Awas campur tangan Zionis

UTUSAN MALAYSIA

KUALA LIPIS 21 Sept. – UMNO percaya pihak tertentu dari Amerika Syarikat (AS) yang mempergunakan pemimpin pembangkang di negara ini untuk memperkotak-katik dan menghuru-harakan Malaysia merupakan pemimpin yang disokong oleh zionis.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menegaskan, pemimpin zionis terbabit telah lama menyimpan perasaan dengki dengan kemajuan dan kemakmuran Malaysia sebagai sebuah negara Islam terbaik di dunia.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menghantar segera bantahan keras kepada AS supaya menghentikan tindakan pihak tertentu yang mempergunakan pemimpin parti pembangkang terbabit untuk mencampuri hal ehwal dalaman Malaysia.

“Tindakan pihak tertentu dari AS itu jelas boleh menggugat keamanan dan kestabilan negara.

“Apabila ada pemimpin pembangkang negara ini membuat hubungan dengan AS untuk memburuk kepimpinan negara, AS semakin berani mengganggu hal ehwal dalaman negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Tilawah al-Quran Gerakan Belia 4B Malaysia peringkat kebangsaan di Masjid Sultan Mahmud di sini malam tadi.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia semalam bahawa Wisma Putra memperoleh maklumat ada pihak tertentu dari AS mempergunakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkotak-katik dan menghuru-harakan Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pihaknya dimaklumkan ada rancangan daripada pihak tertentu di AS untuk memastikan Anwar menjadi pemimpin hadapan bagi memudahkan kepentingan negara itu ‘masuk’ ke Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, bantahan keras itu bertujuan menyekat usaha pihak terbabit daripada terus menggunakan pemimpin pembangkang di negara ini.

“Rakyat tidak wajar percaya dengan hasutan pembangkang untuk merosakkan keamanan dan kedaulatan sebaliknya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang dilakukan oleh pemimpin pembangkang itu,” katanya.

Sementara itu, katanya, pembebasan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kelmarin perlu dijadikan iktibar oleh pembangkang supaya lebih berhati-hati terutama ketika menggunakan isu yang menyentuh sensitiviti kaum, budaya dan agama.

“Mereka (pembangkang) tidak perlu mencari publisiti murahan dengan menyentuh isu kaum tertentu sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati dan boleh menggugat ketenteraman,” katanya.

Menurut Mohd. Ali, api permusuhan boleh berlaku jika wakil rakyat terbabit melemparkan fitnah dengan membesarkan isu yang sensitif berkaitan budaya dan agama sesuatu kaum.

“Sepatutnya mereka menggunakan landasan pembangkang untuk mengkritik kerajaan secara membina dan membantu BN membangunkan negara ini, bukan mencari publisiti murahan,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berharap lebih ramai wakil rakyat tampil melaporkan kepada polis jika ada sogokan wang daripada pihak tertentu untuk memujuk mereka supaya lompat parti.

Beliau menambah, kegiatan rasuah itu adalah tidak sihat dan bertentangan dengan amalan demokrasi.

Mohd. Ali bersyukur kerana tidak ada seorang pun wakil rakyat daripada komponen BN lompat parti sejak 16 September lalu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s