Utusan
KANGAR 29 Mei – Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak akan memujuk Tun Dr. Mahathir Mohamad kembali kepada parti tersebut selepas bekas Perdana Menteri itu bertindak keluar daripada UMNO baru-baru ini.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, MT hanya mengambil maklum keputusan yang dibuat oleh bekas Presiden UMNO itu.
“Kita tidak akan pujuk. Mungkin Tun lebih faham dan tahu. Cuma kita harapkan beliau akan kembali semula kepada UMNO.
“Pintu UMNO masih terbuka untuk beliau, sebab itu MT buat begitu (ambil maklum) sahaja. Kita tidak halang atau nak pujuk beliau,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat tataetika kepada pemimpin UMNO Perlis di sini hari ini.
Dr. Mahathir mengumumkan keluar daripada parti UMNO pada 19 Mei lalu atas alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Muhyiddin berkata, MT juga tidak ada berbincang sama ada mahu memujuk Dr. Mahathir sejurus bekas Perdana Menteri itu mengumumkan keluar parti.