Mufti Perlis: ISA tidak diperlukan untuk bela ajaran Islam-MSTAR

Mufti Perlis: ISA tidak diperlukan untuk bela ajaran Islam
15-09-2008 01:01:12 PM
Oleh ZIEMAN

PETALING JAYA: Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin hari ini menegur tindakan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam isu agama dan mengheret pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok yang masih ditahan di bawah peruntukan akta itu.

Ketika ditemui di Damansara Kim sebentar tadi, Dr Asri berkata, Islam dibina dari hujah dan dasar yang jelas, dan Islam juga tidak memerlukan ISA untuk membela ajarannya.

“Jadi tidak ada alasan untuk menahan orang dengan tidak memberi peluang membela diri. Ini adalah satu tindakan yang salah. Sekiranya orang itu mempunyai kesalahan dari segi hukum agama, buktikan dari segi dalil-dalil agama.

“Cara kita tangkap orang guna ISA atas kesalahan agama tidak akan menghilangkan salahfaham terhadap Islam. Seharusnya diperjelaskan dulu apa kesalahan itu. Kalau misalnya orang itu menghina Islam atau menyeleweng, buktikan dulu berdasarkan Quran dan hadis.

“Perlu diperdengarkan pertuduhan itu kepada orang yang dituduh itu. Mungkin juga, ia hanya satu salah faham. Yang penting perdengarkan dulu hujahnya,” kata Mufti yang terkenal dengan kelantangannya mengeluarkan idea yang berani dan telus itu.

Kata Dr Asri lagi, “Islam bukan agama yang bacul. Perbuatan ISA kerana kesalahan agama seolah-olah menggambarkan orang Islam tidak mampu berhujah, terus tangkap orang. Mereka akan kata mereka benar kerana kita takut berhujah dengan dia.”

Beliau juga turut mengingatkan betapa bahayanya tindakan ISA.

“Sekiranya ada aliran-aliran tertentu dalam kerajaan yang tidak setuju dengan pendapat satu aliran yang lain, adakah ruang ISA juga akan digunakan? Pernah berlaku dalam kerajaan Abbasiyah yang berpegang pada aliran Muktazilah ketika itu. Dia menghukum orang daripada aliran lain termasuk Imam-imam besar seperti Imam Ahmad juga turut dihukum.

“Kalau di zaman ini, mereka yang kendalikan agama itu dari aliran lain maka mereka yang dari aliran lain itu akan dihukum tanpa memberi peluang membela diri. Ini juga tidak sejajar dengan konsep keadilan dalam Islam,” kata Dr Asri lagi.

Dari segi politik Islam atau siasah, kata beliau, kerajaan berhak menahan orang dan  beri tempoh siasatan (14 hingga 30 hari) bergantung pada keperluan. Tapi kita tidak boleh hukum 2 tahun tanpa diadili. Ini zalim.

“Tuhan yang Maha Adil pun buat mahkamah di akhirat untuk setiap orang dibicarakan. Keadilan ditegakkan di dunia dan di akhirat. Tuhan yang Maha Adilpun memberi peluang untuk kita jawab kesalahan sedangkan Tuhan berhak buat apa saja. Jadi macam mana kita boleh tangkap orang tanpa memberi peluang mereka membela diri?,” jelas beliau.

Kata Dr Asri, isu agama turut membabitkan sensitiviti agama lain. Tapi dari segi mempersoalkan identiti Islam seperti laungan azan, itu tidak boleh.

“Namun jika ada sungutan tentang bacaan-bacaan yang panjang sehingga menganggu orang awam, ulamak Islam juga tidak benarkan. Bacaan yang kuat tanpa keperluan atau kuliah agama dengan menggunakan pembesar suara sehingga menganggu ketenteraman awam, itu tidak perlu. Itu sudah diputuskan oleh ulamak-ulamak dari dulu lagi.

“Agama itu terhad. Azan itu azan. Begitu juga kuliah agama untuk diperdengarkan di pembesar suara, berpada untuk sidang yang mendengar sahaja,” jelasnya.

Dr Asri juga menyentuh tentang peranan Jakim.

“Jakim berperanan menjelaskan isu-isu agama dan juga yang menyeleweng dari agama. Bukan sekadar menyokong seseorang dihadapkan tanpa bicara. Badan itu juga hendaklah bebas dari percaturan politik. Perjelaskan ketentuan peruntukan orang yang menghina Islam seperti isu Raja Petra. Itu bersifat politik, biarlah diuruskan oleh orang politik.

