KANGAR 15 Nov. – Tindakan polis menembak lelaki yang mengamuk mahu membunuh rakannya dengan pisau di Guar Sanji, Arau, semalam, dibuat atas asas menyelamatkan diri setelah diserang dan bukan untuk membunuh penyerang terbabit.
Pemangku Ketua Polis Perlis, Datuk Jamshah Mustapa menegaskan, langkah itu diambil setelah sepasukan anggota polis melepaskan tembakan amaran ke udara tetapi tidak diendahkan oleh pemuda itu.
“Tembakan tersebut dilepaskan semata-mata untuk menyelamatkan diri. Ia jalan terakhir anggota polis ketika berdepan dengan individu yang meluru untuk menyerang polis bersenjatakan sebilah pisau pemotong daging.
“Sebelum itu, kami berusaha pelbagai cara untuk memujuknya agar bertenang supaya dia tidak meneruskan niat membunuh rakannya. Tetapi, apabila pemuda itu menyerang polis, kami terpaksa melepaskan tembakan.
“Saya akui sasaran tembakan ke arah kaki. Namun begitu ia terkena badan. Apa pun pihak kami akan menyiasat sepenuhnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini sambil menafikan tuduhan sesetengah pihak kononnya tembakan polis disasarkan ke arah badan.
Kata Jamshah lagi, dalam kejadian tersebut, pemuda yang mengamuk itu bertindak liar sambil menjerit-jerit, melompat dan mengancam keselamatan penduduk walaupun telah dipujuk lebih satu jam oleh polis.
Dalam kejadian pukul 8.15 pagi semalam, Mohamad Tawfiq Noorzan, 22, mati ditembak ketika mahu menyerang sepasukan polis yang cuba memujuknya agar tidak membunuh rakannya dengan pisau pemotong daging.
Terdahulu, peniaga kedai makan di Balai Baru, Beseri, Padang Besar itu membelasah rakannya, seorang kontraktor berusia 23 tahun dengan besi dan kayu kira-kira pukul 5.30 pagi.
Sesudah membelasah kontraktor terlibat, pemuda itu terus ke Balai Polis Arau mengadu dia yang dianiayai rakan mahu mengajar rakannya itu dengan membunuhnya.
Jamshah memberitahu, siasatan lanjut polis berhubung kes itu mendapati, pemuda tersebut bukan berjalan kaki dari Alor Setar ke Arau seperti dilaporkan semalam, tetapi menaiki kereta bersama dua rakannya.
Kata beliau, rakannya yang diserang itu pulang menaiki kereta bersama teman wanitanya setelah memaklumkan kepada Mohamad Taufiq yang dia perlu pulang awal kerana urusan kerja pagi semalam.
“Mohamad Tawfiq pula dilaporkan pulang menaiki kereta bersama dua wanita lain yang juga rakannya,” ujar beliau sambil menyatakan polis masih meneruskan siasatan lanjut.
macamana Allahyarham nak mengamuk kalau tangan bergari kebelakang? Fikirkanlah…membunuh seorg muslim sama dgn membunuh semua org islam didunia…jgn nak menafi…!!