BERITA MALAYSIA KINI

Pilihan Terbaik Setiap Detik

Arkib untuk Julai, 2009

BN akan tanding DUN Permatang Pasir ~ Mstar Online

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan parti itu akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebentar tadi.

“Sesuai dengan pendirian kita bahawa sekiranya sesuatu kerusi kosong berkaitan dengan Perlembagaan maka Umno dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding.

“Oleh itu, dengan kekosongan akibat kembalinya ADUN Permatang Pasir ke rahmatullah bererti, Umno dan BN akan meletakkan calon dan akan bertanding di Permatang Pasir,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir perlu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, daripada PAS.

Hamdan meninggal dunia akibat sakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pagi tadi.

Dalam perkembagan berkaitan, Najib berkata, mesyuarat MT Umno turut membincangkan mengenai post-mortem mengenai pilihan raya kecil DUN Manek Urai.

“Pada umumnya kita berpuas hati dengan usaha yang kita lakukan. Walaupun kita tidak berjaya tetapi pencapaian dan prestasi Umno sangat menggalakkan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Umno akan memfailkan petisyen pilihan raya bagi membantah keputusan pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Najib yang juga Perdana Menteri berkata:

“Kita tidak tentukan soal petisyen, kita serahkan kepada peguam Umno. Kalau kita buat petisyen pun mesti berdasarkan undang-undang dan peraturan pilihan raya.”

Dalam pilihan raya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai lalu, PAS berjaya mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti tipis 65 undi.

Majoriti PAS pada Mac 2008 ialah 1,352 undi.

Calon PAS, Mohd. Fauzi Abdullah memperoleh 5,348 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat menerima 5,283.

http://www.mstar.com.my

‘Pergi jahanamlah UMNO’ – Nik Aziz

KOTA BHARU 27 Julai – ”Salam ini bukan di antara UMNO dengan Pas, tetapi antara kerajaan Kelantan dan Pusat, tak timbul masalah UMNO ini, pergi jahanamlah UMNO.”

Demikian reaksi Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika diminta menjelaskan lebih mendalam mengenai ‘salam’ yang dihulurkan beliau kelmarin.

Malah, Mursyidul Am Pas itu tetap dengan pendiriannya menolak sebarang perbincangan atau kerjasama dengan UMNO kerana menganggap parti itu telah menyimpang daripada perjuangan Islam.

Beliau berkata, kesediaan untuk bekerjasama disebabkan negara ini mengamalkan sistem persekutuan dan di antara kerajaan negeri atau Pusat mempunyai kewajipan masing-masing.

“Sistem yang diamalkan kita ialah federalisme, bukan kerana apa, Pusat ada kewajipan kepada negeri dan negeri ada kewajipan kepada Pusat.

“Kerana apa nak sekat (peruntukan dan kerjasama), ada menteri sekat pegawainya beri kerjasama dengan kementeriannya, ini bukan menteri,” katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Ternakan sempena Hari Peladang peringkat di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pandangan pelbagai pihak terhadap kenyataannya sebelum ini yang mahukan sebarang sengketa di antara kerajaan negeri dan Pusat diselesaikan demi kepentingan rakyat.

Kenyataan itu juga disambut baik oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengalu-alukan kesediaan Nik Abdul Aziz untuk menjalin hubungan baik dengan Kerajaan Pusat.

Nada Nik Aziz amat berbeza dengan kenyataannya pada kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang menyamakan UMNO sebagai tunjang utama kepada Barisan Nasional (BN) dengan ajaran sesat Ayah Pin dan pengganas komunis, Chin Peng.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz turut mempertikaikan tindakan Kerajaan Pusat yang tidak menyalurkan terus peruntukan kepada kerajaan negeri untuk membangunkan negeri ini kerana ia jelas melanggar Perlembagaan.

“Memang tidak ada dalam Perlembagaan, negeri pembangkang dihalang oleh Pusat, apa kata kalau parti lain kuasai Pusat.

“Kami juga buat Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan halang peruntukan, tujuan apa tak bagi duit terus kepada kerajaan,” jelasnya.

