BERITA MALAYSIA KINI

Pilihan Terbaik Setiap Detik

Arkib untuk Januari, 2010

Empat kepala babi diletak di dua masjid – Berita Harian

KUALA LUMPUR: Empat kepala babi bersama wang tunai diletakkan di dua masjid di sini awal pagi tadi.

Masjid terbabit ialah Masjid Imam At-Tirmizi di Taman Seri Sentosa dan Masjid Jumkuriah Taman Dato’ Haron di Petaling Jaya.

Masing-masing dua kepala dengan wang tunai RM35 dan RM40 diletakkan di setiap masjid berkenaan.

sumber : http://bharian.com.my

Hadi ditawarkan jadi Ketua Pembangkang?

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan mahu menyerahkan jawatan Ketua Pembangkang yang kini disandangnya kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Langkah itu didakwa bertujuan mendapatkan semula sokongan ahli-ahli Pas terhadap perjuangan Anwar ekoran timbul dua isu utama iaitu pendiriannya terhadap penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian selain perbicaraan kes liwatnya.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, bagi membolehkan perkara itu berlaku, Anwar akan mengarahkan beberapa ahli Parlimen Melayu dari PKR menyertai Pas.

“Jika ini benar, saya amat berharap Abdul Hadi tidak terperangkap dan tertipu dengan tawaran tersebut kerana Anwar merupakan jenis manusia yang sanggup melakukan apa sahaja demi cita-cita politiknya.

“Saya juga amat berharap Abdul Hadi memikirkan semasak-masaknya tentang perkara ini kerana pendirian Anwar terhadap isu penggunaan nama Allah oleh Kristian telah mengguris hati serta menimbulkan kemarahan umat Islam termasuk ahli-ahli Pas sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 5 Januari lalu, parti yang dipimpin oleh Anwar itu tampil dengan kenyataan bahawa keinginan rakyat bukan Islam menggunakan kalimah Allah adalah satu perkembangan positif dan perlu diterima secara terbuka serta dengan lapang dada.

Pendirian Anwar itu bukan satu perkara baru apabila beliau pernah menyatakannya ketika berkempen pada pilihan raya kecil di Batang Air, Sarawak, April tahun lalu.

Pada kempen tersebut, Anwar berkata, tidak salah untuk penganut agama lain menyebut nama Allah kerana ia adalah hak agama masing-masing.

Muhammad Zahid berkata, sejak Anwar menyatakan kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut Kristian, sebahagian besar ahli Pas kini meragui kewibawaan Anwar sebagai “seorang pemimpin Islam sejati”.

“Pendirian Anwar itu benar-benar menyentak ahli-ahli Pas kerana para ulama termasuk pemimpin mereka seperti Datuk Dr. Haron Din dengan tegas menyatakan mereka yang sokong bukan Islam guna kalimah Allah boleh membawa kepada kekufuran.

“Mahu tidak mahu gelora itu perlu ditamatkan kerana ia akan memberi kesan kepada masa depan PKR dan antara langkah untuk menyelamatkannya, Anwar bakal menawarkan jawatan Ketua Pembangkang kepada Abdul Hadi,” katanya.

Muhammad Zahid turut menegaskan, isu liwat yang dihadapi Anwar juga menjadi salah satu faktor sokongan ahli-ahli Pas terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh itu semakin terhakis.

“Saya mendapat maklumat bahawa road show AMK untuk memberi penerangan mengenai kes liwat Anwar kurang mendapat sambutan khususnya dalam kalangan penyokong Pas.

“Oleh itu, mereka amat memerlukan bantuan Pas bagi menjayakan program itu. Jika hendak diharapkan jentera AMK semata-mata, mereka sukar untuk menjayakan road show tersebut,” katanya lagi.

http://www.utusan.com.my/

70 NGO minta Seri Paduka campur tangan isu kalimah Allah

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Memorandum yang ditandatangani wakil 70 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin meminta campur tangan bagi menyelesaikan isu kontroversi penggunaan kalimah Allah.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd. Azmi Abd. Hamid berkata, memorandum itu turut mendesak supaya dipastikan penggunaan kalimah Allah adalah eksklusif untuk umat Islam.

“Kita juga merayu secara bersungguh-sungguh supaya raja-raja Melayu mengambil peranan muktamad bagi memastikan situasi tegang yang timbul akibat penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam tidak berlarutan.

