BERITA MALAYSIA KINI
Pilihan Terbaik Setiap DetikArkib untuk November, 2009
Doa : Najib tak minta Nik Aziz tarik balik kenyataannya
30/11/2009 10:48am
Oleh Zulkefli Hamzah
PORT OF SPAIN 30 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau tidak akan meminta Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menarik balik kenyataan atau memohon maaf selepas mahu berdoa supaya Allah memusnahkan masa depan Perdana Menteri jika tidak memberi royalti minyak kepada negeri itu.
Perdana Menteri berharap Mursyidul Am Pas itu sedar sendiri dengan tindakannya itu kerana ramai umat Islam merasakan kenyataan tersebut adalah keterlaluan dan tidak melambangkan semangat keislaman yang dituntut agama.
“Apa pun kita perlu berbincang untuk mencari penyelesaian dan bukan cari pergaduhan. Berbalah sesama sendiri terkutuk dalam Islam, malah untuk kita mengutuk orang lain pun tidak dibolehkan oleh Islam,” katanya kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM 2009) di sini hari ini. – Utusan
‘Jangan larang Nik Aziz letak jawatan’ – Malaysiakini
|
| Anak Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap tiada pihak yang yang melarang ayahnya meletak jawatan jika beliau berhasrat berbuat demikian “kerana ayahanda telah tua dan keletihan”.
“Ayahanda telah tua dan keletihan. Dia telah memberi yang terbaik. Jika suatu hari dia menyebut hasrat meletakkan jawatan, jangan ada yang bodoh datang mengatakan tidak dan jangan,” tulis Nik Abduh Nik Aziz dalam blognya semalam..
“Jika tidak, saya akan memanggilnya, ‘Wahai si bodoh!’, tulis Nik Abduh Nik Aziz yang juga exco Dewan Pemuda PAS pusat.Tulisan Nik Abdul itu menyemarakkan lagi spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya peralihan kuasa dalam barisan kepimpinan di Kelantan. Nik Aziz yang juga mursyidul Am PAS, memegang jawatan menteri besar Kelantan sejak 19 tahun yang lalu. Sebelum ini, terdapat cadangan supaya Nik Aziz menamakan bakal penggantinya lebih awal supaya tidak timbul kekalutan apabila tiba masanya beliau melepaskan jawatan. Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, proses peralihan yang lebih panjang secara terancang dapat memastikan kestabilan dalam parti. Bagaimanapun, exco Kanan negeri, Datuk Husam Musa, antara yang disebut-sebut sebagai pengganti Nik Aziz pula dilaporkan tidak berhasrat dan tidak mahu namanya dikaitkan dengan perkara itu. Satu lagi nama yang disebut-sebut, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang juga timbalan pesuruhjaya PAS negeri. Beliau yang baru pulang daripada perkhemahan Pemuda PAS di Sepang baru-baru ini juga akur terhadap desas-desus peletakan jawatan yang mengocak politik Kelantan mahu dinafikannya sebelum ini. Katanya, melalui kiriman SMS yang diterimanya, terdapat juga ura-ura peletakan jawatan seorang pemimpin kesayangan Nik Aziz. Dalam artikel panjang berjudul ‘Abdul Ariffahmi Abdul Rahman – Moga Awan Berarak Lalu’, Nik Abduh mempertahankan bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu yang didakwanya tidak harus dibiarkan bersendirian mempertahankan diri. Beliau dlihat menyerang balas bekas pegawai perhubungan korporat PMBK, Syed Aziz Syed Abdul Aziz yang dipecat Abdul Ariffahmi pada 11 November lalu dan kemudiannya mendedahkan di blog dakwaan salah urus menantu Ni Aziz itu. Nik Abduh menyifatkan tulisan Syed Azidi – penulis blog Kickdafella itu – sebagai “hukuman melalui tulisan” dan “sama seperti hakim yang menghukum dalam keadaan mabuk kedarah arak terlarang.” Nik Abduh – yang sebelum ini yang mencetuskan kontroversi apabila mengkritik sesetengah pembantu Nik Aziz sebagai “ulama mi celup” – kini dilihat konsisten mengulanginya. “Saya tahu mereka tidak menyetujui pelantikan (Abdul) Ariffahmi. Tetapi mereka telah berusaha untuk membantu menjadikannya harapan yang terlangsai buat ayahanda. “Tetapi ada yang tidak begitu. Ada yang hanya berusaha untuk membersih diri sendiri dan meninggalkan ayahanda dalam perangkap dan kekeliruan. Nik Abduh juga mengumumkan hasranya melepaskan semua jawatan politik dan ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu bermula tahun depan bagi “membuka buku baru”. Malaysiakini |
Menantu Nik Aziz diarah letak jawatan – Utusan Malaysia
KOTA BHARU 23 Nov. – Kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) sampai ke penghujungnya apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengarahkan menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) perbadanan tersebut.
