BERITA MALAYSIA KINI
Pilihan Terbaik Setiap DetikArkib untuk Januari, 2009
Polis ramai: Tuduhan PAS mengelirukan
| Muda Mohd Noor | Jan 13, 09 4:38pm |
| Menteri dalam negeri berkata PAS cuba mengelirukan rakyat dengan membuat pelbagai tuduhan kepada anggota pasukan keselamatan yang mengawal dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.
Datuk Seri Syed Hamid Albar juga menyeru orang ramai agar menghormati tugas polis menjaga keselamatan orang ramai pada pilihanraya kecil ini. “Hormatlah kerja-kerja polis, jangan hina dan kutuk mereka. “Kalau polis tiada, dia kata polis tidak buat kerja. Kalau polis ramai, dia (dakwa) takut pula,” katanya. Beliau diminta mengulas kenyataan timbalan pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Wan Abdul Mutalib Embong bahawa anggota polis yang bertugas dalam kawasan parlimen tersebut meningkat kepada 10,000 orang. Sebelumnya 6,000 anggota polis dilaporkan dikerah ke Kuala Terengganu sepanjang kempen mulai 6 Januari hingga hari mengundi Sabtu ini. Dalam sidang media harian di pejabat PAS Kuala Terengganu semalam, Wan Abdul Mutalib berkata, kehadiran sejumlah besar anggota polis menakutkan pengundi. Syed Hamid menjelaskan, hanya 3,500 anggota yang berkawal dalam pilihanraya ini. Tambahnya, jika ada keperluan, kementeriannya akan meningkatkan jumlah anggota pasukan keselamatan. “Tetapi kalau orang PAS ceramah, polis seorang dia kata 20 orang,” katanya dalam sidang media di Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga, Kuala Terengganu hari ini selepas majlis pelancaran Masyarakat Wanita Anti Dadah (Mawadah). Beliau berkata, ada orang mengadu mengapa polis mengadakan sekatan-sekatan jalan raya di daerah ini di sepanjang tempoh berkempen. “Kalau kita tidak sekat, apa kata kalau ada orang mebawa bahan berbahaya di atas jalan raya?” katanya. Tempoh berkempen pilihanraya ini hingga kini bebas daripada insiden tidak diingin kerana adanya anggota polis yang menjaga keselamatan, tambahnya. http://www.malaysiakini.com/news/96375 |
Abdullah minta Muhyiddin beri penjelasan mengenai FTA
BENTONG 13 Jan. — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memberi penjelasan kepada kabinet berhubung kenyataannya mengenai tindakan kementerian itu menghentikan sementara rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat.
Perdana Menteri berkata, Muhyiddin perlu memaklumkan berhubung tindakan itu serta implikasinya kepada kabinet secara rasmi.
“Tan Sri Muhyiddin mesti maklum kepada kabinet dan apakah implikasi dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat majlis pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di sini hari ini. – Bernama
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_19.htm
Sidang tergempar sekali lagi
![]() |
|
Abdullah Ahmad Badawi dan Abd. ElAziz Abu Ghoush (tengah) memerhatikan Rais Yatim (kanan), Salahuddin Ayub (lima dari kiri) dan Azmin Ali (empat dari kiri) mengisi tabung untuk rakyat Palestin selepas sidang khas dewan rakyat, semalam.
|
KUALA LUMPUR 12 Jan. – Malaysia akan mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan Perhimpunan Agung Khas sekali lagi sekiranya arahan gencatan senjata di Genting Gaza yang diputuskan minggu lalu gagal dipatuhi sepenuhnya oleh rejim Zionis dan keadaan buruk di wilayah itu tidak berubah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, negara-negara yang sependapat dengan Malaysia mesti mengambil langkah yang sama dengan mendesak Presiden Perhimpunan Agung PBB mengadakan sidang tergempar khusus untuk membincangkan kegagalan Israel mematuhi keputusan Majlis Keselamatan PBB.
Menurut Abdullah, beliau sendiri telah mengutus surat kepada Setiausaha Agung PBB, ketua-ketua kerajaan negara anggota Majlis Keselamatan, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan tokoh-tokoh dunia untuk membantu dalam usaha mencari kedamaian di Asia Barat amnya dan Gaza khasnya.
Katanya, antara tokoh-tokoh yang telah dihubungi termasuk Pope Bendict XVI; bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama; dan bekas Presiden AS, Jimmy Carter.
“Kerajaan juga, telah mengarahkan Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York terus berusaha demi keamanan dan keselamatan bumi Palestin.
