BERITA MALAYSIA KINI
Pilihan Terbaik Setiap DetikArkib untuk Julai, 2010
Pasir: Selangor digesa bubarkan KSSB
Oleh NOR SEDEK ISMAIL
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 16 Julai – Kerajaan negeri didesak membubarkan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., (KSSB) yang melakukan aktiviti perlombongan pasir di negeri ini dan mengembalikan pemberian permit melombong menerusi Pejabat Tanah dan Daerah.
Penaung Jawatankuasa Bertindak Pengusaha-pengusaha Pasir Melayu Selangor, Datuk Tengku Shaiffuliazan Tengku Zainal Abidin menegaskan, tindakan itu perlu dilakukan segera kerana KSSB yang ditubuhkan dua tahun lalu tidak telus dalam pemberian kontrak melombong pasir kepada kontraktor.
Tambah beliau, keadaan bertambah buruk apabila kuasa monopoli syarikat tersebut menyebabkan semua pengusaha pasir Melayu di negeri ini gulung tikar kerana royalti RM5 hingga RM6 satu tan yang dikenakan adalah terlalu tinggi.
“Kita mahu KSSB ditutup. Kerajaan negeri perlu mengembalikan kuasa pemberian permit mengeluarkan pasir untuk tanah persendirian kepada pentadbir tanah dan daerah.
“Langkah itu lebih adil kepada pemilik tanah yang mengeluarkan kos di atas tanah milik mereka serta telah membayar cukai dan premium,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang turut dihadiri kira-kira 50 pengusaha pasir Melayu Selangor di sini hari ini.
Tengku Shaiffuliazan menambah, KSSB menekan pengusaha-pengusaha terlibat apabila menetapkan syarat deposit sehingga RM300,000 selain kos-kos lain yang telah dikeluarkan oleh pemilik tanah.
Kesannya, jelas beliau, tiada pengusaha pasir Melayu yang mampu memenuhi syarat tersebut kerana tidak memiliki modal besar seperti kontraktor bangsa lain.
“Sepatutnya kerajaan negeri memperakui kemampuan dan kuasa perundangan pentadbir tanah dan daerah di dalam menguruskan segala permit mengeluar dan memindahkan bahan batuan di dalam daerah pentadbiran masing-masing.
“KSSB pula hanya diberi kuasa menguruskan permit pasir untuk tanah-tanah milik kerajaan sahaja,” ujarnya.
Tengku Shaiffuliazan berkata, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu mendengar luahan para pengusaha pasir Melayu jika betul-betul ikhlas mahu membuat perubahan dalam industri perlombongan pasir di Selangor.
Tegasnya, kewujudan syarikat monopoli menguruskannya seperti pernah dilakukan semasa Barisan Nasional (BN) dahulu tidak mendatangkan manfaat besar kepada pengusaha dan masyarakat kerana ia telah dipolitikkan.
“Ekoran itu walaupun ada KSSB tetapi sebenarnya tidak ada perubahan dalam usaha membasmi kegiatan melombong pasir secara haram di negeri ini,” ujarnya.
Penulis blog AS dedah Anwar ‘alat’ CIA
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Julai – Selepas dilaporkan tunduk kepada pelobi Yahudi dalam isu Palestin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa pula sebagai ‘alat’ kepada agensi perisik Amerika Syarikat iaitu Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Lebih menarik dakwaan itu bukannya dilemparkan oleh tokoh tempatan tetapi didedahkan sendiri oleh penulis blog terkenal di New York, Elaine Meinel Supkis melalui artikelnya, CIA and Mossad want Anwar Ibrahim assassinated.
Penulis tersebut yang mengaku sering berbalas e-mel dengan Anwar mendakwa, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu merupakan alat ciptaan CIA bagi menjaga kepentingan dan perancangan sulit negara kuasa itu di Malaysia.
“Anwar bukan ejen tetapi alat yang dicipta oleh CIA. Senarai rakan-rakan membuktikan segalanya dan mereka merupakan ejen CIA yang menyamar (Anwar is a CIA creature. That is, he is not an ‘agent’ but rather, a ‘tool’. His list of buddies proves this: they are all undercover CIA),” katanya seperti yang dipetik dalam blog, Culture of Life News.
Pendedahan oleh Meinel Supkis itu dibuat selang sehari selepas Presiden Trevino Strategies and Media Inc., Joshua Trevino mendakwa, Anwar membiayai program temu bualnya dengan Cable News Network (CNN) baru-baru ini.
Temu bual tersebut dakwa Trevino, terpaksa dilakukan dalam usaha Anwar – yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan ramai kelompok Yahudi – meyakinkan kembali para pelobi Yahudi tersebut bahawa beliau bukannya anti-Yahudi.
