BERITA MALAYSIA KINI

Pilihan Terbaik Setiap Detik

Arkib untuk Februari, 2009

Utusan Melayu serah writ saman terhadap Teresa Kok-Utusan Malaysia

 

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Utusan Melayu (M) Bhd. hari ini telah menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim kerana didakwa mengeluarkan pernyataan fitnah terhadap akhbar Utusan Malaysia.

Ia berikutan dakwaan Teresa bahawa Utusan Malaysia telah ‘memutar-belitkan’ pernyataan-pernyataan beliau berkenaan makanan yang disajikan kepadanya semasa berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun lalu.

Menurut kenyataan Utusan Melayu, syarikat penerbitan akhbar itu selaku plaintif melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co. telah menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu kepada Teresa melalui firma guaman, Tetuan S.N. Nair & Partners.

Kenyataan tersebut menyatakan, pernyataan-pernyataan fitnah Teresa itu telah dibuat pada 22 September 2008 dan ia telah diterbitkan oleh media-media tempatan serta blog beliau sendiri.

Dalam saman tersebut, plaintif menuntut perintah supaya defendan mengeluarkan artikel-artikel, perkataan, petikan atau komen yang berunsur fitnah daripada laman blog dan laman web tersebut.

Plaintif juga menuntut perintah injunksi menghalang pihak defendan sama ada melalui dirinya sendiri, ejen atau pekerja-pekerjanya daripada membuat dan menerbitkan selanjutnya menyebabkan penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu atau yang serupa dengannya terhadap plaintif.

Turut dituntut ialah ganti rugi am, khas, tambahan dan punitif serta faedah bagi ganti rugi yang diberikan selain daripada kos dan lain-lain relif.

 

http://www.utusan.com.my

Kredibiliti Pejabat Peguam Negara akan terjejas-Utusan Malaysia

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kredibiliti Pejabat Peguam Negara akan mula dipersoalkan oleh orang ramai jika pendakwaan masih tidak diambil ke atas Pengerusi DAP Karpal Singh di atas pelbagai kenyataan dan perbuatannya selama ini.

Beliau menegaskan, tindakan Karpal mempersoalkan hak Tuanku Sultan Perak yang termaktub dalam undang-undang tubuh negeri Perak adalah salah.

Menurut Zahid, baginda berhak melantik Menteri Besar dan berhak melucutkan Menteri Besar selain berhak membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak kerana hak-hak raja ini tidak boleh dipertikaikan kerana ia terkandung dalam perlembagaan negeri.

“Jika Pejabat Peguam Negara tidak ambil tindakan undang-undang terhadap Karpal Singh, maka kredibiliti Pejabat Peguam Negara akan dipertikaikan oleh ramai orang terutama apabila beliau menyentuh tentang hak raja-raja Melayu,” katanya

Beliau menegaskan demikian ketika ditanya mengenai Pejabat Peguam Negara yang dilihat seolah-olah tidak berani untuk mendakwa Karpal selama ini.

Zahid berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Takhrij Hadis Peringkat Kebangsaan 2009 serta Pelancaran Permuafakatan Alumni Timur Tengah dan Alumni Pengajian Islam Malaysia.

Beliau yang Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak mengulas penyerahan kertas siasatan berhubung 97 laporan polis yang dibuat terhadap Karpal ke Pejabat Peguam Negara, minggu lalu.

Polis telah membuat cadangan kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya kes itu didakwa mengikut Akta Hasutan 1948.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya kini dalam peringkat perbincangan dengan Peguam Negara berhubung kertas siasatan dan cadangan tersebut.

Mengulas isu penubuhan Majlis Silaturahim Antara Agama di Pulau Pinang, Zahid berkata, beliau akan menemui Ketua Menterinya, Lim Guan Eng dan dan juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) Shabudin Yahaya minggu depan.

 

http://www.utusan.com.my

Adun Pakatan dakwa ditawar RM20 juta keluar parti-Malaysiakini

Feb 25, 09 3:31pm
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa mereka ditawar sehingga RM20 juta serta jawatan oleh pihak tertentu supaya menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai Barisan Nasional (BN).

Mereka yang membuat laporan di pejabat SPRM di Ipoh ialah Adun Malim Nawar, Keshvinder Singh daripada DAP dan Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamsari daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bercakap kepada pemberita di luar pejabat itu, Keshvinder berkata beliau menerima pelbagai tawaran daripada beberapa ejen mendakwa mewakili Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan seorang daripada ejen itu ialah seorang wartawan akhbar berbahasa Cina tempatan, lapor Bernama.