“Memorandum yang mengandungi 12 resolusi yang diluluskan ketika Muzakarah Pakar Isu Kalimah Allah: Katakanlah Allah Itu Yang Maha Esa akan diserahkan secepat mungkin kepada Seri Paduka pada satu tarikh yang belum ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menjadi ahli panel muzakarah tertutup anjuran Gabungan NGO-NGO Islam Bantah Salah Guna Kalimah Allah berkenaan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Muzakarah kira-kira empat jam turut disertai tiga ahli panel lain iaitu Penaung Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa), Datuk Dr. Haron Din; Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Ann Wan Seng dan Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Md. Asham Ahmad.

Pada 31 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Lau Bee Lan membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald-The Catholic Weekly dengan alasan ia dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Mohd. Azmi berkata, dalam memorandum itu, pihaknya turut mendesak supaya pihak Gereja Katolik menarik balik niatnya untuk menggunakan kalimah Allah.

Dalam perkembangan berkaitan, Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Shukri Abdullah ketika membacakan kenyataan bersama NGO Islam berkenaan berkata, pihaknya sedih dengan tindakan pihak tertentu yang tidak sensitif terhadap perasaan umat Islam.

“Mereka tidak wajar untuk terus menggunakan kalimah Allah kerana terjemahan yang betul bagi perkataan God dalam bahasa Melayu ialah Tuhan.

“Kita juga tertanya-tanya apakah motif sebenarnya kalimah Allah ingin digunakan sekarang sedangkan perkataan ini tidak pernah digunakan oleh orang Kristian di Semenanjung sebelum ini,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm

Gugurkan tuntutan ( isu nama Allah )



Oleh Zulhisham Ishak
pengarang@utusan.com.my

KOTA KINABALU 10 Jan. – Akhbar Herald-The Catholic Weekly perlu bersedia menggugurkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di mahkamah berikutan perkembangan yang semakin membimbangkan hingga mengakibatkan beberapa gereja dibakar.

Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun berkata, langkah tersebut perlu untuk keamanan dan kestabilan rakyat berbilang kaum di negara ini.

‘‘Sudah tiba masanya kita, masyarakat Kristian khususnya Katholik membuat penilaian kepada keadaan sekarang demi keselamatan dan ketenteraman awam supaya dengan senang hati menggugurkan perkataan Allah untuk menenangkan saudara Islam kita.

‘‘Daripada terus mendesak hak untuk menggunakan perkataan Allah adalah lebih baik jika Katholik hanya menggunakan perkataan ‘Tuhan’ atau ‘Tuhan Yang Maha Kuasa’.

‘‘Biarlah saudara Islam kita sahaja yang menggunakan perkataan Allah untuk kebajikan supaya kita dapat hidup aman damai dan harmoni di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, dua gereja – satu di Desa Melawati, Kuala Lumpur dan satu lagi di Jalan Templer, Petaling Jaya – mengalami kebakaran manakala satu lagi juga di Petaling Jaya menerima ugutan.

Kejadian itu mendapat kecaman daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang selain turut mengundang reaksi serupa dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melawat gereja di Desa Melawati, semalam, mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk membolehkan pentadbiran gereja itu membuka rumah ibadat baru di kawasan lain.

Sementara itu Clarence berkata, alasan sesetengah pemimpin Kristian bahawa kalimah Allah perlu dibenarkan hanya kerana ia sudah digunakan sejak sekian lama adalah tidak wajar.

Tegas beliau, Kristian di negara ini juga tidak sama seperti diamalkan di Indonesia, Mesir, Iraq atau Yemen kerana Malaysia mempunyai perlembagaan yang berbeza.

‘‘Tidak harus bagi kita mempertikai yang Allah biasa digunakan oleh masyarakat Kristian di negara luar kerana kita berada di Malaysia, jadi kita harus patuhi semua undang-undang dan peraturan.

‘‘Adakah kalau kita atau pihak gereja tidak gunakan perkataan Allah maka secara tiba-tiba para pengikut agama Kristian akan bertambah atau berkurang 10 kali ganda,” soalnya.

Beliau sedar ramai penganut Kristian akan mengkritik pendiriannya tetapi mereka perlu faham dan menghayati ajaran agama itu yang menyuruh pengikutnya memaafkan orang lain.

“Jika kita benar-benar Kristian, kita harus jadi orang yang memaafkan, bertanggungjawab dan cintakan keamanan. Kenapa kita harus bergaduh untuk satu perkataan,” ujarnya.