“Kalau hendak diikutkan yang menghina Islam, ramai lagi yang patut dibuat aduan. Jelaskan dulu apa yang perlu dilakukan?,” soal Dr Asri.

Beliau juga meminta kerajaan memikirkan soal ISA ini sedalam-dalamnya.

“Seandainya satu hari nanti kerajaan bertukar rupa dan kalau berlaku pertukaran kuasa. Terlalu ramai nanti yang tidak boleh bersuara dan ISA mungkin diguna seluas-luasnya. Besok, bila kena pada kita, apa kita nak buat?,” kata Dr Asri yang akan menghadiri Tazkirah Tarawih di Stadium Kota Bharu pada hari ini.

Beliau yang juga akan memberi ceramah di Kompleks Islam Lundang esok, sempena pelancaran Tabung Serambi Mekah yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, juga mempersoalkan bagaimana pemimpin yang gagal kendalikan parti yang kecil mampu kendalikan negara yang besar.

“Takkan nak tunggu ada rusuhan atau kekacauan. Ketika itu sudah tidak boleh dipulihkan lagi. Sekali kekacauan tercetus, susah untuk dipulihkan.

Menurut pengamatan beliau, keadaan ini berlaku kerana pemimpin politik menganggap kedudukan politik itu seperti harta rompakan.

“Mereka bermati-matian untuk mendapatkannya sekalipun terpaksa menggunakan belanja yang besar kerana pulangan atau keuntungannya juga besar,” kata beliau.

Jelas beliau, saluran politik digunakan untuk membina kekayaan diri. Inilah hasilnya bila kerakusan ini berlarutan. Tidak ada setiakawan dalam politik, musuh memusuhi, berpuak-puak kerana fikirkan survival politik masing-masing bukan survival rakyat yang dipertanggungjawabkan.

Yang paling ketara sekarang, pemimpin politik bukan sahaja gagal membawa rakyat keluar dari kemelut yang sedang dihadapi malah menjadikan keadaan lebih rumit.

“Bukan sahaja mereka gagal menyelesaikan masalah tapi mereka pula yang menimbulkan lebih banyak masalah lain,” kata Dr Asri.

3 responses to “Mufti Perlis: ISA tidak diperlukan untuk bela ajaran Islam-MSTAR

  1. Jadi jika tak perlu, akta apa yang perlu diguna ?

    adakah terus ditangkap mereka itu tanpa diberi ruang untuk proses nasihat ?

    Adakah Dr Asri tak tahu bahawa banyak kali sudah diberi nasihat dan pesanan tetapi mereka langgar ?

    kes Jakim buat laporan terhadap Raja Petra , Dr Asri pertikai.

    Bila dah tangkap ISA Dr Asri pun pertikai lagi….

    Bagus masuk PKR lah senang cerita jadi ahli politik supaya tak berselindung lagi di sebalik jawatan mufti tetapi suka bela orang yang rosakkan agama dan negara seperti Raja Petra ini.

    Atau pun PAS jika rasa mufti susah nak popular atau nak kritik orang lain.

    Kalu Imam Shafie pun dia boleh lawan apa tah lagi setakat PM atau sapa sapa yang dia rasa tak sama pendapat wahabinya.

    Jika di negara lain wahabi memang memecahkan masyarakat. Ia jadi ancaman dan jika semakin besar ancaman virus wahabi ini Dr Asri perlu bersedia menerima tindakan atas penyebaran wahabinya di Perlis atau di Malaysia.

    Malaysia tidak perlu ajaran baru yang tidak diterima jumhur ulama seperti wahabi. Dan Asri perlu berhenti bercakap banyak dan menyinggung orang lain sesedap hati…

    Sila lawat blog saya :

    http://ustazmoden.wordpress.com

  2. Pada pendapat saya, Dr Asri benar dlm konteks menghindari fitnah terhadap Islam . Beliau juga benar apabila menyatakan org yg menghina Islam perlu diminta penjelasan sebelum dihukum. Namun pihak berkuasa bertindak atas kepentingan umum (masyarakat dan negara). Tindakan Teressa Kok boleh dieksploitasi oleh pihak yg berkepintangan bagi menghuru harakan negara. Justeru adalah wajar beliau ‘disimpan’ di suatu tempat sehingga isu ini menjadi reda.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s