BERITA MALAYSIA KINI

Pilihan Terbaik Setiap Detik

Arkib bagi Mei, 2008

Dr. M: ‘Saya keluar, dia masuk’

Mstar Online
30-05-2008 02:32:59 PM

KUALA LUMPUR: “Saya keluar, dia masuk. Baguslah dia sayang Umno.”

Demikian reaksi Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengulas ringkas kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor ke dalam Umno kelmarin.

Ezam telah keluar Umno selepas Dr. Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno pada 1998.

Ezam menyerahkan borang menyertai semula Umno kepada Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin.

Dr. Mahathir yang mengumumkan keluar Umno pada 19 Mei lalu menyatakan demikian pada majlis pameran BookFest@Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, di bawah tulisan bertajuk Umno yang bukan lagi Umno dalam blognya, Dr. Mahathir berkata, sikap dan layanan terhadap diri beliau selepas meletakkan jawatan lima tahun lalu jelas menunjukkan bahawa sebenarnya beliau bukan sahaja dlihat sebagai seorang yang bukan ahli Umno tetapi juga dianggap sebagai musuh Umno.

“Justeru, keluarnya saya daripada Umno hanya “merasmikan” kedudukan saya sebagai bukan ahli Umno,” katanya.

Tambah beliau, apa yang berlaku sejak 2003 tidak menjadi sebab beliau keluar daripada Umno minggu lalu.

“Sebab saya keluar ialah kerana kepimpinan Umno sudah membawa parti keramat ini dan kerajaan pimpinan Umno keluar dari landasan asal perjuangan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Parti Umno tunduk kepada negara-negara asing terutama Singapura. Umno juga tunduk kepada tuntutan puak ekstremis kaum dalam negeri,” katanya.

BN dan Umno kehilangan pengaruh di kalangan pengundi, termasuk ahli dan penyokong kuat Umno sehingga kalah dalam pilihan raya umum ke-12.

Katanya, pemimpin-pemimpin Umno membiarkan negeri-negeri yang tidak pernah dikuasai oleh parti lawan jatuh ke tangan parti lawan – termasuk Kedah.

“Umno dan BN tidak menang dua pertiga daripada kerusi Dewan Rakyat, Umno tidak lagi dihormati oleh Raja-raja Melayu dan bermacam-macam lagi.

“Saya sedih kerana terpaksa keluar daripada parti yang dikenali sebagai Umno tetapi sebenarnya sudah tidak lagi Umno,” katanya.

Dalam kecaman berterusan, tambah beliau: “Arah tuju Umno ditentukan oleh pemimpin tertingginya. Apa yang berlaku kepada Umno mesti dipertanggungjawabkan kepadanya.”

Katanya lagi, beliau percaya bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja telah merosakkan Umno yang sebenar tetapi akan terus menghancurkannya.

“Dan, saya percaya ahli dan pemimpin Umno yang lain tidak berani membetulkan Umno maka saya terpaksa keluar daripada parti ini,” katanya.

Islam hadhari: Mufti ulas Dr Hassan – Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | May 30, 08 7:37pm
Mufti Perlis mencadangkan kerajaan Selangor yang mengharamkan Islam hadhari supaya menilai perkara itu secara objektif dan menerima aktiviti dan dasarnya yang baik.

“Istilah Islam hadhari telah mengelirukan banyak pihak, namun isi kandungannya baik. Malangnya, pelaksanaan isi kandungan itu kurang kelihatan, selebihnya hanya jenamanya sahaja yang diuar-uarkan,” kata Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini.

“Saya mencadangkan kepada pihak yang menolak secara ‘pakej’ (Islam hadhari) supaya menilai dengan objektif, menerima aktiviti yang baik atau dasar-dasar yang baik yang termuat dalam Islam hadhari dan boleh menolak jenama yang mengelirukan itu.”

mohd asri zainul abidin interview 231106 pointMelalui laman webnya ‘Minda Mufti’, beliau mengulas kenyataan exco hal ehwal agama Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali awal minggu ini, termasuk isu pengharaman arak dan hiburan.