Clarence yang juga Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah berkata, umat Kristian perlu faham mengapa orang Islam amat marah apabila kalimah itu dibenarkan penggunaannya.

Jelasnya, Allah adalah Tuhan bagi orang Islam manakala orang-orang Kristian pula lain kepercayaannya dan kalimah itu juga sudah lama digunakan secara tradisinya oleh agama Islam.

http://utusan.com.my

(Titah Ydp Agong Minta Rakyat) Bertenang – Utusan Malaysia

BERTENANG

Musa Hassan menunjukkan khidmat pesanan ringkas (sms) dari telefon bimbitnya berhubung penyebaran berita palsu yang berbau hasutan, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. Ketua Polis Negara mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan SMS yang disebarkan hingga boleh menimbulkan ketakutan ekoran tiga buah gereja dilontar bom petrol.

Adalah dimaklumkan bahawasanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah mengambil perhatian serius terhadap isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sehubungan itu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua pihak agar sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

Bagi menjamin suasana aman dan harmoni di antara penganut yang berlainan agama, maksud dan rujukan kalimah Allah dalam konteks umum hendaklah menepati sifat yang ditetapkan oleh Islam kerana amalan ini sekian lama telah diterima baik oleh semua penganut agama lain di Malaysia.

Baginda amat berharap agar semangat perpaduan dan hormat menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara ini sentiasa dijaga.

Memandangkan pihak kerajaan sedang mengambil langkah-langkah yang perlu berbangkit daripada keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini, maka Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga turut menzahirkan harapan baginda agar semua pihak terutama orang Islam agar bertenang.

Baginda juga menitahkan agar semua pihak saling menghormati semua tempat ibadat tanpa mengira agama.

Istana Negara,

Kuala Lumpur

8 Januari 2010

http://www.utusan.com.my/

Tangguh pelaksanaan ( penggunaan kalimah Allah ) – Utusan

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES

pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 Jan. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan pelaksanaan perintah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald – The Catholic Weekly berikutan persetujuan Menteri Dalam Negeri dan Gereja Katolik demi kepentingan negara.

Hakim Datuk Lau Bee Lan memutuskan demikian di kamar beliau petang ini setelah Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan peguam mewakili Gereja Katolik, Derek Fernandes mencapai kata sepakat supaya perintah tersebut ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Pada 31 Disember lalu, Hakim Bee Lan membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya setelah beliau berpendapat bahawa setiap individu mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan kalimah tersebut dan ia bukannya eksklusif kepada umat Islam.

Menteri Dalam Negeri semalam telah mengemukakan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah itu setelah rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan pada Isnin lalu.

Abdul Gani yang tiba pada pukul 2.20 petang mengetuai barisan empat Peguam Kanan Persekutuan terdiri daripada Datuk Kamaludin Md. Said, Suzana Atan, Mahamad Naser Disa dan Andi Razalijaya A. Dadi.

Mereka bersama Fernandes dan peguam-peguam, S. Selvarajah, Benjamin Dawson serta Annou Zavier mewakili Gereja Katolik dilihat masuk ke kamar Hakim Bee Lan pada pukul 2.45 petang selama hampir 30 minit.

Sebelum itu, editor Herald – The Catholic Weekly, Lawrence Andrew dilihat menemui Abdul Gani di sebuah bilik saksi di dalam mahkamah tersebut.

Bercakap kepada pemberita sejurus keputusan dibuat, Abdul Gani memberitahu:

”Kami tidak mahu perkara ini dilengah-lengahkan kerana ia membabitkan kepentingan negara. Saya berterima kasih kepada rakan-rakan yang mewakili pihak responden yang bersetuju dengan permohonan penangguhan yang dikemukakan.

”Kami akan mengemukakan permohonan agar rayuan didengar secepat mungkin di Mahkamah Rayuan. Saya ingin menegaskan tiada berlaku sebarang salah anggap hanya disebabkan perkara ini didengar dengan segera.

”Sebaliknya ia hanya untuk mengelakkan daripada berlaku ketegangan, masalah dan salah tanggapan. Saya percaya ia dapat diselesaikan secepat mungkin. Semua pihak mesti menghormati keputusan mahkamah,” kata Abdul Gani.

Ditanya sama ada berlaku sebarang tekanan daripada mana-mana pihak, Abdul Gani berkata:

”Kamu tidak boleh mengatakan wujudnya tekanan atau tidak. Ini kerana tekanan memang wujud dalam semua kes. Saya tidak mahu memberi sebarang persepsi sekarang. Biarlah perkara ini diselesaikan terlebih dahulu.”

