Arkib Harian: April 28, 2008

222 ahli Parlimen angkat sumpah

utusan

KUALA LUMPUR 27 April – Seramai 222 anggota Dewan Rakyat akan mengangkat sumpah esok bagi mengesahkan kedudukan mereka sebagai ahli Parlimen, 50 hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 berlangsung pada 8 Mac lalu.

Semua ahli Parlimen itu akan mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia seperti termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menurut laman web Parlimen, sebaik sahaja proses mengangkat sumpah selesai, usul memilih dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan dijalankan.

Apa yang menarik pada majlis itu, buat pertama kalinya, seorang ahli pembangkang akan mencuba nasib merebut satu daripada dua jawatan itu.

Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw yang juga Timbalan Pengerusi DAP akan bertanding bagi jawatan itu. Seng Giaw akan bersaing dengan dua calon Barisan Nasional (BN) iaitu ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee.

Pada persidangan Dewan Rakyat kali ini, seramai 140 ahli Parlimen mewakili BN manakala 82 orang lain daripada pakatan parti pembangkang.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail turut mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai Ketua Pembangkang wanita pertama.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin akan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Parlimen Malaysia Ke-12, Selasa ini.

Mesyuarat pertama Dewan Rakyat kali ini akan bersidang selama 16 hari.

Dewan Rakyat yang mula bersidang pada Rabu ini akan disiarkan secara langsung selama setengah jam setiap kali persidangan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Hamid Karzai terselamat cubaan bunuh

utusan

KABUL 27 April – Presiden Afghanistan, Hamid Karzai (gambar) terselamat dalam serangan pihak militan sewaktu perbarisan tentera yang menyaksikan sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan lebih 11 yang lain cedera, hari ini.

Pergerakan Taliban mengaku melancarkan serangan tersebut tetapi menafikan ia percubaan untuk membunuh Hamid.

Taliban mendakwa tiga anggotanya terbunuh tetapi laporan itu tidak dapat disahkan oleh pegawai keselamatan.

Menurut saksi, beberapa das tembakan yang dipercayai oleh penembak tepat, ditujukan ke arah pentas yang menempatkan Presiden dan pegawai tinggi kerajaan.

Para pegawai berkata, Hamid dan anggota Kabinet, para duta, komander-komander tentera Amerika Syarikat (AS) meniarap di atas lantai atau dibawa keluar tanpa mengalami kecederaan.

Seorang pemberita yang berada di tempat kejadian memberitahu, para pengawal Presiden telah memberi perlindungan kepada Hamid sambil menjerit ke arah orang ramai: “Jangan lari, awak akan ditembak.”

Hamid kemudiannya dikeluarkan dari tempat kejadian dengan sebuah kereta sementara kejadian tembak menembak berterusan selama 15 minit.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Jeneral Mohammad Zahir Azimi berkata, seorang ketua suku puak terbunuh dan 11 cedera dalam kejadian itu.

“Dua atau tiga Ahli Parlimen cedera dalam kejadian itu,” katanya.

Hamid muncul di televisyen tidak lama selepas itu dalam keadaan selamat bagi memberi jaminan kepada rakyat dan menyatakan beberapa penyerang telah ditangkap.

Dalam kenyataan e-mel kemudiannya, Presiden Afghanistan itu menyatakan, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa menyiasat serangan itu.

Serangan itu dilancarkan ketika Hamid naik di atas pentas selepas membuat pemeriksaan tabik hormat tentera dan tembakan 21 das meriam.

Majlis merupakan perarakan tahunan tentera yang ke-16 bagi meraikan kejatuhan pendudukan Kesatuan Soviet.

– AFP

‘Balkis dibubar ikut perlembagaan’

malaysia kini
Apr 27, 08 7ml:23pm
Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) dibubarkan, dan wangnya RM9.9 juta dipindahkan, dengan mematuhi semua peraturan, kata bekas yang dipertuanya Zahrah Kechik.

Zahrah, bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata badan itu dibubarkan 11 Mac mengikut perlembagaan selepas mesyuarat agung khasnya, lapor Bernama hari ini.

Mengulas kontroversi itu antara kerajaan negeri dengan Balkis, Zahrah berkata sebelum seorang isteri menteri besar dilantik menjadi yang dipertua badan itu, ia hendaklah disahkan oleh satu mesyuarat agung.

“Ini bermakna saya masih memegang jawatan yang dipertua pada ketika itu dan saya juga masih belum meletakkan jawatan yang dipertua.

“Oleh itu tidak timbul saya tidak mempunyai kuasa untuk mempengerusikan mesyuarat agung yang dipanggil untuk tujuan pembubaran Balkis,” beliau dipetik sebagai berkata.

Zahrah berkata badan itu dibubarkan dengan sokongan lebih daripada dua pertiga ahli.

