Shabery Kesal Hadi Sifatkan Perbuatan Hindraf Satu Tindakan Demokrasi

05 Oktober, 2008 20:45 PM

KEMAMAN, 5 Okt (Bernama)– Pemahaman Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai soal demokrasi sehingga sanggup menganggap tindakan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) menyerbu majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menteri kabinet sebagai satu perbuatan demokrasi, disifatkan jauh tersasar.

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery berkata Cheek berkata beliau kesal dengan kenyataan Abdul Hadi itu yang menyamakan perbuatan pertubuhan haram tersebut sebagai satu amalan biasa di negara demokrasi seperti yang berlaku di White House, Amerika Syarikat.

Ahmad Shabery berkata demontrasi yang berlaku di negara barat itu tidak sama dalam konteks negara Malaysia.

“Jangan samakan demonstrasi di White House dengan tindakan mereka (Hindraf) menyerbu semasa sambutan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri diadakan.

Waktu itulah rakyat berpeluang untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Timbalannya serta Menteri-Menteri yang beragama Islam secara terbuka,” katanya semasa ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said di kediamannya di Kijal di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata perbuatan itu mencemarkan kesucian sambutan hari raya dan semangat muhibah yang diamalkan oleh rakyat Malaysia selama ini.

“Jangan salahguna demokrasi yang diamalkan dan jangan kerana nak meraih undi, penyokong Hindraf sanggup melupakan kemuliaan sambutan hari raya,” kata beliau.

Ahmad Shabery berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi semalam yang menyifatkan tindakan anggota kumpulan Hindraf yang menyerbu majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Perdana Menteri bersama menteri kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Rabu lepas sebagai satu perubahan demokrasi dan bukanlah satu perbuatan biadap.

Walaupun perkara itu telah menimbulkan kecaman pelbagai pihak, namun Presiden PAS itu tetap menganggap ia merupakan satu amalan demokrasi yang biasa diamalkan di negara barat.

Mengulas lanjut Ahmad Shabery berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara ini selama ini cukup unik dan disambut meriah oleh masyarakat majmuk di negara ini tanpa mengira bangsa, agama mahupun idealogi politik dan ia amat berbeza dengan negara-negara lain.

“Mana ada negara-negara lain Perdana Menteri dan menteri-menteri berdiri dan bersalaman dengan rakyat yang mencecah ratusan ribu orang tanpa sebarang kawalan tentera, pengawal keselamatan dan sebagainya kerana kita tak nak ia mencemarkan sambutan hari raya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak agar sama-sama mengekalkan semangat muhibah yang telah diamalkan sebelum ini untuk mengelakkan kejadian yang sama berlaku.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu melahirkan perasaan sedih dengan tindakan yang dilakukan oleh penyokong Hindraf itu kerana ia memberikan gambaran kurang elok bukan sahaja kepada rakyat di negara ini tetapi juga warga asing yang turut mengunjungi rumah terbuka tersebut.

Katanya, ia merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan keretakan di kalangan kaum di negara ini.

— BERNAMA

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s