Dalam pada itu, tambah Meinel Supkis dakwaan bahawa ketua pembangkang itu merupakan alat kepada CIA, turut disokong oleh kenyataan rakan rapat Anwar sendiri iaitu Paul Wolfowitz.
Menurutnya, Wolfowitz yang juga bekas Presiden Bank Dunia dilaporkan sebagai berkata: “Apa yang dilakukan oleh Anwar (kenyataan anti-Yahudi) salah tetapi memikirkan bahawa beliau sedang berjuang untuk dirinya serta karier politik selepas dilabelkan sebagai boneka Yahudi, kecuaian itu perlu diperbetulkan.”
Meinel Supkis yang merupakan penentang kepada penguasaan Yahudi di Amerika Syarikat dalam tulisannya itu menyatakan, tiada yang lucu dan membanggakan menjadi seorang alat kepada CIA yang juga dakwanya turut dikuasai oleh pelobi Yahudi.
“Saya harap dia tidak menjadi mangsa kepada operasi ini. Anwar merupakan seorang pemimpin yang karier politiknya sudah tertutup tetapi terus dipaksa oleh Yahudi yang mempunyai kepentingan,” katanya.
ESQ tidak bertentangan dengan Islam – Mufti Perak
09/07/2010 3:33pm
IPOH 9 Julai – Program motivasi anjuran ESQ Leadership Centre Sdn. Bhd. (ESQ) tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam selain tidak mempunyai unsur-unsur yang membawa kesesatan, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Beliau berkata, program itu juga tidak ada kena mengena dengan fahaman liberalisme dan pluralisme.
Menurutnya, muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 16 Jun lepas memutuskan bahawa ESQ tidak bertentangan dengan akidah dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Muzakarah (Jawatankuasa) Fatwa Kebangsaan oleh mufti-mufti seluruh Malaysia telah bersidang sebanyak tiga kali bagi membincang secara terperinci program ESQ,” katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul program berkenaan kerana ajarannya didapati menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.
Harussani berkata, pengasas ESQ, warga Indonesia Ary Ginanjar Agustin juga dipanggil menjelaskan beberapa perkara dan perkataan yang kurang jelas dan menimbulkan kekeliruan berikutan buku ESQ yang ditulis dalam Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia.
“Kita (Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan) berpuas hati dengan penjelasan (beliau) bahawa (ESQ) tidak ada kena mengena langsung dengan fahaman liberalisme dan pluralisme,” katanya.
Beliau berkata, jawatankuasa itu turut menasihati ESQ supaya membentuk panel syariah dan syarikat itu melantik beberapa bekas mufti sebagai anggota panel itu. – Bernama
Makan durian, kambing: MP Sibuti dikejarkan ke hospital
|
Anggota parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang dikejarkan ke hospital pada jam 2.15 petang ini selepas mengadu tidak sihat ketika menghadiri pesta durian dan promosi daging kambing anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di dewan serbaguna Parlimen.
Anggota parlimen Tangga Batu Datuk Idris Haron yang duduk semeja dengan Ahmad ketika majlis itu berkata pada mulanya Ahmad dari Barisan Nasional (BN) itu berborak dan ketawa dengan anggota parlimen yang lain. “Tetapi tiba-tiba dia tidak selesa, dia longgarkan tali leher dan tiba-tiba diam, apabila melihat mata hitamnya pandang ke atas, anggota parlimen yang lain mula menggosok dahinya dan bertanya sama ada dia okey atau tidak,” katanya kepada pemberita. Selepas melihat keadaan bertambah serius, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir yang duduk di sebelah Ahmad segera memanggil ambulan dari Persatuan Bulan Sabit Merah yang berada di luar dewan. Idris berkata Ahmad tidak pengsan kerana masih boleh memberikan respon apabila beliau menasihatkan Ahmad agar tenang. |
Anwar ‘pujuk’ tokoh Yahudi
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 30 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan beberapa tokoh Yahudi disahkan mengunjungi Amerika Syarikat (AS) pada 23 hingga 26 Jun lalu bagi ‘menjernihkan’ hubungan dengan kelompok tersebut selepas dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau anti-Yahudi dalam isu APCO Worldwide, baru-baru ini.
Kunjungan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke Washington itu didedahkan oleh kolumnis terkenal berbangsa Yahudi, Jackson Diehl dalam tulisannya di akhbar The Washington Post, kelmarin.
Diehl dalam tulisannya bertajuk Flirting with zealotry in Malaysia (Bermain dengan kefanatikan di Malaysia) menyatakan bahawa Anwar meluangkan banyak masa untuk menawarkan penjelasan kepada rakan-rakan lama beliau termasuk Pengerusi Jawatankuasa Luar Negeri, Howard Berman dan beberapa pemimpin Yahudi.
