BERITA MALAYSIA KINI
Pilihan Terbaik Setiap DetikArkib untuk April, 2009
Najib cadang dasar pintu terbuka sektor perkhidmatan awam ~ Mstar
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini mencadangkan dasar pintu terbuka bagi sektor perkhidmatan awam sebagai satu daripada tiga pembaharuan struktural dalam usaha modenisasi sektor awam.
Najib berkata dasar pintu terbuka itu akan membolehkan pegawai perkhidmatan awam dipinjamkan ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebaliknya untuk saling menimba pengalaman.
“Dengan cara ini pegawai perkhidmatan awam boleh didedahkan kepada keperluan sektor swasta yang merupakan peneraju utama pertumbuhan negara,” katanya semasa menyampaikan amanat pada majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kesepuluh di sini hari ini.
Selain itu Najib berkata bagi mendapatkan bakat yang terbaik, perkhidmatan awam perlu mencontohi pelan pembangunan kerjaya dan pencarian bakat yang diamalkan seperti Petronas, Permodalan Nasional Berhad dan Bank Negara yang mempunyai sistem pengenalpastian bakat yang mantap hingga menjadikan mereka organisasi yang hebat.
“Kita akan menghantar yang terbaik dikalangan penjawat awam untuk menimba ilmu di beberapa institusi tersohor di dunia seperti Kennedy School of Government, di Universiti Harvard, dan Wharton Business School di Universiti Pennsylvania,” katanya.
PAS sedia ‘korban’ kerusi Penanti buat PKR ~ Mstar
PETALING JAYA: PAS akan memberi laluan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada pilihan raya kecil yang bakal diumumkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hari ini.
Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS pusat, Datuk Mustafa Ali, parti itu menghormati hak Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk meletakkan calon mereka untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan.
“Kita (PAS) tidak bercadang untuk bertanding di Penanti walaupun itu kubu kuat PAS. Kita hormati hak mereka (PKR).
“Setahu saya setakat ini PAS juga tidak ada perbicangan mengenainya (bertanding di Penanti),”katanya kepada mStar Online hari ini.
Beliau turut menafikan khabar angin yang mengatakan parti itu akan meletakkan calon untuk bertanding di kerusi DUN Penanti.
Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali mengizinkan sekiranya ada cadangan untuk meletakkan calon parti itu pada pilihan raya kecil kawasan berkenaan.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin, 33, dari PKR pada 16 April lalu dengan alasan untuk membersihkan namanya daripada segala tohmahan selain bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran.
Fairus sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah tetapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjelaskan bahawa mereka tidak ada asas untuk mendakwa beliau.
Mengulas lanjut mengenai isu tersebut Mustafa berkata, PAS akan tetap memberi sokongan kepada PKR sebagai satu pasukan.
“Macam juga kawan, kita akan beri sokongan jika kawan kita bertanding. Ini mereka (PKR) dalam Pakatan sudah pasti kita sokong,”katanya.
Ditanya sama ada PAS yakin PKR mampu mempertahankan kerusi DUN Penanti, Mustafa berkata: “Sudah pasti, kami yakin PKR mampu menang. Jika dilihat kepada ‘track record’ pilihan raya sebelum ini kita menang dengan majoriti yang besar. Saya lihat kita tidak ada masalah yang besar kali ini.”
Tambahnya, PAS akan menggerakkan jentera parti itu sebaik sahaja tarikh pilihan raya kecil DUN Penanti diumumkan oleh SPR.
“Kekuatan jentera masih belum diputuskan tapi kita akan membantu PKR. Jika di DUN kekuatannya berbeza dengan kawasan Parlimen,” katanya.
