BERITA MALAYSIA KINI

Pilihan Terbaik Setiap Detik

Arkib untuk Januari, 2009

Pendaftaran keahlian UMNO secara Online

ABDULLAH Ahmad Badawi, Najib Tun Razak dan Tengku Adnan Tengku Mansor menyentuh bebola kaca sebagai simbolik pelancaran Pendaftaran Ahli UMNO Online di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AHMAD ZAKI JILAN



KUALA LUMPUR 29 Jan. – Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam ini melancarkan sistem pendaftaran keahlian parti secaraonline di lobi Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Menerusi kaedah tersebut, permohonan menjadi ahli UMNO boleh dibuat menerusi laman web www. daftar.umno.org.my.

Majlis pelancaran dilakukan pada kira-kira pukul 8.30 malam iaitu sejurus sebelum berlangsungnya mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti di menara berkenaan.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak; Naib-naib Presiden parti iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam serta ahli-ahli MT.

Individu yang ingin mendaftar keahlian dikehendaki menaip nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat, telefon dan e-mel, negeri, bahagian dan cawangan yang ingin disertai.

Syarat untuk membuat pendaftaran ialah warganegara Malaysia dan kaum Melayu atau bumiputera.

Individu berkenaan juga dikehendaki membuat pengakuan untuk patuh kepada Perlembagaan, peraturan dan segala dasar parti.

http://www.utusan.com.my

Semua sayap parti kekal – Abdullah

KAMPAR 29 Jan. – UMNO tidak akan membubarkan semua sayap parti walaupun langkah itu boleh mengurangkan politik wang, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, ini kerana ketiga-tiga sayap parti iaitu Pergerakan Pemuda, Wanita, Puteri adalah penting kepada parti dan perlu dikekalkan.

“Masalah yang ada hubung kait dengan politik wang, boleh diambil pendekatan-pendekatan lain.

(Bubar sayap parti) pandangan Tengku Ahmad Rithauddeen.

“Pandangan saya adalah penting bagi UMNO mengekalkan Pergerakan Puteri, Putera, Pemuda dan Wanita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Tindakan Desa di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Kuning di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan; dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mahu organisasi UMNO disusun semula iaitu dengan membubarkan kesemua sayap parti termasuk Putera UMNO.

Beliau yakin, langkah itu mampu membanteras gejala politik wang yang kini berleluasa terutama pada musim pemilihan parti.

Abdullah yang juga Presiden UMNO menegaskan, UMNO menyedari masalah politik wang yang melanda parti itu tetapi penyelesaiannya bukan menerusi pembubaran sayap-sayap terbabit.

“Saya memahami mengapa dia (Tengku Rithauddeen) buat demikian, maksudnya, kalau tak banyak sangat jawatan yang dipertandingkan, kuranglah politik wang. Tetapi tidak sampai menghapuskan badan- badan (sayap-sayap) ini,” kata beliau.

Beliau berkata, pemimpin UMNO sentiasa berusaha untuk memastikan politik wang tidak terus berleluasa sehingga akhirnya merosakkan parti itu sendiri.

“UMNO dan pemimpin UMNO pun memang merasai masalah yang timbul oleh sebab politik wang ini. Banyak kenyataan telah dikeluarkan. Kita akan cadangkan apa langkah- langkah yang akan diambil untuk mengurangkannya.

“Saya ingat tak payahlah ini dijadikan sebagai satu polemik pula,” katanya.

http://www.utusan.com.my/

Nizar nafi Nasaruddin ditawar jadi MB

<l
IPOH 27 Jan. – Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menafikan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim melompat parti kerana beliau ditawarkan jawatan Menteri Besar.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak pernah menawarkan sebarang jawatan termasuk Menteri Besar dan Exco kepada bekas Ahli Parlimen Parit itu.

Malah katanya, parti komponen Pakatan Rakyat tersebut juga tidak menawarkan sebarang dana kepada Nasaruddin.

Bagaimanapun, jelas beliau, sebagai ADUN PKR, kerajaan negeri akan menyalurkan dana sebanyak RM200,000 setahun untuk melaksanakan projek- projek kecil di kawasan diwakilinya.

”Mungkin dia kecewa dalam parti dia (UMNO), ini bukan tindakan yang tidak bermoral, (sebaliknya) tindakan ini adalah tindakan yang cerdik,” katanya.