Isnin lalu, kerajaan Selangor telah mengarahkan pengharaman sebarang program untuk menyebarkan Islam hadhari, tafsiran agama yang dikembangkan sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

Berucap dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Dr Hassan berkata semua masjid dan surau diarah tidak lagi mengadakan program yang menyentuh konsep Islam yang diperkenal sejak empat tahun lalu.

“Kita haramkan Islam hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup,” katanya.

Mengulas cabaran Dr Hassan agar membuktikan calon-calon PAS, termasuk beliau sendiri, pernah berjanji untuk mengharamkan arak dan judi di Selangor, Dr Mohd Asri mengulas:

Inna lillah wa inna ilaihi raji’un. Saya seakan bermimpi. Suara siapakah yang saya dengar sejak dahulu yang begitu garang menghentam dan mengkritik kewujudan arak dan judi dalam negara ini.

“Aduhai politik dan kerusi terlalu cepat mengubah manusia. Tidak hairan jika ada tokoh yang menyebut: ‘Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik’.”

Jika terus berdepan isu pengharaman dua perbuatan maksiat itu, beliau mencadangkan exco kanan kerajaan Selangor itu menjawab:

“Alangkah baik jika disebut: ‘kita sedang berusaha, atau masih dalam proses, atau mengambil pendekatan yang tersusun, atau sedang meneliti’ atau seumpamanya.”

padu convention 241004 hassan aliDr Hassan, yang juga pesuruhjaya PAS, menafikan parti itu pernah berjanji menutup semua pusat hiburan termasuk kilang arak dalam pilihanraya umum lalu.

Bercakap ketika membuat penggulungan di akhir akhir DUN Selangor, beliau mencabar sebarang pihak agar mengemukakan bukti yang menunjukkan pemimpin PAS pernah membuat janji sedemikian.

“Jika ada yang mendakwa saya dan ahli PAS lain yang membuat janji ini, saya cabar mereka kemukakan, tunjukkan bukti daripada mana-mana sumber.

“Jika mereka ada bukti, sila tunjukkan kepada saya bahawa PAS ada membuat janji-janji ini kerana kita tidak pernah membuat janji sedemikian.”

Gempar berita Yang Dipertua Dewan Rakyat nak letak jawatan… Pak Lah ketawa riang

Agenda Daily



Tidak berapa lama lepas Buletin Utama TV3 Khamis malam menyiarkan berita ura-ura Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia nak meletakkan jawatan jika tidak dapat mengawal karenah Ahli-ahli Parlimen…suasana di lobi Parlimen agak gempar.

Ini kerana waktu itu ada yang ingat berita TV3 berkenaan yang disiarkan itu bermaksud Pandikar Amin nak letak jawatan terus.Bila tersebar cakap-cakap itu maka kebanyakan lain yang tidak melihat berita penuh itu pun kehairanan dan tertanya-tanya sesama sendiri ‘ betulkah?”.

Sepanjang hari sidang sebelum itu tidak terdengar sebarang cerita mengatakan Yang Dipertua Dewan Rakyat dari Sabah itu nak letak jawatan.

Kebetulan semasa kegemparan itu timbul Pandikar Amin berada dalam dewan sedang mempengerusikan hari terakhir Penggal Pertama Mesyuarat Pertama Sidang Dewan Rakyat Ke-12.

Sebaik saja mendengar suasana yang kecoh itu Agendadaily terus berkejar ke pintu Dewan Rakyat yang menghala ke pejabat Yang Dipertua standby untuk mendapatkan komen segera darinya.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) Datuk Seri Tiong King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu nampak resah dan terus berkejar ke dalam Dewan Rakyat bila mendapat khabar mengenainya.

Malah Setiausaha Barisan Nasional Senator Datuk Yaakob Mohamad yang berada di Bilik VIP Ahli Parlimen juga turut terpinga-pinga mendengarnya.

