DAP dicabar bertindak ke atas Teresa

UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mencabar DAP mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang memutarbelitkan kenyataannya sendiri berhubung isu ‘makanan anjing’.

Sebagai parti yang selama ini mendakwa berpegang teguh kepada prinsip integriti, DAP menurut mereka, wajar mengenakan tindakan disiplin terhadap wakil rakyatnya itu.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Tajudin Ahmad berkata, Teresa telah mengeluarkan kenyataan bersifat sensasi hingga membawa satu gambaran salah terhadap kerajaan kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa.

Baginya, sebagai pemimpin yang kini menyandang jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Teresa telah lari daripada prinsip serta etika yang dilaung-laungkan olehnya dan parti itu selama ini.

”DAP patut bertindak ke atas Teresa. Imej parti itu sendiri telah rosak kerana kenyataan Teresa yang berbohong kepada rakyat.

”Kerajaan Pusat juga perlu mengambil tindakan undang-undang ke atas Teresa kerana kenyataan bohongnya telah mencemarkan nama baik kerajaan berhubung makanan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang ternyata diakuinya sebagai tersilap,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Teresa pada sebuah forum malam tadi akhirnya mengakui yang beliau tersilap berhubung isu makanan anjing setelah terdapat rakaman yang memaparkannya menyebut makanan yang dinikmatinya sewaktu ditahan ‘mungkin sama seperti makanan anjing’.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara itu selama ini menafikan beliau membuat kenyataan itu sebaliknya mengecam Utusan Malaysia kononnya memutar belit kenyataannya bagi memburukkan imejnya.

Sementara itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar berkata, tidak ada sebab mengapa DAP tidak harus bertindak ke atas pemimpin seperti Teresa yang tidak bercakap benar dalam kenyataannya.

Kata beliau, di sinilah akan menguji parti itu sama ada berpegang kukuh kepada prinsip integriti dan ketelusan yang selama ini didakwa mereka sebagai membezakan DAP dengan parti politik lain.

”Sebagai rakyat, kita melihat pemimpin macam Teresa ini harus berundur daripada jawatan anggota Exco kerajaan negeri.

”Kita tidak boleh menerima pemimpin yang memutar belit keadaan hanya untuk kepentingan politik sendiri sehingga menyalahkan pihak lain sebagai tersalah lapor.

”Pemimpin sejati kalau tersilap sekalipun dia akan mengakui kelemahannya bukannya menuding jari,” jelasnya.

Pengerusi Gerakan Graduan Muda Melayu, Khairul Azam Abdul Aziz berkata, isu makanan anjing secara tidak langsung mendedahkan kepada rakyat tentang integriti Teresa yang sebenar.

Kata beliau, Teresa dalam beberapa situasi jelas cuba memanipulasikan keadaan untuk mencari populariti tetapi isu makanan anjing akhirnya menjerat beliau apabila terdapat rakaman membuktikan yang dirinya tersilap.

”Nampaknya macam beliau tidak layak dipercayai untuk memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan kerana jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terlalu mulia,” ujarnya.

Mengulas perkembangan yang sama, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Norila Daud berkata, kes Teresa seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya menyalahkan wartawan sebagai salah lapor apabila timbul sesuatu isu.

Katanya, dengan perkembangan teknologi semasa, apa yang dicakapkan boleh dibuktikan melalui rakaman dan atas perkiraan itu pihak wartawan bukannya dengan sesuka hati melaporkan sesuatu perkara.

”Wartawan adalah kelompok profesional, kami berpegang teguh dengan prinsip dan etika.

”Kita bukan jenis mengada-adakan sesuatu yang tidak wujud kerana itu melanggari prinsip profesionalisme wartawan,” tegasnya.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad pula berkata, tindakan tegas wajar dikenakan ke atas Teresa kerana memutar belit kenyataan sehingga wujud salah faham terhadap kerajaan.

”Orang seperti Teresa ini tidak patut kita beri kepercayaan, awal cakap lain, tetapi bila tayangan video menunjukkan kenyataan sebenarnya, barulah dia buat pengakuan tersilap cakap,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri dan anugerah Sri Cemerlang Kelab Perkim Universiti di Masjid Salahuddin Al-Ayubbi di sini hari ini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s