SENARAI PENGERUSI, TIMBALAN UMNO NEGERI ~ Mstar

PERDANA Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang juga Presiden Umno sempat membetulkan kedudukan songkoknya sebelum memulakan sidang media selepas mempengerusikan mesyarat Majlis Tertinggi (MT) parti di Menara Datuk Onn hari ini. Turut hadir Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan). Ini merupakan mesyuarat MT pertama yang dipengerusikan Mohd Najib selepas dilantik Presiden parti pada Mac lepas. –fotoBERNAMA
BERIKUT ialah senarai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri diumumkan semalam:
PERLIS:
Pengerusi: Datuk Seri Md Isa Sabu (muka baru)
Timbalan Pengerusi: Datuk Zahidi Zainul Abidin
KEDAH:
Pengerusi: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (muka baru)
Timbalan Pengerusi: Datuk Paduka Ahmad Bashah
PULAU PINANG:
Pengerusi: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (muka baru)
Timbalan Pengerusi: Datuk Zainal Abidin Othman
PERAK:
Pengerusi: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (muka baru)
Timbalan Pengerusi: Datuk Ahmad Husni Hanazlah
SELANGOR:
Pengerusi: Datuk Seri Najib Tun Razak (muka baru)
Timbalan Pengerusi: Datuk Noh Omar
WILAYAH PERSEKUTUAN:
Pengerusi: Tan Sri Muhyiddin Yassin (muka baru)
Timbalan Pengerusi: Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abdidin
NEGERI SEMBILAN:
Pengerusi: Datuk Seri Mohamad Hasan
Timbalan Pengerusi: Datuk Shaziman Abu Mansor
MELAKA:
Pengerusi: Datuk Seri Mohd Ali Rustam
Timbalan Pengerusi: Datuk Wira Abu Seman Yusop
JOHOR:
Pengerusi: Datuk Abdul Ghani Othman
Timbalan Pengerusi: Datuk Dr. Latif Ahmad
PAHANG:
Pengerusi: Datuk Seri Adnan Yaakob
Timbalan Pengerusi: Shakar Samsudin
TERENGGANU:
Pengerusi: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (muka baru)
Timbalan Pengerusi: Datuk Ahmad Said
KELANTAN:
Pengerusi: Datuk Mustapa Mohamed (muka baru)
Timbalan Pengerusi: Datuk Dr. Awang Adek Hussein
SABAH:
Pengerusi: Datuk Seri Musa Aman
Timbalan Pengerusi: Datuk Seri Salleh Said Keruak
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/4/25/mstar_berita/20090424212012&sec=mstar_berita
SMS ugutan ADUN Terengganu: Kerani 31 tahun ditahan seorang blogger ~ Mstar

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Abd. Halim Jusoh menunjukkan salinan aduan polis dan SMS ugutan yang diterimanya selepas membuat laporan polis di Kuala Terengganu pada 13 April lalu.
KUALA TERENGGANU: Seorang kerani syarikat swasta yang ditahan untuk membantu siasatan berhubung penghantaran SMS ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (ADUN) awal minggu lalu dipercayai juga merupakan blogger yang menulis tentang isu-isu Terengganu.
Suspek tersebut kini ditahan selama empat hari untuk membantu polis Terengganu menjalankan siasatan mengenainya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Terengganu, ACP Fauzi Abduri berkata, lelaki berusia 31 tahun itu diberkas di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi, Selangor pada 9.30 pagi tiga hari lepas.
Lelaki berkenaan berasal dari Seri Kembangan, Selangor.
“Kami yakin dapat menyelesaikan kes ini dalam beberapa hari lagi,” kata beliau di sini semalam.
Selepas ditahan di Bandar Baru Bangi, kata beliau, suspek berkenaan telah membawa polis ke rumahnya di Seri Kembangan di mana komputer riba, perkakasan komputer dan komputer peribadi turut dirampas.
“Kita telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan dan insya-Allah ia akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Pada 13 April lepas, tiga ADUN Barisan Nasional terdiri Datuk Rosol Wahid (Ajil) Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) membuat laporan polis selepas menerima SMS yang mengancam keselamatan mereka.
Penghantaran SMS itu, dipercayai merujuk kepada desas-desus mengenai pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang berlangsung minggu lepas.
Dalam pada itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan pula berkata, polis telah mengenal pasti bahawa SMS itu bukannya dihantar oleh pegawai kanan di pejabat Menteri Besar seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Dalam reaksinya, Menteri Besar pula berkata, beliau lega dengan tangkapan suspek berkenaan manakala kakitangan pejabatnya tiada kaitan dengan penghantaran SMS berkenaan.
“Kebenaran akhirnya terbukti… Allah Maha Berkuasa… saya tahu bahawa ini akan diketahui satu hari nanti selepas pegawai pejabat saya memaklumkan saya bahawa perisian telah disalahgunakan oleh pakar IT di Kuala Lumpur,” kata beliau apabila dihubungi.
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/4/23/mstar_berita/20090422132855&sec=mstar_berita
Toyota Camry bekas Exco Pakatan Perak dilelong ~ Mstar
Kereta Toyota Camry 2.4 yang sebelum ini digunakan sebagai kenderaan rasmi exco pakatan pembangkang ketika menerajui pentadbiran kerajaan negeri akan dilelong oleh kerajaan negeri Perak.
