BERITA MALAYSIA KINI
Pilihan Terbaik Setiap DetikArkib untuk Mei, 2010
Hati-hati janji Anwar – Najib
PEKAN 29 Mei – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kini semakin terdesak apabila melakukan penipuan besar dengan menabur pelbagai janji palsu kepada rakyat dan parti pembangkang lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, rakyat tidak seharusnya menerima bulat-bulat kata-kata Anwar yang boleh menabur janji yang berbeza-beza kepada kaum-kaum tertentu di negara ini.
“Rakyat harus berhati-hati kerana janjinya tidak semestinya dapat ditunaikan. Kadang-kadang dia cakap lain kepada orang Melayu dan cakap lain kepada orang Cina.
“Terpulang kepada rakyat, yang penting rakyat tidak boleh telan bulat-bulat kerana dia (Anwar) sendiri tahu dia tak boleh tunaikan,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat agung Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA) Ke-10 di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai janji Anwar untuk mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II yang dilantik di kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Janji itu disuarakan oleh Anwar dalam wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Cina,Nanyang Siang Pau yang disiarkan pada 26 Mei lalu.
Najib yang juga Presiden UMNO menegaskan, apa yang dilakukan oleh Anwar adalah kerana beliau semakin kehilangan pengaruhnya.
Menurut beliau, bukti paling jelas Anwar semakin kehilangan pengaruh apabila ramai pemimpin kanan PKR keluar parti dan meletakkan jawatan masing-masing.
“Setiausaha Agung PKR pun sudah letak jawatan (merujuk kepada peletakan jawatan Datuk Salahudin Hashim). Jadi mesti ada sesuatu yang tak betul berlaku dalam kepimpinan PKR. Dia sudah hilang pengaruh dan wakil rakyatnya sendiri.
“Kalau mereka puas hati mereka tidak akan pindah. Puncanya ialah mereka tidak puas hati,” tegasnya.
Berikutan itu kata beliau, Anwar terpaksa menaburkan janji yang sebenarnya tidak dapat dikotakan. Dia janji macam-macam tetapi dia tidak dapat mengotakannya. Dia janji politik yang dia tidak boleh tunaikan,” jelasnya.
Sebelum ini Najib memberitahu, Anwar pernah melakukan penipuan paling besar kepada rakyat dengan berjanji untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September 2008.
“Dia (Anwar) janji nak tubuh kerajaan. Itu adalah penipuan paling besar yang menjangkau tempoh beberapa bulan tetapi ramai yang sudah lupa.
“Biasalah dia akan tuding kepada kita (Barisan Nasional). Dia tak akan mengakui punca sebenarnya iaitu orang tidak puas hati dengan kepimpinannya,” tambahnya.
Tukar lokasi:Perhimpunan GAS bukan di Dewan Merdeka,PWTC…
TERKINI: Perhimpunan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) tidak jadi diadakan di Dewan Merdeka,PWTC Kuala Lumpur seperti asalnya dijadualnya Ahad ini.Lokasinya sudah ditukar ke tempat lain.
Penganjurnya,bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V.Mugilan dalam SMS kepada Agendadaily petang Khamis mengesahkan perhimpunan yang dijadualkan bermula jam 2 petang, Ahad ini akan diteruskan.
Katanya beliau akan memaklumkan lokasi baru perhimpunan itu Jumaat.Difahamkan, lokasi baru perhimpunan itu ialah di Cheras.
sumber : Agenda Daily
Kajian perlu dibuat mengenai bukan Islam jadi peguam syarie – Utusan Malaysia
17/05/2010 5:56pm
KOTA BHARU 17 Mei – Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohammad berkata, satu kajian perlu dibuat berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur membenarkan seorang peguam bukan Islam mendapatkan semakan kehakiman bagi membolehkannya menjadi peguam syarie.
“Kajian atau penelitian perlu dibuat bagi mendapatkan penjelasan sebenar berhubung perkara itu berdasarkan perundangan dan Perlembagaan Negara,” katanya di sini hari ini.
