BERITA MALAYSIA KINI

Pilihan Terbaik Setiap Detik

Arkib untuk Ogos, 2009

Cubaan bakar kenderaan SPRM: Polis temui petunjuk baru

SHAH ALAM 25 Ogos – Polis menemui beberapa petunjuk baru berhubung siasatan kes kenderaan milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Klang dilempar bom petrol, 20 Ogos lalu.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, pihaknya percaya beberapa petunjuk itu dapat mengukuhkan lagi siasatan dalam kes tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan petunjuk-petunjuk itu kerana bimbang akan mengganggu siasatan.

“Ada (petunjuk baru), tapi kita belum boleh umumkan lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 20 Ogos lalu, bahagian kiri hadapan kenderaan rasmi SPRM jenis Nissan X-Trail rosak akibat terbakar setelah terkena bom petrol yang dipercayai dilontarkan dari kawasan luar pagar pejabat suruhanjaya itu, kira-kira pukul 7.12 pagi.

Ketika kejadian, terdapat sebuah lagi kenderaan lain yang turut diletakkan di tempat letak kereta berhampiran Nissan X-Trail itu tetapi kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kerosakan.

Berdasarkan siasatan awal di tempat kejadian sebelum ini, polis menemui enam botol minuman keras dipercayai digunakan sebagai bom petrol untuk membakar kenderaan berkenaan yang sering dipakai bagi menjalankan tugas-tugas rasmi SPRM.

http://www.utusan.com.my/

Saya bersimpati Rohaizat terus dihentam, seorang baik – Yusri

BEKAS rakan kongsi calon Barisan Nasional pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Yusri Isahak ketika sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.–fotoTHE STAR oleh Raymond Ooi

KUALA LUMPUR: Bekas rakan kongsi firma guaman Rohaizat Othman, Yusri Isahak hari ini berkata, beliau bersimpati dengan rakannya itu – calon Barisan Nasional – yang kini teruk ‘dihentam’ pembangkang dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pasir berikutan kenyataannya sebelum ini bahawa beliau dijadikan ‘kambing hitam’ dalam isu pembatalan lesen peguam sivil dan penggunaan wang koperasi.

Pada sidang media kedua sejak 20 Ogos lalu, Yusri menjelaskan, beliau membuat kenyataan tempoh hari semata-mata untuk mempertahankan dirinya dan menjelaskan perkara sebenar.

Namun sejak itu, pelbagai tohmahan telah dilemparkan terhadap Rohaizat yang dilihat menyimpang daripada tujuan asalnya.

“Saya tidak berniat untuk menganiaya atau menyokong sesiapa. Apa yang terjadi harus dijadikan teladan, bukan hukuman. Secara tidak langsung, saya merasa dibabitkan sama dalam usaha memburuk-burukkan Rohaizat.

“Tetapi apabila Rohaizat dikeji sedemikian rupa, saya merasa bertanggungjawab untuk menjelaskan kedudukan saya selanjutnya dan juga menyampaikan apa yang saya rasa.

“Saya tidak boleh berdiam diri melihat kenyataan saya tempoh hari digunakan tanpa henti terhadap Rohaizat, seorang manusia yang saya kenal secara peribadi adalah seorang yang baik hati,” katanya.

Khamis lalu, Yusri, 39, mendakwa beliau dijadikan “kambing hitam” berhubung isu pembatalan lesen peguam sivil Rohaizat dan menyatakan urusan firma guaman mereka itu dilakukan dengan persetujuan Rohaizat.

Yusri berkata, media kedua hari ini diadakan kerana tidak mahu melihat Rohaizat terus dihentam parti pembangkang.

Isu Rohaizat mendominasi kempen pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir yang sedang berlangsung.

Kempen bermula Isnin lalu manakala pengundian adalah pada Isnin ini.

Kenyataan itu dibuat berikutan dakwaan yang mengatakan Rohaizat terlibat dalam penyelewengan melibatkan transaksi jual beli tanah yang diuruskan oleh Yusri bagi pihak Koperasi Pekebun-pekebun Getah Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Yusri berkata, beliau tetap mempertahankan kenyataan yang dibuatnya sebelum ini.

Bagaimanapun tegasnya, Rohaizat telah pun membetulkan kesilapan itu dan koperasi juga telah menarik kembali tuntutan mereka.

“Jika orang seperti Rohaizat dibiarkan dikeji dan dirosakkan nama baiknya semata-mata untuk kepentingan politik, akan hancurlah hidup seorang lagi manusia yang boleh membawa perubahan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau turut menafikan beliau dibayar oleh mana-mana pihak untuk mengeluarkan kenyataan berhubung Rohaizat sama ada kenyataan Khamis lalu atau hari ini.