Ia dikatakan bagi membendung fitnah yang disebarkan oleh pihak tertentu terhadap kepimpinan Pas daripada terus merebak.
Arahan tersebut dikeluarkan Nik Abdul Aziz selepas mengadakan pertemuan dengan rombongan kepimpinan tertinggi parti itu yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Haron Din; Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Bendahari, Dr. Hatta Ramli di kediaman rasminya, JKR 10 di sini, hari ini.
Abdul Ariffahmi yang turut hadir pada sidang akhbar selepas pertemuan tersebut mengesahkan akan melepaskan jawatannya selepas semua urusan berkaitan cuti tahunannya selesai.
Sementara itu, Nik Abdul Aziz berkata, pada pertemuan tersebut beliau telah dinasihatkan oleh Pas Pusat supaya mengarahkan Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan bagi menjaga nama baik kepimpinan Islam khasnya parti itu sendiri.
Bagaimanapun beliau menafikan ia dikeluarkan kerana siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap menantunya itu sebaliknya menegaskan ia disebabkan fitnah yang disebarkan.
‘‘Semuanya (rombongan tersebut) menasihati saya supaya menjaga nama baik pimpinan Islam khasnya Pas sendiri untuk menasihat menantu saya supaya mengundurkan diri dari PKMB.
‘‘Saya lantik dia (Abdul Ariffahmi) dulu dalam mesyuarat penuh yang turut dihadiri Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri dan beliau tidak memberikan sebarang komen.
‘‘Tetapi oleh kerana fitnah melalui macam-macam surat layang dan sebagainya, maka saya dinasihatkan supaya elak diri dari fitnah ini dari terus berkembang.
‘‘Siasatan SPRM itu siasatlah… itu kerja dia tetapi fitnah itu yang jadi (punca suruh letak jawatan). Nabi kata fitnah ini benda tidur, siapa-siapa yang gerak dia akan dilaknat Allah. Itu fitnah punya fasal tetapi (letak jawatan) ini hendak jaga kepimpinan Parti Islam Semalaysia.,” katanya.
Masalah dalaman PMBK bermula apabila enam pegawai SPRM dilaporkan menyerbu pejabat perbadanan tersebut yang terletak di Jalan Kuala Krai di sini pada 9 November lalu.
Pada masa yang sama, Nik Abdul Aziz mengakui menerima tajaan untuk menunaikan haji bernilai RM65,000 yang turut disertai ahli keluarganya termasuk Abdul Ariffahmi.
Beberapa hari selepas itu, masalah dalaman PMBK menjadi bertambah parah apabila menantu Nik Abdul Aziz itu menamatkan kontrak Pengarah Perhubungan Korporat PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz minggu lalu.
Syed Azidi yang lebih dikenali dengan laman blognya Kickdefella, pula dilihat antara orang kanan Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.
Malah kelmarin, timbul spekulasi Husam akan meletakkan kesemua jawatannya dalam parti dan kerajaan negeri berpunca daripada kemelut dalaman PMBK kerana pihak tertentu mendakwa beliau adalah dalang di sebalik masalah tersebut.