IPOH: Kerajaan negeri Perak akan melelong 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 yang sebelum ini digunakan sebagai kenderaan rasmi exco pakatan pembangkang ketika menerajui pentadbiran kerajaan negeri.
Menurut kenyataan tender terbuka yang dihantar ke bahagian iklan sebuah akhbar berbahasa Melayu di sini hari ini, lelongan kereta itu akan berlangsung di tempat letak kereta Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini mulai 9.30 pagi hingga 4 petang pada 4 hingga 18 Mei ini.
Kenyataan tender yang dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak itu menyatakan kenderaan berkenaan boleh dibeli secara pukal atau seunit dengan harga rizab RM148,000 sebuah.
Kereta itu adalah yang menggunakan nombor pendaftaran AGS10, AFD11, AFD22, AFD33, AFD55, AFD66, AFD77, AFD88, AFD99, AFD333, AFD999, AFF33, AFF88, AFF99, AGS828 dan AEU606 yang kesemuanya didaftarkan pada 9 Jan tahun ini.
Kenyataan tender itu turut menyebut, semua kenderaan itu adalah baru yang digunakan antara satu hingga dua bulan, perbatuan rendah dan masih dalam tempoh jaminan tiga tahun oleh syarikat pengeluar.
Selain itu ia turut menyebut kenderaan berkenaan juga mempunyai nombor pendaftaran orang kenamaan, cermin ‘tinted’ yang bernilai RM2,000 serta bebas daripada sebarang kejadian kemalangan.
Bagaimanapun, difahamkan kereta rasmi yang bernombor pendaftaran AGS10 yang digunakan oleh bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tidak akan dilelong kerana beliau dikatakan telah membuat tempahan membeli kereta tersebut.
Dokumen tender boleh didapati pada waktu pejabat mulai 4 Mei hingga 18 Mei ini di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Bahagian Pengurusan, Aras 3, Bangunan Perak Darul Ridzuan dengan harga RM20 senaskah.
Mereka yang ingin membeli kenderaan berkenaan perlu menghantar kembali surat tawaran tender itu sebelum pukul 12 tengah hari pada 18 Mei ini. BERNAMA
Peletakan jawatan Fairus satu mainan politik – Najib ~ Mstar
KLANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyifatkan peletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Mohammad Fairus Khairuddin sebagai ADUN Penanti semalam sebagai satu mainan politik untuk tujuan-tujuan tertentu.
Najib berkata, keputusan yang dibuat oleh Mohammad Fairus itu adalah satu keputusan politik.
“Terlalu banyak masa, tenaga, wang ringgit dibelanjakan untuk pilihan raya kecil yang tidak perlu sebenarnya,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, Fairus, 32, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ADUN Penanti berkuat kuasa serta merta atas alasan ingin memberi tumpuan penuh terhadap usahanya melanjutkan pelajaran ke pascasiswazah dan sekali gus memberikan masa kepadanya untuk bersama dengan keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasannya.
Beliau telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Pengerusi Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat Negeri berkuat kuasa 8 April lalu.
Mengulas lanjut, Najib berkata, rakyat pada dasarnya tidak suka kepada pilihan raya kecil yang sengaja diadakan.
Ditanya peluang Barisan Nasional (BN) untuk memenangi pilihan raya kecil berkenaan, Najib berkata, perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah soal prinsip.
“Ini bukan soal peluang tetapi saya bercakap mengenai soal prinsip kerana berdasarkan perlembagaan, anggota Parlimen atau pun DUN perlu meneruskan khidmatnya sehinggalah ada sebab tertentu yang menyebabkan beliau tidak boleh berbuat demikian.
“Tapi meletakkan jawatan jelas bertentangan dengan konsep demokrasi berpelembagaan kerana apabila seseorang itu menawarkan diri untuk berkhidmat dalam satu tempoh tertentu, beliau harus bersedia berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Najib berkata, terlalu banyak ‘politiking’ yang berlaku dalam negara boleh menjejaskan tumpuan terhadap pembangunan negara.
“Pada masa sekarang, kita harus tumpu kepada usaha untuk pulihkan ekonomi negara dan untuk membolehkan kita membela kepentingan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas dakwaan pembangkang berhubung situasi politik di Perak yang boleh menimbulkan huru hara seperti yang berlaku di Thailand jika DUN tidak dibubarkan, Najib berkata, perkara tersebut tidak mungkin berlaku.