Mohammad Nizar berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan bahawa tindakan Nasaruddin meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai PKR adalah dipengaruhi tawaran-tawaran tertentu.

ADUN Bota dari Umno sertai Pakatan Rakyat

 

 

 

PENASIHAT Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenakan jaket sebagai simbolik penyertaan ADUN Bota, Nasarudin Hashim (kiri) ke dalam parti itu petang ini. Turut memerhatikan ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. – foto The Star oleh AZHAR MAHFOF

 

[DIKEMAS KINI, 4.15 PETANG] PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota di Perak, Datuk Nasarudin Hashim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa hari ini.

 

Ia diumumkan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di ibu pejabat parti itu dekat sini pukul 2.30 petang tadi.

 

Dengan perkembangan ini, Nasarudin yang juga bekas Ahli Parlimen Parit merupakan ADUN pertama dari Barisan Nasional (BN) dan ADUN kedua menyertai PKR sejak 8 Mac lalu.

 

Pada November lalu, ADUN Bebas Ngemah di Sarawak, Gabriel Adit menyertai PKR – salah satu anggota komponen Pakatan Rakyat.

 

Nasarudin juga merupakan bekas Pengerusi Felcra Berhad selama dua tahun sejak Oktober 2006.

 

Nasarudin ketika mengumumkan keputusannya itu berkata, beliau bertindak sedemikian setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota.

 

Nasarudin, 58, berkata, beliau amat yakin dengan kepimpinan PKR yang mempunyai iltizam dan idealisme yang kuat untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.

 

“Setelah mengambil pertimbangan terutamanya melihat perkembangan suasana politik khasnya melihat arah tuju sokongan rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu serta keadaan yang wujud dalam parti dan kepimpinan Umno masa kini, saya dengan ini mengambil keputusan untuk keluar dari Umno dan seterusnya menyertai PKR iaitu salah satu parti dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

 

Bagaimanapun beliau mengakui belum memaklumkan keputusan itu kepada Umno dan akan menulis surat dalam waktu terdekat.

 

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, Nasaruddin menewaskan calon PKR, Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi.

 

Nasarudin dari Umno memperoleh 6,556 undi.

 

Pada pilihan raya umum ke-12, Pakatan Rakyat yang kini memerintah Perak, menguasai 31 kerusi DUN manakala BN pula 28 kerusi.

 

Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, beliau gembira dengan perkembangan itu kerana Nasarudin merupakan seorang tokoh Umno yang penting di Perak terutama dalam Bahagian Parit.

 

“Beliau seorang yang aktif dalam Umno dan dianggap sebagai tokoh bukan sahaja di Bahagian Parit malah mempunyai potensi yang amat besar di Perak,” katanya.

 

Anwar berkata, hal itu merupakan satu anjakan perubahan memandangkan salah satu sebab Nasarudin menyertai PKR adalah atas kehendak rakyat di kawasannya.

 

“Saya melihat ini sebagai satu permulaan baru dan anjakan perubahan dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

 

Ketika ditanya berhubung PKR Pulau Pinang yang mendakwa kerajaan negeri yang dikuasai DAP tidak mengadakan perbincangan dengan parti itu sebelum membuat sesuatu keputusan, Anwar berkata, beliau telah menerima laporan berhubung perkara itu daripada kerajaan negeri pagi tadi.

 

“Itu adalah isu di peringkat kerajaan negeri. Kita akan adakan perbincangan di peringkat Pakatan Rakyat di Pulau Pinang,” katanya.

http://www1.mstar.com.my/ 

Tiga didakwa rasuah

 


Junaidi Abdul Hamid didakwa memberikan RM200 kepada Noranizah Abd. Hamid di Coffee House, Tingkat 1, Hotel Grand Season di Kuala Lumpur pada pukul 8 malam, 13 September 2008.
Johari Ibrahim didakwa memberi suapan wang tunai RM200 kepada Nadiah Roslan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar, kira-kira pukul 12 tengah hari, 1 November lalu.
Azman Noh didakwa memberi RM300 kepada Davad @ Daud Parman di sebuah rumah beralamat No. 10A, Kampung Sungai Ramai, Ayer Tawar pada pukul 12 malam, 11 Oktober 2008.



