BERITA MALAYSIA KINI
Pilihan Terbaik Setiap DetikArkib untuk Jun, 2010
‘Saya mempertikai Timbalan Menteri, bukan memusuhi Asri’ – Zamihan
KUALA LUMPUR, 25 Jun — Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Zamihan Mat Zin berkata, beliau tiada masalah peribadi dengan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebaliknya mengakui wujud “pergolakan pemikiran” sehingga banyak pihak yang melihatnya sebagai serangan terhadap tokoh agama itu.
Pada masa yang sama, Zamihan juga mempertikaikan tindakan Timbalan Menteri Pengajian Datuk Saifuddin Abdullah dalam mengendalikan isu semasa berkaitan fahaman Wahabi dan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah sebagai tidak profesional.
Malah pegawai kanan bidang pemikiran Institut Latihan Islam Malaysia ini memberitahu, beliau tidak mengaitkan Asri dengan fahaman Wahabi dan melontarkan pemikiran keras semata-mata untuk mencantas bekas mufti Perlis itu daripada arus perdana Islam negara ini.
“Bagi saya tiada (elemen mahu mencantas Asri). Kalau dia berpandangan begitu terpulang (kepada beliau).
“Bagi saya tiada. Dia nak jadi mufti, hendak jadi menteri, nak jadi Batman, Ultraman, Superman… dia punya hal.
“Itu ruang yang dia ada, silakan tetapi pemikiran-pemikiran yang salah kita tetap sanggah… itu sahaja,” kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insider di pejabatnya semalam.
Sebaliknya Zamihan yang kini menjadi tumpuan isu kontroversi dikaitkan empat tokoh politik dan agama memberitahu, Asri yang mengamalkan cara yang salah.
“Dia pernah mencantas saya supaya saya dibuang dari Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dengan menghantar surat kepada menteri (pada tahun 2007).
“Dalam satu ceramah dia mengakui begitu. Saya simpan rakaman ceramah itu, di Taman Sri Ukay.
“Dia kata saya pernah tulis kepada menteri agama ketika itu Datuk Dr Abdullah Mohd Zin untuk mengambil tindakan kepada Zamihan (saya). Dia cakap, ada rakaman dia. Nak dengar boleh,” kata Zamihan dalam temu bual khas ini.
Zamihan seterusnya mendakawa Asri menggunakan pendekatan politik untuk mencantasnya.
“Fakyanya boleh dirujuk kepada ceramah dia sendiri, dia mengaku dia menghantar surat supaya diambil tindakan tatatertib,” kata beliau sambil mendakwa “pergolakan pemikiran (mereka berdua) sudah lama wujud.
“Bagi saya bukan personal… pergolakan pemikiran ini adalah sesuatu yang lumrah. Cuma kerajaan harus mengawal dengan cekap supaya ia tidak merugikan pihak-pihak yang bertelagah,” katanya.
Ketika membuat penjelasan di Dewan Rakyat semalam, Saifuddin menegaskan, polis tidak pernah mengaitkan empat tokoh di negara ini sebagai kumpulan pengganas.
“Sebenarnya pada 21 Jun lalu, ada dua taklimat… satunya diberikan oleh pihak Bukit Aman. Saya fikir taklimat ini adalah tepat dan tidak menimbulkan sebarang masalah dan saya akan mempertahankannya.
“Tetapi ada taklimat kedua. Ini yang saya dengar beberapa pihak mempersoalkannya kerana mengaitkan anggota Parlimen, bekas menteri besar, mufti dan bekas mufti,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang juga Naib Presiden parti itu.
Mahfuz dalam soalannya meminta supaya diberikan pejelasan berhubung dakwaan bahawa Asri, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim terlibat dengan kumpulan pengganas.
Saifuddin berkata beliau telah pun meneliti hujah yang dibuat oleh penyampai taklimat pada ketika itu dan mendapati ia tidak berasaskan kepada fakta kukuh.
“Terdapat hujah-hujah yang diberikan adalah tidak betul termasuk mengaitkan pengasas wahabi, Muhammad Abdul Wahab dengan pengasas Arab Saudi, Muhammad Ibn Saud. Saya berpendapat adalah tidak betul untuk individu berkenaan mengaitkan balas dendam yang terdapat dalam tradisi Arab dengan kegiatan pengganas kerana ia adalah dua perkara berbeza,” katanya.
