JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia menahan dua rakyat Taiwan dan tiga warga Malaysia kerana cuba menyeludup masuk dadah jenis methamphetamines bernilai AS$2.7 juta (RM8.5 juta) ke negara berkenaan Jumaat lalu, kata seorang pegawai kastam semalam.
Ketua Pegawai Siasatan Kastam Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Eko Darmanto berkata, beberapa pegawai kastam menemui lebih daripada 16 kilogram serbuk methamphetamine yang diisi di dalam beberapa bagasi.
Bagaimanapun, kesemua suspek ditahan sebaik sahaja mereka tiba di lapangan terbang tersebut di Jakarta dari Hong Kong.
Pegawai itu berkata, polis menahan tiga rakyat Malaysia yang ditemui membawa 9.4 kilogram methamphetamine dua minggu lalu manakala dua penduduk Taiwan ditangkap kerana memiliki 6.9 kilogram dadah di dalam bagasi mereka malam Jumaat lalu.
“Kami percaya mereka adalah sebahagian daripada sindiket antarabangsa,” katanya.
Dia turut memberitahu bahawa dadah yang diseludup oleh kumpulan tersebut dianggarkan bernilai hampir AS$2.7 juta (RM8.5 juta) di pasaran.
Kelima-lima suspek yang ditahan akan menerima hukuman mati sekiranya didapati bersalah di bawah undang-undang antidadah Indonesia. – AP


