Tidak Perlu Ada Rakan Pasukan, Kata Dr Mahathir

05 Oktober, 2008 19:10 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata anggota Umno yang ingin bertanding pada pemilihan parti Mac depan tidak perlu mewujudkan sebarang pasukan.

Sebaliknya kata bekas Perdana Menteri itu pemimpin yang baru dipilih mestilah bersedia bekerja dengan sesiapa pun untuk kebaikan parti.

Beliau juga mengingatkan anggota Umno yang ingin bertanding supaya tidak terikut-ikut dengan cara pemilihan presiden Amerika Syarikat di mana calon dikehendaki mempunyai rakan pertandingan.

“Ini bukanlah Amerika Syarikat. Tak perlulah ada pasukan. Kalau kita menang, pasukan kita menang, nak bekerjasama dengan orang yang lawan kita itu susah.

“Kita boleh masing-masing bertanding jawatan masing-masing, dan kita harus sanggup bekerjasama dengan sesiapa saja yang menang,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka beliau di kediamannya di Seri Kembangan, dekat sini.

Dr Mahathir juga mengalu-ngalukan keputusan beberapa anggota kanan parti yang mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden jika penyandang Datuk Seri Najib Tun Razak bertanding jawatan presiden.

Mengenai rancangan untuk menyertai semula Umno, katanya beliau belum memutuskan cawangan mana yang akan sertai.

Beliau berkata masalah kini ialah beberapa anggota Umno yang keluar parti mengikut jejak langkahnya pada 1 Mei lepas, hendaklah dibenarkan menyertai semula Umno.

“Sekarang ada lagi satu masalah besar. Rupa-rupanya ramai yang keluar daripada Umno selepas saya keluar. Jadi kalau saya masuk, orang ini tak dapat masuk, tidak adillah. Saya keluar mereka ikut, saya masuk mereka tak boleh ikut,” kata beliau.

Dr Mahathir memberi amaran bahawa banyak masalah mungkin timbul jika anggota ini tidak dibenarkan menyertai semula parti.

“Jangan lupa orang ini ada kuasa undi. Kalau dia dah di luar Umno dan undi parti lawan, Umno akan kalah,” katanya.

Terdahulu semasa bercakap dengan pemberita, anaknya Datuk Mukhriz berkata beliau berharap ayahnya akan menyertai semula Umno cawangan Jitra.

“Saya ada bagi pandangan saya demi pentingnya beliau kembali pada cawangan Jitra dan bahagian Kubang Pasu.

Tetapi setakat ini belum lagi memaklumkan kepada saya. Beliau belum menyatakan bila dan di mana. Saya agak ghairah untuk tahu juga,” katanya.

Mengulas pencalonan bagi jawatan timbalan presiden, anggota Parlimen Jerlun itu berkata mereka yang ingin bertanding sewajar mengumumkan hasratnya selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat keputusan sama ada akan bertanding mempertahankan jawatan itu atau sebaliknya.

“Agaknya mereka yang telah menawarkan diri dah tahu dengan pasti Datuk Seri presiden kita sekarang ni dah tahu dia akan melepaskan jawatannya.

“Tapi dari segi tatatertibnya, lebih elok kita tunggu dulu sebelum si penyandang umumkan keputusan,” katanya.

Setakat ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga Naib Presiden Umno telah mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan timbalan presiden.

Sementara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Naib Presiden Umno dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib yang juga Ketua Penerangan Umno akan mengumumkan keputusan mereka selepas Abdullah membuat pengumuman sama ada bertanding bagi mempertahankan jawatan beliau atau sebaliknya Khamis ini.

— BERNAMA

One response to “Tidak Perlu Ada Rakan Pasukan, Kata Dr Mahathir

  1. Amerika Syarikat tu tujuannya hanyalah untuk menegakkan demokrasi.Secara lazimnya
    mereka tak mengamalkan demokrasi pun.Mereka suruh negara lain mengamal tetapi mereka sendiri tidak.Demokrasi ala Amerika adalah waktu pemilihan sahaja.Pentadbirannya
    seolah olah kuku besi sebab presiden nya mempunyai kuasa mutlak keatas segalanya.
    Kita adalah demokrasi berparlimen ia itu demokrasi berterusan,transparen bila bila masa dan dari segala segi…….betul tak.Saya rasa semua orang malaysia setuju….amin

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s