Adun Malim Mawar itu berkata antara tawaran yang diterima ialah imbuhan RM20 juta jika beliau keluar daripada DAP dan mengisytiharkan diri sebagai wakil bebas dan menyokong BN seperti yang dilakukan tiga Adun pakatan pembangkang sebelum ini.

BN menubuhkan kerajaan baru di Perak bulan ini selepas menguasai majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila tiga Adun Pakatan keluar parti dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas dan menyokong BN.

Keshvinder turut mendakwa bahawa tawaran lain yang diterima adalah beliau akan dilantik sebagai pengerusi MIC Perak sekiranya menyertai parti itu dan dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri.

Tawaran jawatan exco adalah yang terbaru dibuat oleh seorang ejen sebaik selepas BN mengambil alih kerajaan negeri, katanya.

“Saya minta Datuk Seri Najib tampil membuat kenyataan berhubung perkara ini kerana perbuatan ini jelas menunjukkan kerajaan negara ini terlalu korup dan amat terdesak,” katanya.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata selain tawaran wang tunai antara RM3 hingga RM8 juta, beliau turut ditawarkan konsesi kawasan balak sekiranya beliau meninggalkan partinya.

Beliau berkata tawaran berkenaan dibuat oleh beberapa orang ejen yang terdiri daripada ahli perniagaan yang mendakwa mewakili kepimpinan kerajaan negeri Perak.

Turut menemani dua Adun berkenaan ke pejabat SPRM adalah tujuh Adun pakatan pembangkang yang lain iaitu Ramli Tusin (Semanggol); A Sivasubramaniam (Buntong); Chan Ming Kai (Simpang Pulai); Chang Lih Kang (Teja); Sum Cheok Leng (Bercham); Leong Mee Meng (Jalong) dan Khalil Idham Lim Abdullah (Titi Serong).

http://www.malaysiakini.com/news/99046

Majlis Perundingan Antara Agama : Shabudin ada bukti-Utusan

BUKIT MERTAJAM 24 Feb. – Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Shabudin Yahaya bertegas mempunyai bukti untuk menyokong kenyataannya mengenai penubuhan Majlis Perundingan Silaturahim Antara Agama oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, ucapannya pada satu majlis di Sungai Dua, Nibong Tebal kelmarin yang disiarkan Utusan Malaysia hari ini adalah berasas dan mempunyai bukti kukuh.

Menurutnya, siasatan dalaman pengurusan MAINPP mendapati penubuhan majlis itu memang wujud dan dipengerusikan oleh Ketua Menteri sendiri adalah benar.

“Saya tidak mereka-reka cerita. Apa yang saya telah ucapkan dan nyatakan adalah berdasarkan bukti yang ada malah disiarkan dalam akhbar-

akhbar.

“Jika majlis itu tidak ada (tidak wujud) mengapa ada pemimpin agama lain yang memberi respons kepada Majlis Agama sedangkan bagi membincangkan tentang agama Islam, kita telah ada majlis-majlis agama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran dan Penyerahan Inden Kerja Membaik Pulih, Menaik taraf dan Membeli Peralatan untuk 28 masjid dan 46 surau di kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Seramai 52 kontraktor menerima inden atau surat kuasa pelaksanaan masjid dan surau yang dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya 30 Jun depan.

Shabudin mengulas hasrat Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk mengambil tindakan saman terhadap akhbar Utusan Malaysia yang menyiarkan kenyataan beliau hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Tasek Gelugor, berkata, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ada membuat kenyataan bersetuju dengan penubuhan majlis tersebut selepas kunjungannya ke Pulau Pinang.

“Nah, sekarang jika majlis itu tidak jadi ditubuhkan, mengapa Pengerusinya berdiam diri sahaja?

“Jadi, adalah lebih baik kita berjaga-jaga kerana waktu itu, semua orang tidak begitu prihatin tentang penubuhan majlis berkenaan,” ujarnya.

Beliau menambah, MAINPP sedang mengumpulkan semua nama pemimpin agama yang dicadangkan untuk duduk di dalam jawatankuasa Majlis Perundingan Silaturahim Antara Agama sebagai antara bukti bahawa majlis tersebut wujud.

Katanya, MAINPP tidak pernah menganggotai majlis tersebut dan tidak mahu mana-mana orang Islam menyertainya.

