BERITA MALAYSIA KINI

Pilihan Terbaik Setiap Detik

Arkib untuk Disember, 2009

JHEAIK sahkan perkahwinan kedua Sultan Kelantan

Gambar Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra bersama isteri keduanya, Elia Suhana Ahmad pada hari pernikahan mereka. Gambar ini diperoleh menerusi emel yang dihantar oleh Elia Suhana.

KOTA BHARU 29 Dis. – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) hari ini mengesahkan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra telah berkahwin dengan isteri keduanya, Elia Suhana Ahmad, 30, pada 31 Disember 2007.

Pernikahan itu disahkan oleh Ketua Pendaftar, Nikah, Cerai, Rujuk JHEAIK, Hasnan Ramli ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini lewat petang ini.

“Saya hanya boleh mengesahkan perkahwinan Sultan Kelantan dengan isteri kedua baginda itu,’’ katanya.

Semalam akhbar The Malay Mail dalam versi online melaporkan misteri identiti salah seorang daripada dua wanita yang dibawa melawat Sultan Ismail Petra yang gering di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada pukul 4.20 pagi 8 Oktober lalu.

Laman web tersebut semalam melaporkan pengakuan Elia Suhana sebagai isteri kedua Sultan Kelantan.

Elia Suhana dalam laman web tersebut mendakwa terpaksa mendedahkan kedudukan sebenar dirinya bagi memperbetulkan laporan akhbar Malay Mail pada 21 Disember lalu yang menyiarkan berita dua wanita dibawa secara senyap-senyap ke hospital itu bagi melawat Sultan Kelantan.

Penyiaran berita yang bertajuk Police Ruckus In Royal Ward dalam akhbar itu didakwa Elia Suhana telah menimbulkan pandangan negatif terhadap baginda, institusi kesultanan dan polis istana.

Utusan Malaysia hari ini turut menerima kenyataan akhbar setebal lima muka surat melalui faks yang ditandatangani Elia Suhana dan dikatakan turut dihantar kepada semua media untuk membuat penjelasan itu.

Turut dilampirkan salinan sijil perkahwinan serta kad perakuan nikahnya.

Sumber : Utusan Malaysia

Guan Eng jangan cakap sedap mulut – Khalid

KUALA LUMPUR 24 Dis. – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mungkin diambil tindakan mengikut Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan kononnya Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock mati dibunuh.

Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan tersebut pada persidangan Konvensyen Pakatan Rakyat, baru- baru ini.

Sehubungan itu, satu laporan telah dibuat oleh polis sendiri di sebuah balai polis di Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar (gambar) berkata, sesiapa pun termasuk Guan Eng tidak mempunyai hak untuk membincangkan mana-mana perkara yang masih dalam inkues.

“Saya nasihatkan Yang Berhormat supaya tidak bercakap sesedap mulut. Bila bercakap pasal bunuh, ia boleh menghasut orang mempercayai yang mangsa dibunuh walhal inkues masih dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Hari Ulang Tahun Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) yang ke-54 di Pangkalan PSP di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Khalid meminta Setiausaha Agung DAP itu supaya tidak mengganggu perkara yang belum diputuskan.

Kata beliau, tindakan Guan Eng itu boleh diambil tindakan mengikut Akta Hasutan.

http://utusan.com.my/

Rosli letak jawatan: Tempelak buat Nik Aziz

KOTA BHARU 23 Dis. – Pergerakan Pemuda UMNO negeri menyifatkan langkah Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri, Dr. Rosli Allani Abd. Kadir meletakkan jawatan sebagai suatu tempelak kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketuanya, Anuar Sapian berkata, beliau percaya Rosli bertindak demikian kerana masalah peribadi yang tercetus ekoran kes poligami beliau dan mungkin ia tidak memberi banyak kesan kepada parti itu.

Namun, katanya, tindakan Rosli itu telah memperlihatkan bahawa beliau mempunyai prinsip dan tanggungjawab untuk menjaga integriti parti.

“Secara tidak langsung ia menempelak Nik Abdul Aziz yang masih mempertahankan menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Abd. Rahman walaupun banyak pihak dalam Pas sendiri mahu beliau segera berundur,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu sepatutnya meletakkan kepentingan kerajaan dan imej bapa mertuanya lebih tinggi dalam pelan peletakan jawatan yang hanya ditetapkannya pada Mac depan.