“Beliau telah diarah bekerjasama dan berurusan rapat dengan wakil negara-negara anggota OIC dan NAM,” katanya ketika membentangkan usul mengecam serangan rejim Zionis Israel ke atas wilayah Gaza pada sidang khas Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, keputusan Majlis Keselamatan pada 9 Januari lalu amat jelas iaitu mengisytiharkan gencatan senjata di Gaza di bawah Resolusi No. 1860 (2009), mendesak semua pihak mematuhi keputusan tersebut dan mengarahkan tentera Israel keluar dari wilayah Palestin.
Bagaimanapun, kata Abdullah, resolusi itu langsung tidak menyentuh tentang kepungan atau blockade yang dikenakan oleh Israel ke atas Palestin sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak terutamanya sikap AS yang berkecuali ketika 14 negara lain menyatakan sokongan.
Lebih mendukacitakan, Perdana Menteri berkata, resolusi itu tidak mengadakan sebarang peruntukan mengenai penubuhan satu pasukan antarabangsa sama ada kumpulan pengawasan atau pasukan tentera pengaman untuk menyelia gencatan senjata dan arahan-arahan lain dipatuhi.
Abdullah menarik perhatian mengenai ketiadaan kumpulan seumpama itu menyebabkan tiada sesiapa pun dapat berperanan atau memastikan tentera Israel berundur dari wilayah Gaza seperti yang diputuskan oleh Majlis Keselamatan PBB.
“Tiada siapa untuk menentukan bahawa gencatan senjata benar-benar berlaku. Inilah kelemahan Resolusi No. 9567 itu,” katanya.
Perdana Menteri turut merumuskan serangan ke atas wilayah Gaza kali ini adalah yang terburuk pernah dilakukan oleh rejim Zionis terhadap Palestin sejak penaklukan wilayah itu pada tahun 1967.
Dalam perkembangan terbaru pula, kata Abdullah, kanak-kanak Palestin terbunuh akibat terkena tembakan, pengeboman dan bedilan kereta kebal Israel yang dilakukan secara rambang sehingga memusnahkan tiga sekolah yang ditadbir oleh United Nations Relief and Works Agency.
“Serangan tersebut telah mengorbankan berpuluh kanak-kanak sekolah. Kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin tiada tolok bandingnya,” kata Perdana Menteri.
Perdana Menteri turut melahirkan rasa sedih dan kesal rakyat negara ini terhadap tragedi di Gaza akibat serangan dan tindakan kejam tentera Israel sehingga melumpuhkan sebuah wilayah kecil yang tidak berupaya mempertahankan dirinya daripada serangan kejam yang dilakukan secara bertubi-tubi.
Abdullah turut menyeru Obama bersungguh-sungguh membawa pembaharuan terutamanya apabila kuasa besar itu tidak henti-henti mengaku menjadi negara demokrasi terulung di dunia tetapi pada masa yang sama menolak keputusan pilihan raya umum di Palestin pada 2006 yang memberi kemenangan kepada Hamas.
Usul tersebut disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut menyampaikan ucapan dan disusuli dengan perbahasan wakil parti komponen Barisan Nasional dan parti-parti pembangkang.
Lebih 60 diplomat asing termasuk Duta Palestin ke Malaysia, Abd. ElAziz Abu Ghoush hadir pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini. Kedutaan AS, Britain dan Singapura turut menghantar wakil masing-masing sebagai pemerhati.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm
Lapor Bank Negara jika pinjaman ditolak
BUTTERWORTH 10 Jan. – Institusi perbankan di seluruh negara diarahkan meluluskan pinjaman kepada pemohon-pemohon yang ingin melaksanakan projek-projek pembangunan negara.
Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, pihak bank tidak mempunyai alasan untuk tidak meluluskan permohonan pinjaman khususnya daripada pemohon yang menjalankan projek-projek yang mampu disiapkan dalam jangka masa singkat.
“Walaupun dalam keadaan negara merasai tempias krisis ekonomi yang sebenarnya melanda negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Eropah, tetapi sebagai institusi perbankan tempatan, mereka mempunyai amanah yang harus dilaksanakan demi menunjukkan keyakinan kepada pihak swasta bahawa ekonomi negara kita berada dalam keadaan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Zon Pemprosesan Makanan Industri Asas Tani di Taman Air Tawar, Teluk Air Tawar di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Jahara Hamid, ADUN Sg. Dua, Datuk Jasmin Mohamd, ADUN Penaga, Datuk Azhar Ibrahim, Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Abdul Nasir Hasan dan Pengarah Pengembangan, Perundingan, Pelaburan dan Industri Asas Tani dari Jabatan Pertanian Putrajaya, Datuk Safie Baharom.