Pandikar Amin menamatkan sidang Dewan Rakyat pada jam 8.35 malam.

Beliau kemudiannya terus berjalan menuju ke bilik rehat Ahli Parlimen.Kebetulan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berada di situ berbual dengan beberapa orang menteri.

Perdana Menteri kelihatan relaks saja berbual macam tak ada hal.

Melihat Pandikar Amin masuk ke bilik VIP itu maka ramai Ahli Parlimen,para pegawai menteri dan pemerhati yang mengerumuni sekitarnya kerana menyangka sesuatu berlaku.

Sebaliknya Pandikar Amin juga duduk sembang relaks saja dengan Abdullah.

Ada sama ketika itu ialah Menteri Kerjaraya Datuk Mohamed Zin Mohd,Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Samad dan Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lay.

Selepas bersembang lebih 10 minit Perdana Menteri,Pandikar Amin dan lain-lain bangun nak pulang.

Agendadaily terus bertanya Abdullah mengenai berita yang tersebar mengatakan berita TV3 menyebut Pandikar Amin nak letak jawatan.

“Mana ada…apa ni,” kata Perdana Menteri sambil tertawa dan melihat pada Pandikar Amin.

Yang Dipertua Dewan Rakyat itu terus memberikan penjelasannya. “ Mereka mungkin tidak faham slanga orang Sabah (bila bercakap dalam bahasa Inggeris)”,katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Pandikar Amin berkata, (pada sebelah siang tadi) memang ada wartawan bertanya kepada beliau sama ada beliau mampu bertahan menghadapi karenah Ahli-Ahli Parlimen pada sesi sidang Dewan Rakyat pertama penggal ke-12 kali ini.

“Saya menjelaskan, saya masih dapat mengawal keadaan, jika suatu masa nanti saya sudah tidak dapat mengawal keadaan, saya akan letak jawatan,” katanya menjelaskan maksud jawapannya kepada soalan yang dikemukakan oleh wartawan berkenaan.

“Saya seronok menjalankan tugas saya…saya akan terus jalankan tugas saya selagi Perdana Menteri mahu saya teruskan tugas ini,” katanya.

Kata-katanya itu terus disambut tepukan gemuruh oleh Abdullah dan para menteri dan mereka yang berada sekitar itu.

Khabar yang mengemparkan itu berpunca dari salah seorang pemerhati sidang di situ yang mendapat panggilan telefon dari rakannya di luar yang memberitahu dia dengar berita TV3 kata Pandikar Amin nak letak jawatan.

Sedangkan maksud sebenar seperti yang disiarkan oleh berita TV3 itu dengan betul ialah seperti apa yang dijelaskan oleh Pandikar Amin.

Rasa terkejut pada peringkat awal oleh kalangan yang mendengar ‘cerita sekerat’ dari pemanggil itu memang tidak dapat dielakan mengenangkan senario politik semasa yang diselubungi oleh dakwaan ada yang nak melompat.

Sementara itu Abdullah ketika ditanya sama ada beliau berpuashati dengan perjalanan sidang Dewan Rakyat yang pertama lepas pilihanraya umum 8 Mac berkata,“saya gembira…malah saya ikuti sidang dari atas (pejabatnya di menara bangunan Parlimen).”

Pandikar Amin ketika menangguhkan sidang Dewan Rakyat membaca serangkap pantun “Kalau ada jarum yang patah jangan disimpan di dalam peti, kalau ada silap dan salah, sama-sama kita perbaiki”. – 29/5/2008

Ramai lagi pemimpin Pemuda PKR sertai Umno?

Mstar Online
30-05-2008 11:25:23 AM
Oleh Sa’odah Elias

KUALA LUMPUR: Lebih ramai pemimpin Angkatan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dijangka mengikut jejak Mohamad Ezam Mohd Nor pulang ke pangkuan Umno.

Sehingga semalam lapan orang termasuk Ezam telah mengemukakan hasrat untuk menyertai Umno.