Beliau berkata, tindakan mengaitkan Wahabi yang tidak pernah difatwa sebagai ajaran sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dengan kegiatan pengganas adalah satu perbuatan yang dilihat melampau.
“Saya juga mendapati orang yang memberi taklimat ini mempunyai masalah dengan bekas mufti Perlis. Jadi bagaimana boleh dikatakan masalah peribadi hendak dijadikan masalah keselamatan negara,” katanya.
Beliau berkata, tindakan mengaitkan agama dengan keganasan adalah berpunca daripada gejala Islamofobia yang banyak berlaku di negara Barat dan ia tidak sepatutnya dibawa ke negara ini.
Sehubungan itu Zamihan memberitahu The Malaysian Insider bahawa timbalan menteri itu tidak bersikap terbuka dalam isu semasa ini.
“(Ketika) saya membentangkan hari itu, menteri (pengajian tinggi) jadi pengerusi (majlis). Menteri kata kalau ada soalan, ulasan silakan (tetapi) semua senyap, doktor, profesor, polis, semua senyap.
“Lepas itu menteri buat kesimpulan (bahawa) ‘kita dah lihat betapa bahayanya pemikiran ekstremis di IPTA, minta kerjasama semua pihak untuk mengatasi masalah esktremis dan pengrekrutan anggota JI di IPT.
“Lepas itu dan habis semua itu pergi minum, tiba-tiba ada seorang lelaki muda datang jumpa saya, muka dia gementar sikit, dia kata ‘ustaz saya tidak boleh terima apa ustaz bentang tadi, saya sikit pun tidak boleh terima, saya tidak setuju’.
“Saya kata, ‘tuan, kalau tuan tidak setuju pembentangan saya, itu pandangan tuan, yang saya kemukakan ialah fakta, dari kitab ke kitab,” kata Zamihan dan berkata, beliau hanya menyedari lelaki itu sebagai Saifuddin kemudian.
Zamihan menambah, kemudian Saifuddin membuat kenyataan akhbar dengan mengatakan ada kalangan pegawai kanan kerajaan cuba memburukkan dan mengaibkan pensyarah tertentu dengan aktiviti keganasan JI.
“Mengapa dia buat kenyataan media? Sepatutnya keputusan mesyuarat, keputusan menteri mesti didahulukan, tapi ini kenyataan timbalan menteri II, kena dia hendak melenting?
“Mungkin dia ada hubungan Dr Asri? Yang saya bentang itu tidak sentuh soal peribadi Dr Asri.
“Saya tiada masalah dengan dengan Dr Asri, tidak bergaduh atau bermusuh sedangkan kita rakan sesaudara dalam Islam,” kata Zamihan yang seringkali mengaitkan cara pengendalian isu dengan pendekatan pasukan dan pemain yang menyertai kejohanan bola Piala Dunia di Afrika Selatan sekarang.
Sehubungan itu sambil mendakwa “saya bukan ustaz kampung” dalam menghadapi isu semasa ini, Zamihan juga berkata, “itu bukan masalah peribadi.”
“Selepas itu sepatutnya timbalan menteri (Saifuddin) sepatutnya bersikap telus dan terbuka.
“Kalau dia tidak setuju dengan pandangan saya, suarakan dalam mesyuarat berkenaan, bukannya di luar mesyuarat, membuat kenyataan berasingan berbanding yang dibuat oleh menteri dan jemaah mesyuarat dan kemudian melontarkan isu ini di Parlimen seolah-olah hendak meletakkan saya seorang yang bersalah, akhirnya isu ini dipolitikkan… ya, (saya dijadikan) kambing hitam.
“Kalau betul dia (Saifuddin) telus, kalau betul dia profesional sebagai timbalan menteri, datang jumpa dengan saya, kalau dia ada hujah, ada fakta silakan, saya ada hujah saya… kamu ada hujah kamu, kita lihat mana yang ada kepentngan untuk keselamatan negaar, kita bekerjasama,” katanya.
Bagaimanapun kata beliau, Saifuddin bertindak seoalah-olah beremosi dengan kandungan taklimat Isnin lalu.
“Saya hanya seorang pegawai kerjaaan yang hanya memenuhi kriteria jemputan berkenaan, dijemput orang menteri pengajian tinggi untuk membicarakan topik itu, dan saya bicarakan, saya diminta oleh Bukit Aman, saya bicarakan. saya hanya menjalankan tugas,” kata beliau.
