BERITA MALAYSIA KINI
Pilihan Terbaik Setiap DetikArkib untuk April, 2010
SPRM Sahkan Ambil Keterangan Penulis Blog Kickdefella
PUTRAJAYA: Penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz hari ini telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung dakwaannya menerima lebih RM4 juta.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Siasatan SPRM Mustafar Ali ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata Syed Azidi tiba di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 6 petang.
Baru-baru ini Syed Azidi mendakwa menerima peruntukan lebih RM4 juta sepanjang tiga tahun bagi memburuk-burukkan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi .
Syed Azidi juga mendakwa beliau membelanjakan wang itu bagi membiayai pelbagai aktiviti termasuk membeli aset, peralatan, pembayaran upah operatif dan lain-lain yang bertujuan menggerakkan satu Operasi Gerak Saraf bgi mewujudkan persepsi buruk ke atas Abdullah dan memastikan PAS kekal memerintah Kelantan. – BERNAMA
JAIS tempelak Nik Aziz hina titah Sultan Selangor
Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 24 April – Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi hari ini menempelak Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ekoran kenyataannya yang mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung penyalahgunaan masjid untuk tujuan politik.
Beliau berkata, kenyataan Menteri Besar Kelantan itu tidak wajar kerana negeri ini mempunyai enakmen yang melarang penggunaan institusi Islam untuk tujuan politik bagi mengelak disalah guna sehingga menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam.
Jelasnya, sebagai seorang Menteri Besar, Nik Abdul Aziz sepatutnya lebih arif dalam soal berkenaan terutamanya dari segi bidang kuasa perundangan Islam yang diletakkan di bawah pentadbiran mengikut negeri masing-masing.
Bidang kuasa itu katanya, turut melibatkan kedudukan Ketua Agama Islam Negeri yang diketuai oleh Sultan dan Raja mengikut negeri masing-masing termasuklah di Kelantan sendiri.
“Dia (Nik Abdul Aziz) perlu faham bahawa di Selangor ini, kita ada enakmen yang melarang pengunaan masjid dan surau untuk tujuan politik. Kalau di Kelantan, terpulanglah kepada dia untuk berbuat demikian (gunakan masjid dan surau untuk berpolitik).
“Akan tetapi kalau di Selangor, dia kena patuhi undang-undang di negeri ini serta menghormati titah Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Mohammed Khusrin, mana-mana pihak menghina kuasa yang sah, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah dan arahan Sultan selaku Ketua Agama Islam, MAIS dan mufti adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Semalam, Nik Abdul Aziz dilihat mempertikaikan titah Sultan Selangor supaya tidak menggunakan masjid untuk berkempen apabila menyatakan perbuatan berkenaan tidak salah dilakukan.
Menurut Mursyidul Am Pas itu, perbuatan menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW pada masa lalu.
Tidak cukup dengan itu, Menteri Besar Kelantan itu juga turut menyifatkan larangan pengunaan masjid untuk politik adalah satu ajaran karut yang ditinggalkan penjajah Inggeris dan digunakan oleh Muslim pada hari ini.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan Exco kerajaan negeri, Datuk Dr. Hassan Ali dikatakan membaca khutbah berbaur politik ketika solat Jumaat di Masjid As-Salam, Bukit Sentosa, Hulu Selangor semalam, Mohammed Khusrin berkata, pihaknya tidak menerima laporan mengenai perkara berkenaan.
Sebaliknya, beliau hanya mengesahkan bahawa JAIS hanya membenarkan Hassan untuk membaca khutbah di masjid berkenaan dan bukannya mengesahkan bahawa Exco itu menyebarkan khutbah politik seperti yang dilaporkan oleh media pada hari ini.
“Saya cuma sahkan laporan bahawa Hasan menyampaikan khutbah di masjid itu. JAIS benarkan memandangkan beliau juga adalah Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Exco yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam.
“Malah, berdasarkan laporan daripada pegawai JAIS yang kita tempatkan untuk memantau di Hulu Selangor, kita dapati tiada sebarang elemen politik dilaporkan dalam khutbah itu termasuklah tidak membaca selawat ke atas Nabi Muhammad yang juga rukun khutbah,” ujarnya.
Sultan arah ambil tindakan pihak guna masjid untuk politik
HULU SELANGOR 22 April – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan masjid untuk berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang sedang berlangsung sekarang.
Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, larangan itu termasuk ceramah politik, penganjuran sebarang perhimpunan atau demonstrasi.
Sehubungan itu, katanya, pihak polis akan meningkatkan kawalan di semua masjid bagi membendung perkara tersebut daripada berlaku.
Tegas beliau, pihaknya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak jika masih berdegil.
