KUALA LUMPUR 15 April – Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mempertimbangkan semula kedudukan Pengerusinya, Datuk Seri Rafidah Aziz dalam Kabinet.
Timbalan Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pergerakan itu masih kesal dengan keputusan menggugurkan Rafidah daripada sebarang jawatan dalam Kabinet sebelum ini.
“Dalam mesyuarat hari ini kita telah berbincang dan memutuskan meminta PM memberi pertimbangan untuk tentukan bahawa Rafidah berada dalam barisan Kabinet,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat pertama pergerakan itu yang dipengerusikan Rafidah di sini hari ini.
Shahrizat berkata, beliau dan Exco pergerakan itu sudah menyuarakan permintaan tersebut kepada Perdana Menteri.
Beliau bagaimanapun, tidak mengulas lanjut mengenai bila permohonan tersebut telah diajukan kepada Abdullah.
Pada 19 Mac lalu, Abdullah yang mengumumkan senarai Kabinet barunya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, tidak menamakan Rafidah semula sebagai seorang daripada jemaah menterinya dengan alasan untuk memberi peluang kepada muka baru.
MengulasSementara itu, Rafidah ketika diminta mengulas permintaan Wanita BN itu berkata, terserah kepada pergerakan itu yang mahu membuat permintaan itu kepada Perdana Menteri.
“Saya tidak mahu komen mengenai permintaan Wanita BN sebab ini adalah apa yang disuarakan mereka sahaja,” katanya.
Rafidah berkata, adalah tidak elok untuknya bercakap mengenai diri sendiri kerana beliau masih Pengerusi Wanita BN dan akan meneruskan apa yang perlu dilakukannya dalam pergerakan itu termasuk juga sebagai Ketua Wanita UMNO.
“Rakan-rakan saya dalam BN mahu membangkitkan perkara ini, jadi mereka minta Shahrizat untuk bercakap. Itu saja, mereka mahu membawa perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Rafidah berkata, Wanita BN akan mengadakan perjumpaan di peringkat pemimpinnya bagi membincangkan mengenai pendekatan terbaru yang akan digunakan bagi membantu ‘merawat’ BN.
“Kita perlu menukar cara kita bekerja terutamanya, di peringkat akar umbi sesuai dengan kehendak semasa terutamanya golongan muda yang hari ini dilihat begitu mempercayai dunia siber khususnya blog.
“Kita akan lihat untuk menjadikan teknologi maklumat sebagai satu cara itu,” katanya.