“Saya bukan ustaz kampung, saya tidak bercakap angkuh… saya seorang pegawai kerajaan yang berkaliber, tidak menyertai mana-mana parti politik,” katanya lagi mendakwa beliau berada di landasan benar.
Zamihan juga berpendirian bahawa beliau akan “menang” dalam usaha mengatasi pemikiran-pemikiran keras dan radikal.
Di mana kesudahannya isu ini, Zamihan berkata: “Isu ini sepatutnya ditangani dengan bijak oleh pihak berkuasa.”
“Tapi oleh kerana ia telah ada campur tangan orang politik, jadi ia jadi macam pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2010.
“Jadi macam-maca percaturan… bila di peringkat saringan OK lagi, sekarang di peringkat akhir… peringkat kalah mati,” katanya.
Ditanya siapa yang akan kalah dan siapa yang mati, Zamihan, “kita tunggu dan lihat.”
Zamihan memberitahu telah terlibat dalam proses memulihkan lebih 100 orang tahanan.
Ditanya sama ada pendedahan beliau Isnin lalu bertujuan menjejaskan usaha Asri menyertai Umno, Zamihan menafikan kemungkinan tersebut.
“Tidak, bukan secara kebetulan tetapi melihat dengan situasi yang berlaku,” kata ustaz berusia pertengahan 30-an.
Taklimat itu diadakan Isnin lalu manakala laporan bahawa Asri akan masuk Umno tersebar sehari sebelum itu.
Ketika ditanya sama ada sedia menemui Asri, Zamihan menambah, “boleh, bila-bila masa sahaja.”
“Siapa yang hendak jadi orang tengah, bila-bila masa sahaja,” kata beliau sambil mengakui tidak pernah berkomunikasi dengan Asri selama ini.
“Tak ada peluang (untuk bertemu), mungkin masing-masing sibuk. Tetapi saya banyak menyanggah hujah-hujah yang ditulis dalam akhbar,” kata beliau sambil mengaku bukan semua pandangan Asri salah.
“Ada pandangan yang baik, ada pandangan boleh dikongsi,” katanya.
Asri dan Zamihan menjadi tumpuan akhir tahun lalu apabila penolong pengarah itu didakwa menuduh bekas mufti tersebut memalsukan ijazah syariah seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan.
Zamihan berkata beliau hanya mendakwa Asri tidak mempelajari syariah dan pengajian Islam, sambil menyifatkan apa disiarkan akhbar tempatan itu wujud sedikit kesalahan serta menimbulkan salah faham.
The Malaysian Insider
Akan letupkan rumah ibadat: 10 anggota JI ditahan
23/06/2010 7:33pm
KUALA LUMPUR 23 Jun – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata hari ini, penahanan 10 anggota Jemaah Islamiah (JI) awal tahun ini adalah bertindak atas maklumat bahawa kumpulan itu akan meletupkan tempat ibadat bukan Islam di Selangor dan Pulau Pinang.
Beliau berkata, kumpulan yang diketuai lelaki Syria bernama Ayman serta lapan lagi warga asing dan seorang rakyat tempatan itu ditahan di Sungai Cincin, Gombak pada 21 Januari tahun ini.
Katanya, daripada yang ditahan itu, didapati lima daripadanya adalah pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
“Kesemua mereka adalah pendakwah bebas dan penyokong kuat kepada Ayman iaitu ketua kepada kumpulan ini. Warga tempatan itu didapati telah berkenalan dengan Ayman semasa beliau belajar di Pakistan.
“Apa yang diketahui, peranan Ayman selain menjadi ketua kepada kumpulan tersebut, beliau juga merupakan tenaga pengajar bagi kumpulan Al-Qaeda di mana beliau berperanan untuk melatih (rekrut) pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen (MP) Pokok Sena daripada Pas, Datuk Mahfuz Omar yang mencelah ketika beliau menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Abu Seman berkata, Ayman berada di negara ini bertujuan untuk mendapatkan potensi di kalangan pelajar yang boleh dijadikan sebagai kumpulan militan.
“Mereka kemudiannya akan dihantar ke negara ketiga untuk dilatih bagi berjihad,” katanya.
Pada 14 Jun lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan seramai 10 individu warga asing ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan kumpulan ekstremis JI sejak awal tahun ini.
Dalam pendedahan itu, Musa berkata ke semua suspek berusia dalam lingkungan 30-an dihantar pulang ke negara asal mereka untuk tindakan undang-undang. – Bernama
Sultan Brunei Ceraikan Azrinaz – Mstar Online
PETALING JAYA: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah hari ini menceraikan isteri baginda, Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar dengan talak satu.