Bagaimanapun beliau yakin Abdul Ariffahmi yang juga anggota dewan Pemuda Pas tidak akan berganjak.

“Peletakan jawatan Rosli mungkin dianggap ‘balasan’ pendedahan dalam media Ahad lalu mengenai cadangan gesaan Dewan Pemuda Pas negeri agar Abdul Ariffahmi segera berundur,” katanya.

Abdul Ariffahmi terseret dalam kemelut politik negeri ekoran isu menunaikan haji bersama Nik Abdul Aziz melalui tajaan, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di PMBK dan masalah dalaman pentadbiran syarikat milik kerajaan negeri itu.

Rosli mengumumkan peletakan jawatannya semalam ekoran Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu kelmarin mengarahkan beliau tinggal berasingan dengan isteri keduanya, Ilyani Mohd. Noor, 30, kerana status perkahwinan mereka pada Disember tahun lalu diragui.

Bekas Pegawai Khas kepada seorang Exco kerajaan negeri tersebut mengakui menjadi mangsa sindiket perkahwinan dan menegaskan, dalam kes yang dibawa ke mahkamah oleh mertuanya itu, beliau berada di pihak yang benar.

Menurut Anuar, Pemuda UMNO membuat gesaan lebih awal agar Abdul Ariffahmi segera melepaskan jawatan dengan harapan tidak menjejaskan tumpuan sebenar kerajaan negeri.

“Kita tidak mencari kesempatan politik dalam soal itu tetapi bagi memastikan tumpuan terhadap kepentingan rakyat tidak terjejas dengan kemelut berlarutan,” ujarnya.

http://www.utusan.com.my/

Dr. Rosli lepas semua jawatan Pas – Utusan Malaysia

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

DR. Rosli Allani Abd. Kader ketika hadir untuk mengadakan sidang akhbar mengenai peletakan semua jawatan dalam Pas di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 22 Dis. – Sehari selepas diperintahkan Mahkamah Tinggi Syariah agar tidak tinggal bersama isteri keduanya, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri, Dr. Rosli Allani Abd. Kader meletakkan semua jawatan dalam parti itu berkuat kuasa serta- merta.

Keputusan itu diambil beliau selepas kes perkahwinannya dengan Ilyani Mohd. Noor, 30, mendapat liputan meluas media hari ini.

Menurut Dr. Rosli Allani, 35, surat peletakan jawatannya akan dihantar kepada Dewan Pemuda Pas Kelantan (DPPNK) dalam masa terdekat.

Beliau turut memohon maaf kepada pucuk pimpinan dan ahli-ahli Pas jika masalah peribadinya telah mencalar imej atau mendatangkan masalah kepada parti.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui menjadi mangsa sindiket perkahwinan diuruskan oleh seorang bekas imam muda yang memberikan sijil dan kad perkahwinan tidak didaftarkan.

Menurutnya, walaupun yakin berada di pihak yang benar, peletakan jawatannya itu adalah untuk menjaga nama baik, integriti dan persepsi masyarakat terhadap Pas.

“Saya meletakkan kesemua jawatan dalam Pas berkuat kuasa serta-merta. Saya juga telah meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri sebagai pegawai khas kepada ahli Exco pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Begitu pun saya masih kekal dan setia sebagai ahli Pas. Saya serahkan masa depan politik saya sepenuhnya kepada pertimbangan pucuk pimpinan dan ahli-ahli Pas untuk menentukannya,’’ katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini bagi menjelaskan isu perkahwinan keduanya selepas Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu semalam memerintahkan dia dan isteri keduanya tinggal berasingan, sehingga keputusan dibuat.

Ia berikutan permohonan bapa mertuanya, Mohd. Noor Che Man, 58, seorang ahli perniagaan untuk membatalkan perkahwinan pasangan tersebut kerana percaya perkahwinan yang berlangsung di Masjid Lapangan Terbang Subang, Selangor pada 26 Disember 2008, tidak sah.

Dr. Rosli Allani berkata, perkahwinan dengan isteri keduanya itu dilakukan dengan hati yang suci setelah menyedari wujudnya perasaan kasih antara mereka berdua.

