BERITA MALAYSIA KINI

Pilihan Terbaik Setiap Detik

Arkib untuk Februari, 2010

Zambry fail saman RM100 juta terhadap Wan Azizah, Suara Keadilan

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir hari ini memfailkan saman RM100 juta terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan tiga lagi berhubung dakwaan penerbitan satu artikel berbaur fitnah di akhbar bulanan parti itu, Suara Keadilan.

Artikel yang didakwa memfitnah Menteri Besar Perak itu bertajuk ‘Zambry Disyaki Pengganas – Gagal Masuk Ke Amerika Syarikat’ yang diterbitkan oleh akhbar parti pembangkang itu bagi edisi bertarikh 29 Disember 2009 hingga 5 Januari 2010.

Zambry selaku plaintif mendakwa, artikel tersebut sengaja direka bagi memburuk, mencemar dan mempersendakan reputasinya sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Writ saman tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini.

Zambry yang diwakili oleh peguam, Firoz Hussein Jamaluddin menamakan Majlis Pimpinan Pusat parti itu, Wan Azizah dan Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali yang juga editor Suara Keadilan sebagai defendan pertama dan kedua.

Penerbit akhbar bulanan tersebut, Pelita Koridor Sdn. Bhd. dan syarikat pencetak, Percetakan NPK Sdn. Bhd. turut dinamakan sebagai defendan ketiga dan keempat.

Menurut pernyataan tuntutan, plaintif yang juga Ketua UMNO Bahagian Lumut mendakwa, artikel tersebut mengandungi perkataan-perkataan fitnah, tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat.

Perkataan berunsur fitnah itu difahami bertujuan membawa maksud bahawa beliau merupakan seorang yang disyaki pengganas dan dihalang memasuki Amerika Syarikat kerana terlibat dalam aktiviti keganasan.

Zambry sebaliknya menegaskan, beliau tidak pernah dihalang memasuki Amerika Syarikat malahan telah dibenarkan memasuki negara itu dan diberi pengiktirafan yang sesuai dengan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak.

Katanya, lawatan beliau ke Amerika Syarikat mendapat liputan meluas media dan pihak defendan telah menyiarkan kata-kata berunsur fitnah itu dengan sengaja.

Beliau turut menyatakan, artikel tersebut sengaja dicetak dengan ketara di halaman utama belakang akhbar itu bagi menarik perhatian pembaca sekali gus mengakibatkan dirinya terpaksa menanggung malu.

Perkataan-perkataan yang digunakan dalam artikel itu juga jelas serius dan didakwa mendatangkan kesengsaraan terhadap plaintif dan keluarganya.

Menurut beliau lagi, penerbitan artikel itu telah melukakan perasaannya, mencemarkan reputasi awam, peribadi dan politiknya dengan begitu teruk serta telah terjerumus kepada skandal awam, kebencian dan penghinaan.

Oleh yang demikian, Zambry menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta termasuk ganti rugi teruk dan teladan.

Plaintif juga menuntut perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan dan ejen mereka daripada terus menyatakan atau menerbitkan artikel atau sebarang perkataan berbaur fitnah terhadapnya sama ada secara bertulis atau elektronik.

Turut dituntut ialah faedah sebanyak lapan peratus setahun atas jumlah ganti rugi yang akan diberikan dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan melalui panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff sebulat suara memutuskan bahawa jawatan Menteri Besar Perak yang sah adalah milik Zambry.

http://utusan.com.my/

Penduduk gembira dapat bertemu Perdana Menteri

MELAKA 6 Feb. – “Selama ini saya hanya melihat beliau di televisyen, tak sangka dapat berjumpa dan bersalam dengan pemimpin nombor satu negara.”

Peniaga, Zainah Ahmad, 53, cukup teruja apabila gerai makan miliknya dikunjungi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, kelmarin.

“Saya tahu beliau akan singgah di gerai saya, tetapi saya tidak sangka beliau meluangkan masa yang lama dan menjamu selera di sini,” katanya yang tidak dapat menahan air mata kegembiraan.

Menurut Zainah, sepanjang 15 minit pertemuan tersebut, dia sempat berbual dengan Perdana Menteri mengenai pemindahan gerai makannya itu ke tempat baru.

“Saya berharap pemindahan gerai makan yang sudah berpuluh-puluh tahun di sini membantu saya meningkatkan hasil jualan.

“Tiada apa yang boleh dikatakan kecuali ucapan terima kasih kepada beliau yang begitu prihatin terhadap masalah peniaga seperti saya,” katanya.

Perdana Menteri yang melakukan lawatan kerja sehari ke negeri ini kelmarin dibawa melawat gerai makan di Perhentian Teksi Lama dan meluangkan masa kira-kira 15 minit di situ.

Sewaktu di kawasan tersebut, Najib dan isteri turut menikmati juadah pelbagai jenis kuih-muih di samping melawat dan bertemu penduduk perkampungan Melayu di Kampung Morten tidak jauh dari situ.

Dalam pada itu, rata-rata penduduk kampung gembira kerana dapat bertemu dan bersalaman dengan Perdana Menteri.

Seorang penduduk, Juhriah Ismail, 56, gembira apabila Najib sudi ke rumahnya dan melawat segenap sudut rumah yang dijadikan sebagai inap desa.

“Saya begitu terharu apabila beliau dan isteri sudi naik ke homestay kecil saya ini.

“Sepanjang 56 tahun duduk di sini, hari ini, adalah hari paling gembira saya apabila Datuk Seri Najib datang ke kampung ini,” katanya.

Menurut Juhriah, sejak mengetahui Perdana Menteri akan melawat Kampung Morten, dia tidak henti-henti berdoa agar program yang dijadualkan tidak dibatalkan.

Bagi Kamal Hassan, 34, kunjungan Najib ke kampung berkenaan tidak boleh diungkap dengan kata-kata selain memanjatkan rasa syukur dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga.

“Bayangkan dalam kesibukan, beliau masih sempat meluangkan masa untuk melawat kampung saya yang menjadi pilihan untuk beliau singgah.

“Siapa bangga apabila insan kesayangan rakyat yang selalu saya tonton di televisyen betul-betul berada di depan mata,” kata Kamal.

Tambahnya lagi, ekoran lawatan Najib ke kampung itu, ramai penduduk yang pulang awal daripada kerja kerana mahu mengalu-alukan kunjungan Perdana Menteri itu.

http://utusan.com.my/

KPP JSJK Bukit Aman maut kemalangan

05/02/2010 4:35am

KUALA LUMPUR 5 Feb. – Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Hazam Abdul Halim maut dalam satu kemalangan ngeri di kilometer 419.7 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat susur keluar Bukit Tagar, dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, kereta Proton Perdana warna hitam yang dinaiki beliau merempuh belakang sebuah treler yang sarat dengan muatan tiang lampu.

Pemandu lori berkenaan dipercayai memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan untuk berehat.

Akibat rempuhan itu, Mohd Hazam, 50 yang duduk di hadapan sebelah pemandu, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kereta tersebut dipandu oleh pemandunya, Lans Koperal, Asminto Salimin, 27 yang turut cedera parah dalam kemalangan itu.

Kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke ibu negara setelah selesai bermesyuarat di Ipoh, Perak.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat manakala Asminto dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

Difahamkan, jenazah Mohd Hazam akan dihantar pulang ke kediamannya di No.1 Jalan TTJS, 3/1C, Taman Tuanku Jaafar, Seremban. – Utusan

http://utusan.com.my/utusan/

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.