BERITA MALAYSIA KINI

Pilihan Terbaik Setiap Detik

Arkib untuk Ogos, 2010

Tindakan tegas jemput bukan Islam – JAIS

TEO NIE CHING menyampaikan ‘tazkirah’ di Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Kajang, Ahad lalu sambil diperhatikan oleh salah seorang ahli jawatankuasa surau tersebut.

SHAH ALAM 26 Ogos – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengambil tindakan tegas terhadap Jawatankuasa Surau Al-Huda, Kajang Sentral sekiranya didapati benar mengundang ahli politik daripada kalangan bukan Islam untuk mengadakan majlis serta menyampaikan ceramah dalam dewan solat surau berkenaan, 22 Ogos lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, amaran itu diberikan kerana tindakan membenarkan orang bukan Islam sama ada ahli politik dan sebagainya memasuki ruang solat adalah tidak dibenarkan sama sekali dan menyalahi dari segi hukum.

Ia kerana katanya, orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki dalam masjid dan surau apatah lagi di ruang solat utama kerana mereka dikategorikan seperti wanita yang didatangi haid.

“Orang bukan Islam adalah dilarang memasuki ruang solat kerana mereka ini dalam berkeadaan hadas besar apatah lagi berada di bahagian imam dan menyampaikan ucapan kepada umat Islam di dalamnya.

“Oleh itu, kita akan mendapatkan laporan dan penjelasan daripada nazir serta jawatankuasa surau berkenaan mengenai perkara ini. Jika dakwaan ini benar, kita akan memaklumkan kepada pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan tindakan tegas akan diambil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah laman blog, http://anginperubahan.blogspot.com yang mendakwa Ahli Parlimen Serdang daripada DAP, Teo Nie Ching memasuki ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada ahli-ahli Pas, Ahad lalu.

Laman blog itu turut menyiarkan gambar Nie Ching dalam keadaan tidak bertudung dan hanya memakai kebaya pendek sambil berdiri di bahagian imam ruang solat surau berkenaan.

Dalam pada itu, Mohammed Khusrin menyatakan orang bukan Islam hanya boleh melawat kawasan masjid atau surau tetapi tidak boleh memasuki ruang solat rumah ibadat berkenaan.

“Jika benar akan keadaan ini berlaku, seharusnya nazir atau jawatankuasa surau terbabit sepatutnya sudah maklum akan larangan ini termasuklah larangan berpolitik di dalam masjid.

“JAIS, MAIS telah banyak kali menegaskan akan larangan menggunakan masjid dan surau untuk tujuan politik apatah lagi dengan menjemput orang kafir untuk mengadakan majlis dalam ruang solat.

“Jika mereka nak adakan majlis, mereka boleh mengadakan majlis sama ada pemberian bantuan atau sebagainya di luar masjid atau surau, bukannya di dalam rumah ibadat ini,” tegasnya

Sementara itu blog Nie Ching (http://www.wretch.cc/blog/teonieching) telah menyiarkan berita mengenai kunjungan beliau ke Surau al-Huda Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu.

Tiger Woods bercerai dengan Elin-Utusan Malaysia

24/08/2010 3:38am

PANAMA CITY, Florida, 24 Ogos – Pemain golf utama dunia, Tiger Woods akhirnya bercerai secara rasmi dengan isterinya.

Para peguam untuk Woods dan Elin Nordegren dalam satu kenyataan berkata, penceraian itu menjadi rasmi semalam di Mahkamah Daerah Bay.

Penceraian itu terjadi selepas 9 bulan kemalangan Woods dengan kenderaan SUVnya di luar kawasan perumahan mereka berdekatan Orlando, yang telah mengakibatkan pendedahan satu persatu kegiatan curang pemain golf nombor satu dunia itu terhadap isterinya.

Kejadian itu juga turut mengakibatkan Woods kehilangan jutaan dolar dalam pengiklanan selain terpaksa berehat selama lima bulan daripada sebarang aksi perlawanan golf.

Terma penceraian itu tidak didedahkan kecuali mereka berdua akan mendapat hak penjagaan kepada kedua-dua anak mereka yang berusia 3 dan 1 tahun. – AP

http://www.utusan.com.my/

Harussani dedah kewujudan ‘perlembagaan baru’

IPOH 15 Ogos – Mengejutkan! Sudah ada ‘perlembagaan baru’ dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras kemakmuran negara selama ini.

Perkara tersebut didedahkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria semasa menjadi panel Wacana Perpaduan Ummah Dalam Kesedaran Penghakisan Hak Orang Melayu di Taman Budaya di sini, hari ini.

Menurut Harussani, perlembagaan baru itu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang.

”Saya dimaklumkan sekarang sudah ada perlembagaan baru yang dibuat oleh pihak tertentu.

”Kebetulan saya ada memberi satu ceramah di Alor Setar. Ada seseorang datang dan memberikan saya tiga buah buku Perlembagaan yang dikehendaki pihak tertentu,” katanya pada wacana tersebut di sini, hari ini.