Nor Yakcop yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, permohonan yang tidak diluluskan pinjamannya mempunyai mekanisme lain untuk mendapatkan bantuan.
“Mereka ini boleh membuat laporan kepada pihak Bank Negara sekiranya permohonan mereka ditolak dan selain itu, pemohon juga boleh memohon kepada Bank Negara untuk mendapatkan bantuan pinjaman,” katanya.
Beliau menegaskan, sebagai sebuah institusi beramanah, bank perlu berpegang kepada amanah itu untuk memberi pinjaman kepada pemohon mengikut ekuiti dan sistem yang dilaksanakan oleh sesebuah institusi perbankan.
Sementara itu, Nor Yakcop turut memberitahu, mulai awal tahun ini, semua agensi di bawah kementeriannya telah diarahkan untuk menghabiskan peruntukan yang diterima menerusi Pelan Rangsangan ekonomi.
Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM7 bilion di bawah pelan tersebut perlu digunakan untuk dibelanjakan supaya pihak swasta berkeyakinan untuk membuat pelaburan dalam negara.
“Selaras dengan arahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya semua kementerian dan agensi-agensi kerajaan menghabiskan peruntukan RM7 bilion dengan serta merta pada tahun ini juga dengan cuba melaksanakan projek secara fast track,” katanya.
Gaza terus dibedil
![]() |
|
TERUS MEMBEDIL… Kereta kebal Israel terus melakukan serangan darat ke arah Genting Gaza tanpa menghirau resolusi PBB mengenai gencatan senjata.
|
Zionis terus membedil Gaza dengan ‘azam’ untuk memastikan tiada lagi serangan roket oleh Hamas ke atas wilayah Israel. Angka korban rakyat Palestin meningkat kepada lebih 800 orang.
Tentera Washington buka tender sewa kapal dagang untuk hantar 3,000 tan peluru ke Israel.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon kecewa dengan kedegilan Israel dalam melaksanakan gencatan senjata.
Perdana Menteri Israel Ehud Olmert maklumkan negara Yahudi itu ‘tidak pernah setuju dengan campur tangan luar’ merujuk kepada Majlis Keselamatan.
PM pelik orang Umno cakap tak elok tentang Wan Farid
| Muda Mohd Noor | Jan 9, 09 12:12pm |
| Perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau pelik kerana orang Umno yang lebih banyak bercakap mengenai yang tidak elok terhadap calon BN bagi pilihanraya kecil Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berbanding dengan pihak pembangkang.
Abdullah berkata, beliau tidak tahu yang calon BN bagi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu itu, sombong. “Orang kata dia sombong, saya tidak tahu. Kalau saya tahu dia sombong, saya tidak ambil dia jadi setiausaha politik saya,” katanya. Beliau menegaskan demikian di majlis bersama pemimpin Wanita Umno di Kuala Terengganu malam tadi. Hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Wan Ahmad Farid. Sikap Wan Farid yang didakwa sombong dan tidak pandai bergaul dengan orang ramai, menjadi buah mulut di kalangan orang ramai. Bukan sahaja orang ramai, malah ada juga sebilangan penyokong Umno yang dikatakan merungut kerana sukar untuk bertemu dengan Wan Ahmad Farid. Dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan 17 Januari ini, Wan Ahmad Farid menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dan calon bebas Azharudin Mamat @ Adam . Abdullah juga mengingatkan pemimpin Umno supaya melupakan sekejap kempen untuk jawatan parti Mac depan sepanjang tempoh kempen pilihanraya kecil Kuala Terengganu sekarang. “Lupakan sekejap kempen tersebut kerana kita hendak menang dalam pilihanraya Parlimen Kuala Terengganu. “Utamakan yang ini dulu, jangan sibuk untuk kepentingan parti,” katanya. Perhimpunan agung Umno akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur 24 hingga 28 Mac depan.
|
Wan Farid bukan orang siapa-siapa – Najib

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjelaskan pemilihan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dibuat secara kolektif antara beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata tidak timbul persoalan oleh sesetengah pihak bahawa Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu itu “orang Pak Lah” (Abdullah).
“Ada orang kata Wan Farid orang Pak Lah… dia tidak ada orang siapa-siapa. Sebab Perdana Menteri dan saya bersama-sama memilih beliau (sebagai calon BN).