Katanya lagi, walau apa sekali pun, Kerajaan Pusat perlu membantu kerajaan negeri kerana ia termaktub dalam Perlembagaan di bawah sistem federalisme.

“Negeri ini bukan hak UMNO, kalau tak bantu, dia kena bantu negeri ini bukan dengan sukarela, tetapi dengan Perlembagaan.

“Kalau tak buat kita gulinglah. Pandailah kita guling, misal yang selalu saya kata, nak pergi ke Kuala Krai, tapi pemandu bawa bas ke Terengganu. Adakah boleh dengan riuh rendah sahaja. Kita kena tolak pemandu ambil stereng dan pandailah kita buat,” katanya.


http://utusan.com.my

1,000 sertai UMNO, bukti PKR ditolak di Sabah ~ Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 26 Julai – Tindakan kira-kira 1,000 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Bahagian Silam, Lahad Datu, Sabah keluar parti untuk menyertai UMNO semalam membuktikan parti itu tidak mampu untuk bertapak di Sabah.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, pihaknya mengalu-alukan kemasukan semua bekas ahli PKR berkenaan ke dalam UMNO dan berharap mereka boleh menjadi ahli yang setia serta tidak mengecewakan parti.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku dalam MCA dan MIC baru-baru ini iaitu tindakan bekas Naib Presiden mereka, Datuk Dr. Chua Jui Meng dan Datuk S.S Subramaniam keluar parti untuk menyertai PKR terjadi kepada UMNO,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan kira-kira 1,000 ahli PKR dari Bahagian Silam, Lahad Datu, Sabah termasuk Exco Wanita PKR Pusat, Siti Sarina Che Ismail mengumumkan keluar parti untuk menyertai UMNO.

Penyertaan beramai-ramai bekas ahli PKR ke UMNO itu diketuai oleh bekas ahli jawatankuasa perhubungan PKR negeri Sabah yang juga bekas Ketua PKR Bahagian Silam, Hassan Malempeng.

Mereka bersama-sama 23 orang bekas ketua cawangan PKR menyerahkan borang penyertaan UMNO masing-masing kepada Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Lahad Datu, Datuk Nasrun Datu Mansur.

Menurut Hassan, beliau dan rakan-rakannya meninggalkan PKR secara sukarela selepas hilang keyakinan terhadap perjuangan PKR yang tidak jelas, sebaliknya mereka yakin terhadap perubahan kepimpinan baru UMNO.

Katanya, beliau yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membawa gagasan ”1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Ujar Ahmad, ahli-ahli UMNO mesti setia kepada perjuangan parti dan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa berjuang untuk membela nasib rakyat serta membangunkan negara ini.

Sementara itu di Kota Kinabalu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, tindakan itu membuktikan bahawa rakyat telah sedar hanya BN mampu memperjuangkan nasib mereka.

“Keputusan ini menunjukkan mereka telah sedar bahawa selama ini perjuangan mereka adalah sia-sia.

“Mereka telah nampak bahawa hanya BN yang ikhlas memperjuangkan nasib rakyat di peringkat akar umbi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Salleh, pelbagai masalah yang ditimbulkan pembangkang terutama di Semenanjung telah menyedarkan rakyat bahawa pakatan pembangkang terlalu rapuh dan hanya inginkan kuasa.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, perkembangan terbaru itu menunjukkan masih ramai yang berminat menyertai Barisan Nasional (BN) meskipun terdapat beberapa pemimpin BN keluar dari parti itu.

http://www.utusan.com.my

Nizar sepatutnya tidak hadir nyalakan lilin – Dewan Ulama Pas

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 22 Julai – Dewan Ulama Pas menyifatkan majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat lalu yang turut disertai oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai meragukan.

Sehubungan itu Ketuanya, Datuk Harun Taib berkata, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu sepatutnya tidak hadir pada majlis tersebut kerana sifatnya yang meragukan itu.

Menurutnya, Rasulullah sendiri amat menitikberatkan perkara berkenaan seperti sabdanya yang bermaksud tinggalkan perkara yang engkau ragu dan ambillah perkara yang engkau tidak ragu.