“Saya tidak nampak ada krisis sebab kita adalah sebuah negara dan masyarakat yang berpegang teguh kepada keluhuran dan undang-undang negara.
“Jadi undang-undang mestilah menjadi prinsip yang harus kita hormati.
“Jangan kita hanya menghormati apabila keputusan itu berpihak kepada kita… dan bila tidak berpihak kepada kita, buat lain pula,” katanya.
MB Selangor: Elizabeth Wong boleh kekal Exco, ADUN ~ Mstar

SHAH ALAM: Exco Kerajaan Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang menjadi tumpuan ekoran tersebarnya klip video dan gambar separa bogel beliau menerusi internet dua bulan lalu, hari ini ditawar untuk mengekalkan kedua-dua kedudukan itu.
Jika beliau bersetuju menerima keputusan itu yang dibuat oleh Majlis Kerajaan Negeri hari ini, Wong perlu menyambung semula khidmat mulai esok.
Pembantu Wong ketika dihubungi memaklumkan bahawa beliau akan mengeluarkan kenyataannya lewat petang ini.
Perkembangan terbaru ini diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di sini sebentar tadi.
Ketika ditanya sama ada keputusan itu seolah-olah memperlihatkan kerajaan Selangor membelakangkan isu moral, Khalid memberitahu, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memandang serius isu moral dan sentiasa memastikan pimpinan negeri menjunjung prinsio ini.
“Oleh itu jika ada sebarang bukti yang kukuh, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Namun demikian pendirian ini juga harus diimbangi dengan prinsip menghormati hak peribadi seseorang dan kerajaan negeri amat serius mempertahankan hak ini,” katanya.
Menteri Besar memaklumkan bahawa keputusan tersebut juga telah dimaklumkan kepada Sultan Selangor pagi tadi.
Khalid yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, kerajaan negeri berpendapat keputusan ini adalah wajar setelah mengambil kira pandangan semua pihak, kepentingan rakyat serta siasatan polis sehingga kini gagal membuat sebarang keputusan muktamad.
Wong merupakan Ketua Penerangan Wanita PKR.
Keputusan itu diumumkan pada penghujung cuti dua bulan yang diberikan kepada Wong ekoran isu tersebut.
Pada Februari lalu, Wong mengemukakan surat tawaran untuk meletakkan jawatan Exco dan ADUN berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun Khalid meminta beliau mengambil cuti dan memikirkan semula keputusannya.
Ditanya sama ada keputusan itu adalah pendirian PKR, beliau menafikan andaian tersebut.
Jelasnya, itu adalah keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri setelah dibincangkan oleh Exco yang mewakili semua parti dalam Pakatan.
Berbanding dengan kes Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Fairus Kamaruddin yang telah meletakkan jawatan 8 April lalu, Khalid memberitahu, Wong juga membuat langkah yang sama dengan menulis surat tawar meletakkan jawatan.
Namun, katanya, penelitian kerajaan negeri bahawa apa yang berlaku ialah beliau adalah mangsa keadaan dan oleh itu “ditawarkan semula ke jawatannya.”
10 ADUN boikot: Ahmad nafi SMS dari Pejabat MB ~ Mstar

PUTRAJAYA: Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tidak terkejut dengan tindakan 10 ADUN BN Terengganu termasuk bekas Menteri Besarnya, Datuk Seri Idris Jusoh, ‘memboikot’ sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pagi tadi manakala Perdana Menteri mahu kesemua wakil berkenaan kembali sertai sidang seperti biasa mulai esok.
Malah beliau juga menafikan SMS ugutan yang dimaksudkan oleh 10 ADUN berkenaan berpunca dari pejabat beliau.
Ia dinyatakan oleh beliau kepada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.
“Saya minta semua ADUN hadir persidangan DUN.
“Setakat ini mereka (ADUN) hanya dapat SMS tapi ia tidak berpunca dari Pejabat Menteri Besar,” kata Najib di sini sebentar tadi.
Sesi hari ketiga sidang DUN Terengganu – juga hari terakhir, akan berlangsung esok.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan 10 ADUN BN yang enggan menghadiri hari kedua sidang DUN hari ini kerana mendakwa keselamatan diri mereka terancam.
Sepuluh wakil rakyat yang tidak menghadiri sidang Dewan itu ialah ADUN Tepuh, Muhammad Ramli Nuh, Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi), Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).