“Kita tidak pernah menyekat perkembangan agama lain selagi ia tidak bertentangan dengan budaya dan agama kita.

“Sekarang Islam mempunyai keistimewaan ‘duduk’ di hadapan. Dalam perundingan itu, kita duduk dan agama-agama lain pun ada sekali buat keputusan untuk semua, apakah keistimewaannya Islam?” soalnya.

http://www.utusan.com.my/

Kes Nizar: Ganti hakim baru -Utusan

Kes Nizar: Ganti hakim baru

 

 

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Ganti hakim baru lebih wajar.
Bagi pengamal undang-undang, itu lebih baik daripada membiarkan prasangka dan persepsi menyelubungi kedudukan Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Ariff Md. Yusof.

Walaupun peguam yang mewakili pemohon, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menggangap tidak timbul ancaman berat sebelah sekiranya Mohamad Ariff terus mendengar kes itu.

Namun, Persatuan Peguam Muslim Malaysia berpendapat, langkah itu adalah pilihan yang sebaik-baiknya untuk kepentingan semua pihak.

Presidennya, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, sebab itu seeloknya awal-awal lagi, badan kehakiman menggantikan Mohamad Ariff dengan hakim lain yang difikirkan lebih sesuai.

Kata beliau, ini bagi memastikan kes permohonan Mohammad Nizar bagi mendapatkan deklarasi mahkamah bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah berjalan tanpa menimbulkan sebarang prasangka.

”Itu sebaik-baiknya. Dalam kes ini, saya mengalu-alukan tindakan Mohamad Ariff mendedahkan penglibatannya dengan parti politik yang berkenaan. Ini menunjukkan badan kehakiman kita ikhlas dan telus.

”Ia tindakan yang amat rasional dan boleh diberi penghormatan. Ia terbaik untuk dirinya bagi mengelakkan salah anggapan, prasangka dan sebagainya.

”Saya amat alu-alukan dan kalau hakim yang ada kepentingan awal- awal buat pengumuman menarik diri seperti Mohamad Ariff, ia baik untuk badan kehakiman kita,” katanya ketika dihubungiUtusan Malaysia di sini hari ini.

Mohamad Ariff kelmarin semasa sebutan kes berkenaan mendedahkan bahawa beliau pernah menjadi penasihat undang-undang kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mohamad Ariff yang baru dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 15 September tahun lalu juga pernah bertanding sebagai calon Pas pada Pilihan Raya Umum 2004 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Kota Damansara di Selangor.

Pendedahan itu dibuat Mohamad Ariff sendiri bagi pertimbangan sama ada beliau patut menarik diri mendengar kes itu atau sebaliknya, merupakan antara tiga perkara yang ditimbulkan dalam kes itu hari ini.

Bagaimanapun, peguam Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah menegaskan sebaliknya iaitu pada beliau, tidak timbul ancaman berat sebelah sekiranya Mohamad Ariff mendengar kes itu.

Sementara itu, pakar undang-undang yang juga Profesor Tamu universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Salleh Buang turut bersetuju sekiranya Mohamad. Ariff digantikan dengan hakim yang lain.

Kata beliau, ini untuk mengelakkan sebarang persepsi yang beliau mungkin akan bertindak secara bias kerana penglibatannya sebelum ini dengan pihak pemohon di dalam kes tersebut.

”Sebab itu saya percaya Ketua Hakim Negara akan bertindak menggantikan Mohamad Ariff dengan hakim lain.

”Lagipun situasi ini bukan luar biasa, ia pernah berlaku. Apabila hakim merasakan dirinya berada dalam ‘konflik kepentingan’ dengan mana-mana pihak dalam kes itu, maka mereka akan menawarkan bagi menarik diri awal-awal lagi.

”Jadi eloklah pendedahan Mohamad Ariff itu. Beliau bukan tak boleh kendalikan tetapi sebaiknya digantikan, itu yang lebih praktikal pada saya kerana persepsi itu penting,” jelasnya.

 

 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_01.htm

Hadi Awang Elok Jaga Pas Dari Campuri Umno-Bernama

 

 

TAIPING, 19 Feb (Bernama) — Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata adalah lebih elok untuk Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjaga partinya sendiri daripada sibuk mencampuri urusan dalaman Umno.

Beliau berkata Pas sendiri mempunyai banyak masalah termasuk pelbagai isu yang turut melibatkan parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membentuk komponen Pakatan Rakyat.