Bagaimanapun Harussani ketika ditemui selepas wacana tersebut enggan mengulas lanjut tentang dakwaannya itu.

Selain Harussani, program itu turut disertai Penasihat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Presiden Pertubuhan Pemikir Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar dan Naib Pengerusi Ulama Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Hafiz Nordin.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail pula bertindak sebagai perantara program berkenaan.

Kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli GMP, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak dan aktivis Melayu termasuk Tan Sri Jins Shamsuddin hadir pada program anjuran GMP dan GPMS itu.

Pada wacana itu juga, Harussani berkata, perpecahan di kalangan orang Melayu menyebabkan bangsa itu hilang kewibawaan sehingga kaum lain semakin berani membuat pelbagai tuntutan dan mahu hak keistimewaan orang Melayu dihapuskan.

”Kenapa kita berpecah-belah hanya kerana salah tafsir iaitu melampau dalam berpegang pada syariat Islam.

”Saya menyuruh kita semua bersatu, saya tidak suruh hapuskan parti tetapi saya minta orang Melayu pertahankan Islam dan hak-hak mereka,” katanya yang banyak menerima cemuhan daripada penyokong pembangkang kerana mengajak orang Melayu dan Islam bersatu.

Sementara itu, Hafiz yang merupakan bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang bimbang dengan nasib yang menimpa orang Melayu di Pulau Pinang sekarang.

Jelas beliau, begitu banyak gerai perniagaan orang Melayu yang didirikan di atas tanah kerajaan dirobohkan tetapi tindakan sama tidak diambil ke atas peniaga bukan Melayu yang berniaga di atas jalan raya.

”Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga tidak membenarkan rumah bernilai RM150,000 ke bawah dibina di tengah bandar. Pulau Pinang kini ke arah menjadi Singapura.

”Jambatan kedua Pulau Pinang yang menjadi kebanggaan kita akan memudahkan pengusiran orang Melayu secara beramai-ramai dari Pulau Pinang,” katanya.

Reezal Merican yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO pula meminta orang Melayu menentang habis-habisan ‘Abdullah Ibn Saba’ yang memecahbelahkan umat Islam di Malaysia sekarang.

”Dalam setiap tamadun manusia mesti ada pengkhianatan yang menghancurkan perpaduan. Kalau zaman Khalifah Usman dan Ali dulu ada Abdullah Ibn Saba yang melaga-lagakan umat Islam, zaman sekarang pun ada ‘Abdullah Ibn Saba’ yang menyebabkan perpecahan orang Melayu dan Islam di Malaysia,” katanya.

Kamarudin pula menyifatkan orang Melayu sebagai lemah jika tidak mampu membalas balik apabila agama dan bangsa mereka dihina.

”Saya hairan kenapa kerajaan tidak mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang mempertikaikan kedudukan Islam dan hak-hak orang Melayu,” katanya dalam nada kesal.

sumber : http://utusan.com.my/

Bekas ADUN dan pembantu peribadi maut dengan kesan tembakan

03/08/2010 2:51pm

Oleh ANGELINA SINYANG

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Selangor, Datuk Abd. Aziz Mohd. Noor, 63, dan pembantu peribadinya, Siti Rohana Ihsamat, 43, ditemui mati dengan dua kesan tembakan di kepala dalam sebuah kereta di Kilometer 445, Lebuh Raya Utara Selatan dekat Sungai Buloh hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, kereta Toyota Caldina dinaiki kedua-dua mereka hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Polis menemui sepucuk pistol milik Abd. Aziz dalam kereta tersebut. – Utusan.

http://utusan.com.my/

Masalah curi tulang penjawat awam tidak serius – KSN

02/08/2010 6:43pm

KUALA TERENGGANU 2 Ogos – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, masalah ”curi tulang” dalam kalangan penjawat awam tidak serius dan hanya berlaku sekali-sekala.

“Di kalangan 1.2 juta penjawat awam mungkin ada sekali sekala tidak melaksanakan apa yang patut dilaksanakan tetapi ia (masalah curi tulang) tidaklah serius,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai penubuhan dua pasukan pemantau dari Jabatan Perkhidmatan Awam dan pejabat Ketua Setiausaha Negara bagi mengesan sesetengah penjawat awam di Putrajaya yang didakwa orang ramai banyak membuang masa di lokasi-lokasi tertentu di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu.

Mohd Sidek berkata, penubuhan skuad pemantau warga perkhidmatan awam itu juga tidak perlu jika masing-masing tahu menjalankan tugas dan tanggungjawab.

”…seperti saudara saudarilah (pemberita) kalau ditugaskan ke sini tapi tidak datang itu sudah curi tulang. Jadi ini bukanlah soal menubuhkan skuad, tetapi lebih kepada soal diri kita sendiri,” katanya.

Mohd Sidek sebelum itu bersama-sama Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor melawat tapak projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 di sini. – Bernama

http://www.utusan.com.my/

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.