KUALA LUMPUR 22 Jan. – Tiga termasuk dua pemimpin UMNO dihadapkan ke mahkamah hari ini atas dakwaan rasuah pada pemilihan peringkat bahagian parti itu tahun lalu.

Ketiga-tiga mereka dituduh memberi suapan wang tunai bagi mendapatkan undi pada pemilihan tersebut.

Di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini seorang guru penolong kanan mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi rasuah RM400 kepada dua ahli parti itu bagi pemilihan ketua dan timbalan ketua UMNO bahagian Raub pada September tahun lalu.

Junaidi Abdul Hamid, 45, yang juga ahli UMNO bahagian itu didakwa melakukan perbuatan itu dengan memberikan RM200 kepada Noranizah Abd. Hamid yang juga adik iparnya di Coffee House, Tingkat 1, Hotel Grand Season di sini pada pukul 8 malam, 13 September 2008.

Wang itu dikatakan sebagai dorongan agar Noranizah mengundi Datuk Mustafar Kamal Ab. Hamid sebagai Ketua dan Datuk Abdullah Bakar sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Raub.

Junaidi turut didakwa merasuah Adnan Samad sebanyak RM200 atas tujuan yang sama di hotel berkenaan.

Hakim Rosbiahanim Arifin membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan 23 Mac ini untuk sebutan semula kes itu.

Di Ipoh, seorang kontraktor yang juga Naib Ketua UMNO bahagian Beruas, Azman Noh, 42, juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan memberi rasuah RM300 kepada seorang ahli UMNO pada pemilihan Bahagian Beruas, Oktober tahun lalu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan memberi RM300 kepada Davad @ Daud Parman di sebuah rumah beralamat No. 10A, Kampung Sungai Ramai, Ayer Tawar pada pukul 12 malam, 11 Oktober 2008.

Azman dituduh memberikan wang itu sebagai dorongan kepada Daud supaya mengundinya untuk jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Beruas, Abd Manaf Hashim bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Beruas dan Azhar Ahmad bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beruas pada pemilihan yang berlangsung 12 Oktober 2008.

Azman yang mengaku tidak bersalah dibebaskan dengan ikat jamin RM6,000 oleh seorang penjamin dan kesnya akan dibicarakan dari 1 hingga 3 Jun depan.

Sementara di Melaka, Ketua UMNO cawangan Panchor, Alor Gajah, Johari Ibrahim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen kerana dituduh memberi rasuah sebanyak RM200 kepada salah seorang perwakilan parti itu.

Johari, 46, yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian Alor Gajah didakwa memberi suapan wang tunai RM200 kepada Nadiah Roslan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar, kira-kira pukul 12 tengah hari, 1 November lalu.

Tertuduh didakwa melakukan per buatan itu sebagai dorongan kepada Nadiah untuk mengundi calon ketua bahagian Alor Gajah, Datuk Abdul Kadir Daud.

Johari juga mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan mulai 18 Mei ini.

http://www.utusan.com.my/

Obama janji baiki hubungan dengan dunia Islam

WASHINGTON 21 Jan. – Presiden Barack Obama berjanji untuk memperbaiki hubungan Amerika Syarikat (AS) dengan dunia Islam dalam ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah jawatan semalam.

Beliau berjanji untuk membuka lembaran baru dalam perhubungan dengan dunia Islam berikutan ketegangan yang menyusuli serangan 11 September 2001 di AS serta perang di Iraq dan Afghanistan semasa pentadbiran Presiden George W. Bush.

“Kepada dunia Islam, kami mahukan arah tuju baru, berdasarkan kepentingan bersama dan sikap saling menghormati,” kata Obama semalam.

Obama, seorang penganut Kristian, menghabiskan sebahagian zaman kanak-kanaknya di Indonesia selepas ibunya, Ann Dunham berkahwin dengan seorang lelaki Indonesia beragama Islam, Lolo Soetoro.

“Kepada mereka yang memegang kuasa menerusi rasuah dan penipuan dan menyekat suara penentang, ketahuilah sejarah tidak akan menyebelahi anda.

“Namun kami akan menghulurkan bantuan jika anda bersedia untuk melepaskan cengkaman,” kata Presiden kulit hitam pertama AS itu.

Majlis Perhubungan Islam Amerika (CAIR) mengalu-alukan ikrar Obama untuk menjalinkan hubungan lebih baik dengan dunia Islam.

