BERITA MALAYSIA KINI

Pilihan Terbaik Setiap Detik

Arkib untuk Jun, 2009

BN Umum Calon Manik Urai Ahad Ini ~ Bernama

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) — Barisan Nasional akan mengumumkan calon pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kelantan pada Ahad ini, kata presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata pengumuman akan dibuat oleh timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin di Manik Urai.

“Kita telah mendengar taklimat daripada Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa (Mohamed) dan pandangan daripada sayap Wanita, Pemuda dan Puteri mengenai persiapan pilihan raya kecil,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato’ Onn, di sini.

Kerusi DUN Manik Urai kosong setelah penyandangnya Ismail Yaacob, 60, daripada PAS meninggal dunia pada 22 Mei lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 6 Julai sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, pengundian ditetapkan pada 14 Julai.

Mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Najib berkata MT telah diberi taklimat terperinci mengenai perkara itu oleh Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.

“MT mengambil maklum tentang pelaksanaan PPSMI dan kesannya daripada segi pencapaian terutama sekali dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

“Apakah opsyen yang ada untuk menentukan sama ada dasar ini nak diteruskan ataupun nak dilakukan rombakan dan kajian semula,” kata Najib yang juga Perdana Menteri.

Najib berkata MT juga telah memberikan pandangan dan cadangan kepada Kementerian Pelajaran untuk diperhalusi.

Setelah diteliti, beliau berkata pandangan berhubung PPSMI akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan keputusan mengenainya akan diumum Muhyiddin tidak lama lagi.

BERNAMA

Mulakan lembaran baru Pas-UMNO ~ Utusan Malaysia

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB dan RODELIO JUNJUN TAUCAN
utusankelantan@utusan.com.my

KUALA KRAI 19 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap lembaran baru hubungan UMNO dan Pas dapat dimulakan segera demi kepentingan umat Islam dan keharmonian negara.

Katanya, perbincangan awal berhubung cadangan pembentukan kerajaan perpaduanmembuka tirai ke arah persefahaman bagi merapatkan hubungan dan menjalin kerjasama walaupun hasilnya belum dapat dijangkakan.

Beliau menegaskan, soal pengalaman lalu yang mencetuskan persengketaan, menimbulkan dendam dan keraguan sebilangan pemimpin Pas perlu dilupakan ketika keadaan perpecahan umat Islam kini membimbangkan.

“Bagi saya itu tidak sepatutnya menjadi halangan. Sebagai umat Islam, kita digalakkan bermaaf-maafan. Itu zaman lampau, kini dalam kepimpinan baru dan situasi baru.

“Sedangkan lidah lagi tergigit. Inikan pula kita manusia. Bagi saya ia bukan suatu halangan. Kita boleh menggerakkan permulaan baru yang akan memberi lebih banyak faedah kepada umat Islam dan bukannya untuk diri kita,” jelasnya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Dengan Warga Pendidik di Sekolah Kebangsaan Sungai Sok, Manek Urai dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan waran peruntukan Belanjawan 2009 sebanyak RM1.5 juta untuk menaik taraf sekolah-sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri Manek Urai.

Muhyiddin berkata, cetusan ke arah pembentukan kerajaan perpaduan atau usaha menjalin kerjasama oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat oleh UMNO sebagai selaras dengan tuntutan Islam dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Sehubungan itu, katanya, UMNO tidak menolak perpaduan dan menyifatkan ia suatu permulaan yang baik, malah sedia berbincang dengan Pas biarpun parti itu mengenakan pelbagai syarat.

http://www.utusan.com.my

Anwar: Benarkan Chin Peng pulang ~ Malaysiakini

Jun 13, 09 7:01pm

Atas dasar perikemanusiaan, bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, patut dibenarkan pulang ke Malaysia, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dia (Chin Peng) umur pun dah tua. Dia nak balik ke kampung halaman dia. Kita dah benarkan dulu,” katanya dalam sidang media selepas berucap dalam Kongres Khas PKR di Bangi hari ini.

“Sejarah kita kena dilihat secara objektif dan (kita) ambil sikap peri kemanusiaan. Yang sudah sudahlah, kita kerja,” kata Anwar, sambil menyifatkan isu komunis dimainkan media pro-pemerintah.

Menurut Anwar, ketika berada dalam kerajaan dahulu, beberapa pemimpin Umno, termasuk beliau pernah berkunjung ke China dan bertemu dengan pemimpin Parti Komunis China.

“Kita ada perjanjian damai. Kita bawa balik perbagai tokoh termasuk, Shamsiah Fakeh dan beberapa (pemimpin) yang lain. Bagi saya, atas dasar kemanusiaan dan konsisten dengan dasar, kita kita harus maafkan (Chin Peng).

“Dari segi Islam, ketika pembukaan Mekah, Rasulullah memaafkan semua kafir Quraish yang menyerang, membunuh dan melakukan keganasan terhadap Islam dan penyokong Rasulullah. Maknanya ada masa kita berdamai,” katanya.

Chin Peng, 85, tinggal dalam buangan di Bangkok dan telah memohon kebenaran kerajaan dan juga melalui mahkamah untuk pulang ke Malaysia.

Dilahirkan di Perak sebagai Ong Boon Hua pada 1923, Chin Peng dianugerahkan Order of the British Empire (OBE) dan dua pingat kerana membantu British melawan pendudukan Jepun di Malaya dalam Perang Dunia Kedua.

