KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) — Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan, disifatkan sebagai bukti penyalahgunaan kuasa yang begitu teruk.
“Nasib baik mereka ini tidak berkuasa di peringkat pusat. Yang pasti kalau mereka mendapat kuasa yang lebih besar, banyak lagi penyalahgunaan kuasa akan dilakukan,” kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Penerangan di Angkasapuri hari ini.
Semalam, Sivakumar mengumumkan tindakan itu melalui Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri Perak yang beliau pengerusikan.
Ahmad Shabery berkata tindakan yang boleh diambil oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan adalah sama seperti dalam Dewan Rakyat berkaitan dengan ucapan dan tindakan yang dibuat dalam dewan dan bukannya digunakan untuk mengambil tindakan terhadap perkara yang berlaku di luar dewan.
“Kebiasaannya, jawatankuasa itu mencadangkan kepada dewan untuk mengambil tindakan, dan akhirnya yang mengambil tindakan adalah semasa sidang DUN atau Dewan Rakyat.
“Tetapi sekarang ini, apa yang berlaku ialah seorang yang mendapat kuasa menjadi speaker boleh menggantung semua orang. Ini adalah satu penyalahgunaan kuasa yang begitu ketara sekali dan ianya tidak boleh dihargai dan dihormati oleh sesiapa,” katanya.
Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said pula berkata tindakan Sivakumar itu jelas bermotifkan politik.
Katanya ia merupakan satu taktik terdesak pembangkang.
“Beliau tidak sepatutnya berbuat demikian,” kata Azalina.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata tindakan Sivakumar itu adalah subjudis kerana isu pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar telah dirujuk ke mahkamah.
“Beliau tidak boleh buat keputusan, jatuhkan hukuman…kerana dia (pembangkang) dah bawa kes itu di mahkamah. Oleh itu, dia perlu menunggu keputusan mahkamah,” katanya kepada pemberita.
Pada 13 Feb lepas, bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk mendapatkan perintah perisytiharan bahawa beliau masih merupakan Menteri Besar Perak yang sah.
“Apa yang dilakukan di Perak adalah satu perkara yang pelik. Ada persepsi orang seolah-olah macam mahkamah…dia panggil (Zambry menghadap jawatankuasa itu) lepas itu jatuhkan hukuman. Dia tak boleh buat macam itu, kena ada prosedur, ada perkara-perkara yang perlu dilakukan, kesalahan dilakukan dalam dewan.
“Ini 18 bulan digantung macam digantung tak bertali, mana kuasa dia? Mesti tengok kuasa dia. Sekarang sudah ada kerajaan, kita tidak hendak suasana yang tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata dakwaan kononnya pembentukan kerajaan negeri Perak oleh Barisan Nasional tidak mengikut prosedur tidak timbul kerana ia ditubuhkan mengikut lunas undang-undang dan diperkenankan oleh Sultan Azlan Shah.
– BERNAMA
Pariah tarak tamadun punya Tuan Speaker…ingat Dewan Bapak hang punya..
najib dah plan baguih hang kacau daun.. timbalan speaker dah ada ….macamana nak hilangkan Pariah ni. Kesian MB Zombie and the gengs nak buat khidmat rakyat pun susah….