“Kami berharap kenyataan positif itu diiringi dengan perubahan dalam dasar Amerika terhadap dunia Islam, akan membantu memperbaiki imej negara kita dan membawa kepada masa depan yang lebih selamat dan makmur untuk seluruh umat manusia,” kata Pengarah Eksekutif CAIR, Nihad Awad.

Ahli Kongres Islam pertama AS, Keith Ellison berkata, kenyataan Obama itu merupakan tanda muhibah penting kepada umat Islam di AS dan serata dunia.

“Saya yakin ikrar beliau itu boleh menjejaskan usaha al-Qaeda untuk menarik anggota baru kerana mesej mereka bergantung kepada kejayaan memburukkan AS sebagai negara yang memusuhi Islam dan dunia Islam,” kata Ellison.

Tokoh Demokrat dari Minnesota itu percaya usaha Obama kelak untuk mengeratkan hubungan dengan dunia Islam akan menyukarkan al-Qaeda untuk terus menyebarkan mesej anti-Amerika. – Reuters

http://www.utusan.com.my/ 

Zahid cuba memecah belah rakyat Perak

 

Saidah Hairan 
Wed | Jan 21, 09 | 4:37:13 pm MYT
KUALA LUMPUR, 21 Jan (Hrkh) - Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak mengikhtiraf borang yang ditandatangani Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merupakan satu ugutan dan biadap terhadap sistem demokrasi Perlembagaan Negara.

Iklan
 
 
   

Demikian ditegaskan oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof Rawa yang turut mendakwa bahawa Zahid cuba memecah belahkan perpaduan rakyat khususnya di negeri Perak.

Katanya, kenyataan Zahid itu lebih kepada mendera rakyat kerana rakyat di negeri tidak tahu sesuatu urusan itu perlu diuruskan dengan Pusat atau negeri tetapi mereka hanya mahu segala urusan mereka berjalan lancar.

Contohnya tambah beliau, dalam urusan anak sekolah cop atau tandatangan daripada JKKK atau Penghulu Kampung tidak diikhtiraf dan ini akan menimbulkan masalah kepada rakyat kerana terpaksa berjumpa dengan JKKP yang dilantik oleh kerajaan BN.

“Zahid memang mahu mendera rakyat Perak dan mahu memuaskan nafsunya kerana marah dengan sikap rakyat Perak yang telah memilih pemimpin daripada kalangan Pakatan Rakyat,” tegasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Mungkin juga beliau mahu menjadi hero dan hendak tunjuk kehebatan beliau sebab hendak bertanding dalam Pemilihan Umno Mac nanti, tegas beliau.

Selain itu beliau turut menyelar tindakan Zahid yang mengkhususkan peruntukan khas hanya untuk wakil rakyat BN jika berlaku bencara seperti banjir, kebakaran dan sebagainya.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menegaskan itu merupakan satu tindakan yang tidak patut kerana wakil rakyat PAS bukan hanya berkhidmat untuk ahli PAS tetapi semua kaum tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa.

“Sudahlah peruntukan sebanyak RM500 ribu kita tidak dapat, ini peruntukan khas wakil rakyat BN saja yang dapat. Sudahlah di peringkat Parlimen wakil rakyat PAS di dera di peringkat negeri juga didera, mana demokrasi?” soalnya.

Ekoran itu kata beliau, mungkin ada pihak yang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Zahid kerana arahan tersebut tidak sesuai dengan roh perlembagaan dan ternyata mahu memecah belahkan perpaduan kaum di negeri Perak.

Ini kerana katanya apa perbezaan di antara cop atau tandatangan JKKK dengan JKKP.

Beliau menegaskan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagian Hal Ehwal Agama Islam apakah beliau tidak malu mengeluarkan larangan yang memecah belahkan kaum.

Sedangkan katanya dalam Parlimen beliau mengeluarkan kenyataan supaya umat Islam perlu bersatu padu tetapi hari ini beliau cuba memecah belahkan masyarakat di Perak.

“Dengan adanya larangan atau arahan tersebut ternyata beliau cuba menyusahkan rakyat,” tegasnya.

