Tinggal angan-angan – UTUSAN

KUALA LUMPUR 16 Sept. – Dakwaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa 16 September hari ini akan menjadi tarikh penubuhan kerajaan baru ternyata satu pembohongan,Tidak ada apa-apa berlaku pada hari ini.

Barisan Nasional (BN) terus kekal memerintah negara ini.

Rata-rata orang ramai, pemimpin politik dan aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebagai individu yang sengaja mencetuskan suasana politik huru-hara dalam negara.

Timbalan Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia (MBM) Sobri Ahmad berkata, kegagalan Anwar membentuk kerajaan baru hari ini membuktikan politik yang diamalkan oleh parti pembangkang telah hampir menemui jalan buntu.

Beliau berkata, MBM menolak sekeras-kerasnya politik dan sebarang bentuk ugutan yang dibuat untuk mengambil alih atau menggulingkan secara tidak demokratik kerajaan yang memerintah.

“Politik yang ditunjukkan oleh PKR perlu dicegah dan politik yang dimainkan oleh pakatan pembangkang perlu dibendung kerana mereka tidak mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara,’’ katanya.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, Anwar sepatutnya menjadi seorang pembangkang yang efektif dalam Parlimen dan bukannya melontarkan omong kosong kepada 26 juta rakyat negara ini.

“Itu perbuatan orang yang tidak bertanggungjawab. Saya bukan mengatakan Anwar seorang penipu tetapi saya kira dia lebih berguna sebagai Ahli Parlimen jika dia fokus dan cuba menyelesaikan masalah seperti ekonomi negara,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Shabudin Yahaya berkata, 16 September merupakan titik tolak untuk rakyat memahami bahawa negara mengamalkan demokrasi berperlembagaan.

Beliau berkata, apa yang ketara sekarang ialah Anwar telah berjaya memaparkan kepincangannya sendiri.

Katanya: “Apa yang diperkatakan dan dijanjikannya hanya retorik yang perlu dinoktahkan.”

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo pula berkata, kenyataan Anwar kini tidak boleh diterima pakai serta dipandang serius oleh rakyat negara ini.

“Ini kerana Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sendiri sebenarnya tidak yakin untuk menubuhkan kerajaan baru tetapi sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri,’’ kata Dr. Mohamad Khir.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee pula mencadangkan agar Anwar dikenakan tindakan di bawah mana-mana undang-undang atau akta yang bersesuaian kerana telah meletakkan imej kerajaan, ekonomi dan sosiopolitik Malaysia menjadi tidak menentu.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pula menegaskan, tarikh 16 September sudah menjadi cuti umum bagi rakyat di Sabah dan Sarawak sejak tahun 1963.

Katanya, ia disambut sempena Sambutan Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Sabah dan sebagai penutup kepada sambutan bulan kemerdekaan.

“Sudah, sudahlah. Bulan ini bulan baik, bulan mengabdikan diri pada Allah, nak berbohong lagi nak buat apa. Kata nak tubuh kerajaan, tak ada pun. Kalau betul ada senarai, tunjuklah,” katanya.

Di MELAKA, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam meminta Anwar memberi tumpuan kepada kawasan Parlimen Permatang Pauh yang dimenanginya baru-baru ini daripada memasang angan-angan untuk menjadi Perdana Menteri.

“Di Permatang Pauh kini masih ramai yang miskin, tiada pekerjaan, daif kerana tiada kemudahan asas tetapi dia sibuk berangan-angan untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Di KUANTAN, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, apa yang diuar-uarkan oleh Penasihat PKR itu selama ini tidak ubah seperti kisah ‘Budak Penggembala dan Serigala’.

“Sikapnya itu mengingatkan saya kepada kisah budak dengan serigala. Tiada siapa akan percaya lagi kepadanya.

“Anda boleh menipu orang kadangkala, tetapi anda tidak boleh menipu mereka sepanjang masa,” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, sekiranya Anwar mahu membentuk kerajaan baru sekali gus menjadi Perdana Menteri, beliau perlu melalui proses biasa dengan memenangi pilihan raya.

“Anwar adalah orang yang kuat dengan imaginasi, sekejap dia umumkan nak bentuk kerajaan, sekejap lagi dia cakap dia takut.

“Jika betul-betul dia dah ada orang yang lompat daripada parti Barisan Nasional (BN), saya tidak lagi jadi menteri hari ini. Saya rasa tidak masuk akal bagi Anwar untuk dapatkan sokongan daripada ahli BN,’’ katanya.

Di SHAH ALAM, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, kegagalan Anwar membentuk kerajaan baru seperti yang dicanangkan membuktikan beliau adalah pemimpin yang tidak mempunyai kredibiliti, suka menyusahkan rakyat dan menimbulkan huru-hara.

Beliau menambah, tindakan Anwar bukan sahaja menjejaskan pertumbuhan ekonomi, malah lebih buruk lagi menimbulkan suasana tidak menentu yang menggugat kemasukan pelabur.

Di Kota Kinabalu, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Bung Moktar Radin menyifatkan Anwar memang sengaja mahu mengganggu pentadbiran kerajaan BN.

“Pembentukan kerajaan baru hari ini hanya satu ilusi Anwar untuk memperbodohkan rakyat negara ini.

‘‘Dakwaan bahawa ada yang akan melompat merupakan pembohongan yang sengaja dicetuskan pembangkang. Tidak ada ahli parlimen BN yang akan melompat parti untuk menyertai pakatan pembangkang.

‘‘Hari ini sudah 16 September, mereka tidak pun membentuk kerajaan baru seperti yang diuar-uarkan oleh Anwar. Ini semua pembohongan berterusan untuk berkuasa,” katanya ketika dihubungi di Hong Kong.

Di KUALA TERENGGANU, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali tetap berpegang dengan kepercayaannya bahawa hasrat pakatan pembangkang untuk membentuk kerajaan baru pada hari ini tidak akan menjadi kenyataan.

Beliau berkata, sehingga petang ini, Anwar belum membentuk sebuah kerajaan baru seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

‘‘Hari ini kan sudah 16 September,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s