Terdahulu, sebuah portal dan akhbar melaporkan Husam mendakwa wujud konspirasi untuk menjatuhkannya dengan melaga-lagakan beliau dengan mentornya, Nik Abdul Aziz.
Bagaimanapun pada pertemuan selama sejam itu, isu spekulasi peletakan jawatan Husam tidak dibincangkan kerana mereka beranggapan ia tidak pernah wujud.
Sementara itu, Nik Abdul Aziz berkata, pada masa sekarang beliau masih belum memikirkan untuk melakukan rombakan dalam PMBK.
‘‘Itu masalah kedua. Masalah sekarang ini menantu saya itu terlalu banyak kecaman dilemparkan kepadanya oleh orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau tidak mendapat sokongan daripada kepimpinan Pas Kelantan kerana tidak ada sokongan terbuka dibuat, katanya :
‘‘Itu tidak payah. Saya tidak perlu kenyataan (sokongan) terbuka begitu tetapi oleh kerana fitnah yang dibuat oleh blogger, semua orang boleh baca dan nama baik kepimpinan Islam akan menjadi cacat.”
Sumber : Utusan Malaysia
Kenali PM di Facebook
Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com
KUALA LUMPUR 17 Nov. – Laman Facebook rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja berperanan sebagai platform untuk rakyat menyuarakan pandangan bahkan memberi peluang kepada semua pihak mengenali pemimpin nombor satu negara itu secara mendalam.
Hanya dengan klik ke alamat www.facebook.com/najibrazak, pengunjung boleh berkongsi maklumat peribadi Perdana Menteri yang jarang diketahui oleh masyarakat.
Dalam laman sosial itu, beliau mendedahkan pelbagai aktiviti yang dilakukan daripada menghadiri mesyuarat dan bekerja sehinggalah menonton perlawanan bola sepak membabitkan pasukan kegemarannya Manchester United, makan ikan patin dan mengunjungi kedai buku.
Antara aktiviti beliau yang dipaparkan untuk tatapan pengunjung:
“Keluarga saya, membaca di Hatchards, London – sebuah kedai buku paling tua di United Kingdom (UK), bola sepak dan kemahiran Cristiano Ronaldo, golf dan Tiger Woods, menjamu selera di Lafite and Shook, bertemu orang baru, fotografi, berjalan dalam hutan dan kapal terbang.”
Dengan pengunjung laman Facebook, Najib turut berkongsi minatnya terhadap penyanyi dan muzik pilihan beliau seperti Ronan Keating – When You Say Nothing At All; Harry Belafonte – Jamaica Farewell dan Ben E. King – Save The Last Dance.
Najib turut menamakan filem-filem yang menjadi pilihannya iaitu Gladiator, A Few Good Men dan yang menampilkan aktor Denzel Washington termasuklah Deja Vu.
Saluran televisyen kegemaran beliau pula adalah CNN, History Channel, Discovery Channel dan National Geographic.
Perdana Menteri turut berkongsi dua petikan oleh Colin Powell yang menjadi kegemarannya iaitu “ambil serius mengenai kerja anda tapi jangan terlalu serius dengan diri anda” serta “jangan tergesa-gesa bertindak terhadap sesuatu perkara, ia kebiasaannya dilihat lebih baik pada hari berikutnya.”
Mengenai dirinya, Najib menulis: “Kehidupan saya sangat sibuk tetapi saya sukakannya. Pada masa lapang saya fokus kepada makan tengah hari bersama keluarga pada hari Ahad, menonton televisyen bersama anak-anak dan bercuti.
“Paling banyak mempengaruhi saya ialah arwah ayah saya, Allahyarham Tun Abdul Razak. Tetapi saya mengagumi kemahiran pidato dan sikap tidak mudah mengalah Sir Winston Churchill, Nelson Mandela kerana pengorbanan beliau dan tidak pernah gentar dengan kesusahan dan John F. Kennedy.”
Sementara itu dalam laman blog www.1malaysia.com.my, Perdana Menteri teruja untuk memaklumkan mengenai penyertaannya dalam Facebook.
