SEPANG 5 Jun – Kerajaan dijangka mengumumkan kadar baru cukai jalan pada Bajet 2009 yang akan dibentangkan pada Ogos ini, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat.
Beliau berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah diarah menyediakan butiran lengkap mengenai hasil kutipan cukai bagi semua kategori kenderaan supaya kajian mengenai perkara itu boleh dijalankan.
Menurut beliau, keputusan mengenai pengurangan cukai jalan tertakluk kepada keadaan kewangan kerajaan.
“Kita akan menyerahkan butiran mengenai hasil cukai jalan kepada Kementerian Kewangan tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kompleks Malaysia Airlines Cargo Sdn. Bhd. (MASKargo) di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan Malaysia Airlines System (MAS), Datuk Idris Jala; Pengerusi MASKargo, Datuk N. Sadasivan dan Pengarah Urusan MASKargo, Shahari Sulaiman.
Sementara itu, Tee Keat meminta pengusaha pengangkutan awam khususnya kereta api dan komuter meningkatkan kualiti perkhidmatan menjelang 2009 bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.
“Mereka perlu tunjukkan kemajuan dan penambahbaikan daripada pelbagai segi termasuk dalam perkhidmatan pelanggan, ketepatan masa dan kapasiti penumpang.
“Kita perlu menjadikan pengangkutan awam ini mesra pelanggan dan mewujudkan jaringan antara pelbagai jenis pengangkutan awam yang terdapat di negara ini,” katanya.