BERITA MALAYSIA KINI

Pilihan Terbaik Setiap Detik

Arkib untuk September, 2010

PAS Akui Gusar Tengku Razaleigh Ketuai Jentera BN Di Galas

KOTA BAHARU, 30 Sept (Bernama) — Pas Kelantan mengakui “sedikit gusar” dalam usahanya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Galas berikutan pelantikan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bagi mengetuai jentera pilihan raya Umno/Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil di situ nanti.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas Kelantan Abdul Fatah Haron berkata ini kerana ketokohan Tengku Razaleigh akan memberi impak yang besar dan boleh membawa kemenangan kepada BN.

“Trek rekod Ku Li adalah sangat baik dan tiada siapa yang boleh menafikan ketokohannya.

“Kita akui laluan kita di Galas menjadi lebih sukar kali ini apatah lagi kita hanya menang tipis pada pilihan raya umum lalu,” katanya kepada pemberita pada hari Khamis.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, daripada Pas kerana barah usus pada Ahad lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham memperoleh 4,399 undi menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari BN dengan majoriti 646 undi.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya BN bagi pilihan raya kecil itu yang tarikhnya belum diumumkan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed pula dilantik sebagai timbalan pengarah jentera tersebut.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Noor Zahidi Omar berkata pelantikan Tengku Razaleigh sangat wajar dan beliau mampu mengembalikan kerusi Galas kepada BN.

“Kami akan bekerja habis-habisan bagi membantu beliau,” kata Noor Zahidi.

Setiausaha BN Kelantan, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad pula menyifatkan pelantikan itu sebagai sangat tepat dan diterima semua pihak termasuk parti komponen BN yang lain.

“Ia langkah sangat bijak dan Tengku Razaleigh seorang yang dihormati dan satu nama besar dalam politik dan sudah tentu ini memberi kelebihan kepada BN,” katanya.

Gelaran ‘Temenggong’ Tengku Fakhry Ditarik Balik

Gelaran ‘Temenggong’ Tengku Fakhry Ditarik Balik

KOTA BAHARU, 30 Sept (Bernama) — Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke-V menarik balik pelantikan dan penganugerahan gelaran “Temenggong” dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) yang ditauliahkan kepada adindanya Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra berkuatkuasa hari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias pada satu sidang akhbar di pejabatnya di sini setelah surat pemakluman itu diserahkan kepada kakitangan Istana Mahkota, Kubang Kerian di sini, 10 pagi tadi.

Mohd Aiseri berkata Sultan Muhammad Ke-V turut menarik balik tauliah pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K.) (Al-Muhammadi) yang dianugerahkan sebelum ini kepada Tengku Muhamad Fakhry.

“Penarikan telah dimaklumkan kepada Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra hari ini melalui surat kepada beliau yang dialamatkan di Istana Mahkota, Kubang Kerian,” katanya.

Tengku Muhammad Fakhry Petra merupakan anakanda ketiga kepada Sultan Ismail Petra manakala Sultan Muhammad Ke-V adalah yang sulung.

– BERNAMA

Mazlan dapat kepercayaan PBB bercakap dengan makhluk asing

26/09/2010 3:11pm

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Bekas Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman akan menjadi individu pertama yang akan berkomunikasi dengan makhluk asing jika kehadiran entiti itu berjaya disahkan secara saintifik.

Langkah memberikan tanggungjawab itu kepada Mazlan, 58, oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) adalah selaras dengan kedudukannya sebagai Pengarah di Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas PBB (UNOOSA) yang beribu pejabat di Vienna, Austria.

Menurut laman web berita utama Australia, www.news.com.au, Mazlan akan menjelaskan peranan terbarunya ketika menyampaikan ceramah pada persidangan saintifik Universiti St. Andrews di Pusat Antarabangsa Kavli Royal Society, London, minggu depan. – Utusan

http://www.utusan.com.my/utusan/

Sarina bunuh diri kerana masalah keluarga- Utusan Malaysia

19/09/2010 6:43pm

BUKIT MERTAJAM 18 Sept. – Kematian pengasas Kosmetik Aveer, Sarina Jaafar, yang ditemui mati tergantung dalam bilik tidur utama rumahnya di Taman Pauh Jaya di sini semalam, tiada kaitan dengan kematian jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, yang dibunuh secara kejam bersama tiga individu lain baru-baru ini.

Anak saudara mangsa, Naimah Said, 32, berkata, Sarina, 45, dipercayai membunuh diri akibat tekanan perasaan yang dialaminya sejak beberapa bulan lepas dan wanita itu juga pernah cuba membunuh diri dengan menggelar pergelangan tangan.

“Sepanjang pengetahuan saya, beliau tidak ada masalah dalam perniagaan.

Jadi, kematiannya mungkin lebih berpunca daripada masalah keluarga kerana sebelum ini, Mak Anjang (panggilan mesra Naimah kepada Sarina) juga pernah beberapa kali menceritakan masalah keluarganya, dan kami percaya tiada unsur-unsur lain dalam hal ini (kematiannya),” katanya ketika ditemui di kediaman Sarina hari ini.

Beliau berkata, Sarina pernah menyuarakan hasratnya untuk mengunjungi rumah Sosilawati di Kuala Lumpur bersama rakan-rakan seperniagaan lain sebaik mengetahui berita kematian jutawan kosmetik itu melalui media.

“Arwah memberitahu hendak ke sana untuk menyertai kenduri tahlil dan membacakan Yasin untuk rakan baiknya itu (Sosilawati), dan hanya menunggu panggilan daripada rakan-rakannya,” katanya. – Bernama

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.