“Saya dan isteri telah banyak kali cuba mendapatkan persetujuan bapa mertua, namun berdepan dengan kegagalan sekalipun isteri pertama saya telah memberi persetujuan untuk berpoligami.

‘‘Disebabkan halangan bapa mertua, saya menggunakan wali hakim, ini pun setelah saya diberi jaminan oleh rakan yang pernah memegang jawatan imam muda sebuah masjid negeri bahawa perkahwinan yang diuruskan tidak menyalahi undang-undang,” ujarnya.

Dr. Rosli Allani bagaimanapun menafikan peletakan jawatan itu disebabkan wujudnya tekanan ekoran kenyataannya agar Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir. Abdul Ariffahmi Abd. Rahman melepaskan segera jawatannya demi kepentingan parti.

Ditanya sama ada Abdul Ariffahmi patut mengikut langkahnya dengan meletakkan segera jawatan demi kepentingan parti, beliau enggan mengulas.

http://utusan.com.my/

Siasat tanpa had waktu – Utusan Malaysia

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 17 Dis. – Hak untuk menyoal saksi tanpa batasan masa dikembalikan semula kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan badan tersebut menjalankan siasatan melepasi waktu pejabat.

Panel tiga hakim mahkamah tersebut yang diketuai oleh Hakim Datuk Hasan Lah sebulat suara memutuskan, waktu siasatan tidak boleh dibataskan atau terhad dalam tempoh masa bekerja yang biasa.

Justeru itu, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Kuala Lumpur pada 19 November lalu yang memutuskan bahawa SPRM hanya boleh menyoal siasat dalam waktu pejabat antara 8.30 pagi hingga 5.30 petang, diketepikan oleh Mahkamah Rayuan.

Hakim Hasan yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Maarop dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad turut memutuskan, Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Tan Boon Wah selaku responden dalam rayuan tersebut membayar RM10,000 sebagai kos kepada SPRM.

Suruhanjaya berkenaan melalui Ketua Suruhanjaya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dan Penolong Penguasa SPRM Selangor, Mohammad Hassan Zulkifli dan SPRM selaku perayu mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mohamad Ariff Md. Yusof.

Pada tarikh tersebut hakim itu memutuskan, SPRM tidak boleh lagi menyoal siasat saksi hingga ke malam kerana Seksyen 30(3)(a) Akta SPRM 2009 tidak memberi kuasa untuk berbuat demikian.

Mahkamah Tinggi itu menyatakan, frasa ‘‘hari ke hari’’ dalam seksyen berkenaan bukan bermaksud 24 jam, tetapi merujuk kepada waktu bekerja biasa.

Hakim Hasan sebaliknya menegaskan bahawa mahkamah bersetuju dengan hujah Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh tentang pembahagian Seksyen 30 (1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Menurut Hakim Hasan, Seksyen 30(3)(a) akta tersebut jika diteliti tiada menetapkan atau memperuntukkan tempoh masa untuk SPRM menjalankan soal siasat.

Dalam akta tersebut, ujar hakim itu, tiada langsung menyebut bahawa SPRM hendaklah melakukan siasatan terhad dalam waktu pejabat 8.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari dan bukan selepas tempoh yang ditetapkan.

Menyentuh lanjut Seksyen 30(3)(a) akta tersebut, Hakim Hasan menyatakan bahawa ia terbahagi kepada dua bahagian. Iaitu dalam bahagian pertama membawa interpretasi bahawa tidak ada tempoh masa ditetapkan untuk merekodkan kenyataan saksi.

Bahagian kedua, frasa ‘hari ke hari’ pula adalah menunjukkan bahawa siasatan perlu diteruskan pada setiap masa (hari ke hari) sehinggalah selesai.

Terdahulu, panel hakim mendengar hujah Amarjeet yang menjelaskan bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf ketika membuat keputusan.

‘‘SPRM adalah satu badan istimewa yang ditubuhkan bagi menangani gejala rasuah menerusi pendekatan siasatan yang efektif.

‘‘Memandangkan kegiatan rasuah tidak mengenal waktu maka tempoh masa siasatan tidak boleh dihadkan, hanya dalam waktu pejabat. Pegawai SPRM sentiasa berada dalam tugas memandangkan perbuatan rasuah boleh dilakukan pada bila-bila masa,’’ kata Amarjeet.