Sementara itu peguam Fernandes pula memberitahu: ”Kami cintakan keamanan. Justeru itu, kami ingin tindakan tegas diambil terhadap orang yang menghina mahkamah di luar sana dengan membuat kenyataan di luar mahkamah.”

Terdahulunya, tiga peguam Zainul Rijal Abu Bakar, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Abdul Rahim Sinwan yang mewakili enam majlis agama Islam dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) yang turut masuk dalam kamar hakim terpaksa keluar setelah mahkamah tidak membenarkan mereka berhujah.

Hakim Bee Lan berbuat demikian selaras dengan keputusan beliau sebelum ini yang menolak permohonan enam Majlis Agama Islam dan Macma untuk menjadi pencelah dalam semakan kehakiman tersebut.

Enam majlis agama Islam yang memohon menjadi pencelah dalam kes itu ialah Wilayah Persekutuan, Selangor, Kedah, Terengganu, Melaka dan Johor.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Penggunaan kalimah Allah ditangguhkan demi kepentingan negara

06/01/2010 4:26pm

KUALA LUMPUR 5 Jan. – Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan pelaksanaan perintah yang membenarkan penerbitan `Herald – The Catholic Weekly’ menggunakan perkataan `Allah’ berikutan persetujuan pihak-pihak terlibat demi kepentingan negara. – Utusan

PAS arah Khalid Hentikan Kenyataan Tak Selari Dengan Parti

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: PAS mengarahkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad supaya berhenti daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang bertentangan dengan pendirian parti berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan majalah Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Yang Dipertua PAS Shah Alam itu juga seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pandangannya bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan di kalangan ahli dan juga masyarakat.

“Dalam isu ini saya fikir YB (Yang Berhormat) Khalid perlu lebih berhati-hati.

“Isu ini sangat sensitif, kalau kita tersalah memberi pandangan, impaknya sangat besar,” katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perbalahan terbuka antara Khalid dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berhubung keputusan kontroversi Mahkamah Tinggi itu.

Media hari ini melaporkan bahawa Zulkifli mendesak supaya Khalid keluar dari PAS dan menyertai parti lain termasuk DAP kerana menyokong keputusan tersebut.

Zulkifli juga mendakwa kenyataan Khalid itu telah merosakkan imej PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Desakan Zulkifli itu dibuat sebagai respons kepada kenyataan awal Khalid yang dimuatkan dalam blognya iaitu Allah bukan Tuhan kepada orang Islam semata-mata tetapi Tuhan kepada seluruh alam semesta, termasuk orang bukan Islam dan Rasulullah tidak pernah menghalang penggunaan perkataan Allah oleh orang bukan Islam.

Katanya, al-Quran sendiri mempunyai banyak ayat yang menunjukkan bahawa orang bukan Islam, sama ada golongan Musyrikin, Yahudi mahu pun Nasrani menggunakan perkataan Allah apabila mereka memaksudkan Tuhan semesta alam.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS beranggapan bahawa kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam itu merupakan pandangan peribadinya dan tidak mewakili parti.

“Itu hanyalah pandangan peribadi beliau, bukan pandangan PAS secara keseluruhannya,” katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan mengambil sebarang tindakan terhadap Khalid, Tuan Ibrahim berkata: “Saya fikir tak perlulah sampai nak ambil tindakan disiplin terhadap beliau.

“Kita dalam PAS sentiasa mengamalkan dasar terbuka apabila mengeluarkan pandangan, tapi dalam hal ini beliau bercakap mengikut pandangannya berdasarkan hukum ciptaan iaitu tuhan kepada semua manusia ialah Allah.”

Mengulas sama ada tindakan Khalid itu akan menjatuhkan imej PAS kerana masyarakat melihat wujudnya perselisihan pandangan di kalangan pemimpin parti itu terutamanya dalam isu-isu sensitif, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya sememangnya tidak menyekat kebebasan bersuara.

“Kita tak sekat ahli-ahli PAS yang ramai ini untuk memberi pandangan, tapi pandangan yang menjadi dasar PAS adalah datang dari enam peringkat tertinggi dalam parti iaitu Mursyidul Am dan timbalannya, Presiden dan timbalannya, Setiausaha Agung serta Ketua Penerangan.

“Kenyataan mereka ini kita anggap sebagai kenyataan rasmi parti,” katanya.

