Harga petrol boleh turun 30 sen seliter

UTUSAN

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Harga bahan bakar dalam negara dijangka dapat diturunkan 30 sen seliter menjelang perayaan Aidilfitri sekiranya harga minyak di pasaran dunia kekal di bawah paras AS$100 (RM340) setong.

Penganalisis ekonomi, Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam berkata, pada Ogos lalu kerajaan menurunkan harga petrol dan diesel dari lapan sen hingga 15 sen seliter apabila harga pasaran dunia menurun sehingga AS$110 setong.

Berdasarkan kedudukan harga minyak di pasaran dunia sekarang, katanya, tidak mustahil harga seliter petrol dapat diturunkan sehingga 30 sen.

“Kerajaan akan mengambil kira kadar penurunan berdasarkan kiraan yang dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai faktor dan kesan yang mungkin dihadapi.

“Bulan lalu ketika harga pasaran turun sehingga AS$110 setong, kerajaan telah menurunkan harga bahan bakar sehingga 15 sen seliter.

“Kini, harga pasaran sekali lagi menurun sehingga di bawah paras AS$100, maka saya menjangkakan harganya mungkin akan diturunkan sehingga 30 sen lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Harga seliter petrol RON 97 sekarang RM2.55 seliter manakala harga diesel ialah RM2.50. Ketika kerajaan menaikkan harga minyak pada Jun lepas sewaktu pasaran minyak dunia AS$125 setong, harga petrol ialah RM2.70 seliter manakala diesel RM2.58 seliter.

Ramon berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan kerajaan menurunkan atau mengekalkan harga petrol dan diesel yang bakal diketahui pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Beliau percaya inisiatif kerajaan mengurangkan harga minyak itu pasti akan membawa berita baik kepada setiap rakyat menjelang Aidilfitri.

Beliau berharap kerajaan akan menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat yang mengalami pelbagai masalah kenaikan harga barang termasuk bahan bakar dengan menurunkan harga petrol dan diesel menjelang hari raya.

Sementara itu, pakar ekonomi, Senator Prof. Datuk Dr. Ismail Md. Salleh juga sependapat dengan Ramon bahawa kerajaan akan bertindak mengurangkan harga bahan bakar antara 30 hingga 40 sen seliter.

Kerajaan sebelum ini, katanya, berjanji akan menurunkan harga bahan bakar berdasarkan penurunan harga di pasaran dunia.

“Memandangkan harga pasaran sekarang menurun sehingga kurang daripada AS$100 setong, kerajaan tentu akan menunaikan janjinya untuk menurunkan harga petrol dan diesel dalam negara,” jelasnya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, tindakan menurunkan harga bahan bakar itu amat dialu-alukan untuk mengurangkan beban rakyat.

“Penurunan harga bahan bakar ini secara tidak langsung juga akan menurunkan harga barang keperluan harian. Selepas ini, tiada lagi alasan untuk para peniaga menaikkan harga barangan keperluan rakyat.

“Dengan itu, pastinya ia dapat mengurangkan kesusahan dan beban rakyat terutama menjelang Aidilfitri,” ujarnya.

Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kebarangkalian kerajaan untuk menurunkan harga bahan bakar amat tinggi berikutan harga minyak di pasaran dunia turun sehingga di bawah paras AS$100 setong.

“Kerajaan akan membuat kiraan dan menentukan berapa sen seliter yang patut dikurangkan,” ujarnya.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Esso, Alang Zari Ishak pula meminta kerajaan mewujudkan dana untuk mengurangkan kerugian jika harga petrol dan diesel dalam negara diturunkan secara mendadak.

Jelasnya, setiap pengusaha stesen minyak diwajibkan menyimpan stok minyak selama dua hari bagi memastikan bekalan tidak akan terjejas.

“Sekiranya kami menjual minyak dengan harga rendah sedangkan bekalan itu dibeli pada harga yang tinggi (sebelum penurunan harga), ia akan merugikan pengusaha,” ujarnya.

“Contohnya, penurunan harga pada 23 Ogos lalu telah menyebabkan para pengusaha stesen minyak di seluruh negara mengalami kerugian sehingga RM10 juta.

“Oleh itu, saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan kesusahan kami dan mewujudkan satu sistem atau dana bagi menanggung kerugian yang kami hadapi sekiranya harga minyak diturunkan secara mendadak,” ujarnya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s