Pengumuman khas mengenai perceraian itu diumumkan oleh Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Alaudin Pengiran Abu Bakar melalui web tv Radio Televisyen Brunei (RTB) di Brunei malam ini.
Pengiran Alaudin turut mengumumkan kesemua pingat dan darjah kebesaran yang pernah dianugerahkan kepada bekas wartawan penyiaran TV3 itu ditarik balik serta-merta.
Pengumuman khas itu boleh diikuti di http://www.rtbnews.rtb.gov.bn/?c=newsDetail&news_id=10094.
Sultan Brunei menikahi Azrinaz pada 20 Ogos 2005 pada satu majlis tertutup di lokasi yang dirahsiakan. Beliau ketika itu berusia 26 tahun sementara baginda berusia 58 tahun.
Hasil perkahwinan tersebut pasangan diraja itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putera Abdul Wakeel pada 1 Jun 2006 dan Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah pada 28 Januari 2008.
Perwakilan mahu Pas terajui pakatan pembangkang
12/06/2010 4:59pm
KOTA BHARU 12 Jun — Selepas Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuntut parti itu menjadi peneraju pakatan pembangkang bulan lalu, kini perwakilan Pas pula menuntut supaya Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi peneraju pakatan Pas, DAP dan PKR.
Perwakilan Perlis, Wan Khaisal Wan Khazim berkata Menteri Besar Kelantan itu seharusnya dilantik sebagai Mursyidul Am pakatan pembangkang kerana kejayaannya menerajui kerajaan negeri Kelantan selama 20 tahun dan penerimaan baik rakyat daripada pelbagai kaum terhadap pimpinannya.
“Saya merasakan beliau patut menjadi Mursyidul Am kepada Pakatan Rakyat,” katanya semasa membahaskan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Pas ke-56, di sini hari ini.
Dalam hierarki Pas, Mursyidul Am merupakan jawatan tertinggi di dalam parti yang bertindak sebagai penasihat dengan diikuti Timbalan Mursyidul Am dan Presiden.
Kemelut parti mana yang seharusnya menerajui pakatan pembangkang timbul di peringkat akar umbi parti sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli pakatan pembangkang namun kepimpinan tiga parti komponen cuba menutup perkara itu dengan mengatakan ia perlu mendapat persetujuan yang kolektif biarpun sudah dua tahun pilihan raya umum 2008 berlalu. – Bernama
12 diiktiraf wira negara
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

Najib Tun Razak bersama sukarelawan yang pulang daripada menyertai misi kemanusiaan ke Genting Gaza di kediamannya di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 6 Jun – Seramai 12 sukarelawan Malaysia yang ditahan oleh rejim Zionis Israel ketika dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin hari ini diiktiraf sebagai wira negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun tiada sukarelawan Malaysia terkorban atau mengalami kecederaan tetapi keberanian mereka melaksanakan misi kemanusiaan tersebut merupakan satu perkara yang harus diakui atas nama kebebasan rakyat Palestin.
Menurutnya, sebaik sahaja memulakan misi berkenaan mereka sanggup menghadapi segala cabaran yang akan dihadapi hingga ke peringkat ‘bersabung nyawa’ semata-mata mahu melihat penderitaan rakyat Palestin dapat dihentikan.
”Saya berbangga dengan keberanian 12 sukarelawan kita ini. Mereka berjaya membuktikan bahawa semangat perjuangan rakyat Malaysia untuk membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman rejim Zionis Israel tidak pernah padam.
”Sejajar dengan semangat yang mereka tunjukkan ini kerajaan akan terus membantu rakyat Palestin termasuk berusaha memberi tekanan kepada rejim Zionis Israel dalam pelbagai cara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menyambut kepulangan 12 sukarelawan Malaysia di kediamannya di Langgak Duta di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan ahli keluarga sukarelawan.
Mereka yang diraikan itu ialah ketua misi sukarelawan, Noorazman Mohd. Samsuddin diikuti Dr. Mohd. Arbai’e Syawal; Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad; Al-Hami Husain Suhaimi, Mohd. Nizam Mohd Awang; Hasanuddin Mohd. Yunus.