Sehubungan itu tambah beliau, skop menjalankan siasatan tidak boleh disempitkan kerana interpretasi tersebut tidak betul.

Peguam Karpal Singh yang mewakili Boon Wah selaku responden memohon supaya mahkamah itu menolak rayuan yang dikemukakan oleh SPRM.

Menurut Karpal, keselesaan saksi mesti diutamakan kerana hasil siasatan yang lengkap boleh menjamin kepada satu sabitan yang tidak goyah.

Sejurus selepas keputusan, Ketua Bahagian Pendakwaan Undang-Undang SPRM, Datuk Abdul Razak Musa ketika ditanya memberitahu, keputusan tersebut memberikan pilihan kepada saksi untuk datang membantu siasatan suruhanjaya.

‘‘Dalam kekangan masa disebabkan kesibukan tugas, saksi boleh datang pada bila-bila waktu untuk keterangan mereka direkodkan kerana SPRM beroperasi 24 jam,’’ kata Abdul Razak.

Dalam perkembangan sama, Karpal ketika ditanya memberitahu bahawa pihaknya akan mengemukakan permohonan untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.

Ini kerana menurut Karpal, keputusan itu membawa implikasi besar dan secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa SPRM boleh membawa sesiapa sahaja ke premis mereka untuk direkodkan keterangan meskipun larut malam.

Walhal tambah Karpal, hak seseorang saksi perlu dijaga demi menjamin mereka sentiasa berada dalam keadaan yang selesa sepanjang disoal siasat.

http://utusan.com.my/utusan/

Anak Nik Aziz masuk gelanggang siber – Malaysiakini

Jimadie Shah Othman
Dis 15, 09
1:04pm

Anak perempuan menteri besar Kelantan, Nik Amalina Nik Aziz, meneroka gelanggang siber dengan membuka blog sendiri Jumaat lalu yang turut mengulas pergolakan politik dalaman negeri itu berkaitan suaminya Abdul Ariffahmi Ab Rahman.

Nik Amalina menjadi tumpuan ramai apabila blog ahli parlimen PAS Dr Siti Mariah Mahmud menyiarkan suratnya, yang meluahkan perasaan berhubung isu peletakan jawatan suaminya itu sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Dalam blognya Sari Suri, anak kesembilan Datuk Nik Aziz Nik Mat turut mengulas mengenai kehidupannya sebagai seorang suri rumah dan cabaran membesarkan anak-anak hasil perkahwinanya dengan Abdul Ariffhami sejak 10 tahun lalu.

Antara tulisan awal dalam blognya kelmarin, Nik Amalina dilihat cuba menggeletek seorang exco negeri itu, yang tidak dinyatakan namanya.

Dalam tulisannya yang berjudul “Alahai…”, Nik Amalina berpendapat, hanya seorang exco Kelantan wajib meletakkan jawatan, bukannnya semua.

“Kalau ditanya saya, tentunya saya jawab, kalau adapun exco yang patut letak jawatan, saya wajibkan seorang exco itu saja yang letak jawatan.

“Ada berani exco yang seorang itu menyahut cabaran?” katanya, dengan nada mencabar.

Nik Amalina dipercayai mengulas kenyataan bekas pegawai perhubungan korporat PMBK Syed Azidi Syed Abdul Aziz – yang bertembung dengan suaminya – yang berpendapat suratnya dalam blog Dr Siti Mariah tentang ‘persidangan meja bulat’ Nik Aziz, secara tidak langsung menyinggung peranan exco negeri.

Syed Azidi berkata, kalau diikutkan pandangan Nik Amalina itu, semua exco kerajaan negeri patut meletakkan jawatan kerana ia menggambarkan keputusan melantik Abdul Ariffahmi dibuat dengan merujuk kepada ahli keluarganya semata-mata.

Dalam tulisannya kelmarin, walaupun Nik Amalina tidak menyebut langsung nama exco yang dirujuknya, beliau diketahui tidak selesa dengan pengaruh Datuk Husam Musa, exco kanan kerajaan negeri yang dianggap anak didik Nik Aziz.

Abdul Ariffahmi, yang bergelut dengan kontroversi pelantikannya sebagai peneraju utama PMBK, bercadang menyerahkan notis pada 24 Disember ini sebelum peletakan jawatannya berkuatkuasa 23 Mac depan.