“Hadis ini menyuruh kita meninggalkan perkara-perkara yang meragukan iaitu sesuatu yang hukumnya tidak jelas sama ada halal atau haram. Seperti majlis ini adakah ini upacara agama atau sebaliknya?

“Sebenarnya Pas telah pun membuat satu garis panduan bahawa majlis-majlis yang meragukan tidak harus dihadiri oleh pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli kita,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Mohammad Nizar menyertai majlis menyalakan lilin anjuran DAP Perak semasa memperingati kematian Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas dan gambar majlis itu disiar oleh New Straits Times pada Sabtu lepas.

Bagaimanapun Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa dalam laporan akhbar hari ini mempertahankan tindakan Mohammad Nizar dengan menyatakan ia tidak menyalahi ajaran Islam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir pula ketika mengulas isu itu telah meminta ulama Pas mengeluarkan satu fatwa berhubung tindakan Mohammad Nizar.

Dalam pada itu, Harun berkata, beliau tidak pasti sama ada Mohammad Nizar sedar atau tidak mengenai garis panduan berkenaan.

“Ini bukan satu fatwa tetapi inilah ketetapan atau garis panduan yang telah kita putuskan selama ini.

http://www.utusan.com.my

Pewaris, 10 NGO Melayu ke Istana Negara sokong ISA ~ Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 22 Julai – Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) bersama 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan berarak ke Istana Negara seperti kumpulan penentang akta itu, Gerakan Mansuh ISA (GMI) pada 1 Ogos ini.

Timbalan Presiden Pewaris, Rahimuddin Md. Harun berkata, NGO Melayu yang terlibat antaranya Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM).

Menurutnya, Pewaris bersama 10 NGO Melayu telah bermesyuarat mengenainya semalam dan memutuskan untuk mengumpulkan tandatangan di Dataran Merdeka sebagai tanda sokongan kepada pelaksanaan ISA.

“Kami akan berarak ke Dataran dari Pasar Seni mulai pukul 1 tengah hari selepas mengedarkan risalah kepada orang ramai di situ pada pukul 11.30 pagi.

“Kira-kira 3,000 penyokong akan berkumpul di Pasar Seni sebelum ke dataran untuk menurunkan tandatangan sokongan terhadap akta tersebut di atas kain rentang gergasi.

“Selepas itu, kami akan membawa kain rentang berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong supaya ISA dikekalkan,” kata kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

GMI hari ini memberitahu, gerakan itu bersama-sama dengan ahli sekretariat mansuh ISA akan menganjurkan satu perhimpunan ISA secara besar-besaran pada 1 Ogos nanti.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, dianggarkan 80,000 penyokong akan berkumpul bermula pukul 2 petang di perkarangan Masjid Negara dan stesen transit aliran ringan (LRT) Masjid Jamek serta Kompleks Sogo.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_08.htm

Kematian Teoh: Polis beri PM taklimat 30 minit ~ Mstar Online

Oleh G. MANIMARAN

SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebentar tadi diberi taklimat berhubung kes kematian Setiausaha Politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock di sini.

Taklimat diberikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kita beri taklimat tentang kes ini, semua aspek” kata beliau kepada media.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan reaksi Najib yang juga Menteri Kewangan berhubung taklimat itu.

“Itu (reaksi) kena tanya beliau,” katanya.

Taklimat berlangsung kira-kira setengah jam. Najib tiba di KLIA kira-kira pukul 11.15 pagi.

Turut hadir pada sesi taklimat ialah Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga hadir sama.

Najib tiba di KLIA selepas mengadakan lawatan kerja ke Arab Saudi dan menghadiri sidang Pergerakan Negara-negara Berkecuali di Mesir.

Sehingga semalam pelbagai pihak meminta kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja Siasatan bagi meneliti punca kematian Teoh.

Sabtu lalu, Muhyiddin berkata, saranan itu akan dibincangkan pada mesyuarat mingguan Kabinet esok.

Teoh ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam Khamis lalu selepas menghadiri siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor.

Terdahulu, Musa ketika ditemui media berkata, pihaknya yakin siasatan kematian Teoh boleh diselesaikan dalam beberapa hari lagi.

“… akan selesai dalam waktu terdekat,” katanya.