Beliau berjanji akan membawa perkara tersebut dalam sidang Dewan Rakyat kerana arahan tersebut melibatkan demokrasi dan apakah larangan itu hanya dilakukan di negeri Perak sahaja. – mns_

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18975&Itemid=1

 

Laporan rasuah terhadap MB S’gor

 

Rahmah Ghazali | Jan 21, 09 1:09pm
Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana didakwanya telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri.

Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa, Abdul Khalid telah menggunakan wang negeri untuk menaja 46 ekor lembu untuk korban dan mengedarnya kepada penduduk Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur ketika Hari Raya Korban Disember lalu.

khalid ibrahim selangor and aca bpr 031208Abdul Khalid juga merupakan ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Dalam aduannya, Mohd Nazree mendakwa Abdul Khalid telah membeli lembu tersebut pada harga RM110,400 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri.

Pengerusi Gerak itu juga mendakwa, mereka menerima dokumen minggu lagi dari seorang individu yang bekerja dengan agensi kerajaan negeri terbabit – Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd.

Aduannya diterima oleh Pengerusi SPRM SElangor, Mohd  Shamsuddin Yusof di Plaza Masalam, Shah Alam pada jam 10.45 pagi.

Sementara itu, Abdul Khalid menafikan dakwaan Gerak tersebut.

Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang akhbar, Abdul Khalid menjelaskan bahawa lembu tersebut sebenarnya disumbangkan oleh sebuah syarikat milik agensi kerajaan negeri.

Menurutnya, beliau tidak menggunakan sebarang dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.

Katanya, beliau tidak menyedari wujudnya sebarang agensi kerajaan negeri yang dikenali sebagai Selangor Industrial Corporation (SIC).

http://www.malaysiakini.com/news/96885

 

Bekas pembantu Anwar muat blog dengan isu serius

 

PETALING JAYA: Bekas pembantu khas kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh majikannya, kini memuatkan bahan-bahan yang lebih serius dalam blognya – jauh berbeza berbanding peringkat awal tahun lalu.

 

Dalam tulisan-tulisan baru sejak tiga minggu yang lalu, Mohd. Saiful menulis dan adakalanya memuatkan tulisan pihak lain tentang perkembangan dunia termasuk konflik di Israel-Palestin.

 

Malah antara tulisannya itu turut menyentuh Anwar dan hubungan dengan Amerika Syarikat.

 

Tulisan-tulisan terbarunya bertajuk “Jewish MP makes Israeli troops Nazi link”, “Hubungan Anwar-US-Israel: PKR Cuba Menegakkan Benang Yang Basah”, “Anwar dan Israel: Apabila Tali Barut Terjerut”, “Pengganas Zionist Terus Menyerang, Rakyat Palestin Terus Menderita, Dunia Tidak Mampu Berbuat Apa….” dan “Tun Dr Mahathir Di Rancangan Blog TV1 Malam Ini!!”

 

Saiful kali terakhir memuatkan tulisan tentang dirinya pada 28 Disember sempena sambutan Maal Hijrah.

 

Dua tulisan terdahulu juga hanya menyentuh tentang keadaannya dan penantian menghadapi perbicaraan kes diliwat.

 

Malah, dalam blognya juga disertakan detik masa menandakan hari semakan keputusan permohonan pendakwa raya untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

 

Mahkamah Tinggi akan mendengar selama dua hari bagi permohonan semakan oleh pihak pendakwaan untuk memindahkan perbicaraan kes Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful.

 

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah telah memutuskan pendengaran bagi permohonan pendakwaan itu pada 5 dan 6 Februari ini.

 

Anwar, 62, kini Ketua Pembangkang di Parlimen didakwa meliwat Mohd. Saiful , pada 26 Jun 2008 antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

 

Beliau dituduh di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

 

Sementara menunggu perbicaraan, Anwar dibenarkan bebas dengan bon jaminan peribadi RM20,000.

http://www1.mstar.com.my/ 

Hudud: Kenyataan Karpal fobia atau tanda keretakan Pakatan

 

 

PETALING JAYA: Pergolakan antara Pengerusi DAP, Karpal Singh dan PAS berhubung pertikaian isu undang-undang hudud dan qisas dilihat hanya sebagai ‘fobia’ peribadi tanpa melibatkan keseluruhan parti tersebut.

 

Bagaimanapun penganalisis-penganalisis melihat isu ini sebagai permulaan kepada keretakan yang wujud antara komponen Pakatan Rakyat.

