Raymond Tan kekal Timbalan Ketua Menteri Sabah

UTUSAN MALAYSIA

Raymond Tan (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan Musa Aman di pejabat Ketua Menteri, di Kota Kinabalu, semalam.
- Bernama



KOTA KINABALU 22 Sept. – Kerajaan Negeri Sabah mengekalkan jawatan Datuk Raymond Tan Shu Kiah sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri meskipun beliau tidak menyertai mana-mana parti politik pada masa ini.

Shu Kiah ketika ditemui berkata, keputusan tersebut dibuat oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman selepas pertemuan dengan beliau selama kira-kira 30 minit di Wisma Innoprise di sini hari ini.

“Jawatan saya kekal kerana Ketua Menteri mempunyai hak istimewa sebagai ketua kerajaan untuk berbuat demikian dan ketetapan perkara itu adalah di bawah bidang kuasa beliau.

“Keputusan ini selaras dengan kedudukannya sebagai ketua kerajaan negeri dan selepas ini saya akan kembali bertugas seperti biasa,” katanya yang bertindak keluar daripada Parti Maju Sabah (SAPP) dan kini bergerak sebagai anggota Bebas tanpa mana-mana parti.

Shu Kiah yang juga bekas Timbalan Presiden SAPP keluar daripada parti tersebut kerana tidak bersetuju dengan keputusan majlis tertinggi SAPP pada 17 September lalu yang keluar daripada Barisan Nasional (BN) selepas hampir tiga bulan parti itu menyatakan pendirian hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat itu pada awalnya merancang menyerahkan surat peletakan jawatannya dalam Kabinet Sabah hari ini berikutan keputusan SAPP itu.

Shu Kiah berkata, jawatan beliau itu akan kekal sehingga ke satu masa yang akan diputuskan oleh Musa.

Katanya, Musa tidak mahu beliau meletak jawatan kerana tindakan itu akan dikaitkan dengan desakan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee yang memintanya berbuat demikian berikutan tindakan SAPP keluar BN.

Beliau berkata, Musa memberitahunya bahawa sebab lain jawatan itu dikekalkan adalah kerana beliau dipilih oleh rakyat atas tiket BN dan sehingga sekarang masih kekal dalam BN.

Berhubung pertemuan dengan Musa, katanya, beliau menceritakan keadaan sebenar SAPP yang kini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu yang menyokong dan tidak menyokong pucuk pimpinan SAPP.

Selain hal dalaman SAPP, katanya, beliau turut membangkitkan isu berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah yang kebelakangan ini agak tenggelam.

“Saya ada beritahu beliau bahawa operasi membanteras PATI perlu terus berjalan termasuk masalah yang berkaitan dengannya seperti kad pengenalan palsu, levi, penghantaran pulang PATI dan lain- lain.

“Kita perlu selesaikan masalah itu kerana perkara ini melibatkan banyak pihak termasuk majikan dan pekerja asing itu sendiri. Perkara ini perlu diberitahu kepada Kuala Lumpur,” ujarnya.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s