Katanya, sebagaimana blog 1Malaysia dan penyertaannya dalam Twitter, beliau akan menggunakan Facebook untuk menyampaikan pemikiran dan aktiviti kepada setiap lapisan rakyat.
“Di samping memaklumkan status terbaru, saya juga akan berkongsi pautan foto Flickr, video daripada You Tube dan maklumat berhubung kegemaran peribadi saya seperti masakan dan aktiviti masa lapang kegemaran saya.
“Silalah berkunjung ke laman Facebook saya bila-bila anda ada kelapangan, silalah berikan pandangan anda bagaimana saya boleh menjadikannya lebih baik lagi,” katanya.
Tembak pemuda mengamuk tindakan betul – Polis
KANGAR 15 Nov. – Tindakan polis menembak lelaki yang mengamuk mahu membunuh rakannya dengan pisau di Guar Sanji, Arau, semalam, dibuat atas asas menyelamatkan diri setelah diserang dan bukan untuk membunuh penyerang terbabit.
Pemangku Ketua Polis Perlis, Datuk Jamshah Mustapa menegaskan, langkah itu diambil setelah sepasukan anggota polis melepaskan tembakan amaran ke udara tetapi tidak diendahkan oleh pemuda itu.
“Tembakan tersebut dilepaskan semata-mata untuk menyelamatkan diri. Ia jalan terakhir anggota polis ketika berdepan dengan individu yang meluru untuk menyerang polis bersenjatakan sebilah pisau pemotong daging.
“Sebelum itu, kami berusaha pelbagai cara untuk memujuknya agar bertenang supaya dia tidak meneruskan niat membunuh rakannya. Tetapi, apabila pemuda itu menyerang polis, kami terpaksa melepaskan tembakan.
“Saya akui sasaran tembakan ke arah kaki. Namun begitu ia terkena badan. Apa pun pihak kami akan menyiasat sepenuhnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini sambil menafikan tuduhan sesetengah pihak kononnya tembakan polis disasarkan ke arah badan.
Kata Jamshah lagi, dalam kejadian tersebut, pemuda yang mengamuk itu bertindak liar sambil menjerit-jerit, melompat dan mengancam keselamatan penduduk walaupun telah dipujuk lebih satu jam oleh polis.
Dalam kejadian pukul 8.15 pagi semalam, Mohamad Tawfiq Noorzan, 22, mati ditembak ketika mahu menyerang sepasukan polis yang cuba memujuknya agar tidak membunuh rakannya dengan pisau pemotong daging.
Terdahulu, peniaga kedai makan di Balai Baru, Beseri, Padang Besar itu membelasah rakannya, seorang kontraktor berusia 23 tahun dengan besi dan kayu kira-kira pukul 5.30 pagi.
Sesudah membelasah kontraktor terlibat, pemuda itu terus ke Balai Polis Arau mengadu dia yang dianiayai rakan mahu mengajar rakannya itu dengan membunuhnya.
Jamshah memberitahu, siasatan lanjut polis berhubung kes itu mendapati, pemuda tersebut bukan berjalan kaki dari Alor Setar ke Arau seperti dilaporkan semalam, tetapi menaiki kereta bersama dua rakannya.
Kata beliau, rakannya yang diserang itu pulang menaiki kereta bersama teman wanitanya setelah memaklumkan kepada Mohamad Taufiq yang dia perlu pulang awal kerana urusan kerja pagi semalam.
“Mohamad Tawfiq pula dilaporkan pulang menaiki kereta bersama dua wanita lain yang juga rakannya,” ujar beliau sambil menyatakan polis masih meneruskan siasatan lanjut.
JAIS dakwa Dr. Abdullah dakwah tanpa tauliah
PETALING JAYA 12 Nov. – Baru-baru ini masyarakat dikejutkan dengan berita penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang mengajar agama tanpa tauliah.
