Bakal ikut jejak bapa teraju negara

UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini hampir mengikuti jejak Allahyarham bapanya untuk memegang tampuk kepimpinan negara.

Bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein menjadi Perdana Menteri kedua pada 22 September 1970 semasa berusia 48 tahun, dan berikutan pengumuman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti Mac depan, laluan kini tersedia untuk Najib dipilih sebagai Presiden UMNO sekali gus menjadi Perdana Menteri keenam pada usia 55 tahun.

Najib, anak sulung daripada lima adik-beradik lelaki dan dilahirkan pada 23 Julai 1953, menyertai politik pada usia yang muda. Ketika berumur 22 tahun beliau menang tanpa bertanding kerusi Parlimen Pekan dalam pilihan raya kecil yang diadakan pada Februari 1976 berikutan kematian bapanya.

Beliau mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya umum 1978 dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos pada Julai tahun itu. Sehingga hari ini beliau masih mengekalkan rekod sebagai timbalan menteri termuda pada usia 25 tahun.

Pada pilihan raya umum 1982 beliau dipindahkan ke kerusi negeri, Bandar Pekan dan menang. Beliau terus dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ke-11 pada usia 29 tahun. Sekali lagi, beliau mencipta nama sebagai menteri besar paling muda, dan memegang jawatan itu sehingga 1986 sebelum kembali semua ke kerusi Parlimen.

Dalam Kabinet pula, Najib bermula sebagai Menteri Budaya, Belia dan Sukan (1986- 1990), sebelum dilantik Menteri Pertahanan (1990- 1995) dan Menteri Pendidikan (1995- 1999) dan kemudian pada 1999 kembali sebagai Menteri Pertahanan.

Berikutan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 2003 bagi memberi laluan kepada Abdullah dilantik sebagai pengganti, Najib dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Pada pemilihan UMNO 2004, Najib menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Presiden.

Pada 17 September lepas, Najib telah bertukar portfolio dengan Abdullah. Beliau mengambil alih jawatan Menteri Kewangan manakala Abdullah memegang jawatan Menteri Pertahanan.

Najib, lulusan University of Nottingham dalam bidang ekonomi perindustrian dengan kepujian, telah memulakan kariernya sebagai Pengurus Perhubungan Awam Petronas sebaik tamat pengajiannya pada 1974, dan dua tahun kemudian dilantik sebagai Pengerusi Majuternak sebelum menyertai politik.

Najib, yang dikurniakan tiga anak lelaki dan dua perempuan, juga berbakat dalam bidang penulisan serta telah menghasilkan beberapa buku antaranya For The Sake of Peace, Asia-Pacific’s Strategic Outlook-Shifting of Paradigms dan Defending Malaysia Facing the 21st Century. – Bernama

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s