“Tak kan kita hendak buang anak tempatan dan (pernah menjadi) Timbalan Menteri. Beliau juga ada kelulusan LLB (undangundang),” katanya pada majlis pecah tanah projek perpindahan penduduk Pantai Pandak, Chendering di Kampung Cherong Binjai, Chendering dekat sini semalam.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Mokhtar Nong dan Wan Ahmad Farid.
Najib berkata beliau terpaksa memberikan penjelasan kerana banyak pihak membuat pelbagai andaian terhadap pemilihan Wan Ahmad Farid sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil itu.
“Sebab itu saya perlu jelaskan perkara ini sebab analisis politik buat macam-macam andaian. Ini tidak boleh dan calon kita tiada kena mengena dengan Pak Lah, saya dan Mat Said (Ahmad Said).
“Tetapi kalau saya kata tiada kena-mengena… bukan tiada kena mengena langsung. Mesti ada kaitan sebab kita yang memainkan peranan pentadbiran dasar peringkat nasional dan negeri,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata apa yang penting sekarang ialah BN hendak memastikan bahawa Wan Ahmad Farid dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan parlimen berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Najib berkata BN sentiasa komited untuk membuat perubahan termasuk untuk kesejahteraan dan keselesaan rakyat.
Katanya parti itu mengambil iktibar daripada keputusan pilihan raya umum ke-12 Mac tahun lepas kerana yang penting sekarang ialah “suara” dan harapan rakyat perlu didengar serta dilaksanakan.
Timbalan Perdana Menteri berkata BN merupakan sebuah parti yang sentiasa mengotakan janji berbanding pembangkang yang hanya pandai bercakap tetapi gagal melaksanakannya.
Pada pilihan raya kecil itu, Wan Ahmad Farid akan ditentang calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat alias Adam.
Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan Terengganu akan membina 120 unit rumah di pangsapuri tiga tingkat itu di Kampung Cherung Binjai, untuk penduduk Pantai Pandak yang sebahagian besarnya nelayan.
Beliau berkata setiap unit rumah mempunyai tiga bilik tidur serta dua bilik air. Kos seunit rumah berkenaan akan ditentukan kelak.
BERNAMA
Berhenti fitnah polis – Mohd. Shukri
KUALA TERENGGANU 9 Jan. – Pemimpin pembangkang diminta berhenti menyebarkan fitnah kononnya polis menyamar sebagai penyokong Pas untuk melakukan provokasi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan menegaskan pihaknya tidak pernah menghantar anggota Cawangan Khas untuk menyusup masuk ke dalam markas parti pembangkang.
“Bagaimana pegawai polis hendak masuk ke dalam markas Pas. Ahli Pas kenal antara satu sama lain manakala orang luar pula perlu memakai kad pengenalan diri.
“Jangan memfitnah polis dengan membuat kenyataan rambang. Pihak polis tidak pernah membuat perancangan untuk menyusup masuk ke dalam markas Pas,” katanya pada sidang akhbar harian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan Pas bahawa polis Cawangan Khas menyamar sebagai penyokong parti itu untuk mendapatkan maklumat.
Mohd. Shukri berkata, sekiranya dakwaan itu benar, parti pembangkang boleh menangkap atau menghalau ‘anggota polis’ berkenaan dari markas mereka.
“Mengapa tidak menangkap atau menghalau dia kalau sudah tahu dia pegawai Cawangan Khas. Kemudian maklumkan kepada saya,” ujarnya.
Beliau menambah, kehadiran anggota polis hanya bertanggungjawab menjaga keselamatan serta ketenteraman awam, lalu lintas dan kegiatan jenayah.
Mohd. Shukri seterusnya meminta semua pihak tidak mempolitikkan kehadiran kira-kira 6,000 anggota dan pegawai polis di Kuala Terengganu sempena pilihan raya kecil kawasan itu.
“Polis adalah pasukan yang matang dan tahu tanggungjawabnya iaitu mengawal keselamatan. Jika peranannya dipolitikkan, ia tidak bagus untuk keselamatan semua pihak,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, polis telah menghentikan dua ceramah kerana tidak mempunyai permit semalam.
Menurutnya, ceramah berkenaan diadakan di markas Barisan Nasional (BN) di Kampung Pulau Musang dan markas Pas di Kampung Kumbang Jambu.
“Sehingga hari ini sebanyak 27 permit telah dikeluarkan iaitu 18 permit kepada Pas dan sembilan kepada BN,” katanya.
Jelasnya, polis juga telah menerima dua laporan kes menurunkan bendera milik DAP yang dipasang di tiang lampu di Jalan Sultan Abidin dan tempat letak kereta Kampung Cina di sini oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.