Sumber : Mstar Online

ADUN Lunas keluar PKR

 

23/08/2009 11:48am

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd. Radzhi Salleh keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil rakyat bebas.

Bahagian PKR Padang Serai turut dibubarkan. – Utusan

Sumber : http://www.utusan.com.my

Rakaman CCTV rekod kelibat Teoh ~ Mstar

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret hari ini diberitahu rakaman CCTV dari lobi Plaza Masalam menunjukkan kelibat seorang lelaki yang dipercayai Teoh Beng Hock memasuki bangunan tersebut pada pukul 6.08 petang.

Bagaimanapun tiada sebarang rakaman yang menunjukkan Teoh meninggalkan bangunan tersebut.

Perkara tersebut dinyatakan oleh saksi ke-11 inkues kematian Teoh, Insp Mohd Zulaimi Mohd Zubir dari Cawangan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam semasa memberi keterangan hari ini.

“Hasil rakaman CCTV yang saya lihat, saya dapat melihat si mati masuk ke Plaza Masalam melalui lobi tingkat 4… rakaman itu direkodkan pada jam 18:08:55.

“Si mati dipercayai adalah pada imej yang paling belakang berdasarkan bentuk badan dan juga pakaiannya,” kata Mohd Zulaimi ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas.

Pada prosiding hari ini, mahkamah ditunjukkan klip rakaman CCTV yang direkodkan pada 15 Julai lepas.

Menerusi rakaman tersebut kelibat Teoh dapat dilihat berjalan tanpa diiringi oleh sesiapa memasuki plaza tersebut.

Rakaman dari sudut belakang menunjukkan Teoh berjalan menuju kearah lif, di hadapan beliau terdapat beberapa imej individu lain yang juga sedang berjalan menuju kearah yang sama.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam, di sini selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Bagaimanapun Mohd Zulaimi memberitahu mahkamah bahawa hasil pemeriksaannya tidak terdapat sebarang kamera CCTV dipasang pada koridor tingkat 5 Plaza Masalam.

“Kamera CCTV hanya terdapat di kawasan tempat letak kereta, pintu lobi utama dan pintu ke pasaraya,” katanya.

Mohd Zulaimi juga menyatakan pada 17 Julai, beliau telah merampas cakera keras (hard disk) rakaman CCTV dari bilik operasi pihak penyelengaraan plaza itu.

Jelasnya rakaman tersebut kemudiannya diserahkan ke Jabatan Forensik Bukit Aman pada hari berikutnya untuk dianalisa.

Bagaimanapun rakaman CCTV berkenaan tidak dapat dibaca kerana Jabatan Forensik Bukit Aman tidak mempunyai perisian yang sesuai dengan CCTV jenis JDR.

Namun Mohd Zulaimi memberitahu rakaman CCTV tersebut boleh dilihat menerusi salinan yang dibuat melalui ‘pen drive’.

“Rakaman tersebut boleh dibaca melalui ‘pen drive’, bagaimanapun rakaman itu tidak boleh dicetak atas sebab-sebab teknikal,” katanya.

Menurut Mohd Zulaimi, hasil analisa pihaknya berjaya mengesan sebanyak 47 imej individu keluar masuk ke Plaza Masalam pada 16 Julai dari pukul 00:00 hingga pukul 7 malam hari yang sama.

Mohd Zulaimi ketika menceritakan kepada mahkamah berkata, mayat Teoh yang ditemui mati di koridor tingkat 5 telah disahkan oleh pegawai SPRM sebagai saksi mereka.

Katanya pengecaman tersebut dibuat oleh salah seorang pegawai SPRM yang turut berada ditempat kejadian.

Bagaimanapun Mohd Zulaimi menyatakan kepada mahkamah beliau tidak merekodkan butir-butir peribadi pegawai berkenaan kerana terlupa.

Jawapannya itu mengundang reaksi peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo yang menyatakan beliau sepatutnya merekodkan butiran pegawai-pegawai berkenaan kerana mereka merupakan individu penting yang telah membuat pengecaman Teoh.

“Mengapa kamu tidak rekodkan butiran mereka, mengapa kamu lepaskan mereka?

“Sebagai anggota polis adakah kamu rasakan tidak penting untuk rekodkan butiran orang yang mendakwa mengetahui bahawa si mati adalah saksi mereka?” soalnya.

Mohd zulaimi dalam jawapannya berkata: “Penting, tapi saya tak catat butiran mereka kerana terlupa.”

“Saya boleh ingat seorang sahaja, iaitu pegawai yang dikenali sebagai Azim. Yang lain saya tak boleh cam.”