Selain berdepan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegaran Rasuah (SPRM), Abdul Ariffahmi juga sering diasak oleh musuh politiknya Syed Aziz melaluinya blog Kickdafella yang mempunyai ramai pembaca.

Nik Amalina mula dilihat terbabit dalam konflik terbuka tersebut apabila beliau dengan penuh emosi mempertahankan suaminya, sekaligus mengkritik keras Syed Azidi melallui blog ahli jawatankuasa pusat PAS itu, hujung bulan lalu.

http://www.malaysiakini.com/news/119867

Penjelasan Kor Ming tidak cukup – Utusan Malaysia

Oleh ARSHAD KHAN
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 11 Dis. – Pergerakan Pemuda UMNO tidak boleh menerima penjelasan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming mengenai isu peruntukan pembinaan masjid dan rumah ibadat bukan Islam kerana isu pokok dalam hal itu tetap sama.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, jika penjelasan itu diamati, jelas bahawa Kor Ming sendiri mengakui beliau telah membuat perbandingan antara peruntukan membina dan menyelenggara 611 buah masjid dengan peruntukan RM9 juta untuk rumah ibadat bukan Islam.

“Pergerakan Pemuda UMNO merasa penjelasan yang dibuat tidak boleh diterima kerana dia tidak nafi kenyataan awal iaitu pokoknya ialah soal perbandingan pembinaan masjid dengan tempat-tempat ibadat yang lain.

“Kami memahami sekiranya ada pihak yang mahu memperjuangkan peruntukan lebih bagi tempat-tempat ibadat agama lain, itu tidak ada masalah, jika ada parti politik atau ahli politik hendak minta lebih untuk kuil, gereja dan lain-lain, kita tidak ada halangan.

“Namun, bila buat perbandingan, maka ini sudah jadi isu sensitif, memperlihatkan DAP tidak menunjukkan sensitiviti agama di Malaysia.

“Ini bukan kali pertama, berulang kali dibuat DAP, saya kira majoriti orang Islam terutama di Malaysia rasa amat tersinggung dengan perbandingan yang dibuat Nga Kor Ming,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan kepimpinan muda parti Golkar di pejabatnya di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Kor Ming dalam satu kenyataan bertulis yang diedarkan di Parlimen beberapa hari lalu menyatakan bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM748.26 juta untuk pembinaan masjid dari 2000 hingga 2008 tetapi hanya RM9 juta diagihkan untuk tujuan agama bukan Islam.

Beliau juga melahirkan rasa kesal rakyat bukan Islam dianaktirikan.

Beliau menyatakan agar agihan lebih adil disalurkan kepada masyarakat bukan Islam kerana prinsip pertama Rukun Negara adalah ‘Kepercayaan kepada Tuhan’.

Kenyataan Kor Ming dijawab seorang Pakar Perlembagaan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari bahawa Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 12 (2) dan Perkara 3 sebenarnya memberikan kuasa kepada Kerajaan Pusat untuk tidak menyalurkan satu sen pun kepada rumah-rumah ibadat bukan Islam di negara ini.

Namun, menurut Abdul Aziz, kerajaan tetap bertindak pemurah dan menunjukkan sifat ihsan apabila tetap memperuntukkan RM9 juta untuk membantu rumah-rumah ibadat bukan Islam dalam tempoh 2000 hingga 2008.

Selain itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam juga kurang senang dengan sikap Kor Ming membandingkan peruntukan untuk Islam dengan bukan Islam.

Kor Ming pula menuduh beberapa media telah memutar-belitkan kenyataan bertulisnya itu.

Tambah Khairy, pihaknya juga kesal kerana setelah beberapa hari kenyataan itu dibuat, kepimpinan tertinggi Pas masih berdiam diri dan belum menyatakan pendirian sebenar mereka berhubung isu itu.

“Saya begitu rasa sedih apabila tidak ada apa-apa komen daripada kepimpinan tertinggi Pas, sekali lagi ini memperlihatkan prinsip dan asas perjuangan dikorbankan untuk kepentingan politik jangka masa pendek,” katanya.