“Itu hak Umno, biar Umno selesaikan. Kita tak pernah nak minta nasihat daripada Presiden Pas. Dia elok jaga parti dia cukuplah, dia pun banyak masalah.

“Jadi tak payahlah bagi nasihat, terima kasih banyak-banyak. Umno boleh cari jalan selesaikan urusan kita. Kita tidak perlu campurtangan daripada orang luar yang saya tidak fikir berniat baik,” katanya kepada pemberita di pejabat Umno Bukit Gantang di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Abdul Hadi pada persidangan Dewan Rakyat semalam supaya pelan peralihan kuasa daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan kononnya untuk Abdullah melunaskan segala tugas dan agenda yang belum diselesaikan.

Ditanya desas-desus kononnya Abdullah akan hanya menyerahkan jawatan Presiden Umno kepada Najib dan bukan jawatan Perdana Menteri pada Mac ini, Muhyiddin meminta rakyat negara ini agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai khabar angin untuk mencemarkan nama baik parti itu dan pemimpinnya.

Beliau berkata kedua-dua pemimpin tertinggi negara itu merupakan pemimpin yang bermaruah dan setiap keputusan yang dibuat mereka adalah berdasarkan kepada pertimbangan yang rasional dan bijaksana.

Katanya golongan penyebar khabar angin berkenaan perlu menghentikan tindakan mereka yang hanya akan mencelarukan keadaan politik semasa dan menimbulkan senario yang tidak menentu yang hanya akan mendatangkan kesan tidak baik kepada negara ini.

“Kita sudah cukup banyak cerita tentang politik. Lebih elok kita tumpukan kepada soal kerja untuk membangunkan rakyat dan negara. Itu yang patut jadi tumpuan sekarang, bukannya terganggu dengan sebab masalah-masalah politik yang tidak berkesudahan yang ditokok lagi penyebar khabar angin yang beroperasi 24 jam,” katanya.

Sementara itu Muhyiddin berkata pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang pada 7 April ini akan menjadi medan ujian untuk membuktikan bahawa Umno khususnya dan Barisan Nasional (BN) masih mendapat sokongan daripada rakyat.

Beliau berkata walaupun sebelum ini tewas pada pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu namun pilihan raya kecil Bukit Gantang akan membawa satu perubahan yang menunjukkan bahawa Umno dan BN masih menerima sokongan dan diyakini oleh rakyat.

– BERNAMA

 

http://bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=391036

Eli: Saya tetap lepaskan exco, Adun-Malaysiakini

 

Feb 19, 09 3:08pm
Elizabeth Wong hari ini menegaskan bahawa beliau tetap dengan keputusannya untuk meletakkan jawatan exco kerajaan negeri dan ahli dewan undangan negeri (Adun) Bukit Lanjan.

“Saya telah memaklumkan kepada pemimpin parti saya bahawa saya tetap akan melepaskan semua jawatan saya – sebagai exco kerajaan negeri Selangor dan Adun Bukit Lanjan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada keprihatinan dan sokongan pucuk pimpinan parti. Saya berharap mereka dapat memahami kesukaran yang sedang saya hadapi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa komitmennya terhadap perjuangan PKR tidak pernah luntur.

“Saya akan kekal sebagai ahli parti dan meneruskan perjuangan bersama parti ke arah sebuah masyarakat yang adil,” katanya.

Elizabeth membuat laporan di balai polis Damansara, Petaling Jaya kira-kira jam 11.30 malam 15 Februari lalu, mengenai penyebaran foto-foto bogelnya kepada umum.

Difahamkan foto-foto itu dirakam tanpa kebenarannya – kemungkinan oleh seorang bekas teman lelakinya – sewaktu beliau sedang tidur.

Dengan kenyataan terbaru Elizabeth hari ini, maka ia bermakna satu lagi pilihanraya kecil akan diadakan di DUN Bukit Lanjan.

Pada 7 April depan, pilihanraya kecil akan diadakan serentak bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak dan kerusi DUN Bukit Selambau di Kedah.

Kerusi Bukit Gantang kosong selepas penyandangnya, Roslan Shaharum dari PAS meninggal dunia pada 9 Februari lalu, manakala kerusi Bukit Selambau kosong ekoran peletakan jawatan penyandangnya, V Arumugam dari PKR pada awal bulan ini.

Malah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini tidak menolak kemungkinan – jika berlaku kekosongan di DUN Bukit Lanjan – pilihanraya kecil di situ akan diadakan serentak pada 7 April.