Namun ramai tidak mengetahui seorang ulama yang menghadapi tuduhan sedemikian sedang dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah di sini sejak tiga tahun lalu.
Meskipun telah memakan masa sekian lama, kes terhadap Dr. Abdullah Yasin, 63, masih di peringkat mengambil keterangan saksi pendakwaan di hadapan Hakim Syarie, Ghazali Ahmad hari ini.
Mengikut pertuduhan, Abdullah dibicarakan atas tuduhan mengajar tafsir al-Quran, Surah Al-Baqarah, Ayat 14 hingga 20 yang berhubung agama Islam tanpa tauliah.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pusat Rukun Tetangga, Seksyen 14/26, di sini kira-kira pukul 4.30 petang, 24 April 2006.
Pada prosiding hari ini, seorang penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberitahu, seseorang individu tidak boleh mengajar kepada sesiapapun walaupun cuma sebaris ayat kalimah syahadah sekiranya tidak mendapat tauliah.
Ahmad Tarnuzi Nokin, 32, selaku saksi pendakwaan keempat berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzzaman yang mewakili Abdullah.
Saksi itu selepas diminta membacakan tafsiran ayat 14 hingga 20 surah berkaitan, bersetuju dengan Kamar Ainiah bahawa ayat tersebut menjelaskan sifat-sifat golongan munafik.
Ketika ditanya mengenai adakah salah bagi seorang yang berilmu agama memberikan peringatan kepada orang ramai mengenai sifat-sifat munafik, saksi tersebut menjawab, ia salah dilakukan di Selangor sekiranya tanpa tauliah.
Ketika ditanya pula sama ada terdapat syarat di dalam agama Islam yang menyatakan demikian, dia menjawab tiada.
Saksi itu juga menyatakan, dia tidak tahu sama ada setiap individu yang memohon tauliah akan memperolehinya kerana ia di luar bidang kuasanya.
Ahmad Tarnuzi turut menyatakan, dia tidak dapat mengingati perkataan atau percakapan ulama berkenaan semasa ditangkap tetapi yakin Abdullah ada menulis sesuatu di papan putih dalam bahasa Arab.
Sementara itu, pegawai pendakwa dari JAIS, Muhamad Nazri Basrawi turut menyoal balas Ahmad Tarnuzi mengenai keperluan tauliah bagi seseorang pendakwah mengikut 118(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No.1, Tahun 2003.
Ahmad Tarnuzi menjelaskan, ia bertujuan mengelakkan penyebaran ajaran yang sesat, terpesong atau fahaman yang salah di kalangan masyarakat Islam di negara ini.
Bagaimanapun, menurutnya, terdapat beberapa individu yang dikecualikan daripada memiliki tauliah untuk mengajar.
Sementara itu, Abdullah ketika ditemui media di luar mahkamah menyatakan dia sudah lima kali memohon tauliah dari JAIS namun seringkali mendapat jawapan yang mendukacitakan serta tidak dijelaskan alasan permohonannya ditolak.
Beliau yang berasal dari Indonesia memiliki ijazah sarjana dalam bidang Tarbiyah Pendidikan oleh universiti di Indonesia, ijazah sarjana muda dalam bidang Dakwah dan Usuluddin dari Universiti Islam Madinah dan Ibn Saud Islamic Universiti of Riyadh.
Pendakwaan terhadap Abdullah dibuat mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No. 1, Tahun 2003 yang memperuntukan denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Perbicaraan bersambung 28 Januari tahun depan.
Muslimat Pas pertahan bai’ah
KUALA LUMPUR 7 Nov. – Dewan Muslimat Pas hari ini mempertahankan amalan bai’ah atau sumpah taat setia talak tiga terhadap isteri wakil rakyat parti itu yang melompat parti.
Selain membela wanita, Dewan Muslimat turut menyifatkan amalan bai’ah itu dapat menguatkan azam pemimpin Pas yang menang pilihan raya untuk terus komited kepada perjuangan parti.
Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh menegaskan, pihaknya tidak menolak amalan itu kerana sangat memahami mengapa bai’ah tersebut dilakukan iaitu demi memperteguhkan parti.
“Kami sangat setuju dengan bai’ah ini, ikrar ini bukan bermakna mereka tidak sayang tetapi satu istiqamah terhadap parti, perjuangan ini satu amanah.
“Bagaimana mereka kasihkan isteri, begitu juga mereka perlu kasih parti… sama kasihnya,” kata beliau kepada Mingguan Malaysia semasa ditemui pada Seminar Memperkasakan Parti Pas di markas parti itu di Taman Melewar, Gombak di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai pendedahan beberapa pemimpin Pas tentang bai’ah talak tiga itu yang akan jatuh ke atas isteri wakil rakyatnya yang mengkhianati parti itu seperti melompat parti.
Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Mohd. Khairuddin Othman berkata, beliau sendiri pernah melakukan bai’ah semasa dipilih sebagai calon pilihan raya untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan DUN Paya Jaras tahun lalu.
Beliau berkata, bai’ah itu yang disediakan Dewan Ulama Pas akan dibaca beramai-ramai di hadapan Pesuruhjaya Pas negeri sebelum pilihan raya berlangsung.
Mengulas lanjut, Nuridah berkata, amalan bai’ah ini diperkenalkan kepada calon Pas lelaki sejak pilihan raya 2007.
“Saya tak rasa wanita direndahkan. Ini merupakan satu cabaran kepada pada muslimin. Ia bukan menggalakkan penceraian, ia satu pengorbanan. Mereka tidak boleh ‘main-main’ masuk parti Pas yang berjuang memperteguh syiar Islam.
“Saya melihatnya positif. Media jangan ‘main-main’ dengan isu ini,” katanya.
Turut bersetuju dengan pendapat beliau ialah Naib Ketua Dewan Muslimat Pas, Senator Mumtaz Md. Nawi yang menyifatkan amalan tersebut menjadikan wakil rakyat Pas lebih menyayangi isteri serta tidak berani memungkiri janji yang mereka ikrar sendiri.
“Ini pembelaan kepada wanita. Janji tetap janji. Apa pula pelik? Taklik kalau keluar pintu pun jatuh talak. Inikan pula keluar perjuangan Islam, lepas habis tempoh nak lompat, lompatlah.
“Kenapa pula orang nak bising. Taklik itu sah. Kalau tak sanggup tak ada orang paksa jadi calon,” katanya.
Jelasnya, semua wakil rakyat Pas memahami Islam dan mereka tidak ada masalah untuk memahami mengapa bai’ah dilakukan oleh parti.
Mahkamah Tolak Permohonan Anwar Dapatkan Dokumen Penting Dan Sampel DNA – Bernama
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama)
Mahkamah Rayuan Jumaat menolak permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan dokumen penting dan sampel DNA yang didakwanya amat penting untuk pembelaannya dalam perbicaraan bagi pertuduhan liwat yang dihadapinya.
Mahkamah Rayuan menolak rayuan balas Anwar terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan sampel spesimen daripada pengadu dalam kes liwat itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Bagaimanapun, Hakim Datuk Hasan Lah, yang mengetuai panel dianggotai Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Hakim Datuk Sulaiman Daud, dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang sama bagi pihak pendakwaan membekalkan dokumen penting kepada Anwar.
Antara dokumen penting itu ialah kenyataan yang direkodkan daripada saksi iaitu Mohd Saiful, Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, kenyataan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia dan laporan perubatan.
Dalam keputusannya, Hakim Hasan berkata dokumen yang diminta Anwar tidak termasuk dalam ketetapan Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah kerana terdapat batasan bagi pihak pendakwaan untuk membekalkan dokumen tertentu kepada tertuduh.
Hakim Hasan berkata mahkamah tidak bersetuju dengan tafsiran Hakim Mahkamah Tinggi terhadap Seksyen 51 kanun itu. Seksyen 51 bermakna pihak pendakwaan perlu menimbangkan arahan untuk membekalkan dokumen atau benda lain, seperti diminta oleh tertuduh.