Tambah Tuan Ibrahim lagi, pendirian PAS adalah jelas bahawa parti itu sememangnya membantah kebenaran yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi itu berhubung penggunakan kalimah Allah.

“PAS membantah sekeras-kerasnya mengenai perkara ini dan kami menyokong semua usaha termasuk rayuan yang akan dilakukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap keputusan itu,” katanya.

http://mstar.com.my

Jangan tuding jari kepada BN ( isu saman RM800 juta kepada Kerajaan Kelantan )

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

KOTA BHARU 1 Jan. – Kerajaan Pas Kelantan tidak boleh menuding jari kepada Barisan Nasional (BN) apabila terpaksa membayar ganti rugi RM800 juta kepada syarikat pembalakan, Timbermine Sdn. Bhd. ekoran pelanggaran kontrak.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad berkata, segala keputusan yang dibuat termasuk penamatan kontrak pada 1975 dilakukan oleh kerajaan Pas yang ketika itu berada di bawah komponen BN.

Beliau berkata, Pas jangan hendak berselindung di sebalik lalang sehelai dengan tidak mengambil tanggungjawab ini apabila tewas di mahkamah.

“Kita pun mewarisi daripada dia juga dulu… apa yang BN buat adalah membetulkan keputusan yang salah pada 1964 yang memberikan kontrak kepada syarikat pembalakan ini.

“Lagi pun Menteri Besar Kelantan pada 1975 ialah Datuk Mohd. Nasir, kerajaan BN Kelantan yang diterajui oleh Pas, dia tak fahamkah kerana pada ketika itu kerajaan campuran terbentuk di Kelantan dengan Pas 22 kerusi, UMNO (13) dan MCA satu kerusi. Macam kerajaan BN di Pulau Pinang dulu diterajui oleh Gerakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan kerajaan Pas Kelantan bahawa mereka hanya mewarisi tinggalan kerajaan BN dahulu dan terpaksa menanggung beban atas warisan tersebut.

Ia disebabkan kerajaan BN pada 1975 telah membatalkan perjanjian dengan sebuah syarikat pembalakan Timbermine Sdn. Bhd. yang diberikan kuasa untuk mengeluarkan balak di kawasan seluas 204,095 hektar di Hulu Kelantan.

Pada prosiding di Mahkamah Tinggi Kota Bharu Rabu lalu, kerajaan negeri diarah membayar ganti rugi kira-kira RM800 juta kepada Timbermine kerana melanggar perjanjian.

Jumlah ganti rugi tersebut dikatakan yang tertinggi dalam kes saman sivil di negara ini.

Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas berkata, pembatalan kontrak itu dibuat disebabkan kerajaan BN pada ketika itu mahu membangunkan kawasan tersebut dan ia terbukti dengan penubuhan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

“Tanah itu diambil balik untuk Kesedar hari ini, semua kawasan Kesedar adalah kawasan Timbermine yang diselesaikan melalui rundingan sebab itu kena bayar pampasan RM3.5 juta.

“Kawasan Hulu Kelantan hanya dibangunkan pada 1974 selepas Kesedar dibangunkan dengan Datuk Ariffin Said menjadi pengurus besar yang pertama dan mula mengambil orang miskin sebab itu pada zaman BN semuanya dah selesai dan mereka tidak saman ketika itu,” katanya.

Katanya, perjanjian pada 1964 amat longgar dan ia tidak dapat membangunkan kawasan tersebut disebabkan kontrak itu hanya untuk mengeluarkan balak serta sebagai timbal balas, Timbermine perlu menyediakan jalan bagi penduduk.

Tambahnya, sewajarnya tidak timbul soal kerajaan BN dahulu kerana berdasarkan prinsip Pas perlu mewarisi semua pusaka yang ditinggalkan sebelum ini.

“Kenapa hendak perintah hendak ambil yang baik sahaja, bila kita ambil kena ambil semua aset dan liabiliti. Macam kita kahwin takkan hendak ambil yang elok saja daripada perempuan yang bakal menjadi isteri, kita harus menerima semuanya.

“Kalau begitu alasannya, keluar sajalah dari Kota Darulnaim, Balai Islam dan JKR 10 kerana semua itu dibuat oleh BN dan peninggalan kerajaan BN.

“Pada masa yang sama, kenapa mereka tidak berunding sebelum 2004 sebab pada masa BN dulu kerajaan boleh selesai di meja rundingan,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.