Ini kerana Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Negeri Kelantan yang dikuatkuasakan sejak 1982 dan enakmen pentadbiran Mahkamah Syariah yang diguna pakai oleh semua negeri sekarang tidak membenarkan peguam bukan Islam mengendalikan kes-kes yang melibatkan undang-undang syariah.
“Isu membenarkan peguam bukan Islam mengendalikan kes-kes yang melibatkan mahkamah syariah, adalah sesuatu yang agak luar biasa,” katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai seorang wanita yang bukan beragama Islam memperoleh kebenaran dari Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur Jumaat lepas dalam usaha awalnya menjadi seorang peguam syarie di Wilayah Persekutuan (WP).
Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh membenarkan Victoria Jayaseele Martin mendapatkan semakan kehakiman untuk satu perintah mandamus (untuk memaksa kerajaan mematuhi perintah mahkamah) bagi mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerimanya sebagai peguam syarie tanpa mengambil kira beliau bukan orang Islam. – Bernama
Manikavasagam terima ugutan bunuh
2010/05/16
BH KLANG: Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, pagi ini menerima ugutan bunuh menerusi nota yang diikat pada bungkusan plastik mengandungi cat merah yang dilempar ke anjung rumahnya di Pekan Meru di sini.
Nota ugutan itu bertulis “Jangan campur isu pasir u mati”. Bungkusan cat merah yang dilemparkan itu mengenai bahagian belakang dua kenderaan milik wakil rakyat itu, sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Estima warna kelabu gelap dan dan Proton Perdana warna putih. Nota dan bunkusan plastik itu dipercayai dilempar antara jam 4 hingga 5 pagi oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan dakwaan Manikavasagam sebelum ini membabitkan isu pasir dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).
Manikavasagam berkata, beliau hanya menyedari kejadian itu pada jam 7.30 tadi pagi ketika ke ruang tamu untuk menonton televisyen.
Katanya, polis yang dihubungi sejurus kejadian, datang ke rumahnya kira-kira jam 7.45 pagi.
“Saya tidak akan berganjak daripada pendirian saya membabitkan dakwaan itu. Saya masih tidak akan meminta maaf dan tarik balik apa yang saya katakan mengenai isu ini,” katanya kepada pemberita.
Jumaat lalu, Manikavasagam membuat laporan polis terhadap tiga ugutan bunuh yang diterimanya melalui panggilan ke telefon bimbitnya, membabitkan dakwaan beliau itu.
Sumber : http://www.bharian.com.my
1,700 lagi ahli PKR keluar parti
Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my
KULIM 10 Mei – Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan Parlimen Padang Serai dan Kulim- Bandar Baharu hampir lumpuh apabila 1,700 ahlinya malam tadi mengisytiharkan keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebahagian besar daripada mereka merupakan masyarakat India yang menjadi ahli di cawangan Jalan Kattu Raja, Paya Besar, Taman Saderi, Taman Makmur, Taman Mutiara, Taman Sunga Kob, Taman Ria dan Pekan Padang Serai dalam Parlimen Padang Serai.
Cawangan-cawangan tersebut turut dibubarkan dan dua cawangan PKR dalam Parlimen Kulim- Bandar Baharu yang mengikut langkah sama ialah di Kampung Padang Buluh dan Ladang Dublin Pusat.
Seorang usahawan, R. Letchumanan, 60, yang mengetuai kumpulan terbabit berkata, keputusan membubarkan cawangan PKR dan jawatankuasa terbabit dibuat serta merta selepas mendapat mandat majoriti ahli yang tidak lagi percaya dengan perjuangan PKR .
Katanya, semua yang meninggalkan parti akan menyertai MIC dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Barisan Nasional (BN).
‘‘Kita sudah bosan dengan janji kosong pemimpin PKR lebih-lebih lagi Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang berlagak pandai dan cakap tak serupa bikin.