“Kita tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang menggunakan masjid sebagai pentas berpolitik,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Larangan itu dibuat selepas terdapat dakwaan bahawa ceramah dan perhimpunan politik akan diadakan di pekarangan masjid di sekitar Kuala Kubu Bahru, esok dua hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.
Dalam perkembangan lain, Khalid memberitahu, pihaknya telah menahan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Faris Musa bersama empat rakannya ekoran tindakan mereka yang cuba membuat provokasi terhadap pihak lain.
Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya turut menemui lima senjata tajam yang dipercayai digunakan untuk tujuan tersebut.
“Kesemua mereka ditahan di sekitar kawasan Batang Kali di sini kira-kira pukul 7 petang semalam,” katanya.
Dalam pada itu, sehingga kini, polis menerima 93 laporan polis berhubung kesalahan pilihan raya dan telah membuka sebanyak 17 kertas siasatan.
Ketua Pemuda PKR keluar parti

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shah Alam, Nor’isham Manap (kanan) dan bekas timbalannya, Muhammad Ali Mukhtar (kiri) diiringi Ezam Mohd. Noor (tengah) selepas mengadakan sidang akhbar mengumumkan keputusan mereka untuk keluar dari PKR di Shah Alam, semalam. – BERNAMA
SHAH ALAM 18 April – Kecewa dengan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Hulu Selangor yang disifatkan mempunyai rekod moral memalukan, dua pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini mengumumkan keluar parti serta-merta.
Mereka ialah Ketua AMK Bahagian Shah Alam, Nor’isham Manap dan timbalannya, Muhammad Ali Mukhtar.
Turut menyertai Nor’isham dan Muhammad Ali ialah lima lagi anggota AMK termasuk dua ahli jawatankuasa cawangan masing-masing dari Shah Alam dan Padang Jawa.
Menurut Nor’isham, pemilihan Zaid sebagai calon PKR pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor jelas merupakan pengkhianatan terhadap semangat dan cita-cita perjuangan reformasi yang disertainya bersama rakan-rakan pada tahun 1999.
Katanya, rekod Zaid sebagai pejuang reformasi dan keadilan masih belum diuji malah rekod moral beliau amat memalukan setiap orang Melayu dan Islam yang berpegang pada akidah dan akhlak.
”Kami yakin pemilihan Zaid bukan atas dasar kepentingan perjuangan dan rakyat tetapi untuk menjaga kepentingan Anwar yang memerlukan seorang bekas menteri dan peguam berprofil tinggi untuk menjadi benteng dan pembelanya di Parlimen.
”Justeru Zaid dipilih oleh Anwar hanya untuk menjaga kepentingan dirinya sendiri bukan kepentingan rakyat seperti yang diuar-uarkan.
”Tidak masuk akal seorang yang bukan anak tempatan boleh menjadi wakil rakyat yang berkesan di Hulu Selangor,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hadir sama bekas Ketua AMK, Ezam Mohd. Noor.
Nor’isham mendakwa, beliau sebenarnya mewakili ramai anak muda dalam AMK yang tidak berpuas hati dan kecewa dengan keputusan dan sikap Anwar.
Namun katanya, masih ramai yang belum berani membuat keputusan untuk keluar parti dan beliau mempunyai bukti.
”Kami menyeru kepada pemimpin dan ahli AMK lain yang majoritinya kecewa dengan pemilihan Zaid untuk menunjukkan keberanian berpegang pada prinsip dan perjuangan sebenar dengan meninggalkan Anwar dan PKR yang telah jauh menyimpang perjuangannya.
”Kami menyeru rakyat khususnya pengundi di Hulu Selangor terutamanya anak-anak muda untuk meninggalkan Anwar yang menyeret rakyat dengan masalah dan cita-cita peribadi beliau dalam setiap tindakan politiknya dan parti PKR,” katanya.
Nor’isham dan Muhammad Ali kemudian menunjukkan satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh Ketua AMK Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin yang bertulis :
”Salam kawan-kawan. Harap kita SMS DSAI (Anwar) agar kriteria ‘track record’ kesetiaan kepada parti dan perjuangan dan kriteria seorang ‘fighter’ menjadi asas pertimbangan utama dalam hal calon Hulu Selangor. Pengalaman lalu wajib jadi tauladan dan panduan.
Bukan hanya soal calon mampu menang tetapi soal kelangsungan perjuangan ini yang lebih penting. Kita ada Shamsul, Syed Shahir dan ramai lagi. Ini nombor DSAI 017-28xxx11″.
Dakwa Muhammad Ali pula, dia telah menghantar SMS itu kepada Anwar tetapi tiada balasan diterima.
”Biasalah kita ini orang bawahan. Kalau tiada kepentingan dengan Anwar mana dia nak layan,” katanya.