Anwar dalam tulisan itu juga dikatakan menyesal menggunakan istilah seperti “pencerobohan Zionis,” yang biasanya digunakan oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.
“Kenapa saya perlu menggunakannya jika hal itu menyebabkan begitu banyak salah faham? Saya harus lebih berhati-hati.” kata Anwar seperti dipetik oleh Diehl yang merupakan timbalan pengarang untuk halaman pengarang The Washington Post.
Kenyataan Anwar itu turut didedahkan oleh blog AnwarIbrahimDot Com selain berpuluh-puluh blog lain di negara ini.
Pada 4 Mei lalu, laman web berhaluan kanan AS, melalui tulisannya dalam ‘The New Ledger’, sebuah penerbitan Internet Amerika yang menyiarkan pendapat golongan penyokong sistem kapitalis dan konservatif, Rachel Motte berkata, Anwar telah membuang kawan lamanya di Washington dan menjadikan kontrak APCO Worldwide sebagai asas untuk mereka cipta teori konspirasi mengenai penguasaan Yahudi, rancangan Zionis dan kegiatan subversif di Malaysia.
Dalam tulisan bertajuk ‘The Reversal of Anwar Ibrahim’, Motte mendakwa Anwar, yang dianggapnya sebagai ahli politik berbisa dan berkarisma menjadi punca munculnya semangat anti-Yahudi di Malaysia.
Katanya, ini bukan kali pertama “beliau mengambil jalan ini” dan Anwar “mempunyai sejarah menggigit Yahudi (sikap prejudis atau bermusuh dengan Yahudi) apabila keadaan memerlukannya berbuat demikian.
Dalam lawatan ke AS itu juga, Anwar dilaporkan menemui beberapa tokoh politik Parti Demokrat yang diharap dapat membetulkan salah faham tentang isu ‘antisemitik’ yang telah dilemparkan kepadanya berkaitan kritikan beliau terhadap syarikat perunding perhubungan awam APCO di Dewan Rakyat baru- baru ini.
Antara tokoh Parti Demokrat yang ditemui beliau ialah bekas Setiausaha Pertahanan, Sir William Cohen, Ahli Kongres AS, Keith Maurice Ellison dan Timbalan Setiausaha Untuk Negara Asia Timur dan Pasifik, Kurt Campbell.
Pada Mac lalu, Anwar dilaporkan pernah meminta pertolongan Campbell supaya kerajaan AS campur tangan dalam kes liwatnya.
Namun dalam pertemuan terbaru dengan Campbell, Anwar turut menyatakan kekecewaan dengan kerajaan Presiden Barack Obama yang tidak bersungguh-sungguh membantunya.
“Kami kecewa. Kami menjangkakan kerajaan Presiden Obama melakukan lebih baik daripada Presiden George W. Bush dalam memberi sokongan kepada kumpulan yang mempecayai kebebasan, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang (sekular)”, kata Anwar kepada agensi berita antarabangsa AFP.
Selain bertemu dengan tokoh Yahudi di Washington, Anwar turut diberi peluang berucap di Woodrow Wilson International Center anjuran Woodrow Wilson International Center for Scholars yang dipengerusikan oleh Lee Herbert Hamilton, salah seorang kenalan Anwar dalam International Crisis Group (ICG).
Woodrow Wilson International Center merupakan pusat antarabangsa yang diambil dari nama bekas Presiden Demokrat AS ke-28, Thomas Woodrow Wilson.
Wilson dianggap simbol ‘keagungan Yahudi’ kerana semasa pemerintahannya, beliau mengesahkan Deklarasi Balfour yang membenarkan Israel menubuhkan ‘negara’ di Palestin serta mencerca kumpulan yang dilabel anti-Yahudi.
Dalam ucapan bertajuk ‘Islam and Democracy in Southeast Asia’ (Islam dan Demokrasi di Asia Tenggara), Anwar dengan tegas menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan mengkritik kerajaan Malaysia yang tidak bertoleransi terhadap penggunaan kalimah Allah.
”Tindakan melarang orang bukan Islam memanggil tuhan mereka dengan apa nama sekali pun adalah gila dan mengarut. Keputusan ini hanya dibuat oleh sebuah kerajaan yang tidak berpandangan jauh, bersifat perkauman, tiada bertolak ansur dan tidak demokratik,” katanya.
Anwar turut mengulangi kecamannya itu ketika diwawancara oleh agensi berita AFP.
Malahan Anwar juga secara lantang mengkritik dasar Islam sederhana yang diamalkan oleh Malaysia dengan berkata;
”Apa yang anda maksudkan dengan negara Islam sederhana? Adakah ia bermaksud anda boleh ditahan tanpa dibicarakan, menafikan kebebasan asas, anda boleh memberi layanan buruk dan mendiskriminasi penganut agama minoriti?”