Setakat ini 33 saksi telah ditemu siasat manakala siasatan sudah selesai 60 peratus.

Sehubungan itu, beliau meminta tiada pihak yang menimbulkan ketegangan atau memutarbelitkan fakta berhubung insiden tersebut.

“Kita sedang jalankan siasatan. Kalau nak tuduh tanpa berdasarkan siasatan, saya rasa itu tidak betul,” kata beliau.

Musa berkata, jika ada pihak yang menimbulkan ketegangan, polis akan menggunakan peruntukan undang-undang yang sewajarnya untuk bertindak.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/7/21/mstar_berita/20090721122130&sec=mstar_berita

Chua Jui Meng umum sertai PKR ~ Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 18 Julai – Bekas Naib Presiden MCA dan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng (gambar) hari ini mengumumkan secara rasmi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Di hadapan 800 hadirin dan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jui Meng turut mengisytiharkan keluar daripada parti MCA.

“Hari ini saya membuat keputusan penting dalam hidup saya, meninggalkan MCA dan menyertai PKR serta melepaskan jawatan saya sebagai Ketua MCA Bahagian Bakri selama 23 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum anjuran PKR di Bandar Sunway di sini hari ini.

Turut mengikuti langkah Jui Meng ialah bekas Ahli Parlimen Lumut pada penggal 1995-1999, Datuk Dr. Yap Yit Thong dan bekas Ahli Dewan Negara, Datuk David Yeoh.

Menurut Jui Meng, antara alasan utama beliau menyertai PKR ialah kerana agenda perjuangan parti itu mempunyai persamaan dengan wawasan yang didokong oleh beliau.

“Banyak perkara yang setuju dengan apa dibawa oleh PKR, iaitu memperjuangkan hak segala kaum di dalam satu landasan tanpa ada sebarang diskriminasi.

“Jika ada idea serta dasar perjuangan PKR yang bercanggah dengan saya, saya tidak akan masuk PKR malah kemasukan saya dalam PKR adalah tanpa sebarang syarat.

“Sewaktu saya bertanding pada pemilihan jawatan Presiden MCA pada 2005 dan 2008, kebanyakan perkara yang disentuh dalam manifesto saya tidak banyak beza dengan apa yang ingin diperjuangkan oleh PKR,” katanya.

Jui Meng mengakui terpaksa mengambil keputusan yang agak lama untuk menyertai PKR kerana ingin membuat reformasi terhadap parti MCA terlebih dahulu.

Ditanya mengapa sebelum ini beliau menafikan mahu menyertai PKR, beliau berkata, media sebenarnya membuat salah tafsiran.

“Saya sebenarnya tidak memberi jawapan menafikan, cuma saya hanya berkata akan memberitahu pada masa yang sesuai,” ujarnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm

24 jam sehari tidak cukup ~ Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 12 Julai – Kesibukan Datuk Seri Najib Tun Razak berkhidmat untuk rakyat menyebabkan beliau merasakan tempoh 24 jam sehari tidak mencukupi untuknya.

Perdana Menteri berkata, beliau sangat sibuk kerana sepanjang 100 hari mentadbir negara ini, terdapat pelbagai ujian yang perlu dihadapinya khususnya bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

”Jadi Perdana Menteri ini lain, kerana saya rasakan 24 jam itu tidak cukup. Saya beritahu isteri (Datin Seri Rosmah Mansor) masa siang kini adalah lebih panjang dan masa malam juga makin singkat.

”Masa untuk tidur juga sudah kurang kerana banyak program dan ini tidak pernah saya alami sebelum jadi Perdana Menteri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara eksklusif sempena 100 Hari Pentadbiran Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung melalui saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini malam ini.

Menurut Najib, masa terluang ketika di rumah juga digunakan untuk berfikir mengenai langkah-langkah untuk menyelesaikan masalah rakyat.

”Ramai yang tidak faham kerana ingat apabila Perdana Menteri berada di rumah dia free. Duduk rumah bukan bererti bersantai kerana kalau tidak berfikir saya akan baca buku atau (sediakan) ucapan esok. Tengok fail atau tandatangan sijil yang saya tidak dapat lakukan di pejabat,” jelasnya.

