Mawi melamar ketika melawak-UTUSAN

CINTA, sesuatu yang indah dan mengasyikkan meskipun pelbagai rintangan yang datang. Itulah yang dilalui wanita kelahiran Johor Bahru ini sebelum takdir menemukannya dengan jejaka idaman ramai.

Nora’asikin Rahmat atau Ekin barangkali tercatat sebagai wanita paling banyak mendapat publisiti daripada media sejak setahun kebelakangan ini.

Semua ini berlaku kerana dia menjadi wanita yang berjaya mengisi kekosongan dalam hidup penyanyi lelaki nombor satu negara Asmawi Ani.

Khabar yang paling bertiup kencang di kalangan media, Ekin dan Mawi bakal disatukan Disember ini.

Diajak berbual mengenai hubungan cintanya dengan juara Akademi Fantasia musim ketiga itu, Ekin mengakui, tidak pernah terlintas di fikirannya dengan apa yang bakal singgah dalam kehidupannya sementelah pencintaan mereka diuji bukan sedikit.

“Saya bersyukur kerana setelah pelbagai suka duka percintaan kami tempuhi akhirnya pengakhiran yang menggembirakan menjelma dalam hidup saya.

“Saya sendiri tidak menyangka, namun apa yang bakal terjadi ini apa yang boleh saya katakan merupakan berkat doa orang ramai juga” jelas Ekin mengenai perkahwinannya kepada Hits dalam satu pertemuan, baru-baru ini.

Menyambung bicara dalam nada yang lembut Ekin dan Mawi sebetulnya sudah sepakat untuk menoktahkan hubungan cinta mereka dalam waktu terdekat ini.

“Orang asyik tanya bila kami nak kahwin. Sana sini orang meneka dan meramal apakah kami akan berkahwin Disember ini.

“Fikir-fikir semula, ada bagusnya juga majlis tersebut dilakukan pada penghujung tahun ini kerana selepas semuanya selesai kita akan menempuh fasa kehidupan baru di tahun yang baru. Kita boleh lupakan segala masalah dan mulakan hidup baru,” katanya sambil tersenyum manis.

Bagi Ekin, tiada sebab khusus mengapa bulan Disember dipilih sebagai bulan penyambung kasih antaranya dan Mawi.

“Bulan Disember tak sibuk sangat dan dia (Mawi) pun tak terlibat dengan banyak projek. Lagipun Disember bulan cuti sekolah, senang nak buat majlis,” rancak Ekin berkongsi cerita.

Ditanya mengenai persiapan kahwin jelas pelakon bersiri Kawan ini semuanya masih belum diadakan.

“Tarikh belum tahu lagi tapi Mawi kata akan umumkan selepas raya sebab buat masa sekarang jadual dia sangat penuh.

“Jadi persiapan pun belum dibuat lagi. Memang ada penaja yang nak menaja tapi semuanya kami tak boleh nak terima lagi. Takut kalau terima nanti kelam kabut pula apabila tarikh ditunda-tunda,” jelas personaliti yang semakin anggun pada usia 29 tahun ini.

Melamar dalam melawak

Sengaja diusik bagaimanakah Mawi melamarnya dalam ketawa besar Ekin mendedahkan: “Mawi seorang yang kelakar. Dalam lawak dia kata kita kahwin nak tak?

“Saya ingat dia tipu tapi dia bercakap dengan penuh semangat dan siap kata nak beritahu perkara tersebut kepada keluarganya dalam masa terdekat. Memang saya ingat dia tipu-tipu pada mulanya.”

Akui Ekin, bukanlah populariti dan kekayaan yang ada pada jejaka berbintang Virgo tersebut yang menjadi pilihannya.

Sebaliknya, hati Ekin terpaut pada lelaki berkenaan kerana budi bahasa dan sikap Mawi yang membuka hatinya menerima cinta lelaki tersebut.

“Apabila berkawan dengan Mawi, dia banyak beri nasihat dan menenangkan saya tatkala saya mempunyai masalah.

“Dia banyak bagi galakan dan sokongan kepada saya untuk bangun semula selepas menempuh pelbagai perkara,” jelas Ekin mengenai usia perhubungan mereka yang sudah memasuki dua tahun.

Memilih untuk bercinta dengan Mawi, Ekin mengakui, ia bukan suatu perkara yang mudah.

Cacian, nista dan kata-kata kurang manis sering singgah di telinganya dengan pelbagai dakwaan yang mengguris perasaannya.

Namun, Ekin reda dan pasrah bahawa semua itu ketentuan Yang Maha Esa yang memberinya kekuatan untuk kuat dan menempuh keadaan itu dengan baik.

“Kalau hati tak cekal memang dah lama kami tak berkawan. Bayangkan macam-macam benda saya kena fitnah di awal persahabatan kami.

“Satu peringkat, saya sampai tak nak keluar rumah dan membaca Internet sebab takut dengan kata-kata orang. Tapi syukur kerana Tuhan membantu mempermudahkan juga perhubungan kami,” ujarnya tenang tatkala mengimbas suka dukanya dalam menjalinkan ikatan cinta bersama penyanyi lelaki yang didambakan sebilangan besar wanita.

Satu yang pasti terang Ekin, momen indah dalam hidupnya yang tidak mungkin dilupakan saat Mawi mengisytiharkan cinta mereka di puncak Genting Highlands sekitar penghujung Mac lalu.

Tidak romantik

Sengaja ingin mengupas apakah bintang realiti itu memenuhi ciri-ciri lelaki idamannya terang Ekin: “Saya senang dengan perangai dia yang brutal dan gila-gila. Mula-mula memang tak selesa dengan dia sebab kasar. Tapi apabila kita semakin rapat lama kelamaan saya fikir biarlah dia macam itu. Saya pun kasar dan kami ini sekepala.”

Jelas model produk kecantikan R & Z dan tudung Ariani (Jakel) ini semestinya sebagai seorang wanita dia juga teringin bercinta seperti pasangan kekasih yang lain, namun dia memahami situasi penyanyi popular tersebut.

“Memanglah teringin nak candle light dinner, tapi dah perangai dia bukan romantik jadi tak akan saya nak paksa.

“Mula-mula dia ada tanya juga okey ke dia macam itu, apa yang boleh saya katakan saya belajarlah menerima keadaan tersebut. Saya juga kena faham dengan keadaan dia. Kalau nak keluar kami tak boleh keluar berdua sebab takut peminat serbu dia, nanti saya juga panik tak tahu nak buat apa.

“Jadi lebih selamat dan baik keluar ramai-ramai apabila orang datang berebut-rebut nak bergambar ada juga kawan-kawan dia tolong menenangkan keadaan,” katanya yang mengharapkan agar hubungannya bersama Mawi akan kekal berpanjangan hingga ke akhir hayat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s