BERITA MALAYSIA KINI

Pilihan Terbaik Setiap Detik

Kemasukan Ezam boleh beri manfaat segera

Utusan

KUALA LUMPUR 29 Mei – Kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor ke dalam UMNO dilihat boleh memberi manfaat segera kepada parti dalam konteks politik semasa.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini kerana ketika rata-rata bercakap mengenai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan menyertai pembangkang tetapi sebaliknya pula berlaku.

”Jika dulu kita menari ikut gendang Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat PKR), dia buat ramalan orang lompat parti, kerajaan akan bertukarlah tetapi akhirnya yang melompat orang dia juga.

”Justeru soalan pertama dari tiga soalan yang saya kemukakan berhubung kemasukan Mohamad Ezam iaitu mengenai manfaat? Ya, memang ada kerana ketika rata-rata bercakap orang UMNO tak setia tapi yang berlaku sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa anggota Exco Pemuda UMNO di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Berita mengenai kemasukan semula Mohamad Ezam ke dalam UMNO mula timbul beberapa minggu lalu dan hanya semalam terjawab apabila beliau tampil di bangunan Parlimen menyerahkan borang keahlian kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara itu, berhubung soalan keduanya mengenai keikhlasan Mohamad Ezam, Hishammuddin berkata, perkara tersebut telah dijelaskan oleh Abdullah yang menyatakan bekas pemimpin PKR itu ikhlas menyertai semula UMNO.

”Dari segi keikhlasan, ini telah dijawab oleh Perdana Menteri semalam dan Yang Amat Berhormat telah berpuas hati setelah berbincang dengan saudara Ezam,” jelasnya.

Mengulas mengenai soalan ketiganya, Hishammuddin berkata, beliau menyerahkan kepada ahli untuk menilai soalan tersebut berhubung sumbangan dan peranan Mohamad Ezam kepada UMNO.

Katanya, Pemuda UMNO mahu melihat sejauh mana rangkaian badan bukan kerajaan dan aktivis yang mampu dibawa oleh Mohamad Ezam dalam menjayakan agenda memperkukuhkan integriti, kehakiman dan menentang rasuah.

”Dari segi tiga soalan tadi memang memberikan sedikit ruang untuk saya berjumpa Ezam kerana perjuangan kita jauh dan nak tengok apa sumbangan dia pada parti,” ujarnya.

Mengenai soal keghairahan dengan kemasukan Mohamad Ezam ke dalam UMNO, Hishammuddin menjelaskan bahawa keghairahan sebegitu tidak ada.

”Bagi saya secara peribadi sedikit sebanyak ada timbul tanda tanya dan saya sendiri terima banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) tetapi saya beritahu kepada yang hantar SMS itu yang orang UMNO akhirnya tahu siapa pemimpin yang akan dinaikkan dan pemimpin mana yang akan mereka turunkan.

“Akhirnya cakap macam mana pun orang UMNO tahu siapa orang yang boleh dipercayai untuk meneruskan perjuangan,” katanya.

Sementara itu, di MUAR Ketua Pemuda UMNO Johor, Razali Ibrahim bersikap terbuka dan sedia menerima kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor ke dalam parti itu.

Katanya, penyertaan Mohamad Ezam perlu bagi memperkuatkan lagi UMNO kerana parti itu memerlukan penyertaan semua pihak termasuk pemimpin, ahli akar umbi dan rakyat biasa.

“Usaha membina kemantapan negara bukan hak sesiapa dan tiada individu yang boleh melakukannya seorang diri.

“Untuk itu, kita mengamalkan sikap terbuka asal sahaja mereka yang menyertai UMNO ikhlas, jujur dan amanah,” ujarnya.

Pemuda UMNO negeri bagaimanapun menuntut agar kepercayaan dan kesudian itu tidak dipermainkan atas dasar kepentingan dan perasaan peribadi, katanya.

Tiada komen lagi »

Komen anda

HTML-Tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <pre> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>