09/07/2010 3:33pm
IPOH 9 Julai – Program motivasi anjuran ESQ Leadership Centre Sdn. Bhd. (ESQ) tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam selain tidak mempunyai unsur-unsur yang membawa kesesatan, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Beliau berkata, program itu juga tidak ada kena mengena dengan fahaman liberalisme dan pluralisme.
Menurutnya, muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 16 Jun lepas memutuskan bahawa ESQ tidak bertentangan dengan akidah dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Muzakarah (Jawatankuasa) Fatwa Kebangsaan oleh mufti-mufti seluruh Malaysia telah bersidang sebanyak tiga kali bagi membincang secara terperinci program ESQ,” katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul program berkenaan kerana ajarannya didapati menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.
Harussani berkata, pengasas ESQ, warga Indonesia Ary Ginanjar Agustin juga dipanggil menjelaskan beberapa perkara dan perkataan yang kurang jelas dan menimbulkan kekeliruan berikutan buku ESQ yang ditulis dalam Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia.
“Kita (Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan) berpuas hati dengan penjelasan (beliau) bahawa (ESQ) tidak ada kena mengena langsung dengan fahaman liberalisme dan pluralisme,” katanya.
Beliau berkata, jawatankuasa itu turut menasihati ESQ supaya membentuk panel syariah dan syarikat itu melantik beberapa bekas mufti sebagai anggota panel itu. – Bernama