Menurut bekas setiausaha PKR Selangor Nazmi Rosli, beberapa pemimpin Pemuda negeri itu serta beberapa pemimpin bahagian telah menemui beliau dan Ezam bagi mengadu rasa tidak puas hati mereka terhadap kepimpinan parti itu.

“Kami tidak mencari mereka. Mereka yang datang mengadu kepada kami. Mereka memberitahu pelbagai isu melibatkan pemerintahan PKR peringkat negeri serta pemerintahan kerajaan Selangor di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim yang tidak menyenangkan hati mereka.
“Ini melibatkan isu pelantikan ahli-ahli Majlis dalam Kerajaan Tempatan yang tidak langsung mengambil kira pemimpin-pemimpin peringkat bahagian,” katanya kepada mStar online.

Nazmi mengumumkan hasrat menyertai Umno bersama Ezam dan enam yang lain termasuk Anuar Shaari, bekas setiausaha sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Exco PKR, Khairul Anuar Ramli semalam.

Beliau berkata, kemarahan pemimpin peringkat bahagian kian memuncak sejak akahir-akhir ini, sehinggakan dalam satu mesyuarat PKR Shah Alam, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail telah dimaki oleh ahli-ahli yang hadir.

Nazmi mendakwa beliau juga diberitahu tentang pergeseran dalaman kepimpinan Angkatan Muda PKR Selangor, sehingga berlaku beberapa insiden melibatkan tunjuk perasaan secara aman ketika mesyuarat sedang berjalan baru-baru ini.
Katanya, Khalid, dalam satu pertemuan khas dengan Angkatan Pemuda PKR Selangor baru-baru ini telah diberitahu mengenai rasa tidak puas hati golongan itu, tetapi mengaku tidak dapat berbuat apa-apa bagi mengatasi masalah itu kerana ia melibatkan persetujuan DAP dan Pas.

Beliau turut mendakwa kepimpinan Angkatan Muda PKR Selangor kini mengalami krisis yang mungkin sukar diatasi berikutan campur tangan secara terus oleh Ketua AMK pusat Shamsul Iskandar Mat Akin dalam pemilihan pemimpin.
Selain di Selangor, Nazmi berkata, beliau juga yakin ramai pemimpin dan bekas pemimpin di negeri lain akan berbuat demikian sebaik Ezam memulakan penerangan tentang kepincangan PKR ke seluruh negara tidak lama lagi.

Shahidan enggan lepas jawatan

Utusan

KANGAR 29 Mei – Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar) memberitahu, beliau tidak akan melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis yang disandangnya sejak 1995.

Bagaimanapun menurut bekas Menteri Besar Perlis itu, jawatan itu akan diserahkan kepada mereka yang benar-benar layak jika ada arahan daripada pucuk pimpinan agar beliau berbuat demikian.

“Kenapa saya perlu lepaskan jawatan ini? Saya akan kekal dengan jawatan ini kerana saya tidak ada masalah dengannya. Tetapi kalau ada yang mahu saya lepaskan jawatan ini, saya akan serahkan kepada orang yang benar-benar layak.

“Yang layak pegang jawatan ini adalah ketua bahagian, jadi jika saya lepaskan jawatan ini, ia hanya layak dipegang oleh ketua bahagian lain iaitu (Ketua Bahagian Padang Besar) Datuk Zahidi Zainul Abidin atau (Ketua Bahagian Kangar) Ahmad Bakri Ali,” katanya.

Shahidan berkata, buat masa ini tiada sebab untuk beliau melepaskan jawatan itu kepada orang lain terutama orang itu pula bukan salah seorang Ketua UMNO Bahagian di Perlis.

Kenyataan beliau itu merujuk kepada Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu yang dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baru menggantikan Shahidan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Berikutan pelantikan Md. Isa itu, terdapat gesaan supaya Shahidan melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan jawatan itu diberikan kepada Md. Isa bagi memastikan proses pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar.