Menurut kenyataannya hari ini, Elizabeth berkata beliau telah berlepas keluar negeri untuk bercuti.

Menurutnya, walaupun beliau telah menawarkan untuk meletak jawatan exco dan Adun, namun pihak media dan laman-lamanweb masih terus menceroboh kehidupan peribadi dan privasinya.

“Saya telah dimaklumkan oleh beberapa pihak media bahawa mereka akan terus menyiar berita-berita yang lebih sensasi mengenai kehidupan peribadi saya.

“Saya juga telah diberitahu bahawa terdapat satu serangan baru, dengan lebih banyak foto dan video diedarkan untuk memalu dan memusnahkan saya.

“Ini adalah satu episod yang paling buruk dalam hidup saya. Saya tidak pernah merasa begitu keseorangan, terdedah pada serangan dan begitu hina. Saya perlu berihat dan mencari ketenangan jiwa dari semua yang berlaku terhadap saya,” katanya.

Menurut Elizabeth lagi, beliau amat menghargai sokongan semua pihak, terutama para pengundinya, golongan wanita khususnya dan rakan-rakan seperjuangan dalam parti.

“Perkataan tidak cukup untuk mengungkap penghargaan saya terhadap kebaikan hati anda semua,” tambahnya.

Dalam kenyataan itu juga, Elizabeth berkata negara kini sedang berdepan dengan krisis ekonomi yang serius.

“Kadar pengangguran semakin meningkat, manakala rasuah masih berleluasa. Saya berharap perbincangan umum hendaklah tertumpu kepada isu-isu penting ini, dan bukannya menganalisa kehidupan peribadi saya. Prinsip saya tetap kekal.

“Saya tidak akan menjawab sebarang soalan mengenai kehidupan peribadi saya,” katanya. 

Sehubungan itu, Elizabeth berkata kehidupan peribadinya bukan untuk tatapan awam kerana beliau tidak melanggar sebarang undang-undang atau menyusahkan sesiapapun.

Beliau juga merayu kepada pihak media serta penyokongnya supaya membiarkan beliau mendapatkan ketenangan jiwa.

“Saya meminta pihak media supaya jangan menganggu saya, anggota keluarga saya dan rakan-rakan saya. Janganlah terus menerus memalukan saya dan keluarga saya, supaya kami juga berpeluang hidup seperti rakyat biasa yang lain,” katanya.

http://www.malaysiakini.com/news/98656

Tindakan Speaker Perak Satu Penyalahgunaan Kuasa-Bernama

 

 

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) — Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan, disifatkan sebagai bukti penyalahgunaan kuasa yang begitu teruk.

“Nasib baik mereka ini tidak berkuasa di peringkat pusat. Yang pasti kalau mereka mendapat kuasa yang lebih besar, banyak lagi penyalahgunaan kuasa akan dilakukan,” kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Penerangan di Angkasapuri hari ini.

Semalam, Sivakumar mengumumkan tindakan itu melalui Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri Perak yang beliau pengerusikan.

Ahmad Shabery berkata tindakan yang boleh diambil oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan adalah sama seperti dalam Dewan Rakyat berkaitan dengan ucapan dan tindakan yang dibuat dalam dewan dan bukannya digunakan untuk mengambil tindakan terhadap perkara yang berlaku di luar dewan.

“Kebiasaannya, jawatankuasa itu mencadangkan kepada dewan untuk mengambil tindakan, dan akhirnya yang mengambil tindakan adalah semasa sidang DUN atau Dewan Rakyat.

“Tetapi sekarang ini, apa yang berlaku ialah seorang yang mendapat kuasa menjadi speaker boleh menggantung semua orang. Ini adalah satu penyalahgunaan kuasa yang begitu ketara sekali dan ianya tidak boleh dihargai dan dihormati oleh sesiapa,” katanya.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said pula berkata tindakan Sivakumar itu jelas bermotifkan politik.

Katanya ia merupakan satu taktik terdesak pembangkang.

“Beliau tidak sepatutnya berbuat demikian,” kata Azalina.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata tindakan Sivakumar itu adalah subjudis kerana isu pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar telah dirujuk ke mahkamah.

“Beliau tidak boleh buat keputusan, jatuhkan hukuman…kerana dia (pembangkang) dah bawa kes itu di mahkamah. Oleh itu, dia perlu menunggu keputusan mahkamah,” katanya kepada pemberita.

