BERITA MALAYSIA KINI

Pilihan Terbaik Setiap Detik

Lotus punca Proton dilepaskan – Penganalisis

Kereta keluaran Proton di sebuah bilik pameran di Kuala Lumpur. – REUTERS

 

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Unjuran perolehan yang kabur serta kos berlebihan yang ditanggung Lotus Group (Lotus) dipercayai menjadi faktor Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) melepaskan pegangannya dalam Proton Holdings Bhd. (Proton).

Menurut penganalisis, keadaan itu dilihat bakal memberikan kesan buruk kepada kewangan Proton apabila tunai bersih syarikat kereta nasional itu jatuh kepada RM355 juta pada akhir September 2011 berbanding RM921.8 juta pada akhir suku ketiga 2011.

” Kami percaya penjualan Proton disebabkan keengganan Khazanah menyuntik lebih banyak wang kepada Proton terutama untuk membiayai inisiatif pemulihan Lotus dan di sinilah DRB-HICOM diharap dapat membantu,” kata MIDF Research di dalam nota penyelidikannya.

Semalam, Khazanah telah mengumumkan penjualan 42.7 peratus pegangannya kepada DRB-HICOM dengan nilai RM1.29 bilion tunai ataupun RM5.50 sesaham.

Pengambilan alih tersebut dijangka selesai pada suku kedua tahun ini.

Menurut MIDF Research, sumbangan Lotus yang dikuasai sepenuhnya oleh Proton itu dilihat masih samar-samar walaupun syarikat itu berada di tahun kedua dalam pelan pemulihan lima tahunnya yang melibatkan rasionalisasi rangkaian pengedar, aktiviti penjenamaan semula serta peluasan kemudahan pengeluaran.

Pelan itu turut melibatkan pelaburan pembangunan lima model baharu termasuklah enjin V8 dan kesemua ini akan diperkenalkan secara berperingkat-peringkat mulai 2013.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) dalam laporan penyelidikan juga menunjukkan kebimbangan terhadap kemungkinan prestasi DRB-HICOM terjejas disebabkan oleh masalah Lotus selain isu-isu lain yang ditunjangi Proton sendiri.

Bagaimanapun, bank pelaburan itu meramalkan DRB-HICOM akan mengekalkan Lotus sebagai anak syarikat Proton.

“Kami tidak mejangkakan DRB-HICOM akan menjual Lotus dalam waktu terdekat ini didorong terutamanya oleh kerjasama konglomerat itu dengan Proton dalam membangunkan Kereta Kecil Global ataupun kenderaan hibrid yang lebih dikenali sebagai Proton Emas. Ia dijangka diperkenalkan pada tahun ini ataupun 2014,” katanya.

HLIB juga berkata, DRB-HICOM tidak perlu menyuntik modal ke dalam Lotus dalam tempoh terdekat kerana syarikat kereta sports itu telah mendapat pinjaman berjumlah RM1.35 bilion untuk membiayai kos peringkat awal penyusunan semulanya berjumlah RM2.4 bilion.

Kedua-dua analisis itu berpendapat pengambilan alih ini membolehkan DRB-HICOM menyuburkan lagi peluang sinergi dengan menggandingkan perniagaan sedia adanya dengan Proton.

Jelasnya, DRB-HICOM mempunyai pakej komprehensif di dalam perniagaan automotif yang meliputi setiap sub-segmen industri seperti pengeluaran dan pembekalan komponen automotif, pemasangan kenderaan, pengedaran kenderaan, perkhidmatan selepas jualan sehinggalah mengimport kenderaan.

Tambahan pula, pengalaman mengendalikan pelbagai jenama seperti Honda, Audi, Mercedes, Suzuki, Isuzu dan Volkswagen diharap mampu mengukuhkan rangkaian pengedaran Proton dan pembangunan vendornya terutama daripada segi keberkesanan kos.

Malahan, kerjasama DRB-HICOM dan Volkswagen boleh meluaskan lagi kehadiran Proton di pasaran antarabangsa.

Konsolidasi kilang DRB-HICOM di Pekan, Pahang dan Proton di Tanjung Malim, Perak dijangka akan dapat mengatasi masalah keupayaan kilang tidak digunakan sepenuhnya (underutilization).

” Proton akan menggunakan DRB-HICOM untuk memperkukuh dan memperkemaskan rangkaian operasi dan pengedarannya dan yang paling penting adalah peluang untuk menambah baik produk-produknya,” katanya.

Dengan itu, MIDF Research melihat urus niaga ini sebagai ‘menang-menang’ kepada kedua-dua pemegang saham.

“Khazanah akan mendapat harga yang lebih tinggi berbanding harga pasaran bersandarkan asas Proton manakala DRB-HICOM pula mendapat blok kawalan pada harga di bawah aset tidak ketara (NTA),” tambahnya lagi.

http://www.utusan.com.my/

2 Komen»

  siGaman wrote @

Proton perlu model baru…seperti, Model High Lux,sorento,rav4,ninja dsb..pokoknya model mesti berubah.

  penulis_cyber wrote @

setuju.hharap pengurusan baru dapat lakukannya


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.