Bagaimanapun, Md. Isa tiada sebarang jawatan dalam parti di Perlis.

Shahidan berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan terkini UMNO Perlis selepas sesi taklimat tataetika UMNO kepada pemimpin UMNO Perlis oleh Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada bakal mengikut jejak bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu kelmarin.

Idris melepaskan jawatannya atas alasan mahu memperkukuhkan perpaduan parti di negeri itu yang kini diterajui Menteri Besar yang baru, Datuk Ahmad Said.

Perlis mempunyai tiga bahagian iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau. Shahidan adalah Ketua UMNO Bahagian Arau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang.

Tiada lagi ahli PKR sertai UMNO

Utusan

KUALA LUMPUR 29 Mei – Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin tiada lagi ahli parti itu akan mengikut jejak langkah bekas Ketuanya, Mohamad Ezam Mohd. Noor untuk menyertai UMNO.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohamad Akin berkata, tiada sesiapa akan terpengaruh dengan Mohamad Ezam kerana beliau tidak lagi relevan kepada politik Malaysia dan PKR sendiri.

”Saya yakin tiada ahli PKR khususnya Angkatan Muda akan mengikut jejak langkah beliau.

”Ini kerana kepimpinan muda PKR di negeri-negeri telah menyatakan mereka komited dengan perjuangan untuk melakukan perubahan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Mohamad Ezam yang merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan dari 1996 hingga 1998 menyerahkan borang menyertai UMNO kepada Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.

Shamsul Iskandar menegaskan, pihaknya yakin dapat meraih sokongan rakyat walaupun tanpa sokongan bekas ketuanya seperti yang dibuktikan pada pilihan raya umum lalu.

”Ketika pilihan raya baru-baru ini beliau sudah tidak lagi menjadi ahli PKR tetapi anggota Angkatan Muda mencatatkan kemenangan yang baik dengan meraih lapan kerusi Parlimen.

”Saya ucap tahniah kepada UMNO kerana sudi mengambil kawan-kawan seperti saudara Ezam untuk masuk semula ke dalam parti itu,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan keputusan itu walaupun Mohamad Ezam memilih UMNO dan bukannya Pas.

”Selamat maju jaya. Itu hak peribadi dia sebagai rakyat Malaysia yang bebas,” katanya.

UMNO perlu adil terima semula ahli

Utusan

KOTA KINABALU 29 Mei – UMNO perlu berlaku adil kepada semua ahli yang pernah dipecat atau dikenakan tindakan disiplin jika mereka ingin masuk semula ke dalam parti, sama seperti bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor yang diterima tanpa syarat.

Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh berkata, jika Mohamad Ezam sebelum ini pernah menentang UMNO dan diterima semula secara terbuka, bekas-bekas ahli lain yang ingin kembali ke pangkuan parti perlu diberi peluang sama.

”UMNO perlu adil kepada semua ahlinya yang pernah dipecat atau dikenakan tindakan disiplin. Kita tidak mahu hanya kerana Ezam bekas Ketua Pemuda PKR, UMNO menerimanya semula.

”Kita berharap beliau ikhlas menyertai UMNO dan bukan kerana ada agenda peribadi. UMNO adalah parti politik dan bukan parti main-main, bila-bila masa boleh masuk dan keluar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kemasukan Mohamad Ezam ke dalam UMNO selepas meninggalkan parti pada tahun 1999.

Mohamad Ezam menyerahkan borang permohonan keahlian seumur hidup kepada Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen, semalam.

Ghapur yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata, sebagai sebuah parti yang berwibawa, UMNO seharusnya tidak bersikap pilih kasih dalam menilai hasrat seseorang yang berada di luar parti untuk kembali kepada perjuangan asal.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Mohamad Ezam melihat UMNO lebih baik daripada parti pembangkang menyebabkan beliau kembali semula menyertai parti yang pernah ditinggalkannya.