Pada 13 Feb lepas, bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk mendapatkan perintah perisytiharan bahawa beliau masih merupakan Menteri Besar Perak yang sah.

“Apa yang dilakukan di Perak adalah satu perkara yang pelik. Ada persepsi orang seolah-olah macam mahkamah…dia panggil (Zambry menghadap jawatankuasa itu) lepas itu jatuhkan hukuman. Dia tak boleh buat macam itu, kena ada prosedur, ada perkara-perkara yang perlu dilakukan, kesalahan dilakukan dalam dewan.

“Ini 18 bulan digantung macam digantung tak bertali, mana kuasa dia? Mesti tengok kuasa dia. Sekarang sudah ada kerajaan, kita tidak hendak suasana yang tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata dakwaan kononnya pembentukan kerajaan negeri Perak oleh Barisan Nasional tidak mengikut prosedur tidak timbul kerana ia ditubuhkan mengikut lunas undang-undang dan diperkenankan oleh Sultan Azlan Shah.

– BERNAMA

 

http://bernama.com/

Pas mahu Elizabeth dikenakan tindakan-Utusan Malaysia

 

SHAH ALAM 18 Feb. – Pas meminta supaya pucuk pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berhubung penyebaran gambar bogelnya menerusi Internet.

Menurut kenyataan Sekretariat Media, Badan Perhubungan Pas Selangor di sini semalam, tindakan ke atas ADUN berkenaan perlu dilakukan bagi menjaga integriti dan nama baik pakatan pembangkang dan kerajaan negeri itu.

Kenyataan itu menegaskan, Pas menganggap seorang pemimpin perlu memiliki akhlak serta keperibadian yang baik supaya ia dapat dicontohi dan menjadi ikutan oleh rakyat.

Kenyataan itu turut menyeru semua ADUN dan ahli Parlimen negeri itu agar dapat menjaga akhlak dan tingkah laku mereka daripada krisis moral yang menjejaskan kestabilan kerajaan campuran PKR, DAP dan Pas.

Menurut kenyataan itu, Pas turut mengutuk tindakan penyebaran gambar berkenaan selain menyifatkan ia satu perbuatan jenayah dan perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Selain itu, parti tersebut turut meminta pihak polis menjalankan siasatan rapi dengan penuh amanah dan tanggungjawab berhubung kes berkenaan.

Pas juga mahu supaya pihak polis membawa sesiapa sahaja yang didapati bersalah menyebarkan gambar berkenaan ke muka pengadilan secepat mungkin, tambah kenyataan itu.

 

http://www.utusan.com.my

Polis KL ambil alih kes Eli-Malaysiakini

  Feb 18, 09 7:57pm Kes siasatan penyebaran gambar bogel Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, akan dipindahkan kepada polis Kuala Lumpur esok, kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.
    
Beliau berkata kes itu dipindahkan berikutan rumah Wong berada dalam bidang kuasa polis Kuala Lumpur dan perkara itu disedari apabila pasukan forensik membuat siasatan di rumahnya di Jalan Gasing tengah hari ini.

“Unit forensik membuat siasatan kira-kira dua jam dan selepas itu kita sedari kawasan yang didiami oleh YB Wong berada di Kuala Lumpur, maka esok kita akan serahkan maklumat hasil siasatan setakat ini kepada IPKKL,” katanya kepada Bernama hari ini.
    
Khalid berkata polis masih berusaha mengesan rakan lelaki Wong yang boleh membantu siasatan berhubung kes penyebaran gambar bogel tersebut.
    
“Kita telah meminta rakan lelaki YB Wong untuk hadir pada hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bagi memberi keterangan, namun sehingga kini beliau (rakan lelaki) tidak hadir dan kita minta beliau untuk tampil memberi kerjasama,” katanya.
    
Khalid berkata polis masih menjalankan siasatan kes tersebut walaupun Wong telah mengaku bahawa imej yang ada dalam gambar tersebut adalah dirinya.  
    
“Apa yang lebih penting ialah mengenal pasti dalang sebenar penyebaran gambar tersebut,” katanya.
    
Semalam polis mengambil keterangan Wong dan empat wartawan dari akhbar Malay Mail dan The Sun bagi membantu siasatan berhubung penyebaran gambar bogel membabitkannya.
    
Wong membuat laporan di Balai Polis Damansara malam Ahad lepas berhubung penyebaran gambar bogelnya.

 

http://www.malaysiakini.com/news/98601

         

Older entries »
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.