Amerika berlagak ‘mata-mata dunia’ – UTUSAN

KUALA LUMPUR 14 Sept. – Amerika Syarikat (AS) berlagak seperti ‘mata-mata dunia’ apabila mempersoalkan keputusan kerajaan Malaysia menahan tiga rakyat negara ini di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kelmarin.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, tindakan Jabatan Negara AS memanggil wakil Kedutaan Malaysia di Washington kelmarin, bukan sesuatu yang menghairankan.

”Mengenai ISA ini memang mereka faham, mereka pun baca undang-undang kita tetapi tindakan menyoal siasat sekadar ingin menunjukkan bahawa mereka merupakan mata-mata dunia.

”Jadi mereka ingin melahirkan perasaan itu kepada Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran Koleksi Buku Falsafah dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Media anjuran Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di Menara Yayasan Tun Razak di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi ITNM, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh.

Semalam, tiga orang ditahan di bawah ISA dalam satu operasi polis ke atas beberapa individu yang terbabit mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama.

Mereka ialah Exco kerajaan negeri Selangor, Teresa Kok; pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan wartawan wanita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 73 (1) akta berkenaan. Bagaimanapun Hoon Cheng dibebaskan di Pulau Pinang pada pukul 3.30 petang semalam.

Menurut Rais, di sebalik campur tangan tersebut, kerajaan Malaysia juga berhak untuk mempertikaikan tindakan AS menahan dua orang rakyat negara ini di Teluk Guantanamo.

Jelas beliau, sehingga ke saat ini, kerajaan AS masih gagal memberikan penjelasan mengapa dua warga Malaysia itu ditahan dan masih belum dibicarakan di mahkamah.

”Saya faham kedua-dua warga kita itu tidak akan mendapat apa-apa layanan untuk dibicarakan jadi seruan balik kita ialah kita hormat kepada AS di atas kebolehannya melaungkan hak-hak asasi.

”Tetapi mereka juga wajar melihat sekitar belakang rumah mereka, tidaklah sebaik mana yang dapat kita lihat,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kerajaan AS seharusnya peka terhadap undang-undang pencegahan di negara ini yang dikuatkuasakan di bawah Perkara 149 dan 151 Perlembagaan Malaysia dan ia perlu dihormati.

Tegas beliau, ISA merupakan satu cabang undang-undang kenegaraan Malaysia yang menjamin keselamatan negara.

”Rakyat negara ini yang berbilang kaum wajar diingatkan supaya sensitiviti agama, budaya serta ras tidak ditimbulkan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Beliau turut bercadang untuk memanggil Duta AS ke negara ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkembangan terkini rakyat Malaysia di Teluk Guantanamo.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan kerajaan Singapura yang tidak lagi memberi keutamaan kepada pegawai diplomatik Malaysia di Laluan Kedua Malaysia dan Singapura (Linkedua), Rais berkata, pihaknya sedang meneliti mengenai perkara itu dan akan memberi penjelasan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s