Ditanya apakah hala tuju mereka selepas ini kata Muhammad Ali, beliau dan rakan-rakannya belum memikirkannya lagi.
Bagaimanapun beliau yakin selepas ini pasti lebih ramai anggota AMK di Selangor akan meletak jawatan.
Edisi PRK Hulu Selangor : Khalid Samad desak PAS keluar Pakatan Rakyat
KUALA LUMPUR, 11 April — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menasihatkan PAS harus keluar Pakatan Rakyat (PR) jika merasakan keanggotaan dalam ikatan itu merugikan perjuangan parti Islam itu, tetapi sama sekali tidak menghianati persefahaman yang telah dicapai.
Sehubungan itu tegas beliau, PAS juga tidak harus menjadi “gunting dalam lipatan” hanya kerana tidak bersetuju dengan sesetengah tindakan dalam PR memandangkan ikatan itu dibentuk berdasarkan keputusan jemaah.
Dalam pandangan ketika PR bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, anggota Biro Politik PAS ini menambah, jika PAS merasakan dengan berada dalam PR merugikan, maka“keluar sahajalah dan jangan khianat.”
“Tetapi, apabila dalam Pakatan, bertindak jujur dan ikhlas terhadap Pakatan, jangan menjadi gunting dalam lipatan atau bagaikan biawak hidup.
petikan dari blog http://malaysiaberih.blogspot.com/2010/04/pas-harus-keluar-pr-jika-rasa-rugi.html
Ulasan :
Kenyataan ini membuktikan bahawa Khalid Samad sedar ramai orang PAS sudah tidak dapat menerima Anwar. Beliau tahu bahawa keyakinan ahli PAS sendiri terhadap Anwar sudah runtuh dan tidak ada lagi peluang untuk diperbetulkan. Apatah lagi dengan pengisytiharan jadi ahli bebas oleh beberapa YB PKR juga menunjukkan setakat mana kepercayaan mereka terhadap Anwar Ibrahim.
Beliau juga sanggup menyarankan agar PAS keluar dari PR dalam keadaan beliau sendiri sudah digantung 6 bulan oleh Lembaga Disiplin PAS. Tidak pelik kerana gelaran Erdogan sudah lekat secara rasminya kepada beliau ekoran tindakannya yang pro Anwar dan menentang geng Ulama dalam PAS.
Pergolakan dalaman yang dizahirkan oleh Khalid Samad ini pasti akan memburukkan lagi peluang PAKATAN RAKYAT untuk menang di Hulu Selangor.
Mereka cuba menggambarkan UMNO/BN bergolak tetapi hakikatnya merekalah yang sedang berpecah belah akibat perselisihan faham yang timbul antara parti PAS PKR dan DAP.
Khabar dari Hulu Selangor juga menceritakan bahawa dua kumpulan utama dalam PKR sedang berebut untuk mengangkat calon pilihan masing masing.
Nasib PAKATAN RAKYAT semakin teruk dari hari ke hari.
Inilah masanya rakyat menunjukkan KEBENCIAN mereka kepada mana mana calon Pakatan Rakyat samada di Hulu Selangor atau di Sibu tidak lama lagi.
Jangan pangkah walau satu undi pun kepada gerombolan penipu rakyat ini.
Kita jangan mudah ditipu kerana kita juga masih ada akal yang waras untuk membezakan antara yang hak dan yang batil.
artikel dari blog
Panglima Perang Cyber
http://penembak-tepat.blogspot.com/2010/04/edisi-perang-siber-hulu-selangor-siri_3044.html
Negeri Sembilan juarai Piala FA
KUALA LUMPUR 10 April – Negeri Sembilan menjuarai bola sepak Piala FA selepas menundukkan Kedah menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tambahan masa perlawanan berakhir.
Utusan Malaysia
MIC yakin 70 peratus pengundi India kembali sokong BN
09/04/2010 5:44pm
HULU SELANGOR 9 April – MIC Hulu Selangor yakin kira-kira 70 peratus daripada 12,453 pengundi India akan kembali menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.
Ketua Penerangannya, Raily Muniandy berkata MIC bahagian yakin sasaran itu akan dicapai bagi membaik pulih rekod kurang memberangsangkan parti komponen BN pada pilihan raya umum Mac 2008.
“Pada pilihan raya umum lepas cuma dapat sokongan 30 peratus. Kali ini kami yakin boleh dapat 70 peratus sokongan pengundi India untuk pastikan BN menang,” katanya ketika ditemui di Kuala Kubu Baru di sini.
Kerusi Parlimen Hulu Selangor dimiliki MIC menerusi Datuk G. Palanivel sejak 1990 sebelum Timbalan Presiden MIC itu tewas kepada Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR dengan majoriti 198 undi pada Mac 2008.
Pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini diadakan ekoran kematian Zainal Abidin pada 25 Mac lepas.
Muniandy berkata, BN berpeluang merampas semula kawasan itu berdasarkan perubahan sentimen rakyat, terutama pengundi India, yang sebelum ini tidak menyokong MIC antara lain kerana terpengaruh dengan dakwaan Hindraf.
Selaku pencabar di kawasan parlimen itu, BN akan meletakkan calon daripada MIC yang akan diumumkan pada 15 April iaitu dua hari sebelum tarikh penamaan calon. – Bernama
Anwar arah Zulkifli Noordin fitnah Perdana Menteri, isteri – Zahrain
Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my
KEPALA BATAS 7 April – Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendedahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu yang didakwa mengarahkan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin supaya mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Pendedahan itu dilakukan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru tersebut di hadapan ribuan hadirin pada majlis ceramah umum di Kampung Paya Keladi Tengah di sini, malam tadi.
Zaharin berkata, Anwar juga merupakan orang yang sama mengarahkan Zulkifli untuk mengaitkan anak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang bernama Nadim dalam satu kes pembunuhan sekitar tahun 2004.
“Bila orang tanya, dia (Zulkifli) tidak mahu cerita (dedah) tapi dia cerita (orang yang mengarahkannya) kepada saya, jadi saya cerita kepada semua orang malam ini.
“Anwar suruh Zulkifli buat untuk anak guamnya Cif Inspektor Azilah Hadri (tertuduh pertama dalam kes bunuh Altantuya) akuan berkanun untuk libatkan Datin Seri Rosmah Mansor dan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembunuhan Altantuya, sampai begitu sekali.
“Kes anak Nazri dituduh bunuh, ingat? Siapa yang suruh Zulkifli kalau bukan Anwar juga,” katanya pada majlis anjuran Angkatan Belia Muda Kepala Batas (Bemuda) itu.
Turut hadir bekas Setiausaha Politik Anwar, Ezam Mohd. Nor; Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.
Semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Zulkifli mendakwa, pernah diberi tawaran cukup lumayan oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan Altantuya.
Tanpa mendedahkan pihak terlibat, Zulkifli memberitahu bahawa antara tugasnya adalah mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Najib dan Rosmah selain diminta membuat surat akuan bersumpah bahawa kedua-duanya terlibat dalam pembunuhan tersebut.
Sementara itu, kata Zahrain, beliau tidak teragak-agak untuk mendedahkan perkara itu bagi menyedarkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai suasana politik di negara ini yang semakin bercelaru angkara perbuatan Anwar.
“Peranan saya sekarang nak turun padang untuk beritahu bahaya Anwar sekiranya dilantik menjadi Perdana Menteri.
“Itu sebab saya tolak bulat-bulat Anwar dan keluar PKR kerana perasaan keraguan dalam diri saya telah mengatasi perasaan kepercayaan,” tegasnya.
oleh : http://utusan.com.my/
Anwar ‘berhijrah’ ke Sarawak?
Oleh HERMAN HAMID
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 6 April – Datuk S. Nallakarupan mendedahkan bekas rakan karibnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan besar merancang menuntut kemerdekaan Sarawak jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan cita-cita Anwar menjadi Perdana Menteri tercapai di samping isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan bergelar wanita pertama setelah lama mereka mengidamkan kedudukan tersebut.
Justeru beliau difahamkan yang usaha pertama Anwar jika rancangan itu berjaya adalah untuk memansuhkan undang-undang tertentu kerana Penasihat PKR itu diketahui sangat gusar dengan situasi politik semasa.
”Saya difahamkan Putar Alam Malaysia (Anwar) dikatakan sedang membuat persiapan untuk ‘berhijrah’ ke Sarawak menjelang Pilihan Raya DUN Sarawak,” katanya di sini hari ini.
Nallakarupan yang pernah bersahabat dengan Anwar selama 30 tahun berkata, selain kedudukan sebagai Perdana Menteri, Anwar juga pasti melantik anak emasnya, Azmin Ali yang juga Naib Presiden PKR sebagai Timbalan Perdana Menteri jika rancangan berkenaan berjaya.
”Saya percaya ia akan dibuat beliau dan seterusnya membuktikan PKR ini parti 3A, Anwar, Azizah dan Azmin,” jelasnya.
Kata Nallakarupan, Anwar tidak mampu untuk mengatasi kewibawaan Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun cuba melemparkan fitnah terhadap Perdana Menteri seperti yang didedahkan rakan-rakan beliau di Dewan Rakyat baru-baru ini.
”Saya juga tidak hairan jika Anwar cabut lari pada satu hari nanti. Semakin hari semakin ramai yang tahu pekungnya,” tambahnya.

