kejadian yang menimpa Presiden PAS itu ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

“Beliau boleh bercakap macam biasa, angin ahmar yang ringan sahaja. Saya nasihatkan supaya beliau banyak berehat, ” katanya ketika dihubungi.

Older entries »