Jelas beliau, kenyataan DAP itu mencerminkan ia tidak menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan dan sikap seperti itu akan hanya membawa kepada budaya mengguris hati antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Jelasnya, andai tindakan seperti yang dibuat Kor Ming diteruskan, maka akan ada pihak-pihak yang cuba membandingkan apa yang diterima masyarakat bukan Islam pula di negara ini.

“Sudahlah memijak gambar, sekarang buat kenyataan mengguris hati, tidak mencerminkan budaya ketimuran kita yang dikongsi semua kaum di negara ini, kita mesti tolak budaya yang dibawa DAP,” katanya.

Beliau juga menyaran pihak berkuasa agar bertindak atas beberapa laporan polis yang dibuat sebelum ini mengenai isu berkenaan.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

Saya tak tersinggung – Mahfuz

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar sama sekali tidak tersinggung dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung gesaannya supaya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Menurut beliau, pandangannya itu ikhlas kerana selagi Abdul Ariffahmi tidak melepaskan jawatan, maka selagi itu UMNO mempunyai ruang untuk berpesta mengkritik pentadbiran kerajaan Pas Kelantan.

”Saya sambut baik kenyataan Nik Abdul Aziz yang cukup baik itu, saya tidak rasa terkilan apa-apa, saya tak lihat kenyataan saya itu memberi ruang untuk UMNO berpesta.

”Saya tetap pertahankan bahawa lagi lama Abdul Arifffahmi berada di situ, inilah yang memberi ruang untuk UMNO berpesta. Sebab itu saya sebut semalam, saya buat kenyataan itu kerana sayangkan tok guru dan tidak mahu melihat tok guru dicerca oleh UMNO serta pihak lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau menyerahkan memorandum kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid supaya menyiasat peruntukan Rangsangan Ekonomi sebanyak RM10 bilion kepada Khazanah Nasional Berhad.

Semalam, Menteri Besar Kelantan itu dalam kenyataannya menyifatkan, tindakan Mahfuz sebagai memandai-mandai kerana mencungkil kembali isu PBMK yang sudah diselesaikan melalui pertemuan dengan pemimpin Pas Pusat baru-baru ini.

Sementara itu ketika ditanya apakah kenyataan beliau secara terbuka menyebabkan Nik Abdul Aziz terkilan, beliau berkata, cadangan itu demi kebaikan semua.

”Media tanya saya, saya bagi respons kepada media, ia perlu diselesaikan dengan segera dan ini perlu difahami Abdul Ariffahmi dan beliau harus faham situasi ini.

”Tidak sulit untuk beliau melepaskan jawatan ini, satu benda yang cukup mudah. Peruntukan undang-undang buruh ada nyatakan dengan jelas.

”Saya adalah anak murid tok guru yang setia, namun situasi yang ada ini harus diselesaikan dengan segera,” jelasnya.

http://utusan.com.my/

Abdul Ariffahmi patut letak jawatan lebih awal – Mahfuz

KUALA LUMPUR 7 Dis. – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Abdul Rahman perlu melepaskan jawatannya lebih awal daripada tempoh tiga bulan yang diumumkan sebelum ini.

Sambil menyifatkan peletakan jawatan menantu Menteri Besar Kelantan itu bukan proses biasa, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, langkah itu perlu bagi menepati semangat dan matlamat keputusan pimpinan Pas Pusat berhubung kedudukannya dalam PMBK.

”Sepatutnya disegerakan (peletakan jawatan) kerana roh dan semangat (permintaan Pas Pusat) adalah nak segera. Dia nak ambil tempoh tiga bulan, itu proses biasa dalam melepaskan jawatan tetapi (kena ingat), ini (kes) luar biasa.

”Keduanya kedudukan beliau selaku Ketua Pegawai Eksekutif tidak boleh disamakan dengan seorang kerani untuk lepaskan jawatan.

”Kerani kalau tiga bulan diperlukan untuk lepaskan jawatan, dia boleh datang kerja lagi kerana tak berikan apa-apa kesan tetapi CEO dia libatkan pembuat keputusan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan sebagai CEO PMBK berikutan pelbagai perkara termasuk persepsi dan tekanan berhubung dakwaan penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa sejak dilantik ke jawatan itu, September lalu.

Bagaimanapun kontroversi berhubung kedudukan beliau tidak tamat dengan peletakan jawatan tersebut kerana ia hanya akan berkuat kuasa pada 25 Mac 2010.

