PM cadang BN wujud keahlian terus

UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan agar Barisan Nasional (BN) mewujudkan konsep keahlian terus untuk membolehkan rakyat berbilang kaum terlibat secara langsung dengan BN tanpa lagi melalui parti komponen seperti amalan sekarang.

Menurut Perdana Menteri, konsep seperti itu adalah sesuatu yang perlu difikirkan oleh kepimpinan BN kerana daripada pengalaman beliau, ada sebahagian rakyat yang suka kepada BN tetapi tidak berminat menjadi ahli parti komponen atas sebab-sebab tertentu.

”Saya telah sebut tentang hal ini pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN baru-baru ini sebagai satu cadangan untuk difikirkan bersama bahawa kenapa tidak kita wujudkan satu kumpulan keahlian terus kepada BN yang terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.

Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Nasional Ke-37 di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan pemimpin tertinggi parti-parti komponen BN lain.

Sementara itu pada sidang akhbarnya, Abdullah yang ditanya sama ada konsep keahlian terus itu mempunyai format sebagai sebuah kelab penyokong atau keahlian rasmi berkata, itu adalah sesuatu yang perlu difikirkan.

Kata Abdullah, buat masa ini beliau tidak mahu menyentuh secara terperinci mengenai konsep tersebut tetapi yang penting peluang telah dibuka untuk semua pihak membincangkannya.

Ditanya apakah konsep keahlian terus itu memberi makna parti-parti komponen yang mempunyai dasar keahlian berbilang kaum telah gagal, Abdullah berkata:

”Itu terpulang kepada pentafsiran anda. Yang ditimbulkan hari ini adalah hasil daripada interaksi.

”Kita nak secara terbuka berbincang bahawa ia (konsep keahlian terus) satu cara yang boleh kita usahakan dalam perubahan yang kita nak bawa ke dalam BN.

”Kita bukan parti yang eksklusif sebaliknya parti kita terbuka untuk semua,” katanya.

Tambah Abdullah, cadangan ini juga tidak akan sesekali menghalang seseorang membuat pilihan untuk menyertai mana-mana parti komponen BN.

Misalnya dalam konteks orang Melayu kata beliau, mereka tetap bebas menyertai UMNO dan begitu juga sebaliknya kepada orang Cina sama ada hendak menyertai Gerakan atau memilih parti lain.

”Yang penting kita hendakkan penyatuan daripada pemikiran dan jiwa kita yang bersatu kerana Malaysia adalah negara kita semua.

”Kita kena hidup dalam keadaan aman dan mesra, hormat menghormati supaya kita dapat wujudkan sebuah perpaduan untuk meneruskan usaha membangunkan negara kita,” jelasnya.

Ditanya apakah konsep keahlian terus BN merupakan langkah pertama ke arah mengubah struktur BN sebagai sebuah parti tunggal, Perdana Menteri berkata, beliau tidak mahu membuat kesimpulan seperti itu.

Katanya, soal apa yang akan berlaku pada masa depan adalah hak untuk semua orang memikirkannya khususnya barisan generasi muda.

”Dan apa yang akan berlaku pada masa hadapan kita tidak tahu,” tambahnya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s