 

Pensyarah Kanan Sains Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman, berpendapat Karpal hanya dibayangi ‘ketakutan’ mengenai pelaksanaan hukum Islam itu.

 

“Dari dulu lagi apabila kita menyebut mengenai hudud, Karpal adalah orang yang paling fobia dan takut mengenainya.

 

“Mungkin dia takut bila tahu secara kasar bahawa hukuman bagi orang yang mencuri akan dipotong tangan yang membuatkan dia tak boleh terima undang-undang ini,” katanya kepada mStar Online.

 

Isu hudud timbul semula pertengahan bulan lalu sehingga menjadi antara bahan kempen dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang berakhir Sabtu lalu, yang dimenangi calon PAS dan Pakatan Rakyat.

 

 

PAKATAN TIDAK MUDAH BERPECAH

 

Namun jelas Ahmad Nizamuddin, masa depan DAP bersama Pakatan Rakyat masih akan kekal bagi memastikan agenda politik mereka untuk menggulingkan Barisan Nasional (BN) tercapai.

 

“Jangan ingat mereka akan mudah berpecah sebelum target mereka mengena sasaran, matlamat itu yang mengikat mereka.

 

“Ini semua ‘gimik’ dalam politik, buat masa ini mereka masih memerlukan antara satu sama lain,” katanya.

 

Atas dasar itu juga menurut beliau, ramai pemimpin DAP mengambil pendekatan berdiam diri tanpa mengulas lanjut mengenai isu hudud ini.

 

“Pemimpin DAP juga kebanyakkan memang tidak mahu pelaksanaan hudud, tapi mereka terpaksa ‘pejam mata’ dulu.

 

“Malah ada juga yang melahirkan pandangan bahawa bantahan Karpal adalah bersifat peribadi dan tidak mencerminkan pendirian parti… ini semua bagi memastikan agenda mereka terlaksana terutamanya bagi memenangi hati orang Melayu,” katanya.

 

Bagaimanapun jelas beliau, ikatan pembangkang yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP itu mungkin akan berkubur jika mereka berjaya mengambil alih kerajaan pada masa akan datang.

 

“Tidak mustahil mereka akan berpecah dan bawa haluan masing-masing nanti kerana matlamat yang mengikat mereka sudah dicapai.

 

“Apa lagi yang mereka mahu? Masa itu masing-masing akan berusaha tegakkan ideologi parti mereka pula yang nyata berbeza antara satu sama lain,” katanya.

 

 

AMARAN KARPAL

 

Pada 14 Januari lalu – tiga hari sebelum hari pengundian pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Karpal mengancam untuk menarik diri daripada Pakatan Rakyat sekiranya PAS masih mahu melaksanakan undang-undang hudud dan qisas jika pembangkang menerajui negara ini.

 

Katanya, hukum hudud dan qisas bukan menjadi dasar DAP dan tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac lalu.

 

Pada 21 Disember lalu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, parti itu tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam di negara ini termasuk melaksanakan hukum hudud.

 

 

PANDANGAN PERIBADI

 

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berpendapat kenyataan Karpal sebelum ini yang menolak hudud hanya merupakan pandangan peribadinya.

 

“Masalah ini Karpal saja yang bawa… dari dulu lagi dia bantah.

 

“Saya rasa PAS kena tarbiah (didik) Karpal supaya dia lebih faham,” katanya.

 

Tambah beliau, sehingga kini DAP tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penolakan mereka mengenai hukum hudud.

 

Ahmad Atory juga mengakui pandangan Karpal hanya bersifat sebagai pendirian individu, bukan menggambarkan pendirian parti kerana tidak disokong oleh pemimpin-pemimpin lain.

 

“Kalau betul (DAP bantah) baik kita cabar DAP supaya buat kenyataan secara rasmi, mengapa Karpal seorang saja yang bersuara?

 

“Inilah yang kita namakan ‘momok’ politik kerana mereka sekadar mencetuskan isu tanpa menzahirkan pendirian,” katanya.

 

Jelas beliau, sama ada PKR, DAP mahupun PAS mereka masing-masing memerlukan antara satu sama lain bagi mencapai matlamat untuk membentuk kerajaan.

http://www1.mstar.com.my/ 

 

Older entries »
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.