“Dalam prosiding jenayah, mahkamah tidak membenarkan sebarang cubaan bagi mendapatkan siasatan,” katanya ketika menyampaikan keputusan itu secara lisan dan menurutnya penghakiman penuh secara bertulis akan diberikan tidak lama lagi.
Seksyen 51A memperuntukkan ketetapan bagi pembekalan dokumen tertentu oleh pihak pendakwaan kepada tertuduh sebelum bermulanya perbicaraan bagi membolehkan tertuduh menyediakan pembelaan.
Pada 16 Julai, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan Anwar untuk memaksa pihak pendakwaan membekalkan dokumen bagi membolehkannya menyediakan pembelaannya, mengikut Seksyen 51A supaya proses pendakwaan lebih terbuka dan adil.
Bagaimanapun, Anwar gagal mendapatkan sampel spesimen Mohd Saiful selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya. Mahkamah pada 24 Julai membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi penangguhan pelaksanaan perintah itu, sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan diputuskan.
Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun, tahun lepas.
Kemudiannya, peguam yang mewakili Anwar, Karpal Singh memberitahu pemberita yang beliau akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada Isnin kerana keputusan hari ini akan menjadi duluan dalam kes jenayah mengikut Seksyen 51A bagi membolehkan tertuduh dibicarakan secara adil.
Karpal berkata matlamat Parlimen dalam meminda Seksyen 51A pada 2006 ialah untuk mencegah perbicaraan diadakan secara “serang hendap” dan kelewatan selepas dokumen dibekalkan kepada tertuduh bagi menyediakan pembelaan.
Anwar, yang tidak hadir di mahkamah, turut diwakili R.Sivarasa dan S.N.Nair, manakala Peguam Cara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden mengetuai pasukan pendakwaan yang terdiri daripada Noorin Badarudin, C.K.Wong dan Shamsul Sulaiman.
Kes liwat itu ditetapkan untuk sebutan semula di Mahkamah Tinggi pada 23 Nov. Perbicaraan kes itu yang ditetapkan pada 1 Julai hingga 23 Julai telah ditangguhkan bagi membolehkan mahkamah mendengar beberapa permohonan yang difailkan oleh Anwar berhubung kes itu.
Dr Asri pernah menghalang tiga ulama Yaman mengajar di Perlis tanpa tauliah !
Penahanan Mohd. Asri disokong
JOHOR BAHRU 3 Nov. – Persatuan Kebajikan Al-Jamiatul Khairiah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin kelmarin.
Presidennya, Datuk Syed Hussein al-Habshee berkata, pihaknya menerima banyak rungutan dan aduan di kalangan ahlinya dan masyarakat setempat di Wilayah Persekutuan dan Selangor tentang ceramah yang pendekatannya disyaki beraliran Wahabi.
“Ramai yang mendesak agar persatuan membuat permintaan terhadap kerajaan supaya diambil tindakan bagi mengelak kekeliruan masyarakat setempat yang berpegang kepada mazhab Syafie,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Kelmarin, Mohd. Asri ditahan oleh JAIS di Taman Sri Ukay, Hulu Klang kerana didakwa menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.
Bagaimanapun, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor semalam tidak mendakwanya, sebaliknya Mohd. Asri hanya dikenakan bon jaminan JAIS sebanyak RM3,000.
Syed Hussein berkata, pendekatan yang disyaki Wahabi itu dikhuatiri akan memecah belah dan mengelirukan masyarakat khususnya generasi muda.
“Kita tidak mahu sesiapa yang cuba menjadi jaguh keilmuan dengan mencetuskan kontroversi dan polemik melalui pendekatan bercanggah dengan mazhab yang diamalkan di negara ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar diadakan muzakarah antara mufti-mufti berhubung pendekatan dan fahaman yang dibawa Dr. Mohd. Asri itu.