Khamis lalu, menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri – kini ditadbir Pakatan Rakyat – menghalang badan itu dibubarkan dan notisnya telah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Kerajaan negeri telah menghantar surat kepada ROS agar tidak meluluskan permohonan pembubaran Balkis sehingga jumlah sumbangan semua anak syarikat kerajaan negeri Selangor dikenal pasti dan siasatan menyeluruh terhadap tindakan Balkis membuat permohonan pembubarkan (kepada ROS pada 13 Mac) serta pemindahan aset-aset Balkis,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

“Kerajaan negeri dan anak-anak syarikat kerajaan negeri dijangka membuat tuntutan dalam masa terdekat terhadap segala sumbangan yang diberikan memandangkan Balkis bertindak sebagai pemegang amanah kepada kerajaan negeri Selangor untuk tujuan amal kebajikan dan mengambil wang daripada anak-anak syarikat kerajaan negeri.”

Selain Zaharah, menurut kenyataan pejabat menteri besar Selangor lagi, pemimpin-pemimpin utama Balkis termasuklah Rahimah Naim sebagai naib yang dipertua, Pon Ishak (setiausaha) dan Surami Sapuan (bendahari).

Exco Balkis dianggotai enam ahli jawatankuasa.

Pertis, Jakim edar naskah Al-Quran braile

KUALA LUMPUR: Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menerbit dan mengedar Al-Quran Braille secara percuma.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata 2,000 naskah Al-Quran Braille itu akan mula diedarkan secara berperingkat dalam masa terdekat ini bagi membantu golongan yang cacat penglihatan membaca Al-Quran.

“Buat permulaan ini, 100 Al-Quran Braille telah pun diedarkan secara percuma dan menjelang akhir tahun ini, InsyaAllah, sasaran untuk mengedarkan Al-Quran Braille kepada 2,000 anggota Pertis seluruh negara yang berdaftar dan impian untuk melahirkan lebih ramai OKU tiada penglihatan untuk membaca Al-Quran akan terlaksana,” katanya.

“Kita sedia mengetahui, dengan kos RM200 bagi 12 Al-Quran Braille sudah tentu golongan OKU tiada penglihatan ini tidak mampu untuk membelinya, jadi kerjasama dengan Jakim ini dilihat tepat pada masanya,” katanya.

Pelaksanaan program ini, katanya selaras dengan objektif penubuhan Pertis iaitu memberikan keperibadian Muslim yang beriman, berakhlak mulia, berketrampilan serta menyemarakkan lagi semangat jati diri yang mapan baik di dunia mahupun di akhirat.

Ahmad Zahid berkata kementerian melalui Jakim juga akan bekerjasama dengan pusat pembelajaran serta penghafazan Al-Quran iaitu Darul Quran untuk menyediakan kelas khas bagi golongan cacat penglihatan agar mereka dapat belajar di situ yang akan dilaksanakan tahun ini.

Ada yang tidak senang duduk


KERATAN muka depan Kosmo! Ahad semalam.


KUALA LUMPUR – “Orang dia memujuk saya agar berjumpa dengannya, tapi saya menolak sebab dia tidak mahu mendedahkan perkara ini kepada umum.”

Itu penjelasan penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim mengenai seorang pakar motivasi yang didakwa menggunakan gelaran P.hD palsu.

Sebelum itu, Kamal yang juga Ketua Biro Penguatkuasaan Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Malaysia (Tamrin) memberitahu, sebelum itu beliau meminta agar pakar motivasi itu mendedahkan kepada orang ramai bahawa dia sebenarnya tidak mempunyai Ph.D melalui laman forum pakar motivasi tersebut.

Sehari selepas itu katanya, dia menerima panggilan daripada ’orang kanan’ pakar motivasi yang sama supaya perkara tersebut tidak didedahkan dan mahu berbincang atas nama kepentingan bangsa, agama dan negara.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Doktor swasta palsu – Banyak program ijazah perubatan tidak diiktiraf


PENGAMBILAN mereka yang tidak berkelayakan sebagai doktor boleh mendatangkan risiko kepada pesakit dan menjejaskan keyakinan umum terhadap perkhidmatan perubatan. – Gambar hiasan.


KUALA LUMPUR – Laporan Kosmo! mengenai temberang doktor falsafah (Ph.D) membabitkan pakar motivasi dan pengamal perubatan alternatif membawa pula kepada pendedahan ada doktor palsu ‘dilahirkan’ di negara ini.

Masalah itu wujud disebabkan terdapat sekurang-kurangnya 17 program pengajian perubatan tidak diiktiraf dengan graduannya ada yang bekerja di hospital swasta.

Ia didedahkan oleh tokoh akademik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim yang memberitahu dia sendiri menerima laporan berhubung penipuan tersebut dari seorang rakannya, seorang pakar dalam bidang perubatan terkenal.

“Saya menerima laporan terdapat 17 program yang berfungsi melahirkan doktor yang tidak mempunyai kelayakan dan tidak pernah menjalani pengajian dalam bidang perubatan, tetapi menggunakan gelaran doktor untuk tujuan menipu orang ramai.