Enam lagi sukarelawan ialah Jamuliddin Elias; Dr. Selamat Aliman; Abdul Halim Mohd. Redzuan; Mustafa Mansur; Ashwad Ismail (wartawan Astro Awani) dan Shamsul Kamal Latif (jurukamera Astro Awani).
Mereka merupakan antara sukarelawan yang telah diserang oleh tentera rejim Zionis semasa dalam perjalanan ke Gaza bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin dengan menaiki kapal Mavi Marmara.
Dalam pada itu Najib berkata, pengalaman menyayat hati yang mereka lalui itu amat berharga bagi rakyat Malaysia kerana ia dapat memberi gambaran sebenar betapa pedihnya penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin selama ini.
”Selama ini kita hanya mengetahui penderitaan rakyat Palestin di kaca televisyen dan di dada akhbar. Kali ini pengalaman itu turut dirasai oleh rakyat kita malah mereka dapat menyaksikan bagaimana anggota sukarelawan lain ditembak pada jarak dekat.
”Inilah bentuk pengalaman yang cukup berharga. Pengalaman mereka ini harus dikongsi bersama dengan rakyat yang lain supaya kita dapat merasai penderitaan sebenar rakyat Palestin. Dengan cara ini ia boleh membangkitkan kesedaran kepada kita semua,” katanya.
Beliau berkata, meskipun jumlah anggota sukarelawan Malaysia kecil tetapi penglibatan mereka itu amat membanggakannya kerana merupakan sekumpulan rakyat yang berani berkorban untuk menamatkan penderitaan orang lain.
”Fakta ini akan termaktub dalam lipatan sejarah dan tertulis dengan tinta emas bahawa terdapat 12 sukarelawan Malaysia yang berjiwa besar bersatu untuk membantu rakyat Palestin,” katanya.
Sementara itu Najib berkata, sebaik sahaja kerajaan mengetahui 12 sukarelawan ditahan oleh rejim Zionis Israel, beliau terus meminta Menteri Luar segera ke Jordan untuk melakukan gerakan misi menyelamat.
”Alhamdulillah dengan izin Allah usaha kita berjaya iaitu dengan hasil kerjasama kerajaan Jordan. Saya sendiri faham bagaimana hebatnya tekanan yang mereka rasai ketika ditahan termasuk keluarga di tanah air.
”Sebab itu kita berusaha sedaya upaya untuk segera mengeluarkan tahanan kita dari Israel dengan apa cara sekalipun,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengakui pengalaman 12 sukarelawan itu amat mencemaskan kerana mereka melalui satu saat paling genting dalam hidup.
”Bayangkan mereka melihat bagaimana tentera rejim menembak secara jarak dekat sukarelawan lain yang tidak bersenjata. Malah ada di antaranya yang ditembak dari arah belakang.
”Sukarelawan terbabit ditembak oleh komando Israel tanpa belas kasihan. Pengalaman ini amat mencemaskan. Saya juga pernah melalui saat-saat cemas tetapi tidaklah secemas yang mereka lalui,” kata Najib.
Nordin Kardi Bersara Naib Canselor UUM 16 Jun
ALOR SETAR, 3 Jun (Bernama) — Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr Nordin Kardi akan bersara 16 Jun ini setelah memegang jawatan itu selama lima tahun.
Ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis, beliau berkata nama penggantinya dijangka diumumkan sebelum 15 Jun ini.
“UUM telah menawarkan jawatan pensyarah tetapi saya belum membuat keputusan kerana akan menghabiskan cuti dahulu pada 14 Julai ini,” katanya.
Beliau dilantik ke jawatan itu pada Jun 2005. Tempoh perkhidmatannya yang tamat pada Jun tahun lepas dilanjutkan setahun sehingga 15 Jun ini.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Malaysia terutama Menteri Pengajian Tinggi dan Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan kepada saya mengetuai UUM selama tempoh itu,” katanya.
Nordin, 58, adalah pemegang ijazah bidang ekonomi dan psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana dari Western Michigan University, Amerika Syarikat serta Doktor Falsafah (PhD) dari University of Hull, England.
Antara jawatan yang pernah disandangnya ialah sebagai Ketua Pengarah Biro Tatanegara.
– BERNAMA
Kabinet putus usul kecam Israel ke Dewan Rakyat Isnin
2010/06/02
PUTRAJAYA: Kabinet memutuskan untuk membentangkan satu usul di Dewan Rakyat bagi mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel menyerang kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Isnin ini.
Demikian kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri sebentar tadi.
sumber : Berita Harian