Umno cabar Anwar umum 48 jam nama MP BN setuju lompat

MSTAR

PETALING JAYA: Umno mencabar Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengumumkan nama-nama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang didakwa telah menyatakan sokongan untuk melompat ke perikatan pembangkang itu.

“Nampaknya drama Penasihat (Parti Keadilan Rakyat) PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin hari semakin tidak ada penghujungnya.

“Sepatutnya ‘drama’ tersebut berakhir pada 16 September lalu, tapi nampaknya kena disambung lagi. Itupun tidak tahu bila?” kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib hari ini.

Pada 1 April lalu, Anwar mengumumkan pembentukan Pakatan Rakyat dan sekali gus menetapkan 16 September sebagai tarikh membentuk kerajaan baru persekutuan.

Bagaimanapun Isnin lalu, Anwar hanya mengumumkan pihaknya sudah ada cukup anggota untuk mengambil alih kerajaan persekutuan dan mahu menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi tujuan peralihan kerajaan secara lancar dan aman.

Abdullah telah menolak permintaan itu dan satu lagi permintaan Pakatan Rakyat, yang mahu Parlimen mengadakan sidang khas pada Selasa ini – yang hanya boleh dibuat dengan arahan Perdana Menteri.

Malah, Abdullah juga telah meminta supaya Anwar dan Pakatan Rakyat mengumumkan nama-nama Ahli Parlimen BN yang telah pun menyatakan sokongan kepada mereka.

Oleh itu, kata Muhammad yang juga anggota Kabinet, bagi menamatkan ‘drama’ tersebut, beliau memberi tempoh 48 jam kepada Anwar untuk umum atau mendedahkan nama-nama Ahli Parlimen BN yang kononnya telah bersetuju menyertai pembangkang.

“Tempoh 48 jam itu bermula semalam, Sabtu dan menjelang Isnin jika benar ada Anwar perlu mengumumkan nama-nama tersebut,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu memberitahu, Anwar terus memainkan sentimen rakyat dengan menggembar-gemburkan isu Pakatan Rakyat akan mengambil alih Kerajaan Pusat, sedangkan “ia hanyalah lakonan semata-mata.”

“Kita cabar siarkan dalam tempoh 48 jam ini, siarkan kalau betul ada angka seperti mana yang dia dakwa, apa dia nak takut-takut,” kata beliau dalam blognya hari ini.

Muhammad mengakui, memang Umno dan BN tidak menafikan ada seorang dua yang akan menyertai Pakatan Rakyat tetapi jumlah itu tidak sehingga parti pembangkang boleh mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan persekutuan.

“Saya ingat yang nak ‘lompat’ pun dua tiga orang sahaja daripada parti yang telah mengumumkan keluar daripada BN, yang lain tak ada.

“Ada pula timbul cerita, kononnya Anwar akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri jika mendedahkan nama-nama ahli BN terbabit merupakan satu lagi gimik Penasihat PKR itu sambil menyifatkannya seperti ‘macam budak-budak’,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata Muhammad, beliau berharap rakyat dapat menilai sendiri tindak-tanduk Anwar yang terus menggambarkan keadaan ekonomi dan politik negara ini sedang bergolak sehingga boleh melemahkan serta mencemarkan imej negara.

Tegasnya, rakyat perlu berhenti daripada melihat ‘drama’ dan mempercayai pelbagai spekulasi yang dibangkitkan pembangkang terutamanya Anwar dan memberi kepercayaan kepada kerajaan BN untuk memimpin negara ini selepas diberi mandat sekali lagi pada pilihan raya Mac lalu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s