Gobind terus mengasak Mohd Zulaimi dengan pertanyaan bagaimana pegawai berkenaan boleh mengecam mayat sedangkan berdasarkan kenyataannya sebelum itu menjelaskan mayat Teoh ditutup dengan plastik hitam.

“Adakah kamu setuju bahawa kamu membuka plastik berkenaan selepas diminta oleh oleh pegawai SPRM berkenaan,” soal Gobind.

Bagaimanapun Mohd Zulaimi tidak bersetuju dengan kenyataan Gobind tersebut.

“Tak setuju, mereka tahu si mati ialah saksi mereka setelah saya arahkan pihak polis membuka plastik yang menutup mayat Teoh. Ketika itu mereka, iaitu lebih kurang empat ke lima orang pegawai SPRM, berada dalam bangunan di kira-kira 10 hingga 20 meter dari kedudukan mayat.

“Walaupun mereka tidak berada berdekatan mayat, tetapi mereka dapat mengecam dan melihat dengan jelas muka si mati daripada cermin tingkap pejabat dalam bangunan itu,” jelas Mohd Zulaimi.

Jelas Mohd Zulaimi lagi, selepas membuat pengawasan ditempat kejadian, beliau kemudiannya naik ke tingkat 14 yang menempat pejabat SPRM untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Di tingkat 14 saya terjumpa Azim sahaja. Pegawai SPRM yang berada di tingkat lima saya tidak nampak, tetapi pegawai-pegawai lain ada di pejabat itu.

“Masa perbincangan di tingkat 14, ketua polis daerah ada bertanya berkaitan si mati dan mengambil butiran dirinya, dan seorang pegawai wanita SPRM mengesahkan bahawa Teoh ialah saksi mereka,” kata Mohd Zulaimi.

Gobind seterusnya bertanya: “Adakah kamu tanya bila kali terakhir si mati dilihat?”

Mohd Zulaimi kemudiannya menyatakan: “Saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah bahawa si mati dilihat kali terakhir kira-kira pukul 6 pagi.”

Gobind kemudiannya cuba mengaitkan teori kemungkinan Teoh jatuh ditolak dengan bertanya: “Adakah ada kemungkinan dalam fikiran kamu fikirkan si mati jatuh ditolak atau tercampak?”

Mohd Zulaini berkata: “Ya pada mulanya saya berpendapat begitu, tapi bila pegawai penyiasat buat siasatan buat siasatan, beliau berkata berkemungkinan dia (Teoh) terjatuh atau ditolak dari salah satu tingkap di tingkat 14.”

http://www.mstar.com.my

Inkues Beng Hock: Pakar sahkan mati akibat jatuh ~ Utusan Malaysia

11/08/2009 12:46pm

Shah Alam 11 Ogos – Setiausaha politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock disahkan meninggal dunia disebabkan kecederaan berganda akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Dr. Khairul Azman Ibrahim berpendapat Beng Hock yang mengalami kecederaan dalaman yang parah jatuh dan terhempas dalam keadaan badan condong ke kanan.

Beliau turut mengesahkan tiada sebarang kecederaan akibat pergelutan atau mempertahankan diri dijumpai pada badan Beng Hock semasa bedah siasat dilakukan.

- Utusan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_13.htm

Arak: Selangor tidak larang ~ Utusan Malaysia

Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 7 Ogos – Kerajaan negeri Selangor hari ini membuat keputusan tidak akan melarang penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam di negeri ini.

Sebaliknya, kerajaan negeri meminta semua premis perniagaan, pasar raya dan kedai serbaneka yang menjual arak mengamalkan konsep kawalan sendiri bagi membendung penjualan minuman keras kepada orang Islam dan remaja bawah umur.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa mengumumkan perkara itu berkata, buat permulaan konsep kawalan sendiri akan dikuatkuasakan di 52 premis perniagaan dan kedai serbaneka di Shah Alam dengan menumpukan 17 premis di Seksyen 1 hingga Seksyen 24.

Menurut beliau, ia akan diseleraskan di seluruh negeri jika konsep itu berjaya mencapai tujuannya selepas tempoh sebulan.

”Kerajaan negeri berpendapat baik guna konsep kawalan sendiri yang mana penjual faham kehendak pengguna iaitu di kawasan yang tidak ada permintaan atau tidak perlu penjualan dibuat, maka mereka tidak perlu jual atau pamer minuman keras.

”Jadi dengan konsep ini, tidak perlulah banyak undang-undang digubal dan saya tahu ini memang keputusan yang orang tidak sangka.