Mahfuz berkata, adalah wajar Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menamakan seseorang bagi menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif PMBK sementara menanti tempoh peletakan jawatan menantunya berkuat kuasa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena melihat tindakan yang paling baik bagi Abdul Ariffahmi adalah dengan bercuti sementara menanti peletakan jawatan beliau berkuat kuasa.

Dengan cara itu, katanya, dapat mengelakkan sebarang persepsi dan implikasi khususnya dari segi kewangan.

”Bagi saya tidak wajar seseorang CEO memberi notis (berhenti) tiga bulan sekiranya beliau terus menjalankan tugas termasuk membuat sebarang keputusan untuk PMBK.

”Bayar saja tiga bulan gaji tersebut dan dalam tempoh itu dia tidak boleh lagi buat apa-apa keputusan, malah sepatutnya perlu segera melepaskan jawatan. Bagi saya jika ikut etika korporat, seeloknya beliau menyegerakan (peletakan jawatan) atau ambil cuti tiga bulan.

”Dalam tempoh tiga bulan harus ada orang lain yang jalankan tugas itu. Menteri Besar sebagai penasihat boleh panggil lembaga penasihat untuk mendapatkan nasihat,” katanya.

Mahfuz berkata, pelantikan pemangku CEO perlu bagi memastikan Abdul Ariffahmi tidak membuat apa-apa keputusan terutamanya yang boleh memberi implikasi kewangan.

“Saya tidak kata beliau buat sesuatu, tetapi etika korporat perlu dihormati. Ia elok daripada timbul sesuatu yang tidak diingini.

“Perbadanan perlu ambil orang dalam untuk pangku jawatan itu, lepas itu buat audit dalam tempoh tiga bulan. Ini libatkan CEO bukan kerani atau budak pejabat yang tiada implikasi kerana mereka bukan boleh buat keputusan,” jelasnya.

Utusan Malaysia

Modul BTN Perlu Dikekalkan – Dr Mahathir

Isnin Disember 7, 2009

KUALA LUMPUR: Modul Biro Tatanegara (BTN) perlu dikekalkan dan tidak dirombak kerana ia sudah cukup baik dalam memupuk semangat kenegaraan di kalangan rakyat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berpendapat kurikulum BTN dapat memupuk semangat perpaduan kerana kursus anjuran agensi itu turut dihadiri rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Tidak perlu dirombak… saya ingat kekal (modul BTN),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Aids Sedunia 2009 di sini semalam.

Baru-baru ini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kurikulum BTN akan dirombak bagi mencerminkan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tub Razak.

Isu kursus anjuran BTN mendapat perhatian ramai apabila kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini melarang kakitangan awam dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri mengikuti kursus berkenaan berkuatkuasa serta-merta kerana didakwa sebagai proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman, memecah-belahkan penduduk pelbagai kaum, agama dan menimbulkan kebencian kepada pembangkang.

Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata, tidak ada apa-apa yang tidak betul mengenai kursus BTN kerana kurikulumnya cukup baik untuk memberi kesedaran tentang pentingnya kehidupan bernegara.

Malah katanya beliau juga pernah memberikan syarahan pada kursus anjuran BTN dan antara perkara yang diterangkan ialah mengenai sejarah Malaysia.

“Kadang-kadang ramai orang tidak faham nilai yang dapat menerusi kursus BTN. Saya tidak nampak BTN buruk selain dapat diterangkan tentang sejarah negara,” katanya.

Sementara itu ketika mengulas saranan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pemerhati bebas dari Australia dilibatkan bagi memantau perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-13, Dr Mahathir dengan sinis berkata: “Kalau orang putih dia percaya, kalau orang Melayu dia tak percaya.”

Mengenai langkah kerajaan merancang memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pula Dr Mahathir berkata, perlu ada kajian mendalam mengenai perkara itu supaya tidak membebankan rakyat. Sebelum ini, Perdana Menteri menjelaskan bahawa pengenalan GST di Malaysia adalah satu bentuk keperluan jangka panjang memandangkan pergantungan negara kepada sektor petroleum sebagai penyumbang utama pendapatan perlu diganti dari sekarang.

BERNAMA

sumber : Mstar

Older entries »
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.