Perjanjian damai

Dia kemudiannya mengetuai Parti Komunis Malaya (PKM), yang disokong oleh China, melancarkan perang gerila terhadap penjajahan British dan kerajaan Malaysia, antara 1948 dan 1960.

Ahli-ahli sejarah menganggar kira-kira 2,000 tentera British dan pasukan keselamatan Malaysia terkorban serta 7,000 anggota komunis.

PKM kemudiannya menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia pada 1989 yang membenarkan beberapa pemimpin tinggi PKM pulang ke Malaysia.

Menurut Anwar lagi, Chin Peng harus dibenarkan pulang tetapi “ia tidak bermakna kita bersetuju dengan kesemua kesilpan yang telah dilakukannya”.

Sebaliknya, kata beliau, pendiriannya mengenai Chin Peng itu adalah atas “alasan kemanusian” dan bukannya kerana beliau menyokong PKM kerana sewaktu masa mudanya, beliau menentang keras fahaman komunisme.

Banyak pihak, termasuk Persatuan Bekas Tentera Malaysia, menentang keras Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata sebarang saranan untuk membenarkan Chin Peng tidak akan dilayan dan menegaskan perkara itu hendaklah “ditutup”.

Anwar berkata beliau menjangka Utusan Malaysia – akhbar milik Umno – akan “memutarbelit” kenyataannya mengenai Chin Peng hari ini.

Ada kemungkinan, katanya, mereka akan menulis tajuk “Anwar sokong Chin Peng” atau “PKR suara baru komunis”.

http://www.malaysiakini.com/news/106422

Saya sudah jangka kalah – Husam

 

NASHARUDIN Mat Isa (kanan) menerima ucapan tahniah daripada Husam Musa selepas beliau mengekalkan jawatan Timbalan Presiden Pas di Shah Alam, semalam.

——————————————————————————–

SHAH ALAM 6 Jun – Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa telah menjangka kekalahannya dalam usaha merebut jawatan Timbalan Presiden Pas sejak awal-awal lagi kerana tidak melaksanakan kempen secara agresif.

Selain itu katanya, layanan parti yang disifatnya sebagai berat sebelah serta disekat daripada memberikan kritikan dan pandangan berbeza secara terbuka juga antara faktor beliau menjangkakan sedemikian.

Beliau yang reda dengan keputusan itu menolak sebarang tanggapan ia berpunca daripada hubungannya dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

”Saya tidak melaksanakan kempen agresif dan saudara sendiri tahu bahawa banyak elemen yang tidak menyebelahi saya termasuk dalam program-program parti sendiri yang pada pendapat saya sedikit sebanyak telah berat sebelah.

”Saya tahu cabaran yang berat di hadapan saya terutama tidak boleh menyatakan secara terbuka berhubung kritikan-kritikan dan pandangan saya yang berbeza tetapi maklumat sebelah pihak telah disebar pelbagai cara. Dalam suasana seperti itu kalah adalah lebih mudah daripada menang,” katanya

Beliau mengulas kekalahannya dalam merebut jawatan Timbalan Presiden pada sidang akhbar selepas pengumuman saf kepimpinan Pas yang baru di Stadium Malawati di sini hari ini.

Dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden penyandang jawatan iaitu Nasharudin Mat Isa telah dipilih semula oleh perwakilan.

Nasharudin memenangi jawatan itu selepas memperolehi 480 undi yang kemudian diikuti oleh dua orang pesaingnya iaitu Husam 281 undi dan seorang lagi calon, Mohamad Sabu 261 undi.

Ketika ditanya lebih lanjut berhubungan faktor-faktor yang membuatkan beliau menjangka kekalahannya lebih awal Husam berkata, beliau tidak mahu memperbesarkan lagi isu itu kerana tidak mahu dianggap kecewa.

”Jangan salahkan padang tinggi rendah. Saya tetap menerima keputusan ini kerana mesej saya tetap akan dapat disampaikan ke dalam parti melalui kebanyakan rakan-rakan yang memenangi jawatan Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Pusat. Mereka mempunyai pendapat yang sama dengan saya.

”Bahkan di peringkat Timbalan Presiden jika dicampur dengan Mohamad Sabu jumlah undi yang kami perolehi ialah 56 peratus dan ini juga adalah satu pencapaian baik saya,” ujarnya.

Dalam pada itu Husam menegaskan, kekalahannya di dalam parti bukan bermakna perjuangannya bersama Pas telah berakhir.

Ujarnya, beliau akan tetap berjuang bersama Pas terutama memastikan parti itu tidak menjadikan UMNO sebagai rakan politik.

”Pendapat politik saya jelas iaitu Pas harus menggantikan UMNO sebagai pemerintah negara ini demi Islam dan tidak ada jalan pintas untuk bekerjasama dengan UMNO dengan apa cara sekalipun. Atas sebab itu saya bertanding sebagai Timbalan Presiden Pas,” katanya lagi.

Ditanya lebih lanjut mengenai kaitannya dengan Anwar, Husam sekali lagi menegaskan, ia tiada kena mengena kerana bukan beliau sahaja yang bersahabat dengan penasihat PKR itu.

”Ramai lagi rakan-rakan lain yang rapat dengan Anwar. Ini bukan masalah Husam dan Anwar malah dalam beberapa isu saya juga kadangkala berbeza pendapat Anwar,” tambahnya.

http://www.utusan.com.my/

Tengku TT beri Manohara 7 hari bukti dakwaan didera ~ Malaysiakini

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.