”Dengan ini juga, draf yang dicadangkan oleh Pas itu takkan dilaksanakan kerana kita pilih nak belajar bagaimana laksanakan konsep ini (kawalan sendiri),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mazalan Md. Noor serta wakil kedai serbaneka 24 jam, 7-Eleven dan Kumpulan Syarikat KK di sini hari ini.

Selasa lalu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali mendesak agar portfolio kerajaan tempatan yang dipegang Ronnie Liu ditarik balik ekoran beberapa masalah yang ditimbulkan wakil rakyat DAP itu berhubung isu penjualan arak.

Pas turut memaklumkan akan segera mengemukakan draf peraturan kecil mengenai penggunaan arak di kalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasakan di peringkat pihak berkuasa tempatan dan mencadangkan agar minuman keras tidak boleh dijual di kawasan yang majoriti penduduk Islam.

Bagaimanapun, desakan menarik balik portfolio Ronnie telah ditolak mentah-mentah dan hari ini cadangan mereka agar minuman keras tidak boleh dijual di kawasan yang majoriti penduduk Islam pula diketepikan.

Mengulas lanjut konsep kawalan sendiri, Abdul Khalid berkata, konsep yang mendapat kerjasama pemilik premis kedai serbaneka itu diharap dapat mengekang masalah sosial.

Selain itu, kata beliau, ia juga menunjukkan toleransi kerajaan negeri kepada peniaga serta memahami keperluan serta tanggungjawab kepada rakyat yang pelbagai budaya, kaum dan agama.

Ditanya sama ada kedai serbaneka di Seksyen 8 di sini akan turut serta dalam konsep itu, beliau berkata, mereka juga sedang membuat kajian sama ada untuk menarik semula penjualan minuman keras di premis itu atau sebaliknya.

Sementara itu, Mazalan ketika ditemui berkata, pihaknya akur dengan keputusan tersebut dan akan bekerjasama dengan semua premis perniagaan serta kedai serbaneka di bandar raya ini untuk merealisasikan konsep tersebut.

”Dalam sebulan ini, kita akan tumpukan di Seksyen 1 hingga Seksyen 21 Shah Alam di mana terdapat 17 kedai serbaneka yang akan melaksanakan sistem ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KK, Datuk Dr. Doughlas KK Chai pula berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan konsep itu kerana hanya mempunyai satu cawangan di Shah Alam iaitu di Seksyen 9 di sini.

Menurutnya, konsep itu mungkin memberi kesan kepada perniagaannya, tetapi ia akan membawa kebaikan kepada semua pihak terutama dalam mencegah masalah sosial yang berpunca daripada arak.

http://www.utusan.com.my

Jeff Ooi perlu tarik balik kenyataan sentuh sensitiviti Islam – Mstar

PULAU PINANG: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim semalam mendesak anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi supaya menarik balik kenyataannya yang menyinggung perasaan umat Islam bukan sahaja di negeri ini malahan di seluruh negara.

Beliau berkata, Jeff perlu lebih berhatihati mengeluarkan kenyataan dan disaran menggunakan saluran dalaman bagi menyuarakan pandangannya kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata, meskipun kerajaan negeri mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) namun kenyataan berbaur prasangka tanpa berpijak di bumi nyata perlu dielakkan lebihlebih lagi dari seorang wakil rakyat kerajaan pakatan pembangkang.

“Saya secara tegas menolak kenyataan Jeff yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris 2 Ogos lalu yang saya anggap bersifat peribadi tetapi boleh disalah ertikan pelbagai pihak.

“Saya yakin umat Islam di Pulau Pinang tidak dapat menerima kenyataan sebegini lebihlebih lagi ia menyentuh sensitiviti agama Islam sebagai agama rasmi yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia,” kata Abdul Malik.

Abdul Malik mengulas kenyataan Jeff, yang juga Ketua Staf di Pejabat Ketua Menteri terhadap seorang ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merupakan anggota Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Jeff dilaporkan berkata, MPPP tidak seharusnya membenarkan seorang “ekstremis agama” berada di dalam pentadbirannya dan kerajaan negeri telah mewujudkan teladan yang berbahaya apabila membenarkan seorang ekstremis agama menyusup masuk ke dalam sistem kerajaan tempatan.

Jeff juga memetik portal JIM yang meletakkan sasarannya untuk membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang menggunakan sepenuhnya Undang-undang Syariah menjelang 2020.

Abdul Malik berkata, kerajaan Pulau Pinang sentiasa menjalin hubungan baik dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negeri ini dan peruntukan sebanyak RM1.5 juta telah disalurkan kepada 17 Sekolah Agama Rakyat (SAR) kendalian kerajaan negeri termasuk dua yang diuruskan NGO Islam iaitu JIM dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). BERNAMA

http://mstar.com.my

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.