Menyentuh tentang gagasan 1Malaysia, beliau menjelaskan, tumpuannya kini adalah untuk mendapat sokongan daripada kumpulan yang faham dan menerima pendekatan itu serta kumpulan yang tidak berapa faham tetapi yakin kepada kerajaan.

Sebelum mengakhiri temu bual itu, Najib juga sempat berpesan kepada semua rakyat supaya menganggap apa yang telah dilakukannya dalam tempoh 100 hari hanya sebagai satu titik permulaan.

”Saya telah bina asas permulaan dan saya memohon supaya rakyat akan bersama-sama kerajaan dalam perjalanan selanjutnya ke arah negara Malaysia yang semakin berjaya, hubungan kaum semakin mantap dan imej kerajaan semakin positif.

”Ini adalah bagi membolehkan saya memperkenalkan pembaharuan dan meneruskan kesinambungan pemimpin sebelum ini,” ujarnya.

http://www.utusan.com.my

Pemimpin kumpulan tabligh diseru satupadukan ummah ~ Utusan

NILAI 11 Julai — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meluangkan masa melawat Ijtimak (Perhimpunan) Dakwah Tabligh Sedunia di kawasan lapang berhampiran Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini.

Beliau tiba pada kira-kira pukul 1.30 petang dan sejurus tiba beliau dibawa ke sebuah khemah khas berhawa dingin dan kemudian diberi taklimat oleh anggota Syura Malaysia Sheikh Mohamad Sheikh Ali mengenai perhimpunan itu.

Beliau kemudian menunaikan solat zohor bersama ratusan ribu jemaah. Selesai solat dan sebelum beredar pulang pada kira-kira pukul 2.15 petang, beliau sempat bersalam-salaman dan beramah mesra dengan jemaah.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Muhyiddin berkata beliau sudah berjumpa dengan pemimpin kumpulan perhimpunan tabligh tersebut dan menyeru mereka agar sentiasa mementingkan soal kecintaan kepada agama, semangat perpaduan ukhwah Islamiah serta bersikap sederhana dan berusaha untuk menyatupadukan ummah.

“Perhimpunan kumpulan Tabligh ini adalah yang terbesar dan Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama kumpulan itu pada hari ini,” katanya ringkas.

Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 200,000 jemaah dari 40 buah negara itu bermula Rabu lepas dan berakhir esok.

Perhimpunan itu adalah kali kedua diadakan di Malaysia selepas 27 tahun.

Kali pertama Malaysia sebagai tuan rumah perhimpunan itu, ia diadakan di Terengganu.

— BERNAMA

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_18.htm

DAP keluar pakatan ~ Utusan Malaysia

ALOR SETAR 1 Julai – DAP Kedah hari ini keluar daripada pakatan pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran Pas di negeri ini antara lain termasuk tindakan merobohkan satu-satunya pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya di sini.

Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su bagaimanapun menyerahkan keputusan sama ada DAP Kedah kekal dalam pakatan pembangkang kepada pemimpin Pusat parti itu.

“Kami kesal kerana kerajaan negeri gagal dalam memberi keadilan kepada semua masyarakat di negeri ini.

“Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata Pas untuk semua, namun mereka gagal menunjukkannya apabila banyak isu tidak diselesaikan dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Su memberitahu, antara perkara yang gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan negeri adalah isu pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya yang dirobohkan hari ini oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

“Memang pusat ini didirikan di tanah milik MBAS namun kerajaan negeri ada kuasa untuk menangguhkan kerja-kerja merobohkan tempat ini.

“Tempoh sebulan yang diberikan kepada pengusaha di pusat ini untuk mencari kawasan lain tidak mencukupi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, DAP berpendapat janji kerajaan negeri untuk berlaku adil kepada semua pihak tidak dilaksanakan.

“Banyak isu yang mengguris perasaan rakyat di negeri ini dan isu pusat penyembelihan babi membawa unsur negatif kepada rakyat di sini.

“Kami juga tidak puas hati apabila kerajaan negeri tetap berkeras menaikkan kuota 50 peratus kepada pembeli rumah bumiputera di negeri ini,” katanya.

http://www.utusan.com.my

Older entries »
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.