“Semalam, saya menerima laporan lapan kes penurunan bendera yang dilakukan oleh SPR,” ujarnya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm
Hudud: Pakatan Rakyat semakin tidak sehaluan
KUALA TERENGGANU 9 Jan. – Pertikaian di kalangan pemimpin pembangkang mengenai hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud menunjukkan pakatan mereka tidak boleh membentuk kerajaan yang mempunyai dasar bersama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, parti-parti pembangkang tidak mempunyai polisi bersama, cuma ada pakatan yang agak longgar yang tujuannya hanya untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, pakatan yang longgar menyebabkan semakin hari semakin banyak perbezaan pendapat timbul di kalangan pemimpin pembangkang.
“Apa yang berlaku sekarang jelas menggambarkan mereka tidak ada pendirian bersama.
“Mereka tidak boleh membentuk satu kerajaan yang mempunyai dasar bersama,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan menolak hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud sekiranya berjaya memerintah negara ini.
Anwar juga dilaporkan menolak teguran Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyatakan hukum hudud tidak menepati Perlembagaan Persekutuan dengan menyifatkan kenyataan itu bersifat umum.
Mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu tidak perlu menjelaskan kepada rakyat bukan Islam mengenai hudud sebaliknya mahu menjelaskan perkara itu kepada UMNO kata Najib, perkara itu tidak perlu.
Ini kerana menurutnya, sikap pemimpin pembangkang itu menjelaskan bahawa mereka sebenarnya bermain politik sejak dari awal isu hudud dibangkitkan.
“Tak payah hendak jelaskan kepada UMNO, mereka sebenarnya main politik dari mula isu hudud ini,” jelasnya.
Beliau percaya ramai pengundi bukan Islam tidak senang hati dengan apa yang dinyatakan pemimpin Pas itu mengenai pelaksanaan hukum hudud.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm
Kebakaran di LCCT: Penumpang, pekerja dipindah
| Jan 9, 09 12:34pm |
| Kebakaran berlaku di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pagi tadi, menyebabkan semua penumpang dan kakitangan dipindahkan dan semua penerbangan digantung, kata seorang pegawai kanan AirAsia.
Operasi diterminal itu pulih sepenuhnya pada kira-kira jam 1.30 tengahari.
Katanya, beliau bangga dengan tindakan cepat kakitangannya memindahkan orang ramai di situ. Fernandes memberitahu AFP yang kebakaran itu berlaku pada jam 11.15 pagi. Para pegawai AirAsia pula berkata, kebakaran itu, yang mengakibatkan operasi di situ terhenti, mengeluarkan asal tebal tetapi gagal menghidupkan penggera kebakaran. Kakitangannya bagaimanapun membawa keluar mereka yang berada dalam terminal tersebut. Seksyen baru di LCCT itu, di mana kebakaran berlaku pagi tadi, dijadual dibuka beberapa bulan lagi. Sementara itu, The Star memetik Tony sebagai berkata, tiada penerbangan yang dibatalkan, tetapi lebih 20 penerbangan dijangka terlewat. Nampak asap Seorang saksi di tempat kejadian, ahli perniagaan Chan Ze Hoe, 31, berkata, sekurang-kurangnya dua buah kereta bomba tiba diterminal tersebut. Katanya, beliau tiba di terminal untuk penerbangannya tetapi tidak dibenarkan masuk ke dalam. “Saya terkandas dalam bas di luar LCCT dan pada mulanya saya sangka berlaku kesesakan lalulintas…saya turun dari bas tersebut dan berjalan ke arah terminal,” katanya. “Saya dapat lihat asap keluar dari bangunan LCCT. Terdapat beratus-ratus orang di luar bangunan tersebut,” tambahnya. Terminal LCCT itu dibuka pada 2006 dan terletak 20km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ia digunakan doleh AirAsia, Cebu Pacific dan Tiger Airways. Terminal LCCT berbentuk seperti bangunan gudang itu dibina dengan harga RM100 juta, dengan kemampuan mengendalikan 10 juta penumpang setahun. Semalam, AirAsia mengumumkan rancangannya untuk berpindah ke lapangan terbang miliknya sendiri bernilai RM1.6 bilion di luar Kuala Lumpur, kerana LCCT sekarang sudah terlalu sesak.
|


Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Tony Fernandes berkata, kebakaran itu yang berlaku di seksyen baru yang sedang dalam pembinaan, telah berjaya dipadamkan dan tiada laporan mengenai sebarang kecederaan