Rafidah, Shahrizat akur peralihan

http://www.utusan.com.my/

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, pelan peralihan kuasa antara beliau dan naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang akan dilaksanakan pada Jun depan bertujuan untuk mengukuhkan UMNO.

Sambil menegaskan bahawa beliau dan Shahrizat terus komited dengan pelan peralihan kuasa itu, Rafidah berkata, jika beliau berundur awal, dikhuatiri akan berlaku persaingan sengit merebut jawatan tertinggi Wanita UMNO yang boleh memecahbelahkan pergerakan itu.

Sehubungan itu, beliau berharap akar umbi Wanita UMNO akan mengekalkan persefahaman yang dipersetujui dalam pencalonan pucuk pimpinan Wanita menjelang pemilihan parti Mac depan.

Rafidah memberitahu, beliau pasti akan berundur pada pertengahan tahun depan dan tempatnya kelak akan diambil alih oleh Shahrizat seperti yang telah diketahui umum.

“Selaku sayap terbesar UMNO, Wanita tidak boleh berpecah-belah terutama ketika usaha mengukuhkan UMNO giat dilakukan oleh para pemimpinnya,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rafidah membuat penjelasan itu ekoran laporan Utusan Malaysia yang menyatakan beliau akan menimbang semula pelan peralihan jawatan Ketua Wanita UMNO selepas proses pencalonan selesai.

Menurut Rafidah, beliau tidak pernah bercakap mengenai perkara itu.

Pemberita Utusan Malaysia yang tersilap tafsir kenyataannya melaporkan beliau akan membuat penilaian mengenai pelan peralihan kuasa itu apabila 191 Wanita UMNO Bahagian di seluruh negara selesai bersidang tidak lama lagi.

Setakat semalam, Rafidah menerima 52 pencalonan untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita manakala Shahrizat pula memperoleh 12 pencalonan untuk jawatan yang sama.

Bagaimanapun, Shahrizat yang berjanji mempertahankan jawatan Naib Ketua Wanita sedang mendahului pencalonan untuk jawatan yang disandangnya itu yang turut diminati oleh beberapa calon lain termasuk Datuk Kamilia Ibrahim dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya berita dalam Utusan Malaysia hari ini kononnya saya akan timbang semula pelan peralihan jawatan (Ketua Wanita UMNO) selepas semua pencalonan selesai,” ujarnya.

Rafidah menegur penyiaran berita tidak tepat itu yang telah menimbulkan suasana tidak tenteram dalam pemilihan Wanita UMNO.

Beliau berkata, Wanita UMNO perlu bersatu pada waktu ini bagi memastikan peralihan kuasa antara Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan lancar.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu berkata, dengan menekankan pentingnya perpaduan, beliau tidak bersikap tamakkan jawatan tetapi bertindak atas kepentingan parti.

“Ingat saya hendak sangatkah jawatan ini? Umur saya pun sudah 65 tahun… bulan Jun nanti saya pasti akan serahkan (jawatan) kepada Shahrizat,” tegasnya.

Rafidah melahirkan kegembiraan kerana majoriti ahli Wanita di peringkat akar umbi memahami manfaat daripada pelan peralihan kuasa tersebut dan menyokongnya dengan sepenuh hati.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s