Tindakan kesemua ADUN BN itu dipercayai mempunyai kaitan dengan SMS berbentuk ugutan yang diterima oleh tiga wakil rakyat BN iaitu Permaisuri, Paka dan Ajil malam semalam berhubung kemelut politik di negeri ini.
Malah Najib juga berkata, Ahmad juga ada memaklumkan beliau bahawa SMS yang dimaksudkan itu tidak berpunca dari pejabat beliau.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan pula berkata, polis sedang mengenal pasti individu yang menghantar SMS ugutan kepada tiga ADUN BN terbabit.
Beliau berkata, kes itu akan diberi keutamaan dan pihaknya akan menyelesaikannya secepat mungkin kerana ia melibatkan pucuk pimpinan negeri dan orang kenamaan.
“Perkara ini terlalu awal untuk diulas. Saya tidak boleh komen lagi kerana kes ini masih dalam siasatan,” katanya di Kuala Terengganu.
Terdahulu juga di Kuala Terengganu, Ahmad memberitahu, beliau tidak terkejut dengan tindakan wakil rakyat BN itu dan tidak akan menghubungi mereka bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.
“Tidak hadir Dewan perkara biasalah bagi orang politik… saya tidak akan memujuk mereka supaya datang (esok),” katanya yang banyak mengelak soalan daripada wartawan.
Malah Ahmad juga berkata, beliau tidak tahu punca 10 ADUN BN negeri itu tidak menghadiri sidang DUN hari ini.
Katanya, beliau juga tidak mengetahui bahawa tiga ADUN BN telah menerima SMS ugutan yang mengancam nyawa mereka, malam semalam.
“Saya baru balik dari Kemaman kira-kira pukul 2.30 pagi tadi.
“Saya tidak tahu perkara sebenar berhubung SMS dan tindakan 10 ADUN yang tidak menghadiri sidang Dewan hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang DUN berhenti rehat tengah hari ini.
Ditanya mengenai pegawai kanan kerajaan negeri yang dikaitkan dengan penghantaran SMS itu, Ahmad menyerahkan perkara itu kepada polis untuk mengambil tindakan selanjutnya kerana tiga ADUN berkenaan telah membuat laporan mengenai perkara itu.
Tiga Adun buat laporan polis terima SMS ugutan ~ Berita Harian
KUALA TERENGGANU: Tiga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu membuat laporan polis malam tadi selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan, dipercayai berhubung kemelut politik di negeri terbabit.
Adun Paka, Zakaria Abdullah dan Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 12.40 tengah malam, manakala Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid pula membuat laporan sama di IPD Hulu Terengganu di Kuala Berang kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Ketika ditemui pemberita di IPD Kuala Terengganu, Abdul Halim berkata, mereka menerima SMS tersebut kira-kira jam 11.20 malam daripada individu yang mereka kenali selepas membuat semakan nombor telefon pada diari rasmi kerajaan negeri.
Dalam SMS itu, katanya, individu berkenaan memberi amaran supaya mereka tidak meneruskan niat masing-masing, yang dipercayai merujuk kepada isu pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang memasuki hari kedua, hari ini.
“Sebagai seorang pegawai kanan kerajaan negeri, dia tidak boleh ugut sesiapa pun, apatah lagi saya sebagai wakil rakyat.
“Nyawa orang tidak boleh nak ugut…saya tidak pasti kenapa saya menjadi sasaran,” katanya.
Abdul Halim berkata, pegawai kanan kerajaan negeri itu telah menghantar SMS berbunyi ‘baik jangan teruskan niat Yang Berhormat (YB), YB tak sayang nyawa?’.
“Saya tidak pasti berapa orang menerima SMS seumpama ini. Yang saya tahu, setakat ini tiga orang (Adun) yang menerima SMS berbentuk ugutan ini.
“Dengan keadaan ini, saya tidak akan hadir sidang DUN kalau tiada jaminan keselamatan esok (hari ini).
“Saya merasa amat terancam…saya sebagai Adun selalu jalan ke mana-mana tidak kira siang atau pun malam. Jadi apabila menerima SMS seperti ini, saya berasa takut,” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar, Abdul Halim berkata, beliau tidak akan berbuat demikian kerana sudah pun membuat laporan polis.
Sebelum ini, dalam laporan sebuah akhbar, Menteri Besar memberi amaran keras untuk mengambil tindakan disiplin termasuk memecat Adun BN sekiranya usul undi tidak percaya terhadap beliau dikemukakan pada sidang DUN. – Bernama