“Mufti-mufti boleh membuat rumusan untuk membantu dan memberi panduan kepada umat Islam serta mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Perbincangan seterusnya adalah antara ilmuwan agama dengan Dr. Mohd. Asri sendiri,” katanya.
Syed Hussein berkata, apa yang berlaku seolah-olah sejarah berulang kembali kerana pada sekitar 2007, tiga tokoh ulama bermazhab Syafie dari Yemen juga tidak dibenarkan oleh Dr. Mohd. Asri berceramah tanpa tauliah di Perlis ketika beliau menjadi mufti negeri itu.
Justeru, pihaknya percaya JAIS telah membuat pelbagai pertimbangan sebelum melakukan penahanan.
Tokwan : Dr Asri kena balik apa yang dia buat ke atas ulama tu kot. mungkin dia lebih bernasib baik sebab famous dan disukai ramai. walaupun tok tahu yang suka tu jenis tak mengaji dalam sangat dan mudah telan bulat2.
puak=puak anwar berahim suka lah sebab dr asri bawa reformasi. atau dipanggil tajdid ikut kata cucu tokwan yang nngaji bahasa arab.
ada blog tulis anwar pelihara seorang ustaz wahabi nama abdullah…ishh tok lupa dah.tadi ada nampak. tak tahu kat mana dah hilang.
ishhh cucu cari sendiri lah yer. tokwan ni pelupa sikit..
tok tak tahu bende bab agama cuma tahu sikit2 je………..
Penahanan Dr. Asri bukan secara semberono – JAIS
Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 3 Nov. – Penahanan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kelmarin bukan dibuat secara semberono atau mengikut telunjuk mana-mana pihak.
Sebaliknya Pengarah JAIS, Mohamed Khusrin Munawi menegaskan, tindakan itu diambil selepas Mohd. Asri berulang kali melanggar peraturan berkaitan aktiviti memberi ceramah agama di negeri ini.
Menurutnya, Mohd. Asri tahu tentang peraturan tersebut tetapi terus melakukan kesalahan itu.
“JAIS pernah menghantar pekeliling kepada semua mufti negeri termasuk Mohd. Asri yang memberitahu tentang keperluan mendapat kebenaran dan pentauliahan jabatan itu untuk membolehkan mereka menyampaikan kuliah di Selangor,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, Mohd. Asri kerap kali memberi kuliah agama tanpa tauliah termasuk di Hulu Klang yang dibuat hampir setiap bulan begitu juga di Masjid Seksyen 14, Petaling Jaya.
“Ini bermakna beliau tidak menghormati peraturan yang telah ditetapkan di negeri ini,” ujarnya.
Katanya, penahanan terhadap Mohd. Asri pada malam itu dibuat selepas mesyuarat JAIS dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dilakukan.
Dalam pada itu, Mohamed Khusrin memberitahu, keputusan sama ada bekas Mufti Perlis tersebut bakal didakwa atau sebaliknya hanya akan diputuskan oleh Bahagian Pendakwaan JAIS sebelum penghujung bulan ini.
Katanya, pada masa ini pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan kes Mohd. Asri yang ditahan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Islam Selangor.
“Sebaik sahaja kertas siasatan kes Mohd. Asri siap, kita akan serahkan kepada Bahagian Pendakwaan. Selepas itu terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan,” jelasnya.
Mohd. Asri ditahan oleh pasukan penguat kuasa JAIS malam semalam kerana menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.
Turut hadir pada majlis kuliah itu ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Saari Sungib.
Ditanya mengapa Mohd. Asri tidak didakwa semalam, Mohamed Khusrin berkata, bekas mufti itu ditahan bukan untuk didakwa tetapi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadapnya kerana menyampaikan kuliah tanpa tauliah.
“Macam polis menangkap penjenayah, kena dapat perintah reman dulu dan bila sudah siap kertas siasatan baru pendakwaan dibuat.
“Cuma bezanya kita tidak dapatkan waran tahanan terhadap Mohd. Asri kerana kita telah bebaskan dia dengan bon jaminan JAIS,” jelasnya.
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