“Sudah dua tahun kami terpedaya, kini kami tak mahu lagi diabaikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan borang menyertai MIC kepada Timbalan Pengerusi BN Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah pada majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Kattu Raja, Jalan Paya Besar, dekat sini malam tadi.
Brunei punyai hak
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
KUALA LUMPUR 3 Mei – Brunei mempunyai hak kedaulatan ke atas dua blok minyak yang diserahkan Malaysia kepada negara itu pada tahun lalu berdasarkan kehendak Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
Wisma Putra dalam kenyataannya hari ini menjelaskan, Pertukaran Surat 16 Mac 2009 antara Malaysia dan Brunei turut melibatkan persetujuan mengenai isu persempadanan maritim dan penentuan kawasan komersial (CAA) bagi sumber minyak dan gas.
Menurut kenyataan itu, ia bagi membolehkan kedua-dua negara berkongsi hasil daripada sumber petroleum itu.
Sehubungan itu, jelas Wisma Putra, penyerahan dua kawasan blok minyak iaitu Blok L dan M kepada Brunei melalui Pertukaran Surat antara Malaysia dan negara itu adalah selari dengan undang-undang antarabangsa.
“Kawasan minyak Malaysia di Blok L dan M secara kebetulan sama dengan kawasan minyak Brunei di Blok J dan K, ia diiktiraf dalam perjanjian tersebut memandangkan kedua-duanya terletak dalam kawasan perairan Brunei, yang membawa maksud negara itu mempunyai kedaulatan terhadapnya mengikut UNCLOS,” katanya.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta penjelasan Wisma Putra berhubung status dua kawasan pengeluaran minyak bernilai RM320 bilion yang kini dikatakan menjadi milik Brunei.
Dr. Mahathir mendakwa penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyerahkan kedua-dua blok itu sebagai pertukaran bagi Limbang.
Abdullah yang menandatangani Pertukaran Surat pada Mac 2009 menjelaskan bahawa perjanjian darat dan laut dengan Brunei diluluskan oleh Kabinet dan Malaysia akan dibenarkan mengambil bahagian dalam usahasama pembangunan minyak dan gas atas dasar komersial di kedua-dua kawasan itu bagi tempoh 40 tahun.
Sementara itu, Petronas pula berkata, ia telah dipelawa oleh Brunei untuk membangunkan dua kawasan penerokaan luar pesisir tersebut atas dasar persetujuan komersial.
Petronas berkata, syarikat itu telah menubuhkan sebuah pasukan dan memulakan rundingan dengan Brunei untuk memperincikan terma bagi pembangunan kedua-dua kawasan itu yang kini dikenali sebagai Blok CA1 dan CA2.
Sementara itu, kata kenyataan itu, penamatan kontrak perkongsian pengeluaran membabitkan Blok L dan M, yang diberikan Petronas kepada Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Murphy Oil pada 2003, adalah selaras dengan pewujudan CAA seperti yang ditetapkan dalam Pertukaran Surat.
Menurut Wisma Putra, selain mendapat kelulusan Kabinet mengenai isi kandungan Pertukaran Surat antara kedua-dua negara, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga dirundingi dan diberikan taklimat penuh mengenai perkara itu.
Dalam pada itu, tambah kenyataan itu, Pertukaran Surat antara Malaysia dan Brunei telah menyelesaikan isu-isu dua hala tertangguh antara kedua-dua negara melalui penyelesaian secara baik.
Katanya, perkembangan baik yang membuka lembaran baru hubungan dua hala antara kedua-dua negara itu adalah hasil daripada rundingan sukar selama 20 tahun antara Malaysia dan Brunei mengenai pelbagai isu termasuk maritim dan sempadan.