“Ia amat mendukacitakan kerana orang ramai ditipu dan perubatan yang ditawarkan mungkin boleh membawa kepada risiko nyawa kepada orang ramai,” dakwanya ketika dihubungi semalam.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Luluskan akta hidu gam – Pemadam


KEGIATAN menghidu gam seperti yang dilakukan oleh dua lelaki ini, mendorong kepada kerosakan otak yang serius. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) berharap draf Akta Hidu Gam mendapat kelulusan Kabinet bagi memudahkan penguatkuasaan ke atas kegiatan yang kian berleluasa itu.

Setiausaha Agung Pemadam, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, pihaknya akan berusaha melobi kerajaan agar ia diluluskan.

“Jika tidak berjaya, kita akan terus merayu demi kepentingan membendung gejala itu,” katanya semasa mengulas laporan akhbar berkaitan Akta Hidu Gam yang masih dalam semakan Majlis Peguam Negara sebelum dibentangkan di Parlimen.

Laporan tersebut menyatakan draf tersebut dikeluarkan untuk mewujudkan bidang penguatkuasaan yang lebih luas berkaitan isu gejala sosial termasuk menghidu gam dan bahan lain yang mengkhayalkan.

Kamilia juga memberitahu, Pemadam kian bimbang dengan gejala menghidu gam yang meruncing sehingga melibatkan kes keciciran di kalangan pelajar.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Meja berisi RM210,000 dicuri

KUALA TERENGGANU – Pencuri buat ‘silap mata’.

Itu yang dilakukan pencuri apabila melarikan sebuah meja kayu berisi wang tunai berjumlah RM210,000 dari bilik tidur di rumah seorang peniaga kayu di Kampung Titian Baru, Pengadang Buluh di sini.

Sedangkan ketika kejadian malam kelmarin itu, isteri peniaga berkenaan tidur di dalam bilik berkenaan, manakala peniaga tidur di ruang tamu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri, kedua-duanya tidak sedar bila meja itu diusung oleh pencuri.

“Sebaik bangun daripada tidur pada pukul 6.10 pagi, mangsa yang berusia 61 tahun itu terperanjat besar apabila sebuah meja berlaci yang berada di dalam bilik tidurnya lesap,” katanya.

Beliau ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam berkata, wang tunai hasil jualan kayu-kayan syarikatnya serta beberapa keping cek diletakkan di dalam laci meja berkenaan.

Katanya, pencuri dipercayai menyelinap masuk ke rumah mangsa melalui tingkap dapur yang lupa dikunci oleh tuan rumah sebelum tidur.

“Sebelum ini rumah dua tingkat yang terletak bersebelahan kilang kayu miliknya di kampung berkenaan tidak pernah dimasuki oleh pencuri,” katanya.

Tambah Mohd. Fauzi, mangsa dan isteri yang berada di dalam rumah terbabit pada malam itu mengakui langsung tidak menyedari meja kayu diangkut oleh pencuri.

Katanya, anak lelaki mangsa yang berusia 39 tahun telah membuat laporan di Balai Polis Chendering pada pukul 7.58 pagi hari yang sama.

“Suspek belum ditangkap dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya.

Jalan seludup ‘terbalik’ – Sekarang beras kita pula diseludup ke Thailand

KOTA BHARU – Kalau selama ini rakyat negara kita berebut-rebut membeli beras Siam termasuk yang diseludup menerusi sempadan, kita keadaannya berubah haluan apabila beras tempatan pula yang laris di negara jiran itu.

Semuanya gara-gara harga beras yang melambung tinggi di Thailand, menyebabkan beras tempatan yang harganya dikawal kerajaan diseludup keluar.

Ia diakui sendiri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed yang berkata, tekanan harga beras dalam pasaran dunia menyumbang kepada gejala penyeludupan itu.

Katanya, kegiatan itu juga satu perkara baru dari perspektif Malaysia.

“Kami ada terima laporan tapi ia belum berleluasa, tidak pernah terjadi dalam sejarah, beras kita diseludup ke sana (Thailand),’’ katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Pegawai bomba terkedu lihat rumah sendiri terbakar


Jaafar memegang uniform bomba miliknya yang terbakar selepas rumahnya dijilat api di Pendang kelmarin.


PENDANG – “Selama ini kerja saya memadam kebakaran di rumah-rumah orang, tetapi lain pula malam tadi (kelmarin) apabila rumah saya sendiri yang terbakar.

“Mulanya saya kaku seketika melihat rumah saya terbakar dan apabila saya mahu memadam api, segala tindakan saya menjadi serba tidak kena.”

Demikian cerita Pegawai Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Alor Star, Jaafar Abdul Khadir selepas rumah dua tingkat miliknya musnah dijilat api diperca- yai akibat litar pintas di Kampung Kubur Panjang, di sini pukul 9 malam kelmarin.

Jaafar berkata, sebelum kejadian, dia bersama keluarga sedang menonton siaran langsung perlawanan bola sepak Liga Super antara pasukan Kedah menentang Pahang.

“Tiba-tiba saya terkejut mendengar bunyi dentuman kecil dari arah bumbung rumah menyebabkan saya keluar untuk meninjau bunyi tersebut.

“Sedang saya memeriksa bumbung sambil mencari punca bunyi, saya tergamam melihat api sedang marak dan diikuti dengan letupan kedua,” ceritanya.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.