BERITA MALAYSIA KINI

Pilihan Terbaik Setiap Detik

Arkib untuk September, 2009

Tarikh mengundi 11 Oktober – Utusan Malaysia

Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 14 Sept. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 3 Oktober ini manakala 11 Oktober pula tarikh pengundian jika ada pertandingan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, berikutan itu pihaknya akan menggunakan daftar pemilih yang telah dikemaskinikan sehingga 4 September lalu yang mengandungi 13,664 pemilih berdaftar iaitu 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos.

”Tarikh mengundi bagi undi pos belum ditetapkan lagi tetapi seperti sebelum ini, ia akan dilaksanakan dua atau tiga hari sebelum tarikh pengundian sebenar.

”Kami akan memaklumkan tarikh mengundi bagi undi pos kepada parti-parti politik yang terlibat sekurang-kurangnya 24 jam sebelum ia dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung kedudukan kerusi DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan di sini hari ini.

Kerusi itu kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor pada 4 September lalu akibat jangkitan dalam darah.

Pada pilihan raya umum tahun lalu, Azman, 54, yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan undi 6,430 menewaskan calon Pas, Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi.

Abdul Aziz memberitahu, SPR akan menggunakan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi.

Menurutnya, bagi urusan pengundian pos pula, proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Port Dickson.

”Pusat mengundi pula adalah sebanyak lapan buah melibatkan lapan sekolah dan 18 saluran mengundi,” katanya.

Katanya, SPR melantik Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Abdul Wahab Shamsuddin sebagai pegawai pengurus pilihan raya kecil itu.

”SPR turut menubuhkan tiga Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya yang bertanggungjawab memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen,” katanya.

Abdul Aziz mengingatkan parti politik yang bertanding supaya mematuhi subseksyen 26 (1), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkenaan larangan berkempen pada hari mengundi.

”Sesiapa yang didapati melanggar subseksyen itu boleh disabitkan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau keduanya sekali,” katanya.

http://www.utusan.com.my

Pakatan pecah: Mustafa persoal Kit Siang

KUALA LUMPUR 9 Sept. – Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang sepatutnya berusaha memperkukuhkan pakatan pembangkang dan bukannya menjangkakan kerjasama mereka akan berpecah.

Beliau berkata, walaupun tidak dinafikan bentuk pakatan yang wujud ketika ini longgar dalam konteks ia tidak didaftarkan, namun terlalu awal melontarkan kenyataan seperti itu di saat pakatan pembangkang sedang melakukan proses penyatuan dan pengukuhan.

“Tak apalah, saya boleh berbeza dengan Kit Siang tentang perkara ini kerana saya rasa yang perlu kita buat ialah perkukuhkan bukan menjangka ia akan berpecah. Kita hadapi dulu, apa yang akan berlaku kemudian itu soal lain.

“Walaupun saya akui bahawa memang pakatan rakyat ini satu pakatan longgar dalam konteks kita belum daftarkan parti ini tetapi dalam beberapa kali pilihan raya lepas kita sudah bersama.

“Ini termasuk dalam siri pilihan raya kecil dan insya-Allah kita akan terus bersama untuk Pilihan Raya Umum Ke-13,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Penerangan, Idris Ahmad di ibu pejabat Pas di sini hari ini.

Mustafa mengulas mengenai kenyataan pemimpin veteran Kit Siang yang bimbang dengan masa depan pakatan pembangkang berikutan beberapa perkembangan yang berlaku khususnya di negeri-negeri yang diperintah pembangkang.

Kit Siang menyatakan demikian dalam wawancara beliau dengan sebuah media tempatan baru-baru ini.

http://www.utusan.com.my

Kerajaan Pakatan rakyat mula dipersoalkan rakyat – Najib

PEKAN: Kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang kini dilihat mula dipersoalkan satu persatu oleh rakyat yang ternyata semakin sangsi dengan kewibawaan mereka mentadbir, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata jika sebelum ini pembangkang dilihat amat mudah mempertikaikan kerajaan Barisan Nasional (BN), kini mereka perlu sedar bahawa bukanlah mudah mentadbir seperti mana mudahnya mereka berjanji sesuatu kepada rakyat setiap kali menjelang pilihan raya umum.

“Sebenarnya bila mereka jadi pembangkang, amat mudah bagi mereka untuk mempertikaikan kerajaan Barisan Nasional, kononnya kita tidak berwibawa dan sebagainya.

“Hakikatnya bila kita (mereka) mentadbir, tidak semudahnya seperti mana sewaktu mereka lakarkan sewaktu mereka jadi pembangkang.

“Beberapa kes yang berlaku ini (ketika ini) adalah disebabkan janji mereka buat sebelum pilihan raya dan juga kegagalan mereka untuk membuat keputusan yang tepat dalam keadaan setempat dan ambil kira masyarakat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Majlis Dialog Bersama Penduduk Seksyen 23 berhubung cadangan pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke kawasan perumahan mereka yang berlangsung dalam suasana kecoh semalam.

Pada majlis itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut diejek dan dilemparkan kata kesat oleh lebih 200 penduduk Seksyen 23 yang menyertai sesi dialog berkenaan.

Najib berkata apa yang berlaku itu jelas memperlihatkan kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang menghadapi pelbagai masalah dan mereka gagal menangani sesuatu isu yang berlaku.

“Kewibawaan kerajaan pembangkang di negeri yang mereka kuasai sudah dipersoalkan rakyat sendiri.

“Bila mereka ada kuasa, mereka menghadapi begitu banyak masalah, sama ada masalah itu disebabkan mereka gagal menunaikan janji (pilihan raya umum lepas), (atau), masalah keputusan mereka tidak memenuhi jangkaan rakyat, atau masalah itu berbangkit kerana ketidaktepatan dan kecuaian membuat keputusan dalam sesuatu situasi,” kata Najib.

Ditanya sama ada kerajaan Pusat akan campurtangan atau membantu kerajaan negeri Selangor untuk menyelesaikan isu berkenaan, Najib berkata kerajaan pusat tidak dapat membantu kerana soal tapak baru kuil terbabit adalah bidang kuasa sepenuhnya kerajaan negeri.

Ditanya mengenai calon BN untuk pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Najib berkata perkara itu masih terlalu awal.

Beliau sekali lagi turut ditanya mengenai bonus kepada penjawat awam: “(Itu kena) tanya KSN (Ketua Setiausaha Negara),” katanya sambil ketawa.

Terdahulu, beliau melakukan ziarah ke beberapa buah rumah warga uzur dan tua di kampung Padang Jaya, Jaya Gading, Kampung Sri Damai, Kampung Bentan dan Kampung Pulau Serai, serta meninjau mangsa ribut di kampung Panchor, Pekan.

Mengulas mengenai lawatan ziarahnya itu, Najib berkata kaedah berkenaan merupakan amalannya sejak sekian lama sebagai anggota parlimen Pekan.

“Saya dapati cara ini sangat berkesan kerana saya dapat melihat keadaan itu sendiri, dan menemui penghuni rumah berkenaan yang memerlukan bantuan kerajaan mahupun Yayasan Taha,” katanya. BERNAMA

Sumber : Mstar Online

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.