Kerajaan Negeri Kelantan didesak dedah peranan GMC
01/05/2010 3:41pm
KOTA BAHARU 1 Mei – Kerajaan Negeri Kelantan didesak mendedahkan kepada umum peranan sebenar Global Media Channel(GMC) Sdn. Bhd. yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang menerima peruntukan lebih RM4 juta untuk memburukkan kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi selain memastikan Pas terus berkuasa di Kelantan.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Wan Khairul Ihsan Wan Ahmad berkata, pendedahan itu perlu kerana rakyat perlu mengetahui dari mana sumber untuk menggerakkan syarikat tersebut.
“GMC pernah diterajui isteri Syed Azidi sendiri dan beberapa pemimpin Pas Kelantan. GMC ini ditubuhkan pada Julai 2007 dan syarikat ini berakhir pada hujung 2008 dan ia mempunyai kaitan dengan apa yang didakwa (penulis blog) Kickdefella (Syed Azidi) mengenai dia diberi peruntukan sebanyak itu.
“Kerajaan negeri perlu mendedahkan apa peranan sebenar GMC ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beberapa hari lalu Syed Azidi membuat pendedahan dalam laman blognya yang mendakwa dalam tempoh tiga tahun itu beliau telah membelanjakan lebih RM4 juta untuk membiayai pelbagai aktiviti termasuk pembelian aset, peralatan, pembayaran upah operatif, percetakan dan lain-lain yang bertujuan menggerakkan satu operasi gerak saraf.
Operasi tersebut dipercayai dilakukan oleh Syed Azidi melalui GMC yang diterajui beberapa pemimpin Pas. – Bernama
Ucapan Nizar berbaur hasutan
Oleh nor sedek ismail
pengarang@utusan.com.my
ZULKARNAIN Abu Hamid (dua dari kanan) bersama Ketua Kampung Dengkil, Sepang, Chan Meeng Poh (tiga dari kiri), M. Ramesh (dua dari kiri) dan Abdul Halim Samat (kanan) membuat laporan polis di IPD Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM 30 April – Tiga individu yang mewakili kaum utama di negara ini hari ini membuat laporan polis mendakwa bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyampaikan ucapan berbaur hasutan dan boleh memecahbelahkan kaum ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.
Salah seorang daripada mereka, Abdul Halim Samad memberitahu, tindakan Mohammad Nizar itu disedari ketika beliau melayari beberapa laman web pada 20 April lalu dan menemui video klip ucapan Mohammad Nizar ketika berkempen di Kalumpang pada 17 April.
Menurutnya, dalam ucapan itu, Mohammad Nizar mendakwa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO sewaktu berucap di Stadium Kampung Baru mahu tindakan tegas dikenakan ke atas masyarakat Cina.
“Nizar dalam ucapan menyebut, ‘sana Stadium Kampung Baru dia (Najib) bagi tahu Pemuda UMNO, dia angkat UMNO punya keris sudah banyak karat, kita mesti basahkan ini keris dengan darah Cina. Dia cakap kita mesti banjirkan pekan Kuala Lumpur dengan darah Cina,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Belia Daerah Hulu Selangor, Zulkarnain Abu Hanif; wakil Belia India Malaysia Sungai Pelek, Sepang, M. Ramesh dan Ketua Kampung Dengkil, Sepang, Chan Meeng Poh yang turut membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaluddin ketika dihubungi berkata, kes itu akan dirujuk kepada IPD Kuala Kubu Bharu kerana kes itu berlaku di kawasan berkenaan.
Abdul Halim seterusnya berkata, ucapan Mohammad Nizar itu jelas berbaur hasutan dan perkauman serta bertujuan memecahbelahkan perpaduan antara orang Melayu, Cina dan India di negara ini.
Kempen secara demikian juga tambahnya, boleh mengugat keselamatan negara yang jelas tidak selari dengan dakwaan parti pembangkang yang selama ini melaungkan perjuangan untuk mempertahankan perpaduan kaum di Malaysia.
“Berikutan itu, polis diharap dapat membuat siasatan dan mengambil tindakan terhadap pemimpin pembangkang yang cuba memainkan sentimen perkauman hanya semata-mata kerana ingin memenangi pilihan raya,” ujarnya.