”Mungkin itu yang istimewanya. Tetapi apa yang paling utama ahli UMNO di semua peringkat perlu mencontohi kepimpinan terdahulu yang meletakkan agenda perjuangan parti melebihi kepentingan peribadi.

”Ahli UMNO perlu lebih bersemangat dengan cabaran yang dihadapi dan semua pihak harus mempertingkatkan peranan dan prestasi masing- masing untuk mendampingi rakyat,” tegasnya.

MT tidak akan pujuk Dr. Mahathir

Utusan

KANGAR 29 Mei – Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak akan memujuk Tun Dr. Mahathir Mohamad kembali kepada parti tersebut selepas bekas Perdana Menteri itu bertindak keluar daripada UMNO baru-baru ini.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, MT hanya mengambil maklum keputusan yang dibuat oleh bekas Presiden UMNO itu.

“Kita tidak akan pujuk. Mungkin Tun lebih faham dan tahu. Cuma kita harapkan beliau akan kembali semula kepada UMNO.

“Pintu UMNO masih terbuka untuk beliau, sebab itu MT buat begitu (ambil maklum) sahaja. Kita tidak halang atau nak pujuk beliau,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat tataetika kepada pemimpin UMNO Perlis di sini hari ini.

Dr. Mahathir mengumumkan keluar daripada parti UMNO pada 19 Mei lalu atas alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Muhyiddin berkata, MT juga tidak ada berbincang sama ada mahu memujuk Dr. Mahathir sejurus bekas Perdana Menteri itu mengumumkan keluar parti.

Pengakuan bekas setiausaha sulit Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR 29 Mei – Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari menegaskan tindakannya menyertai UMNO bukan kerana hanya setakat hilang kepercayaan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi juga terhadap penasihat parti itu sendiri.

Beliau yang berkhidmat dengan Anwar ketika Penasihat PKR itu menjadi Menteri Kewangan, berkata, sebab itu apabila bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut kembali aktif dalam politik, beliau bertindak keluar daripada parti yang telah disertainya sejak dari awal penubuhannya lagi.

Bagaimanapun Anuar enggan mendedahkan sebab beliau hilang kepercayaan terhadap Anwar.

“Saya akan cuba mencari kepercayaan tersebut di dalam UMNO. Saya yakin dengan kepimpinan sekarang sebab itu saya masuk UMNO.

“Saya hanya mohon sebagai ahli biasa untuk berkhidmat kepada parti dan negara,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Timbalan Perdana Menteri di sini hari ini.

Anuar juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua PKR Bahagian Permatang Pauh sebelum mengisytiharkan keluar PKR lebih setahun lalu.

Turut menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Presiden UMNO ialah bekas Ketua Angkatan Muda PKR Kedah, Khairul Anuar Ramli.

Ketika ditanya mengenai persepsi bahawa pola kemasukan bekas pemimpin PKR ke dalam UMNO adalah kerana adanya ganjaran tertentu, Anuar berkata: ”Itu hanya persepsi. Sama sekali tidak ada (ganjaran). Kita masuk atas dasar kesedaran dan keinsafan.”

Sementara itu, Khairul Anuar berkata, keyakinannya terhadap Anwar hilang selepas berpeluang melihat sendiri tindak-tanduk Penasihat PKR itu.

“Sikap Anwar bercakap dengan DAP lain, dengan Pas lain, itu yang membuatkan saya hilang kepercayaan pada parti ini.

“Saya ingat PKR ini satu wadah bagi rakyat tetapi apabila saya mengalami sendiri dalam situasi tersebut, itu membuatkan saya hilang keyakinan ke atas pemimpin yang sebegitu rupa,” jelasnya.

Sementara itu, kedua-dua bekas pemimpin PKR tersebut melahirkan keyakinan lebih ramai lagi ahli dan bekas ahli parti berkenaan akan menyertai UMNO.

Menurut Anuar, kemasukan itu akan berlaku sedikit demi sedikit sebelum ia bertukar sebagai gelombang tidak lama lagi.

”Saya lebih suka mereka masuk kerana kesedaran dan insaf, bukan kerana mengikut saya,” ujarnya.

Kemasukan Ezam boleh beri manfaat segera

Utusan

KUALA LUMPUR 29 Mei – Kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor ke dalam UMNO dilihat boleh memberi manfaat segera kepada parti dalam konteks politik semasa.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini kerana ketika rata-rata bercakap mengenai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan menyertai pembangkang tetapi sebaliknya pula berlaku.

”Jika dulu kita menari ikut gendang Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat PKR), dia buat ramalan orang lompat parti, kerajaan akan bertukarlah tetapi akhirnya yang melompat orang dia juga.

”Justeru soalan pertama dari tiga soalan yang saya kemukakan berhubung kemasukan Mohamad Ezam iaitu mengenai manfaat? Ya, memang ada kerana ketika rata-rata bercakap orang UMNO tak setia tapi yang berlaku sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa anggota Exco Pemuda UMNO di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Berita mengenai kemasukan semula Mohamad Ezam ke dalam UMNO mula timbul beberapa minggu lalu dan hanya semalam terjawab apabila beliau tampil di bangunan Parlimen menyerahkan borang keahlian kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara itu, berhubung soalan keduanya mengenai keikhlasan Mohamad Ezam, Hishammuddin berkata, perkara tersebut telah dijelaskan oleh Abdullah yang menyatakan bekas pemimpin PKR itu ikhlas menyertai semula UMNO.

”Dari segi keikhlasan, ini telah dijawab oleh Perdana Menteri semalam dan Yang Amat Berhormat telah berpuas hati setelah berbincang dengan saudara Ezam,” jelasnya.

Mengulas mengenai soalan ketiganya, Hishammuddin berkata, beliau menyerahkan kepada ahli untuk menilai soalan tersebut berhubung sumbangan dan peranan Mohamad Ezam kepada UMNO.

Katanya, Pemuda UMNO mahu melihat sejauh mana rangkaian badan bukan kerajaan dan aktivis yang mampu dibawa oleh Mohamad Ezam dalam menjayakan agenda memperkukuhkan integriti, kehakiman dan menentang rasuah.

”Dari segi tiga soalan tadi memang memberikan sedikit ruang untuk saya berjumpa Ezam kerana perjuangan kita jauh dan nak tengok apa sumbangan dia pada parti,” ujarnya.

Mengenai soal keghairahan dengan kemasukan Mohamad Ezam ke dalam UMNO, Hishammuddin menjelaskan bahawa keghairahan sebegitu tidak ada.

”Bagi saya secara peribadi sedikit sebanyak ada timbul tanda tanya dan saya sendiri terima banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) tetapi saya beritahu kepada yang hantar SMS itu yang orang UMNO akhirnya tahu siapa pemimpin yang akan dinaikkan dan pemimpin mana yang akan mereka turunkan.

“Akhirnya cakap macam mana pun orang UMNO tahu siapa orang yang boleh dipercayai untuk meneruskan perjuangan,” katanya.

Sementara itu, di MUAR Ketua Pemuda UMNO Johor, Razali Ibrahim bersikap terbuka dan sedia menerima kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor ke dalam parti itu.

Katanya, penyertaan Mohamad Ezam perlu bagi memperkuatkan lagi UMNO kerana parti itu memerlukan penyertaan semua pihak termasuk pemimpin, ahli akar umbi dan rakyat biasa.

“Usaha membina kemantapan negara bukan hak sesiapa dan tiada individu yang boleh melakukannya seorang diri.

“Untuk itu, kita mengamalkan sikap terbuka asal sahaja mereka yang menyertai UMNO ikhlas, jujur dan amanah,” ujarnya.

Pemuda UMNO negeri bagaimanapun menuntut agar kepercayaan dan kesudian itu tidak dipermainkan atas dasar kepentingan dan perasaan peribadi, katanya.

Older entries »